Empat Catalyst Bakal Jadi Penggerak Pasaran Saham Global Pada Minggu Ini (28 Oktober – 1 November)

Indeks utama Wall Street setakat ini mencatat rekod positif sepanjang bulan Oktober, setakat penutupan dagangan pada 25 Oktober 2019 yang lalu. Dow Jones Industrial Average (DJIA) merekodkan kenaikan dalam tempoh dua minggu, S&P 500 pula mencatat prestasi positif selama tiga minggu berturut-turut, dan Nasdaq ditutup positif selama empat minggu berturut-turut.

Pasaran ekuiti mengekalkan prestasi menggalakkan pada minggu lalu selepas Amerika Syarikat (AS) mendakwa mereka hampir memeterai perjanjian dagangan fasa pertama dengan China. Saham teknologi mendahului senarai penyumbang dengan Intel Corporation mencatat prestasi pendapatan membarangsangkan dan Apple Inc mencapai paras tertinggi dalam sejarah.

Pelabur melihat risiko pasaran beransur pulih berikutan kemajuan dalam rundingan dua kuasa ekonomi dunia. Pasaran kini berharap kedua-dua pihak dapat melonggarkan ketegangan yang menggoncang ekonomi dunia sejak awal tahun 2019.

Walaupun ketegangan masih belum selesai, berita-berita yang berlegar semakin positif dalam isu perdagangan dan ia sekaligus memperbaiki sentimen pelabur. Laporan pendapatan suku ketiga juga tidaklah seteruk seperti yang disangka. Jika keadaan ini berterusan, maka pertumbuhan ekonomi dunia juga akan meningkat lebih daripada jangkaan semasa penganalisis ekonomi.

Mesyuarat Federal Reserve (The Fed) pada minggu hadapan akan menjadi faktor paling hampir yang mampu mempengaruhi pergerakan pasaran saham Wall Street. The Fed dijangka akan memotong kadar faedah buat kali ketiga tahun ini pada Khamis (31 Oktober 2019). Sesi soal-jawab Pengerusi Jerome Powell akan menjadi perhatian kerana pasaran akan cuba mendapatkan mesej penting tentang tindakan bank pusat dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Dua lagi bank pusat utama akan bermesyuarat pada minggu ini, iaitu Bank of Canada (BoC) pada hari Rabu (30 Oktober 2019) dan Bank of Japan (BoJ) pada hari Khamis (31 Oktober 2019).

Daripada segi data ekonomi, minggu ini akan menyaksikan beberapa data ekonomi penting dari Amerika Syarikat termasuklah data pekerjaan NFP dan indeks sektor pembuatan untuk bulan Oktober. Data NFP dijangka akan mewarnai pergerakan pasaran pada penghujung sesi dagangan minggu ini.

Berikut adalah empat catalyst utama yang bakal menjadi perhatian para pelabur sepanjang minggu ini.

1. Brexit Menunggu Keputusan Eropah

Permohonan Perdana Menteri UK Boris Johnson untuk melanjutkan tarikh Brexit akhirnya diterima oleh 27 negara Kesatuan Eropah pada hari Isnin (28 Oktober). EU ketika ini sedang menunggu maklum balas UK terhadap tawaran penangguhan Brexit selama tiga bulan.

Johnson sebelum ini menghantar permohonan lanjutan selepas perjanjian Brexit dengan EU tidak diluluskan oleh Parlimen UK. Parlimen sekaligus memaksa Johnson untuk memohon lanjutan kepada tarikh Brexit yang berakhir pada 31 Oktober.

Walaubagaimanapun, Johnson masih berharap Parlimen akan meluluskan rang undang-undang Brexit yang dicadangkan beliau atau bersetuju dengan pilihanraya umum. Pilihanraya terpaksa diadakan dengan harapan wakil kerajaan dalam Parlimen UK semakin bertambah sekaligus memudahkan kelulusan perancangan Brexit beliau.

Dengan Brexit yang akan dilanjutkan, maka berkemungkinan besar pilihanraya umum diadakan lebih awal di UK. Nampaknya pasaran akan terus menikmati drama Brexit sehingga tahun hadapan.

2. Penetapan Dasar Monetari Federal Reserve

Federal Reserve atau Bank Pusat Amerika Syarikat kembali menjadi perhatian dalam sesi dagangan minggu ini dengan jangkaan pemotongan kadar sebanyak 25 mata asas. Data ekonomi AS kebanyakannya mencatat bacaan yang membimbangkan pada bulan Oktober, dan ini akan menyokong lagi jangkaan terhadap penurunan kadar faedah The Fed.

Pasaran melihat kebarangkalian untuk kadar diturunkan berada di paras 91% di mana jangkaan inflasi juga semakin merosot. Dengan kebarangkalian yang begitu besar, sudah tentu jika kadar faedah tidak diturunkan, ianya bakal menyebabkan kejutan dalam pasaran terutamanya kepada Dolar AS dan pasaran bon.

Antara yang menjadi perhatian dalam penetapan dasar kali ini adalah komen yang akan dibuat oleh Jerome Powell dalam sesi soal-jawab bersama wartawan. Pasaran akan cuba mendapatkan isyarat tentang hala-tuju dasar The Fed di masa akan datang, sama ada ia pelonggaran akan dihentikan atau diteruskan.

3. Prestasi Perbankan Eropah

Sebagai satu wilayah ekonomi terbesar di dunia, laporan perbankan Eropah untuk suku ketiga harus diberi perhatian pada minggu ini. Ekonomi Eropah dihantui oleh risiko geopolitik Brexit dan kelemahan pertumbuhan yang terus menghantui blok tersebut dan dijangka memberi impak negatif kepada prestasi sektor perbankan.

Beberapa nama besar dalam industri perbankan akan membentangkan laporan pendapatan mereka, termasuklah Deutsche Bank, HSBC, Credit Suisse, ING, BNP Paribas dan Santander. Menjelang hari Jumaat (1 November 2019), kita bakal mengetahui 61% daripada laporan industri perbankan di blok tersebut.

Margin keuntungan sektor perbankan Eropah banyak ditekan oleh kadar faedah yang sangat rendah. Oleh itu, tidak mengejutkan jika penganalisa telah menurunkan jangkaan pendapatan industri perbankan selama 19 bulan berturut-turut.

4. Laporan Data Ekonomi Penting Amerika Syarikat

Hari Jumaat (1 November 2019) akan menjadi hari yang paling penting dalam laporan data ekonomi bulan November. Selain daripada data pekerjaan (NFP), terdapat juga data indeks sektor pembuatan Amerika Syarikat yang dijangka mencatatkan penurunan untuk tiga bulan berturut-turut.

Fokus utama pada minggu ini sudah tentu kepada data pekerjaan NFP, lebih-lebih lagi data sebelum ini mencatat bacaan lebih kecil berbanding jangkaan. Amerika Syarikat dijangka mencatat tambahan sebanyak 90,000 pekerjaan pada Oktober berbanding 136,000 pada bulan September.

Satu lagi data penting adalah purata Pendapatan Per Jam (Average Hourly Earnings) yang digunakan sebagai kayu ukur kepada keadaan inflasi di Amerika Syarikat.

Laporan pekerjaan sudah tentu besar, tetapi data indeks sektor pembuatan ISM akan menjadi lebih penting jika ia merekodkan kenaikan. Hal ini kerana data pembuatan banyak terkesan oleh perang perdagangan seperti syarikat Caterpillar yang merekodkan pendapatan kurang daripada jangkaan. Caterpillar yang menjadi kayu ukur kepada prestasi ekonomi global juga telah memotong unjuran pendapatannya disebabkan kelemahan di China.

Sumber Rujukan:

  1. https://www.investing.com/news/stock-market-news/sp-500-hovers-near-record-on-trade-optimism-markets-wrap-2004599
  2. https://www.reuters.com/article/us-global-markets-themes/take-five-brextension-brelection-bremain-idUSKBN1X41QK
  3. https://www.cnbc.com/2019/10/25/cramer-week-ahead-alphabet-beyond-meat-facebook-and-apple-earnings.html
  4. https://www.cnbc.com/2019/10/25/the-fed-could-be-what-makes-or-breaks-the-stock-markets-push-into-record-territory.html
  5. https://www.ig.com/en-ch/news-and-trade-ideas/fomc-preview–will-the-fed-maintain-or-break-the-dollar-uptrend–191025
  6. https://www.bondbuyer.com/news/fomc-preview-cut-dissent-no-good-answers-expected

Ditulis oleh Rolandshah Hussin, seorang pelabur runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan kini memegang jawatan sebagai penganalisis konten di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Maybank IB Unjur Harga Minyak Mentah US$70 Setong Pada 2025


KUALA LUMPUR, 2 Jan (Bernama) — Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) mengunjurkan harga minyak mentah Brent tidak menentu dan lebih lemah tahun ini iaitu pada purata US$70 setong berbanding US$80 setong tahun lepas.

Dalam satu nota penyelidikan hari ini, Maybank IB berkata pasaran minyak mungkin menyaksikan lebihan bekalan kerana Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) mungkin akan menarik balik pengurangan pengeluaran.

Bank pelaburan tersebut memetik laporan Unjuran Tenaga Jangka Pendek (STEO) daripada United States Energy Information Administration untuk November 2024 yang menyatakan pengeluar OPEC+ mungkin melaksanakan rancangan untuk meningkatkan pengeluaran sebanyak 2.2 juta tong sehari dalam tempoh 18 bulan, bermula April 2025.

“Namun, sebarang lonjakan dalam ketegangan geopolitik boleh meningkatkan premium perang ke atas harga minyak mentah disebabkan kebimbangan gangguan bekalan seperti yang kita lihat semasa krisis Rusia-Ukraine, apabila harga minyak meningkat sekitar 50 peratus (Brent: US$80 setong kepada US$120 setong),” katanya.

Bagi Malaysia, Maybank IB berkata perbelanjaan modal (capex) Petronas berpotensi lebih rendah serta ini bermakna banyak syarikat perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) yang berorientasikan domestik mungkin menyaksikan pertumbuhan lebih perlahan pada 2025 selepas Petros dilantik secara rasmi sebagai pengagregat gas tunggal untuk Sarawak.

“Di bawah senario penangguhan capex Petronas, kami menjangkakan ini memberi impak kepada nama-nama OGSE yang terdedah dalam subsegmen penerokaan dan pembangunan, terutamanya kapal sokongan luar pesisir, fabrikasi luar pesisir, pelantar penggerudian serta pemasangan dan pengoperasian,” katanya.

Secara keseluruhan, Maybank IB mengekalkan pandangan positif terhadap sektor ini iaitu memihak kepada syarikat pengangkutan, penyimpanan dan pengagihan yang defensif dengan Dialog sebagai pilihan utama mereka.

Selain itu, ia memihak kepada pemain pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO) yang bersedia untuk menyertai pelaburan capex global dalam bidang perairan laut dalam dan ultra dalam, dengan menamakan Bumi Armada sebagai pilihan utama mereka.

— BERNAMA