
Sub Topik
Indeks utama Wall Street mengalami kejatuhan lebih daripada dua peratus pada penghujung sesi dagangan minggu lalu (26 Jun 2020) berikutan kawalan terhadap aktiviti perniagaan di beberapa negeri di Amerika Syarikat (AS). Halangan terhadap beberapa jenis perniagaan ini adalah disebabkan peningkatan dalam kes positif Covid-19 di negara itu.
Penurunan dalam indeks saham AS dipandu oleh kaunter-kaunter tenaga, kewangan dan teknologi.
Indeks Dow Jones Industrial Average (DJIA) yang mengandungi 30 syarikat terbesar dalam bursa saham Amerika Syarikat (AS) susut 2.84% sehingga mencecah paras terendah sebulan yang lalu.
S&P 500 yang sering dijadikan panduan prestasi keseluruhan ekonomi AS oleh sebilangan pelabur mencatat kejatuhan 2.42%, manakala indeks Nasdaq yang terdiri lebih daripada 2,500 syarikat ditutup 2.59% lebih rendah.
Dalam masa yang sama China memberi amaran terhadap campur tangan AS berkaitan isu Hong Kong dan Taiwan. Perjanjian fasa satu perdagangan AS-China kini berisiko dan mampu memberi tekanan kepada saham Wall Street. Ia bakal bertambah buruk jika China keluar daripada perjanjian tersebut.
International Monetary Fund (IMF) dalam unjuran terbarunya pada minggu lalu memberi amaran bahawa bajet kewangan awam akan terus tertekan kerana lebih banyak wang yang diperlukan untuk memerangi penularan pandemik koronavirus.
Dalam unjuran tersebut IMF meramalkan ekonomi global akan meleset 4.9% pada tahun 2020 lebih tinggi daripada unjuran awal 3% pada April.
Minggu ini Wall Street hanya akan dibuka sehingga Khamis kerana cuti umum yang jatuh pada hari Jumaat (3 Julai 2020) di Amerika Syarikat. Pelabur akan memberi tumpuan kepada perkembangan penularan wabak di samping data NFP yang akan dikeluarkan pada Khamis.
Perkembangan hubungan antara AS-China khususnya dalam isu perang dagang turut menjadi perhatian selepas ketegangan yang berlaku sebelum ini.
Berikut adalah lima catalyst utama yang bakal menjadi perhatian para pelabur sepanjang minggu ini.
1. Kawalan Penularan Wabak di Amerika Syarikat

Peningkatan mendadak kes Covid-19 di beberapa negeri di Amerika Syarikat pada minggu lalu menimbulkan kebimbangan kepada pelabur terhadap situasi semasa ekonomi di negara itu.
AS merekodkan kenaikan lebih daripada 45,000 kes positif pada Jumaat (26 Jun 2020) melepasi jumlah yang dicatatkan pada hari sebelumnya iaitu sebanyak 39,972 kes. Hal ini telah menyuntik keraguan terhadap momentum pemulihan ekonomi di negara itu.
Kini, negeri-negeri yang melonggarkan kawalan lebih awal telah merekodkan penularan wabak yang tinggi. Texas dan Florida pada Jumaat telah mengarahkan supaya operasi perniagaan kelab-kelab malam ditutup semula.
Situasi ini telah mencetuskan sentimen negatif dalam pasaran saham dan mengancam kenaikan Wall Street yang mana telah pulih semula daripada kejatuhan bulan Mac yang lalu. Indeks S&P 500 kini berada di bawah garisan Moving Average 200 iaitu petunjuk terhadap momentum pergerakan jangka panjang.
2. Data Pekerjaan Non-Farm Payroll (NFP)

Data NFP adalah laporan ekonomi yang ditunggu-tunggu pada setiap bulan lebih-lebih lagi dalam situasi penularan wabak ketika ini. Data ini akan dikeluarkan pada hari Khamis (2 Julai 2020) sehari awal daripada kebiasaannya berikutan hari cuti umum pada Jumaat.
Minggu ini kita bakal mendapat maklumat yang lebih lanjut tentang situasi semasa pasaran pekerjaan dan dijangka berlaku peningkatan dalam jumlah tambahan pekerjaan di luar sektor perladangan di Amerika Syarikat.
Penganalisa pasaran menjangkakan pertambahan 3 juta pekerjaan dalam sektor bukan perladangan (Non-Farm) dengan kadar pengangguran berkurangan daripada 13.3% sebelum ini kepada 12.5%.
Data yang positif pada hari tersebut bakal memperbaharui sentimen pasaran yang terjejas pada minggu lalu dan memberikan bukti bahawa pemulihan ekonomi terus berjalan di negara ekonomi terbesar dunia itu.
3. Prestasi Sektor Ekonomi China

Sektor perindustrian di China pulih secara sederhana pada bulan Mei di mana keuntungan dalam sektor itu naik enam peratus kepada US$82 billion selepas merosot 4.3% pada bulan sebelumnya. Ini adalah kali pertama keuntungan meningkat sejak bulan November tahun lepas.
Lebih banyak bukti momentum pemulihan ekonomi China dapat kita lihat pada minggu ini apabila indeks sektor pembuatan dan perkhidmatan dikeluarkan. Indeks PMI sektor pembuatan akan dikeluarkan oleh kerajaan China pada Selasa pukul 9 pagi yang menjadi indikator prestasi aktiviti ekonomi dalam sektor itu. Data yang dikeluarkan ini memberi tumpuan kepada industri berat yang kebanyakannya milik kerajaan China
Satu lagi data sama yang perlu dilihat adalam indeks Caixin PMI yang memberi tumpuan kepada industri kecil dan sederhana. Data komposit yang menggabungkan indeks dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan berada di paras 52.6 pada hujung tahun lalu dan merudum kepada 27.5 pada Februari. Sejak itu data ini telah meningkat kepada 54.5 dalam bacaan bulan Mei tahun ini.
4. Maklumat Lanjut Oleh The Federal Reserve

Pengerusi Federal Reserve (The Fed) Jerome Powell sekali lagi akan berhadapan dengan Kongres Amerika Syarikat dalam keterangannya di hadapan House Financial Services Committee di Washington DC. Kali ini beliau akan ditemani Setiausaha Perbendaharaan Steven Mnuchin.
Hal yang akan dibahaskan adalah tentang rangsangan ekonomi dalam mendepani penularan wabak koronavirus.
The Fed pada minggu ini juga akan mengeluarkan minit mesyuarat penetapan kadar yang berlangsung pada 11 Jun yang lalu. Pelabur akan mengambil peluang ini untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut apakah yang telah dibincangkan dalam mesyuarat tersebut terutamanya dalam soal rangsangan ekonomi dan halatuju penetapan dasar monetari.
5. Portfolio Rebalancing Pada Penghujung Suku Kedua

Pasaran pada minggu ini dijangka menyaksikan peralihan portfolio pelaburan saham dan bon dalam usaha pelabur mengekalkan kadar spesifik pegangan saham dan bon mereka menjelang akhir suku kedua tahun 2020. Biasanya portfolio pelaburan mereka terbahagi kepada 60% dalam pegangan saham dan 40% pelaburan dalam pasaran bon.
Menurut Brian Price ketua pelaburan di Commonwealth Financial Network, kenaikan yang signifikan pada suku kedua memerlukan pengurus dana untuk mengimbangi semula pegangan aset mereka daripada saham kepada bon menjelang akhir suku kedua.
CNBC melaporkan peralihan dana sebanyak US$35 bilion hingga US$76 bilion daripada dana pencen keluar daripada pasaran saham dijangka berlaku pada minggu ini di Amerika Syarikat.
Aktiviti mengimbangi pegangan portfolio ini biasanya berlaku pada setiap hujung bulan atau akhir suku tahunan. Ini adalah antara punca pergerakan yang tidak menentu dalam pasaran saham setiap kali menghampiri akhir tempoh tersebut.
Sumber Rujukan:
- https://www.investing.com/news/stock-market-news/futures-muted-after-nikes-surprise-loss-feds-pandemic-analysis-2213307
- https://www.investing.com/news/stock-market-news/us-stocks-lower-at-close-of-trade-dow-jones-industrial-average-down-284-2214012
- http://www.marctomarket.com/2020/06/liquidity-and-macro-compete-for-upper.html
- https://www.investing.com/news/economy/economic-calendar–top-5-things-to-watch-this-week-2214398
- https://www.marketwatch.com/story/7-reasons-the-stock-market-may-face-a-severe-bout-of-turbulence-next-week-and-beyondonly-one-is-rising-coronavirus-cases-2020-06-27
- https://moneyandmarkets.com/money-markets-week-ahead-what-to-watch-on-wall-street-2/
Disediakan oleh Rolandshah Hussin, seorang pelabur runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya dan kini berkhidmat di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.