Perdagangan Borong, Runcit Malaysia Catat Jualan Tertinggi Sejak 2013 Pada Mei 2022 – DOSM

KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) — Perdagangan borong dan runcit Malaysia mencatatkan rekod baharu pada Mei 2022 dengan pertumbuhan 19.9 peratus tahun ke tahun untuk merekodkan RM129.8 bilion, sekali gus menjadi jualan tertinggi sejak 2013, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan perdagangan borong dan runcit pada Mei disumbangkan oleh subsektor perdagangan runcit yang meningkat RM13.0 bilion atau 29.9 peratus kepada RM56.3 bilion.

“Perdagangan borong juga berkembang dengan 11.7 peratus atau RM6.3 bilion kepada RM59.6 bilion,” katanya dalam kenyataan mengenai Prestasi Perdagangan Borong dan Runcit Malaysia Mei 2022 yang dikeluarkan DOSM pada Jumaat.

Beliau berkata dalam tempoh yang sama, kenderaan bermotor menokok 20.1 peratus atau RM2.3 bilion kepada RM13.9 bilion.

“Secara umumnya, peningkatan keseluruhan RM21.5 bilion atau 19.9 peratus dalam perdagangan borong dan runcit didorong oleh penarikan semula sekatan pergerakan yang dikenakan semasa pandemik COVID-19 yang membolehkan sambutan Aidilfitri diraikan dengan meriah dan istimewa di seluruh negara,” katanya.

Mohd Uzir berkata bagi perbandingan bulan ke bulan, nilai jualan perdagangan borong dan runcit meningkat 1.4 peratus disumbangkan oleh subsektor perdagangan runcit 5.1 peratus.

Beralih kepada prestasi mengikut subsektor, pertumbuhan subsektor perdagangan runcit sebanyak 29.9 peratus pada Mei 2022 disokong oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan yang meningkat 36.3 peratus atau RM5.5 bilion kepada RM20.7 bilion, katanya.

Beliau berkata kumpulan lain dalam subsektor ini turut mencatatkan pertumbuhan positif iaitu jualan runcit di kedai pengkhususan sebanyak 30.8 peratus; jualan runcit bahan api kenderaan (54.6 peratus); jualan runcit barangan isi rumah (23.7 peratus); jualan runcit makanan, minuman dan tembakau (21.4 peratus); jualan runcit barangan kesenian dan rekreasi (20.1 peratus), jualan runcit peralatan informasi dan komunikasi (8.0 peratus); jualan runcit bukan di kedai, gerai atau pasar (27.0 peratus) serta jualan runcit di gerai dan pasar (24.0 peratus).

Bagi perbandingan bulan ke bulan, jualan subsektor ini meningkat 5.1 peratus terutama disumbangkan oleh jualan runcit bahan api kenderaan dan jualan runcit di kedai pengkhususan masing-masing sebanyak 10.1 peratus dan 5.6 peratus, katanya.

Mengulas lebih lanjut mengenai subsektor perdagangan borong, Mohd Uzir berkata kenaikan 11.7 peratus disumbangkan oleh jualan borong barangan isi rumah dengan peningkatan 22.1 peratus atau RM2.2 bilion kepada RM11.9 bilion.

“Antara kumpulan yang menyumbang kepada peningkatan ini ialah lain-lain pengkhususan jualan borong (8.8 peratus); jualan borong bahan mentah pertanian dan haiwan hidup (17.7 peratus); jualan borong makanan, minuman dan tembakau (7.4 peratus) serta jualan borong jentera, peralatan dan bekalan (10.1 peratus).

“Kumpulan lain yang menyumbang ialah jualan borong berdasarkan kontrak atau yuran (12.0 peratus); dan perdagangan borong tanpa pengkhususan (3.8 peratus),” katanya.

Beliau berkata bagi perbandingan bulanan, perdagangan borong meningkat 0.9 peratus. peningkatan ini disumbangkan oleh kenaikan dalam jualan borong bahan mentah pertanian dan haiwan hidup serta jualan borong jentera, peralatan dan bekalan masing-masing sebanyak 4.0 peratus dan 2.0 peratus.

Beliau berkata pertumbuhan 20.1 peratus dalam subsektor kenderaan bermotor bulan ini disumbangkan oleh jualan alat ganti dan aksesori kenderaan bermotor yang meningkat 34.3 peratus atau RM1.0 bilion kepada RM3.8 bilion.

Ini diikuti oleh jualan kenderaan bermotor; penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan bermotor; serta jualan, penyelenggaraan dan pembaikan motosikal masing-masing sebanyak 9.3 peratus, 37.4 peratus dan 23.2 peratus, katanya.

Beliau berkata bagi perbandingan bulanan, jualan subsektor ini merosot 9.6 peratus disebabkan jualan kenderaan bermotor yang susut 16.7 peratus, berikutan industri ini terus terjejas ekoran kekurangan cip serta asas yang lebih tinggi yang dicatatkan pada Mac.

Mohd Uzir berkata indeks jualan runcit melalui Internet untuk Mei 2022 merekodkan pertumbuhan 25.9 peratus tahun ke tahun berbanding dengan 24.9 peratus pada April 2022.

Bagi pelarasan musim, indeks menurun -0.3 peratus berbanding bulan sebelumnya, katanya.

“Bagi indeks volum, perdagangan borong dan runcit bagi Mei 2022 mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 14.7 peratus. Pengembangan itu disumbangkan oleh perdagangan runcit dan kenderaan bermotor yang meningkat masing-masing 24.2 peratus dan 21.5 peratus.

“Perdagangan borong juga mencatatkan pertumbuhan positif 3.1 peratus bagaimanapun bagi indeks volum pelarasan musim, ia turun 0.7 peratus bulan ke bulan,” katanya.

— BERNAMA

Berita asal: https://thekapital.my/perdagangan-borong-runcit-malaysia-cata-jualan-tertinggi-sejak-2013-pada-mei-2022-dosm/

Previous ArticleNext Article

Nestle Cadang Ambil Alih 100 Peratus Kepentingan Ekuiti Wyeth Malaysia Pada Harga RM165 Juta

KUALA LUMPUR, 22 Feb (Bernama) — Anak syarikat milik penuh Nestle (Malaysia) Bhd (Nestle Malaysia), Nestlé Products Sdn Bhd telah memeterai perjanjian pembelian saham bersyarat dengan Wyeth (Hong Kong) Holding Company Ltd untuk memperoleh 100 peratus kepentingan ekuiti dalam Wyeth Nutrition (Malaysia) Sdn Bhd pada harga RM165 juta.

Cadangan pengambilalihan melibatkan 1.97 juta saham biasa dalam Wyeth Malaysia mewakili keseluruhan kepentingan ekuiti dalam syarikat itu.

Nestle Malaysia dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata pertimbangan pembelian bagi cadangan pengambilalihan tersebut akan dibiayai melalui dana yang dijana secara dalaman.

“Cadangan pengambilalihan itu mewakili satu langkah ke hadapan bagi syarikat daripada segi mengembangkan lagi perniagaannya dalam kategori pemakanan.

“Pengambilalihan ini akan memberikan Nestle Malaysia akses segera kepada perniagaan dan rangkaian Wyeth Malaysia yang dijangka membolehkannya mengembangkan penawaran produknya dan meningkatkan bahagian pasaran dalam segmen pemakanan,” kata kumpulan itu.

Nestle Malaysia berkata melalui cadangan pengambilalihan dan penambahan jenama yang dibawa oleh Wyeth Malaysia seperti S-26, S-26 Gold, Ascenda, Promama dan Enercal Plus, Nestle Malaysia akan mempunyai pangkalan pelanggan yang lebih besar dan juga memperoleh kedudukan lebih tinggi dalam pasaran pemakanan premium.

Jenama yang dibawa oleh Wyeth Malaysia ini sudah mantap dan terkenal dalam pasaran pemakanan premium dan akan memberikannya asas yang kukuh untuk dibina serta memberikan peluang kepada kumpulan untuk pertumbuhan dan penciptaan nilai, katanya.

Menurutnya langkah itu akan memberi peluang kepada Nestle Malaysia untuk memanfaatkan sejarah Wyeth Malaysia yang kukuh dalam menyediakan produk pemakanan bayi berkualiti, ia telah dibina atas komitmen berterusannya untuk menghasilkan produk dirumuskan secara saintifik dan lengkap bernutrisi disesuaikan dengan keperluan khusus bayi dan kanak-kanak kecil.

“Sifat pelengkap operasi Kumpulan Nestle Malaysia dan Wyeth Malaysia akan membolehkan mereka bekerjasama dengan lancar dan berkesan, membolehkan kerjasama dan penyelarasan yang cekap dengan potensi untuk berkongsi sumber seperti tenaga kerja dan peralatan, ia akan membantu mengurangkan kos dan meningkatkan kecekapan.

“Ini akan membolehkan Nestle Malaysia menghasilkan nilai dengan cepat dan memanfaatkan peluang baharu untuk pertumbuhan,” katanya.

Secara keseluruhannya, cadangan pengambilalihan itu merupakan langkah strategik yang akan membolehkan Nestle Malaysia mempelbagaikan aliran pendapatannya, mengembangkan penawaran produknya dan meningkatkan bahagian pasarannya dalam segmen pemakanan premium dan pelanggan, katanya.

— BERNAMA

TAG: Nestle, Wyeth Nutrition, pengambilalihan