
Sub Topik
Pasaran saham Wall Street sekali lagi ditutup rendah pada akhir sesi dagangan minggu lalu walaupun pakej rangsangan kerajaan Amerika Syarikat berjumlah US$2 trilion telah diluluskan oleh Dewan Perwakilan di Kongres.
Ketiga-tiga indeks utama saham Wall Street mencatat kejatuhan pada Jumaat (27 Mac 2020) dengan Dow Jones Industrial Average (DJIA) menyusut 4.06%, manakala dua lagi indeks iaitu S&P 500 dan Nasdaq masing-masing jatuh lebih daripada 3%.
Wall Street cuba membuat pembetulan harga (correction) pada minggu lalu di mana tiga indeks utama merekodkan kenaikan mingguan yang pertama selepas ia jatuh selama lima minggu berturut-turut berikutan kebimbangan pelabur terhadap pendemik Covid-19.
Presiden Donald Trump menandatangani pakej rangsangan US$2 trilion selepas pasaran ditutup pada hari Jumaat yang menjadikan ia sebagai rangsangan ekonomi terbesar yang pernah direkodkan dalam sejarah. Ini adalah catalyst kepada kenaikan keseluruhan pasaran saham pada minggu lalu di mana pelabur melihat ia satu usaha yang serius dalam menyelamatkan ekonomi negara itu.
Namun, terdapat satu kebimbangan di kalangan pelabur iaitu petunjuk ekonomi pasaran buruh semasa di AS yang mula menunjukkan amaran kepada ekonomi terbesar dunia itu. Minggu lalu sahaja, Jabatan Buruh mencatatkan jumlah pengangguran seramai 3.28 juta orang disebabkan penularan koronavirus di negara itu.
Oleh itu, minggu ini pasaran akan terus meneliti indikator pasaran buruh yang akan diumumkan pada hari Khamis dan Jumaat yang bakal menunjukkan keadaan semasa pasaran pekerjaan dengan lebih lanjut bagi bulan Mac 2020.
Berikut adalah lima catalyst utama yang akan menjadi perhatian pelabur sepanjang minggu ini.
1. Data Ekonomi Penting Minggu Ini

Terdapat beberapa data pekerjaan Amerika Syarikat yang akan diumumkan pada minggu ini antaranya, Non-Farm Payroll (NFP) dan jumlah tuntutan faedah pengangguran. Data tuntutan faedah pengangguran meningkat sebanyak 3.2 juta pada minggu berakhir 21 Mac berikutan penutupan kedai-kedai dan restoran di seluruh negara menyebabkan ramai pekerja diberhentikan.
Penganalisa ekonomi menjangka beberapa juta tuntutan pengangguran akan direkodkan pada minggu lalu yang mana jumlahnya akan diumumkan pada hari Khamis (2 April) pukul 8.30 malam.
Seterusnya data NFP bersama dengan kadar perubahan gaji dan kadar pengangguran bagi keseluruhan bulan Mac 2020 akan diumumkan pada hari Jumaat pukul 8.30 malam. Walaubagaimanapun, data-data yang selalunya menjadi perhatian ini akan dibayangi oleh data tuntutan pengangguran untuk pasaran melihat jumlah terkini pengangguran di Amerika Syarikat.
Amerika Syarikat adalah sebuah negara yang banyak bergantung kepada perbelanjaan pengguna dengan sumbangan terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 70%. Bagi meningkatkan perbelanjaan domestik, pasaran buruhnya mestilah berada dalam keadaan optimum dengan kadar pengangguran tidak melebihi 5%.
2. Prestasi Ekonomi China

Seperti yang kita tahu, China adalah negara pertama yang mengalami penularan pandemik koronavirus sekaligus melumpuhkan sebahagian besar eonomi negara itu. Kilang-kilang di negara ini telah merekodkan prestasi paling rendah dalam sejarah dalam tempoh Januari hingga Februari di mana data indeks PMI (Purchasing Manager Index) yang akan diumumkan pada Selasa (31 Mac) bakal mendedahkan lebih banyak kemerosotan.
Walaupun China seakan telah mengumumkan kemenangan menentang pandemik Covid-19 tetapi ekonominya masih belum kembali ke tahap kapasiti penuhnya. Ia dilihat memakan masa dan bergantung kepada bilakah Eropah dan Amerika Syarikat kembali ke tahap sebenar sekaligus memperbaiki semula rantaian bekalan di dunia.
3. Keadaan Semasa Ekonomi Zon Eropah

Banyak data ekonomi yang akan dikeluarkan oleh Zon-Eropah pada minggu ini dan bakal memberikan kita gambaran lebih jelas tentang keadaan semasa ekonomi di blok tersebut.
Pada hari Isnin (30 Mac 2020), indeks sentimen ekonomi akan menunjukkan pelabur tentang bagaimana perniagaan dan pengguna menilai keadaan semasa situasi ekonomi.
Kejatuhan harga minyak mentah bakal menyebabkan penurunan mendadak inflasi Zon-Eropah pada bulan Mac yang mana akan dikeluarkan pada Selasa. Dengan kadar semasa hampir kepada sifar berbanding sasaran 2% bank pusat, ia bakal memberi tekanan kepada European Central Bank (ECB), ditambah pula dengan penularan koronavirus.
Kebanyakan negara-negara Eropah berada dalam perintah kawalan pergerakan dan pihak kerajaan telah mengumumkan pakej-pakej rangsangan bagi mendepani cabaran ekonomi semasa.
4. Tekanan Harga Komoditi Hitam

Setiausaha Dalam Negeri AS, Mike Pompeo cuba untuk menjadi orang tengah bagi mendamaikan Arab Saudi dan Russia. Namun ia dipandang dingin oleh pihak Saudi dengan pengeluar-pengeluar dari Amerika Syarikat kini terdesak berikutan kejatuhan 65% dalam harga komoditi hitam itu.
Dengan harga semasa, hanya pengeluar di Timur Tengah sahaja yang dapat bertahan kerana kos pengeluaran yang lebih rendah berbanding pengeluar di negara-negara lain.
Harga penanda aras West Texas Intermediate (WTI) ditutup pada US$21.51 pada minggu lalu berbanding US$65.65 setong yang dicapai pada bulan Januari 2020. Pasaran minyak mentah merekodkan kejatuhan ke lima minggu berturut-turut disebabkan kebimbangan terhadap jatuhnya permintaan di AS dengan penularan pandemik Covid-19.
5. Volatility Pasaran Saham

Pasaran saham dijangka akan terus bergerak tidak menentu dengan pergerakan naik-turun yang besar dalam situasi Covid-19 yang kini menjadikan Amerika Syarikat sebagai pusat penularannya. Minggu lalu kebanyakan pergerakan di Wall Street adalah ke atas dengan indeks S&P 500 naik 20% sehingga Khamis (26 Mac 2020).
Selepas kenaikan yang meyakinkan pada minggu lalu, adakah ini permulaan kepada ‘reversal’ selepas kejatuhan yang dicatat sejak hampir dua bulan lepas? Sukar untuk memastikan jawapan sebenar kepada persoalan ini kerana penularan Covid-19 di AS yang semakin meningkat saban hari.
Kunci kepada kestabilan pasaran banyak bergantung kepada usaha pembasmian wabak koronavirus dan sejauh mana usaha yang diambil dapat menyelesaikan masalah ini. Kita bakal melihat pelabur-pelabur masuk semula mengambil risiko ke dalam ‘variable asset’ apabila pandemik ini dapat ditanggani dengan berkesan oleh ekonomi-ekonomi besar dunia.
Sumber Rujukan:
- https://www.investing.com/news/stock-market-news/stocks–late-selling-hits-dow-as-us-sees-surge-in-covid19-infections-2124060
- https://www.nasdaq.com/articles/weekly-preview%3A-market-snaps-three-day-rally-have-we-seen-the-worst-2020-03-29
- https://www.investing.com/news/stock-market-news/us-stocks-lower-at-close-of-trade-dow-jones-industrial-average-down-406-2124137
- https://www.investing.com/news/economy/economic-calendar–top-5-things-to-watch-this-week-2124539
- https://www.cnbc.com/2020/03/27/what-could-be-shocker-economic-reports-may-test-stocks-in-week-ahead.html
- https://www.investing.com/news/commodities-news/energy–precious-metals–weekly-review-and-calendar-ahead-2124542
- https://business.financialpost.com/pmn/business-pmn/global-jobs-slump-puts-u-s-payrolls-in-spotlight-eco-wee
Ditulis oleh Rolandshah Hussin, seorang pelabur runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan kini memegang jawatan sebagai penganalisis konten di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.