Sub Topik
Pasaran saham global keseluruhannya ditutup positif pada akhir dagangan minggu lalu dengan kebanyakan indeks utama dunia hanya dibuka sehingga hari Khamis (9 April 2020) sempena cuti umum ‘Good Friday’. Pasaran saham Wall Street berakhir positif dengan S&P 500 merekodkan kenaikan tertinggi mingguan sejak tahun 1974.
Prestasi positif di Bursa Saham New York (NYSE) dipacu oleh satu lagi rangsangan yang diumumkan oleh Federal Reserve (The Fed) bagi menyerap impak buruk penularan Covid-19 di Amerika Syarikat (AS).
Indeks S&P 500 yang terdiri daripada 500 buah syarikat besar di Amerika menokok 1.45% sekaligus megumpul 12.1% kenaikan sepanjang minggu lalu. Dow Jones Industrial Average (DJIA) naik sebanyak 1.22%, manakala Nasdaq ditutup 0.77% lebih tinggi.
Dalam pengumumannya pada Khamis (9 April 2020) lepas, The Fed iaitu bank pusat Amerika Syarikat akan menyuntik US$2.3 trilion ke dalam ekonomi bagi membantu kerajaan tempatan dan syarikat yang berhadapan masalah kewangan disebabkan koronavirus.
Hal ini diumumkan selepas negara itu mencatat tambahan jumlah pengangguran sebanyak 6.6 juta orang pada minggu berakhir 4 April 2020. Bacaan terbaru ini membawa jumlah tuntutan faedah pengangguran kepada 16.8 juta dalam tempoh tiga minggu.
Pasaran saham global khususnya Wall Street membuat kenaikan yang meyakinkan sejak dua minggu lepas dipacu oleh tiga catalyst utama iaitu, tren penurunan kes Covid-19, rangsangan ekonomi dan pemotongan bekalan oleh OPEC.
Anggaran terbaru yang dibuat oleh pakar perubatan Amerika Syarikat mengunjurkan hanya 60,000 kematian yang mungkin dicatatkan negara itu. Jumlah ini lebih rendah daripada ramalan 100,000 hingga 200,000 yang diramalkan oleh pentadbiran White House. Selain itu, data jumlah kes harian yang dikumpulkan oleh Universiti John Hopkins juga menunjukkan tren penurunan.
Selain daripada rangsangan monetari yang diumumkan oleh The Fed, rangsangan fiskal kerajaan AS juga telah diumumkan pada 27 Mac dengan US$2 trilion ‘Helicopter Money’ akan disalurkan kepada rakyat negara itu. Gabungan rangsangan monetari dan fiskal ini sedikit sebanyak meyakinkan pelabur global khususnya di Amerika Syarikat.
Akhir sekali, pasaran pada minggu lalu juga dipacu oleh kestabilan dalam pasaran minyak mentah selepas negara-negara pengeluar OPEC dan Russia secara tidak rasmi bersetuju untuk memotong 10 juta tong bekalan sehari bermula pada bulan Jun.
Berikut adalah lima catalyst utama yang akan menjadi perhatian pelabur sepanjang minggu ini.
1. Unjuran Ekonomi Oleh International Monetary Fund (IMF)
Kita bakal melihat gambaran ekonomi secara keseluruhan pada Selasa (14 April 2020) di mana IMF akan bermesyuarat secara maya dan seterusnya membentangkan unjuran ekonomi tentang realiti yang dihadapi masyarakat dunia pada hari ini. Hakikat yang kita sedia maklum adalah perdagangan dunia sudah pun terhenti dengan pengangguran yang kian memuncak di seluruh dunia.
Apa yang dapat dijangkakan daripada IMF adalah unjuran pertumbuhan ekonomi yang begitu rendah berbanding sebelum ini ekoran perintah kawalan pergerakan oleh kebanyakan negara di dunia.
Pengarah urusan IMF, Kristalina Georgieva pada minggu lalu berkata pandemik Covid-19 akan menyebabkan pertumbuhan ekonomi yang begitu negatif pada tahun 2020; lebih buruk daripada kemelesetan yang pernah berlaku sejak ‘The Great Depression’ tahun 1930.
2. Perkembangan Penularan Covid-19
Tren data Covid-19 yang dicatatkan pada minggu lalu menunjukkan tanda-tanda positif sekaligus telah menolak harga aset-aset berisiko lebih tinggi. Tempoh minggu lalu menunjukkan tambahan kes yang lebih perlahan berbanding tempoh sama pada minggu sebelum itu. Keadaan ini secara tidak langsung telah memperbaiki sentimen pelabur sepanjang minggu lalu.
Sehingga hari ini, Amerika Syarikat kekal di tangga pertama dengan jumlah kes terbanyak, manakala Sepanyol di tangga kedua, Itali ketiga, seterusnya Perancis, Jerman, UK dan China kini di tangga ketujuh dari segi catatan kes positif.
Walaubagaimanapun, pasaran akan terus berhati-hati ekoran masih banyak ketidakpastian tentang virus ini. Tren penularan koronavirus akan terus diperhatikan oleh pelabur kerana ia adalah catalyst utama kepada pergerakan pasaran dan penentu pertumbuhan ekonomi di masa hadapan.
Jika penularannya dapat dibendung dan terus menunjukkan tren penurunan khususnya di Amerika dan Eropah, maka keyakinan pelabur dapat dikembalikan sekaligus dapat memulihkan ekonomi global secara keseluruhan.
3. Laporan Data Ekonomi Penting
Data tuntutan faedah pengangguran di Amerika Syarikat sekali lagi menjadi perhatian pada minggu ini dengan ramalan 5 juta orang memfailkan insurans pengangguran. Tumpuan juga akan terarah kepada data jualan runcit negara itu yang akan diumumkan pada hari Rabu (15 April). Data ini penting bagi melihat tren pembelian yang dibuat oleh rakyat di negara itu.
Australia pada hari Khamis (16 April 2020) akan mengeluarkan data pekerjaannya yang bakal memperlihatkan kejatuhan mendadak dalam pasaran pekerjaan dengan kehilangan 30,000 pekerjaan pada bulan lalu.
Pada Jumaat (17 April 2020), China akan mengeluarkan data-data penting yang bakal memberi gambaran sama kepada enjin pertumbuhan ekonomi dunia itu. Antara data penting yang akan dikeluarkan adalah, pertumbuhan ekonomi pada suku pertama, data jualan runcit, pengeluaran industri dan pelaburan aset tetap.
Kesemua data ini akan memberi gambaran penuh tentang keadaan ekonomi China ketika tempoh buruk penularan koronavirus beberapa bulan lepas di negara itu.
4. Pemotongan Bekalan Minyak Mentah Dunia
Harga minyak mentah bergerak tidak menentu di mana pada mulanya melonjak 12% pada awal dagangan minggu lalu dan kemudiannya jatuh 9% sebelum naik semula sebelum pasaran ditutup.
Negara pengeluar minyak OPEC dan sekutunya secara tidak rasmi bersetuju untuk memotong 10 juta tong bekalan sehari bermula pada Jun yang mana hanya menutupi 30% daripada kehilangan permintaan disebabkan koronavirus.
Oleh itu, penganalisa berpendapat pemotongan sebanyak 20 juta tong sehari lebih relevan dalam mengimbangi permintaan yang merudum sejak awal tahun ini.
Penanda aras West Texas Intermediate (WTI) ditutup pada harga US$22.76 setong pada Jumaat di mana ia merekodkan kejatuhan 20% pada minggu lalu. Manakala Brent-oil yang didagangkan di London ditutup pada harga US$31.48 setong dengan penurunan 8% pada minggu tersebut.
5. Laporan Pendapatan Syarikat di Wall Street
Pastinya pendapatan syarikat-syarikat terkesan dengan penularan Covid-19 sepanjang tempoh suku pertama tahun 2020. Banyak perniagaan yang ditutup khususnya kedai makan, sektor peruncitan, perhotelan, dan syarikat penerbangan komersil.
Daripada perspektif pasaran, bulan April setakat ini menunjukkan kebangkitan semula pasaran saham selepas mencecah paras terendah pada Mac. Hal ini berikutan harapan bahawa jmlah kematian yang lebih rendah daripada jangkaan sebelum ini.
Walaubagaimanapun, indeks S&P 500 masih dijangka akan merekodkan kejatuhan 10% berbanding tempoh sama tahun lalu. Penganalisa juga mengunjurkan indeks itu akan merekodkan kejatuhan 20% pada suku kedua.
Kebanyakan syarikat awal yang akan membuat laporan adalah sektor perbankan terdiri daripada JPMorgan Chase, Wells Fargo, Bank of America dan CitiGroup. Kesemuanya dijangka merekodkan penurunan pendapatan per saham berbanding tempoh yang sama bagi tahun 2019.
Sumber Rujukan:
- https://www.investing.com/news/stock-market-news/futures-dip-ahead-of-weekly-jobless-claims-number-2135940
- https://www.nasdaq.com/articles/the-week-ahead-covid-19-earnings-and-economic-data-in-focus-2020-04-12
- https://www.investing.com/news/stock-market-news/stocks–sp-caps-best-week-since-74-as-powell-signals-more-ammo-in-fed-bazooka-2136680
- https://www.nytimes.com/2020/04/09/business/economy/fed-economic-rescue-coronavirus.html?ref=oembed
- https://www.cnbc.com/2020/04/11/the-sp-500-has-rebounded-25percent-in-less-than-three-weeks-heres-whats-going-on.html
- https://www.investing.com/news/commodities-news/uae-says-opec-output-cut-decision-will-have-a-major-impact-2137718
- https://www.tradepedia.com/category/blog/will-risk-sentiment-continue-to-improve-this-week/
- https://www.investing.com/news/economy/economic-calendar–top-5-things-to-watch-this-week-2137963
- https://business.financialpost.com/pmn/business-pmn/imf-meets-to-survey-wreckage-of-global-economy-eco-week
- https://www.investing.com/news/commodities-news/energy–precious-metals–weekly-review-and-calendar-ahead-2138012
Ditulis oleh Rolandshah Hussin, seorang pelabur runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan kini berkhidmat di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.