Aliran Keluar Dana Asing Meningkat Hampir Tiga Kali Ganda

KUALA LUMPUR: Aliran keluar dana asing dari Bursa Malaysia dilihat berterusan apabila nilainya mencecah hampir tiga kali ganda kepada RM422.2 juta bagi tempoh Isnin hingga Khamis pada minggu yang baru berakhir.

Ia berikutan isu menyelubungi perjanjian perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China masih mempunyai pengaruh besar ke atas pasaran.

Pada Isnin hingga Khamis minggu sebelumnya, aliran keluar dana asing mencatatkan nilai RM145.7 juta.

Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI), yang menjadi penanda aras pasaran, didagangkan rendah kebanyakannya pada minggu yang baru berakhir malah seiring dengan prestasi bursa serantau.

“Isu berkaitan kemelut perdagangan AS-China kekal menjadi tumpuan pelabur. Tindakan Presiden AS yang menandatangani Rang Undang-Undang Hong Kong menunjukkan bahawa prospek penyelesaian perdagangan yang cepat (antara AS dan China) boleh menghadapi halangan yang akan melambatkannya.

“Pertumbuhan global akan terjejas sekiranya rundingan perdagangan tidak mencatatkan sebarang perkembangan. Oleh itu, pelabur akan memantau rapat sama ada AS akan terus memberi tekanan dengan kenaikan tarif pada 15 Disember 2019,” katanya kepada Bernama.

Presiden AS, Donald Trump menandatangani Akta Hak Asasi Manusia dan Demokrasi Hong Kong menjadi satu undang-undang pada Rabu lalu bertujuan menyokong pergerakan prodemokrasi, dengan Beijing mengancam “tindakan keras” ke atas langkah Washington itu.

Bagi minggu yang baru berakhir, Bursa Malaysia ditutup rendah secara keseluruhannya pada Isnin dan Selasa berikutan kekurangan pemangkin namun ditutup tinggi pada Rabu setelah didorong momentum belian dalam saham berwajaran tinggi terpilih susulan laporan bahawa rundingan untuk memuktamadkan perjanjian perdagangan antara AS dan China kekal berada di landasan.

Bagaimanapun, bursa tempatan susut semula pada Khamis dan Jumaat.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Inter-Pacific Securities Sdn Bhd, Pong Teng Siew, berkata pelabur asing pada umumnya berada dalam mod belian bagi tempoh cukup lama iaitu dari Januari 2017 sehingga Mei 2018 tetapi mula menjual ekuiti tempatan secara konsisten sejak Pilihan Raya Umum ke-14.

“Saya merumuskan dari tempoh itu bahawa isu politik tempatan juga boleh menjejaskan sentimen tempatan,” katanya.

Menurutnya, bursa tempatan juga menyaksikan jualan ketara pada Jumaat, dengan FBM KLCI merosot 22.03 mata atau 1.40 peratus untuk ditutup pada 1,561.74, disebabkan terutama pengimbangan semula portfolio akhir bulan oleh dana asing yang akan mendorong aktiviti jualan besar-besar dalam pasaran.

Beliau berkata, pengimbangan semula itu dibuat secara bermusim oleh dana asing pada akhir bulan, dengan sama ada mereka menjual atau membeli dalam jumlah yang besar. – BERNAMA

Kredit: BH Online dan Bernama

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Dagangan Sekuriti Ireka Akan Digantung Pada 3 Okt, Berdepan Risiko Dinyahsenarai

KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) — Bursa Malaysia Securities Bhd akan menggantung dagangan sekuriti Ireka Corporation Bhd (ICB) berkuat kuasa 3 Okt 2025.

Menerusi makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata bursa telah menolak permohonan ICB untuk melanjutkan masa bagi mengemukakan pelan penyusunan semulanya.

Melainkan rayuan dikemukakan pada atau sebelum 2 Okt, sekuriti syarikat itu akan dinyahsenarai daripada Senarai Rasmi Bursa Malaysia pada 7 Okt.

Menurut Bursa Malaysia, sebarang rayuan yang dikemukakan selepas tempoh masa yang ditetapkan tidak akan dipertimbangkan. Sekiranya rayuan dibuat dalam tempoh masa itu, penyahsenaraian akan ditangguhkan sementara menunggu keputusan.

“Bagaimanapun, Bursa Securities akan meneruskan untuk menggantung dagangan sekuriti syarikat pada 3 Okt, walaupun keputusan rayuan syarikat masih belum selesai,” kata ICB.

Sebaik sahaja dinyahsenarai, sekuriti ICB akan ditarik balik daripada Bursa Malaysia Depository Sdn Bhd, dengan syarikat itu terus mengekalkan maklumat pemegang sahamnya dalam daftarnya.

ICB berkata syarikat itu akan menjadi entiti tidak tersenarai dan kekal dapat beroperasi serta meneruskan penstrukturan semula korporat.

Hak pemegang saham akan kekal dilindungi di bawah Akta Syarikat 2016, walaupun saham mereka tidak lagi disebut harga atau didagangkan di Bursa Malaysia.

Menerusi makluman kepada Bursa Malaysia pada Selasa, syarikat itu melaporkan bahawa ia telah gagal membayar balik pinjaman berjumlah RM1.04 juta kepada Hong Leong Bank Bhd (HLBB) dan AmBank (M) Bhd.

ICB berkata kemungkiran bayaran itu berkaitan dengan kemudahan pembiayaan yang asalnya diberikan kepada bekas anak syarikat milik penuhnya, Ireka Engineering & Construction Sdn Bhd (IECSB), yang telah menamatkan operasi.
— BERNAMA