Lima Tema Utama Yang Bakal Menggerakkan Pasaran Global Sepanjang Minggu Ini (22-26 Jun 2020)

Pasaran Wall Street bergerak tidak menentu sepanjang minggu lalu dengan ketiga-tiga indeks saham utama di Amerika Syarikat (AS) merekodkan prestasi yang kurang memberangsangkan.

Indeks Dow Jones Industrial Average (DJIA) yang mengandungi 30 syarikat terbesar dalam bursa saham Amerika Syarikat (AS) susut 0.80% walaupun pada mulanya merekodkan kenaikan sehingga 371 mata pada hari Jumaat (19 Jun 2020).

S&P 500 yang sering dijadikan panduan prestasi keseluruhan ekonomi AS oleh sebilangan pelabur pula jatuh 0.62%, manakala indeks Nasdaq yang terdiri lebih daripada 2,500 syarikat ditutup 0.03% lebih tinggi.

Prestasi yang kurang baik ini disebabkan beberapa berita negatif dalam isu penularan Covid-19. Organisasi Kesihatan Dunia (WHO) memberi amaran bahawa pandemik koronavirus akan terus menjadi ancaman yang merbahaya kepada dunia. Pengerusinya berkata dunia kini memasuki ‘new and dangerous phase’.

Gergasi teknologi Apple pula membuat keputusan untuk menutup semula sebahagian kedai-kedainya berikutan peningkatan jumlah kes positif Covid-19 di beberapa kawasan di Amerika Syarikat. Hal ini telah mencetuskan keraguan terhadap pemulihan ekonomi di negara itu.

Menurut data yang dikumpul oleh Universiti John Hopkins, setakat pada hari Ahad (21 Jun 2020) sejumlah 8.7 juta kes positif dicatatkan di seluruh dunia dengan 464,000 daripadanya telah kelihangan nyawa.

Minggu ini tumpuan pasaran akan terarah kepada beberapa data penting ekonomi besar dunia, antaranya adalah prestasi sektor ekonomi pembuatan dan perkhidmatan di Eropah dan Amerika Syarikat.

Unjuran ekonomi oleh International Monetary Fund (IMF) juga akan menjadi perhatian penting di mana pemain pasaran akan cuba mendapatkan gambaran ekonomi dunia di masa hadapan dalam mencorakkan keputusan pelaburan yang bakal dibuat pada masa ini.

Berikut adalah lima catalyst yang akan menjadi perhatian pelabur sepanjang minggu ini.

1. Kebimbangan Terhadap Peningkatan Kes Covid-19

Dua minggu lalu keyakinan pelabur semakin meningkat terhadap ekonomi berikutan pengurangan jumlah kes terutamanya di Amerika Syarikat sekaligus memangkin prestasi memberangsangkan pasaran saham global. Namun, penularan wabak koronavirus jauh daripada noktah terakhir dan harapan untuk melihat ekonomi meneruskan momentum pemulihan terganggu dengan peningkatan kes positif di seluruh dunia.

Amerika Syarikat setakat pada hari Jumaat (19 Jun 2020) mencapai jumlah 2.33 juta kes positif dengan jumlah kematian lebih daripada 121,000 orang. Hari itu sahaja mencatatkan peningkatan 33,539 kes iaitu paling tinggi sejak 1 Mei 2020. Ia sekali lagi meningkat sebanyak 33,000 kes pada hari Sabtu (20 Jun 2020).

Brazil sebagai negara kedua paling teruk terjejas merekodkan 55,209 kes pada Jumaat dan kini jumlah keseluruhan adalah lebih daripada angka satu juta.

Pelabur bimbang ekonomi terpaksa ditutup semula jika keadaan menjadi semakin buruk terutamanya apabila syarikat Apple menutup semula kedainya di beberapa kawasan di AS. Di sini timbul persoalan sama ada syarikat-syarikat lain akan mengikuti langkah yang sama dalam usaha menjaga kebajikan pekerja masing-masing.

Jika ini terjadi di peringkat lebih besar, ia bakal merencatkan proses pemulihan ekonomi yang teruk terjejas bukan sahaja di negara itu malah di seluruh dunia.

2. Prestasi Sektor Ekonomi Global

Eropah, Amerika Syarikat, United Kingdom dan beberapa negara Asia lain bakal mengeluarkan data tinjauan ‘Purchasing Manager Index’ (PMI) dalam sektor penting seperti pembuatan dan perkhidmatan. Data PMI ini penting untuk dilihat kerana pengurus pembelian di setiap syarikat mempunyai maklumat semasa tentang aktiviti pengeluaran di kilang masing-masing.

Negara-negara Eropah yang utama seperti Jerman, Perancis dan UK akan mengeluarkan data ini pada hari Selasa (23 Jun 2020). Bagi prestasi keseluruhan di Eropah, data PMI bagi kedua-dua sektor pembuatan dan perkhidmatan akan diumumkan pada pukul 4 petang waktu Malaysia. Manakala UK pula akan mengeluarkan datanya pada pukul 4.30 petang.

Data PMI sektor pembuatan AS pula akan dikeluarkan pada hari yang sama pukul 9.45 malam.

Bacaan kali ini penting kerana ia akan menjadi petunjuk awal pemulihan ekonomi pada bulan selepas ia teruk terjejas dalam data yang dikeluarkan pada bulan April yang lalu. Antara sebab peningkatan dalam bacaan bulan Mei adalah pelonggaran kawalan pergerakan di seluruh dunia dan data kali ini yang mewakili bulan Jun diharapkan semakin baik sejajar dengan jangkaan momentum pemulihan ekonomi yang semakin meningkat.

3. Laporan Data Ekonomi Amerika Syarikat

Tempoh yang agak senyap dari segi laporan data ekonomi penting di Amerika Syarikat pada minggu ini dengan hanya data-data ‘sederhana penting’ yang akan dikeluarkan. Antara data tersebut adalah tempahan barangan tahan lama, jumlah tuntutan pengangguran, ujian tekanan terhadap sektor perbankan dan data perbelanjaan pengguna.

Tempahan barangan tahan lama penting kerana ia menggambarkan situasi pelaburan baru yang dibuat oleh syarikat-syarikat di AS contohnya pembelian mesin-mesin, jentera untuk tujuan pengeluaran dan sebagainya. Data ini akan dikeluarkan pada hari Khamis (25 Jun 2020) pukul 8.30 malam. Jumlah tuntutan pengangguran juga akan dikeluarkan pasa masa yang sama.

Hasil daripada ujian tekanan sektor perbankan pula akan dikeluarkan pada hari Jumaat pukul 4.30 pagi. Satu data penting yang menjadi keutamaan bank pusat AS dalam menentukan inflasi akan dikeluarkan pada hari sama iaitu indeks harga perbelanjaan penggunaan peribadi (PCE index).

4. Unjuran Ekonomi Global Oleh IMF

Selepas unjuran yang begitu membimbangkan terhadap kemelesetan ekonomi global dua bulan yang lalu, IMF sekali lagi akan mengeluarkan ramalan terkini yang dijangka lebih buruk daripada sebelumnya.

Pegawai daripada badan itu telah memberi amaran bahawa kajian semula kepada unjuran tersebut yang akan dikeluarkan pada hari Rabu (24 Jun 2020) bakal menunjukkan keadaan lebih buruk. Bulan April yang lalu, IMF mengunjurkan kemelesetan ekonomi global sebanyak 3% disebabkan ‘Great Lockdown’ yang berlangsung sejak Mac tahun ini.

Ketua Penganalisa Ekonomi Gita Gopinath yang mengumpulkan data-data tersebut menyatakan bahawa buat pertama kali sejak Great Depression tahun 1930 negara maju dan negara pesat membangun akan mengalami kemelesetan pada tahun ini.

5. Pasaran Minyak Mentah

Harga minyak mentah membuat kenaikan selepas data jualan runcit AS naik mendadak pada minggu lalu. Kenaikan komoditi hitam juga disumbangkan oleh mesyuarat OPEC yang menunjukkan Kazakhstan dan Iraq bakal mengurangkan pengeluaran mereka ke tahap kuota yang telah ditetapkan.

Nampaknya OPEC berkemungkinan dapat mengurangkan pengeluarannya dengan lebih besar apabila kesemua negara ahli bakal mempersetujui perjanjian kali ini.

Minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) kekal kukuh dan kini telah mencapai paras US$40 setong. Paras harga ini akan menjadi halangan dari segi analisa teknikal dan memerlukan pemangkin yang signifikan untuk harga jauh melepasi harga tersebut.

Buat masa ini, harga dilihat sukar untuk pergi jauh lebih tinggi daripada US$40 berikutan peningkatan kes Covid-19 di Texas dan Amerika Syarikat secara keseluruhannya.

Pemulihan ekonomi yang sedikit terganggu disebabkan peningkatan kes koronavirus bakal menjadi halangan terdekat untuk harga minyak mentah meneruskan kenaikan.

Sumber Rujukan:

Disediakan oleh Rolandshah Hussin, seorang pelabur runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya dan kini berkhidmat di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Maybank IB Unjur Harga Minyak Mentah US$70 Setong Pada 2025


KUALA LUMPUR, 2 Jan (Bernama) — Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) mengunjurkan harga minyak mentah Brent tidak menentu dan lebih lemah tahun ini iaitu pada purata US$70 setong berbanding US$80 setong tahun lepas.

Dalam satu nota penyelidikan hari ini, Maybank IB berkata pasaran minyak mungkin menyaksikan lebihan bekalan kerana Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) mungkin akan menarik balik pengurangan pengeluaran.

Bank pelaburan tersebut memetik laporan Unjuran Tenaga Jangka Pendek (STEO) daripada United States Energy Information Administration untuk November 2024 yang menyatakan pengeluar OPEC+ mungkin melaksanakan rancangan untuk meningkatkan pengeluaran sebanyak 2.2 juta tong sehari dalam tempoh 18 bulan, bermula April 2025.

“Namun, sebarang lonjakan dalam ketegangan geopolitik boleh meningkatkan premium perang ke atas harga minyak mentah disebabkan kebimbangan gangguan bekalan seperti yang kita lihat semasa krisis Rusia-Ukraine, apabila harga minyak meningkat sekitar 50 peratus (Brent: US$80 setong kepada US$120 setong),” katanya.

Bagi Malaysia, Maybank IB berkata perbelanjaan modal (capex) Petronas berpotensi lebih rendah serta ini bermakna banyak syarikat perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) yang berorientasikan domestik mungkin menyaksikan pertumbuhan lebih perlahan pada 2025 selepas Petros dilantik secara rasmi sebagai pengagregat gas tunggal untuk Sarawak.

“Di bawah senario penangguhan capex Petronas, kami menjangkakan ini memberi impak kepada nama-nama OGSE yang terdedah dalam subsegmen penerokaan dan pembangunan, terutamanya kapal sokongan luar pesisir, fabrikasi luar pesisir, pelantar penggerudian serta pemasangan dan pengoperasian,” katanya.

Secara keseluruhan, Maybank IB mengekalkan pandangan positif terhadap sektor ini iaitu memihak kepada syarikat pengangkutan, penyimpanan dan pengagihan yang defensif dengan Dialog sebagai pilihan utama mereka.

Selain itu, ia memihak kepada pemain pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO) yang bersedia untuk menyertai pelaburan capex global dalam bidang perairan laut dalam dan ultra dalam, dengan menamakan Bumi Armada sebagai pilihan utama mereka.

— BERNAMA