Perang Perdagangan AS-China, Peluang Bagi Malaysia Jadi Destinasi Pelaburan Multinasional – MITI


KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) — Perubahan kepimpinan di Amerika Syarikat (AS) yang baharu dijangka mampu mempengaruhi landskap perdagangan global khususnya dalam hubungan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China. 

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata sekiranya isu berkaitan geopolitik berlanjuran terdapat peluang lebih luas untuk negara-negara lain seperti Malaysia menjadi destinasi alternatif bagi syarikat-syarikat multinasional meningkatkan atau memulakan pelaburan mereka.

Menurut MITI, kerajaan telah memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi menarik para pelabur untuk memindahkan atau mengembangkan operasi mereka di Malaysia ekoran dari perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China.

Antara inisiatif tersebut ialah menjadikan industri semikonduktor sebagai program utama di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP), merangka Strategi Semikonduktor Nasional (SNN) termasuk usaha memodenkan syarikat-syarikat Outsourced Semiconductor Assembly and Test (OSAT) sedia ada, merupakan elemen penting dalam rantaian nilai semikonduktor. 

Selain itu, kerajaan juga akan memperkukuhkan infrastruktur sedia ada, memberi tumpuan kepada bakat tempatan dan menggalakkan penglibatan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) untuk melabur dalam syarikat semikonduktor tempatan. 

MITI berkata demikian dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen hari ini bagi menjawab soalan dikemukakan Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini. 

Mohd Syahir ingin tahu apakah pelan kerajaan terhadap pertumbuhan industri semikonduktor seiring dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP) di sebalik perang perdagangan AS-China. 

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

PM Anwar Sahkan Sidang Khas Dewan Rakyat Bahas Isu Tarif AS 5 Mei

PUTRAJAYA, 22 April (Bernama) — Sidang khas Dewan Rakyat akan diadakan pada 5 Mei ini bagi membincangkan isu tarif timbal balas Amerika Syarikat (AS) yang dikenakan ke atas Malaysia.

Perkara ini disahkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

“Ada. 5 Mei,” kata beliau kepada media pada Majlis Sambutan Aidilfitri Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini.

Terdahulu, sebuah akhbar tempatan berbahasa Cina melaporkan Pejabat Perdana Menteri telah mengeluarkan makluman berhubung perkara tersebut.

Tujuan sidang khas ini bagi membolehkan ahli Parlimen daripada kedua-dua pihak membahaskan isu tarif AS tersebut.

Ia turut melaporkan bahawa berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada beberapa ahli Parlimen, mereka masih belum menerima sebarang surat pemberitahuan rasmi mengenai sesi tersebut.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dijadualkan melawat Washington, AS pada 24 April ini. 

Dalam lawatan selama dua hari itu, beliau akan bertemu Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) Jamieson Greer bagi membincangkan isu tarif timbal balas yang dikenakan oleh AS terhadap Malaysia. 

Dalam lawatan tersebut, delegasi Malaysia juga akan bertemu dengan beberapa dewan perniagaan, syarikat dan kumpulan berkepentingan untuk menerangkan pendirian negara serta maklum balas daripada Kabinet. 

— BERNAMA