Sunway Cadang Tawaran Pengambilalihan Bersyarat Bagi Memiliki IJM Corp Pada Harga RM3.15 Sesaham

KUALA LUMPUR, 12 Jan (Bernama) — Sunway Bhd mencadangkan tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat untuk memiliki keseluruhan 3.51 bilion saham dalam IJM Corp Bhd pada harga tawaran RM3.15 sesaham.

Sunway dalam satu makluman di Bursa Malaysia hari ini berkata Maybank Investment Bank Bhd yang bertindak bagi pihaknya, telah menyerahkan notis tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat kepada lembaga pengarah IJM Corp mengenai hasratnya untuk memiliki keseluruhan kepentingan ekuiti pada harga tawaran itu.

Ia menambah Sunway mungkin mencalonkan sebuah anak syarikat milik penuhnya sebagai penerima saham tawaran berkenaan.

“Dengan mengandaikan tawaran yang dicadangkan itu diterima sepenuhnya dan tiada pelarasan dibuat terhadap harga tawaran, jumlah pertimbangan bagi tawaran itu dianggarkan sekitar RM11.0 bilion yang akan diselesaikan melalui gabungan tunai dan penerbitan saham biasa baharu dalam Sunway,” kata Sunway.

Sekiranya tiada berlakunya sebarang keadaan yang diluar jangka, syarikat itu berkata tawaran yang dicadangkan dijangka selesai menjelang suku ketiga 2026.

Syarikat itu berkata tawaran yang dicadangkan itu adalah tertakluk kepada, antaranya Sunway mesti menerima, pada atau sebelum tarikh tutup, penerimaan sah yang akan menyebabkan Sunway memegang, secara keseluruhan lebih daripada 50 peratus saham undian IJM Corp.

Sunway berkata ia mungkin akan cuba untuk menyahsenarai IJM Corp melalui kaedah yang dibenarkan di bawah undang-undang dan peraturan yang terpakai, dengan keputusan untuk meneruskan dan pilihan kaedah akan dibuat pada masa yang relevan.

Ia berkata penyelesaian tawaran yang dicadangkan itu akan mewujudkan sebuah konglomerat yang diperbesarkan yang terlibat dalam pembangunan hartanah dan pembinaan di Malaysia berdasarkan hasil dan asas asetnya.

“Sunway akan dapat menggabungkan prestasi kewangan IJM Group dan turut mengembangkan aktiviti perniagaan Sunway dan anak syarikatnya,” kata syarikat itu sambil menambah pihaknya berhasrat untuk meneruskan perniagaan sedia ada IJM Group.

Selain itu, Sunway berkata IJM Corp akan dikekalkan sebagai anak syarikat berasingan, selari dengan syarikat operasi sedia ada yang lain dalam Sunway Group.

“Mengandaikan tawaran yang dicadangkan itu diterima sepenuhnya, syarikat berhasrat untuk membentuk sebuah jawatankuasa pemandu integrasi untuk, antara lain mengkaji operasi perniagaan IJM Group dan keperluan pelesenan berhubung perniagaan masing-masing bagi Sunway Group yang diperbesarkan,” katanya.

Sunway berkata ia tidak mempunyai rancangan pada masa ini untuk memperkenalkan atau melaksanakan sebarang perubahan besar dalam struktur IJM Group, atau menjual atau menggunakan semula aset utama IJM Group.

“Bagaimanapun, penggunaan semula aset atau penjualan aset bukan teras mungkin diperlukan sebagai sebahagian daripada rasionalisasi aktiviti perniagaan dan untuk kekal berdaya saing dalam industri, meningkatkan penggunaan sumber dan memperoleh manfaat sinergi,” tambah syarikat itu.
la berkata rancangan terperinci untuk IJM Group hanya akan dimuktamadkan selepas Sunway menjalankan semakan terperinci terhadap kedudukan kewangan dan operasi IJM Group setelah tawaran yang dicadangkan berjaya diselesaikan.

Sunway berkata pihaknya juga tidak mempunyai rancangan pada masa ini untuk memberhentikan atau menjadikan pekerja IJM Group tidak diperlukan secara langsung hasil daripada tawaran yang dicadangkan itu.
— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Pembinaan: Laluan Jelas Di Sebalik Ketidaktentuan

Saranan WAJARAN TINGGI kekal

Saham Pilihan Utama: Gamuda, Sunway Construction (SCGB), dan Kerjaya Prospek (KPG). Antara 10 syarikat yang kami kaji yang melaporkan keputusan semasa suku terbaru ini, empat mencatat keputusan menepati jangkaan (SCGB, KPG, Inta Bina (INTA), MGB), lima tersasar dan satu mencapai unjuran. Risiko-risiko negatif berkenaan kos bahan yang lebih mahal akibat pertelingkahan di Asia Barat sebahagiannya dapat dikurangkan dengan memasuki kontrak berdasarkan model kos tokok, manakala untuk kontrak bayaran sekali gus tetap, arahan perubahan kerja mungkin dapat dirundingkan.

Margin bersih untuk saham-saham terbesar sektor (SCGB dan KPG)

Masih bagus pada 1QCY26, disebabkan oleh projek pusat data (DC) yang siap dengan cepat (sesetengah kontrak adalah berasaskan kos tokok dan bukannya berdasarkan bayaran sekali gus tetap) di samping akaun-akaun projek yang dimuktamadkan, yang seterusnya menyebabkan peruntukan dikembalikan. Sebaliknya, kontraktorkontraktor bermodal kecil hingga sederhana, khususnya kontraktor cerucuk, rataratanya mengalami penyusutan margin secara QoQ semasa 1QCY26 disebabkan oleh harga bahan lebih tinggi, terutamanya untuk diesel walaupun konflik Asia Barat hanya menjejaskan pasaran selama satu bulan.

Trend harga bahan terkini

Harga bar keluli memaparkan kenaikan 13% YoY pada bulan April sehingga mencapai kira-kira MYR2,300 setan, iaitu paras tertinggi sepanjang 16 bulan. Namun begitu, harga bar keluli sekarang masih jauh lebih rendah daripada paras puncak pada Apr 2022 yang mencecah MYR3,500 setan semasa krisis antara Rusia-Ukraine meruncing. Harga beg simen purata di Semenanjung Malaysia meningkat 8% YoY pada bulan April kepada MYR25.25 bagi setiap beg 50kg, sementara sesetengah kontraktor dilihat masih dapat memperolehnya pada harga MYR22-24 bagi setiap beg 50kg. Mengikut unjuran kami, setiap kenaikan 10% pada harga diesel, simen dan konkrit siap bancuh (RMC), margin bersih bagi kontraktorkontraktor besar yang kami kaji mungkin menurun kira-kira 0.5-0.7ppts.

Walaupun Jabatan Perdagangan AS berkata pada 31 Mei

Bahawa ia akan menguatkuasakan syarat-syarat kelayakan lesen untuk eksport cip kecerdasan buatan (AI) maju kepada syarikat-syarikat yang beribu pejabat di China, biarpun syarikat-syarikat tersebut turut menjalankan operasi dalam pasaran luar negara, kami dapat menghela nafas lega daripada perkembangan ini kerana pemaju DC utama iaitu GAM, SCGB, dan IJM Corp rata-ratanya tertumpu pada syarikat penyedia khidmat awan bukan dari China.

Prospek prasarana

Kerajaan mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya tidak akan menghentikan mahupun menangguhkan sebarang projek pembinaan sektor awam meskipun berdepan kenaikan kos yang didorong oleh gangguan bekalan dunia yang berkait dengan ketegangan geopolitik di Asia Barat.

Projek-projek prasarana penting yang akan datang

Termasuk kerja-kerja Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang (dianggarkan MYR3-4bn) dan Segmen 2 bagi LRT Pulau Pinang yang akan menghubungkan KOMTAR dan Penang Sentral (anggaran MYR5-6bn). Projek-projek lain yang diramalkan merangkumi pemanjangan jajaran antara Laluan Kereta Api Pantai Timur-Pelabuhan Klang (anggaran MYR600j-900j).

Faktor pemangkin utama untuk sektor ini

Sekiranya terdapat sebarang pelaksanaan mekanisme perkongsian kos antara Kerajaan dengan kontraktor untuk mengurangkan bebanan kenaikan harga dalam sektor pembinaan. Risiko-risiko utama termasuk pelancaran kerja yang merosot dan kekurangan pekerja buruh.

Penganalisis
Adam Bin Mohamed Rahim +603 2302 8101 ([email protected])

Penafian :
Laporan penyelidikan ini disediakan oleh pasukan Penyelidikan RHB (RHB Research Team) dari RHB Investment Bank Bhd.