JCorp Tubuhkan Rangka Kerja Kewangan Mampan Sulung, Lantik Maybank Investment Bank Sebagai Penasihat Penstrukturan Kemampanan Tunggal

Kuala Lumpur – Johor Corporation (“JCorp”), institusi pembangunan utama dan pemacu ekonomi terkemuka Johor, berjaya menubuhkan Rangka Kerja Kewangan Mampan (“Rangka Kerja”) sulungnya, yang pertama seumpamanya oleh institusi pembangunan Malaysia dengan portfolio pelbagai sektor. Maybank Investment Bank Berhad dilantik sebagai Penasihat Penstrukturan Kemampanan Tunggal.

Pada Disember 2025, MARC Solutions Sdn Bhd telah memberikan penarafan Penilaian Impak “Emas” kepada Rangka Kerja JCorp melalui Second Party Opinion (SPO) bebas, sekali gus mengesahkan penjajarannya dengan garis panduan pasaran tempatan, serantau dan global yang berkaitan.

Rangka Kerja ini berfungsi sebagai alat tadbir urus berpandangan jauh untuk JCorp dan Kumpulan syarikatnya, termasuk syarikat operasi, subsidiari, syarikat tujuan khas (SPV) dan usaha sama, bagi mendapatkan serta menyalurkan pembiayaan mampan merentasi lima teras perniagaan utama iaitu kesejahteraan dan penjagaan kesihatan, hartanah dan infrastruktur, agribisnes, makanan dan restoran serta modal sabar (patient capital). Ini bagi memastikan keselarasan antara projek mampan sedia ada dan bakal dilaksanakan dengan komitmen kemampanan menyeluruh JCorp.

Selaras dengan portfolio yang pelbagai ini, Rangka Kerja tersebut merangkumi pelbagai Transaksi Kewangan Mampan (Sustainability Finance Transactions, “SFT”) seperti sukuk, bon, pinjaman dan pembiayaan Hijau, Sosial, Kemampanan serta Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI), bagi menyokong pelaburan layak yang memberikan manfaat alam sekitar dan sosial yang boleh diukur. SFT ini akan menyokong komitmen JCorp untuk mengimbangi kehematan kewangan dengan tanggungjawab sosio-alam sekitar. Komitmen ini berteraskan misi JCorp, Membina dan Membela (Mewujudkan Nilai dan Memperkasa Komuniti Mampan), dengan memanfaatkan aset kewangan bersama warisan sosial dan alam sekitar yang dikongsi.

Rangka Kerja ini sejajar dengan piawaian pasaran dan menggariskan 10 kategori Penggunaan Hasil Hijau yang Layak serta lima kategori Penggunaan Hasil Sosial yang Layak, termasuk bangunan/bandar/infrastruktur hijau, kecekapan tenaga, pencegahan dan kawalan pencemaran, perumahan mampu milik, keselamatan makanan dan sistem makanan mampan serta kemajuan dan pemerkasaan sosioekonomi, seperti yang ditakrifkan dalam Rangka Kerja.

Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif JCorp berkata, “Rangka Kerja ini mencerminkan pendekatan JCorp terhadap pengurusan modal dan tanggungjawab dalam jangka panjang. Kemampanan bukanlah sesuatu yang ditambah kemudian, sebaliknya ia diterapkan dalam cara kami memperuntukkan modal, mentadbir risiko dan mengurus aset. Dengan berteraskan misi Membina dan Membela, strategi pembiayaan kami memandu bagaimana modal disalurkan secara bertanggungjawab untuk memberikan impak yang boleh diukur kepada Johor dan Malaysia.”

Michael Oh-Lau, Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Investment Bank Berhad berkata, “Rangka Kerja Kewangan Mampan JCorp memperkukuh ketelitian dan kredibiliti dalam pembiayaan inisiatif kemampanan, sekali gus meningkatkan impak syarikat sebagai pelabur merentasi pelbagai industri. Maybank sebelum ini menyokong Kumpulan JCorp dalam mencapai pencapaian penting pasaran hutang mampan, termasuk Sukuk Kemampanan KPJ Healthcare yang pertama bagi penerbit penjagaan kesihatan di ASEAN, serta Rangka Kerja Kewangan Mampan bersepadu Johor Plantations yang perintis. Maybank komited untuk memacu peralihan pelanggan ke arah masa depan yang lebih mampan selaras dengan strategi ROAR30 kami.”

Maybank menyasarkan untuk menggerakkan RM300 bilion pembiayaan mampan dalam tempoh lima tahun akan datang, selepas berjaya menggerakkan RM156.3 bilion dari 2021 hingga akhir suku ketiga 2025.

Maklumat lanjut mengenai Rangka Kerja ini boleh didapati di https://jcorp.com.my/

Previous ArticleNext Article

Strategi Pasaran: Ketidaktentuan Dunia Menguntungkan Pasaran Pelaburan Yang Selamat

Nilai di ASEAN

Walaupun ramalan makroekonomi RHB optimis dan tahap kecairan dunia kukuh, faktor geopolitik tidak menentu dan kebimbangan akan gelembung kecerdasan buatan (AI) dan risiko-risiko pasaran kewangan AS menunjukkan pemindahan aset ke pasaran pelaburan selamat seperti Singapura diberikan penekanan lebih besar. Kami masih menyukai ekuiti Singapura kerana pertumbuhan perolehan bertahan, pulangan pemegang saham menarik dan sifat pasarannya yang selamat dan bertahan, namun pelabur harus mengambil pendekatan pemilihan saham lebih teliti, dan bukannya berdasarkan pendedahan indeks semata-mata.

Penilaian menarik sebagai prima facie untuk pasaran Indonesia mungkin memikat, tetapi pelabur mestilah berwaspada akan aspek kawal selia yang sering berubah-ubah, di samping risiko-risiko dasar. Kami terus melihat pasaran Malaysia sebagai sebuah pasaran perdagangan memandangkan ketahanan ekonomi yang baik dilemahkan oleh penilaian-penilaian saham yang premium.

Indonesia

Kami terus memandang baik akan pasaran ekuiti Indonesia meskipun persekitaran makroekonomi dan dasarnya lebih mencabar. Susulan penurunan mendadak pada 1H26, JCI kini diniagakan pada nilai antara paling menarik (-3SD daripada purata P/E lima tahun hadapan). Walaupun keadaan tidak menentu ini
mungkin berlarutan dalam jangka dekat, kami percaya ia menawarkan potensi pemulihan bermakna apabila keyakinan pelabur beransur-ansur naik. Kes asas sasaran JCI kami untuk akhir 2026 sebanyak 7,300 mata dibuat berdasarkan P/E FY26F 12.4x (-1SD daripada purata lima tahun), yang mencerminkan kerangka penilaian yang lebih konservatif dan premium risiko pasaran yang lebih tinggi.

Malaysia

Kami secara asasnya terus memberi pandangan membina dalam prospek ekuiti pasaran tanah air berpandukan andaian-andaian kes asas RHB. Sasaran akhir tahun 2026 kami untuk FBM KLCI terus berada pada paras 1,750 mata (EPS hadapan 15.5x). Melihat kepada faktor-faktor kekangan semasa yang ada bermakna potensi kenaikan mutlak akan terbatas, memandangkan prestasi pasaran terus terikat pada paras lingkungan tertentu. Asas-asas pasaran dan prestasi perolehan korporat akan menjadi faktor penentu utama kepada pertumbuhan pasaran ini.

Tahap kecairan kukuh dapat menawarkan sokongan apabila penurunan berlaku, sekali gus mewajarkan pendekatan pembelian saham semasa harga lemah yang dilindungi oleh sektor-sektor bertahan (tenaga, perladangan, penjagaan kesihatan, pengguna, REIT dan telekomunikasi). Sektor-sektor WAJARAN TINGGI lain termasuklah perbankan, minyak & gas (O&G), hartanah, pembinaan, bahan asas, teknologi dan pengangkutan. Perlu diingatkan bahawa portfolio pelaburan dijangka terus beralih kepada sahamsaham ketinggalan apabila pelabur mengamalkan pendekatan perdagangan taktikal.

Untuk Singapura

Ekuiti memasuki 3Q26 dengan penyertaan jumlah saham yang masih kecil setelah sektor perkhidmatan kewangan mengaut sebahagian besar keuntungan MSCI Singapura secara YTD. Prospek kami masih lagi optimis, namun menggemari strategi pemilihan saham secara teliti berbanding pendedahan indeks yang pasif, didorong oleh kes asas kami yang meramalkan gencatan senjata yang lama di Asia Barat, dasar Rizab Persekutuan AS (US Fed) yang tidak berubah, dan aliran kemasukan modal lebih kukuh pada 2026. Kami menjangkakan tarikan Singapura sebagai pasaran yang selamat akan menyokong kemasukan modal.

Kami juga menjangkakan momentum pertumbuhan perolehan akan berkembang di luar skop sektor perbankan, manakala REIT mendapat manfaat daripada kadar faedah lebih rendah. Tema-tema pelaburan terbaik kami ialah pulangan modal oleh pemain perkhidmatan kewangan, penerima manfaat AI, perlindungan daripada inflasi dan El Niño, tarikan Singapura sebagai pasaran selamat, dan REIT perindustrian dan pejabat terpilih, dengan memberikan keutamaan pada syarikat yang mempunyai perolehan bertahan, kuasa penetapan harga dan pulangan pemegang saham yang menarik.

Penganalisis
Alexander Chia +603 2302 8119 ([email protected])

Penafian :
Laporan penyelidikan ini disediakan oleh pasukan Penyelidikan RHB (RHB Research Team) dari RHB Investment Bank Bhd.