Strategi Pasaran: Program MY Value Up

Langkah memberangsangkan ke arah peningkatan kualiti pasaran

Program MY Value Up asalnya diperkenalkan semasa pelancaran Pelan Induk Pasaran Modal 2026-2030 pada bulan April lalu. Pengenalan program ini diikuti oleh penerbitan buku panduannya minggu ini, dengan matlamat menambah baik perungkaian nilai pemegang saham dalam jangka panjang. Dengan mengambil petunjuk daripada kisahkisah kejayaan serantau, rangka kerja ini mendesak anjakan paradigma ke arah peningkatan pulangan ekuiti (ROE) dan kebertanggungjawaban pemegang saham.

Penilaian strategik, tadbir urus yang lebih baik, peruntukan sumber dengan cekap dan komunikasi berkesan, akan bertindak sebagai pemangkin untuk mengecilkan diskaun penilaian jangka panjang yang membelenggu syarikat-syarikat yang memiliki asas kewangan kukuh. Langkah-langkah penambahbaikan ini patut menggalakkan keyakinan, meningkatkan sentimen dan mendorong kemasukan modal.

Manfaat terbesar untuk syarikat yang mempunyai ruang untuk merungkai nilai

Kami berpandangan bahawa rangka kerja ini amat bermanfaat untuk sesetengah entiti korporat yang berprestasi rendah atau kurang diberi perhatian. Khususnya, syarikat-syarikat yang memiliki modal berlebihan, kelompok aset yang tidak digunakan sepenuhnya, pulangan pemegang saham yang tidak memuaskan, atau keterlihatan pelabur yang rendah, berpeluang meraih faedah terbesar. Saham-saham ketinggalan ini mempunyai potensi operasi dan kewangan terbesar untuk merungkai nilai ekuiti menerusi peruntukan modal yang optimum dan rangka kerja pengagihan pemegang saham yang lebih baik.

Dari perspektif pasaran serantau, usaha-usaha yang sama memerlukan penggalak seperti kitaran perolehan yang menguntungkan dan reformasi jangka panjang yang lebih meluas untuk mencetus kenaikan nilai dalam seluruh pasaran. Di Malaysia yang banyak syarikat bermodal besar sudah mengekalkan pengurusan modal yang cermat dan hubungan pelabur yang mantap, kami berpendapat inisiatif Value Up ini akan memberikan manfaat kepada syarikat bermodal sederhana hingga kecil.

Hal ini akan mendorong langkah penjajaran semula ke arah amalan piawaian perniagaan dan operasi yang lebih baik. Oleh itu, impak rangka kerja ini mungkin berbeza mengikut syarikat masing-masing, dengan kecenderungan ke arah pendekatan pemilihan saham berpacukan alfa.

Pelaksanaan masih penentu utama kejayaan

Walaupun rangka kerja ini menggariskan hala tuju yang menyeluruh dalam peruntukan modal, tadbir urus, kecemerlangan operasi dan keterlibatan pemegang saham, penyertaan 88 syarikat teratas masih dibuat secara sukarela dan tiada galakan rasmi atau denda diperkenalkan. Oleh itu, kejayaan program ini akan banyak bergantung pada kesediaan pasukan pengurusan sesebuah syarikat untuk melaksanakan perubahan yang ketara, dan bukannya menganggap program ini sebagai syarat pendedahan.

Kami menjangka faedah-faedah program ini akan direalisasikan secara beransuransur, kerana para pelabur perlu melihat rekod prestasi Rancangan Value Up ini membawa penambahbaikan yang jelas dalam ROE, kecekapan modal, dan pulangan pemegang saham.

Strategi

Pada pendapat kami, program MY Value Up ini ialah usaha positif yang didorong oleh pihak pengawal selia yang dapat bertindak sebagai pemangkin untuk menggalakkan kenaikan nilai pasaran modal tempatan jangka panjang. Inisiatifinisiatif program yang diamalkan secara meluas dapat menyerlahkan kedudukan Bursa Malaysia berbanding pesaing-pesaing pasaran memuncul serantau dengan memperkukuhkan profil pelaburan dan daya tarikan pasaran secara keseluruhan.

Program MY Value Up

Penganalisis
Alexander Chia +603 2302 8119 ([email protected])

Penafian :
Laporan penyelidikan ini disediakan oleh pasukan Penyelidikan RHB (RHB Research Team) dari RHB Investment Bank Bhd.

Previous ArticleNext Article

Untung Bersih 99 Speed Mart Lonjak 13.4 Peratus Pada Suku Kedua

KUALA LUMPUR: 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd (99 Holdings) mencatat keuntungan bersih RM163.95 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026, meningkat 13.4 peratus daripada RM144.63 juta pada suku sama tahun lalu.

Hasil kumpulan meningkat 13.6 peratus tahun ke tahun kepada RM3.08 bilion daripada RM2.71 bilion sebelumnya, menurut syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

“Peningkatan itu didorong terutamanya oleh pengembangan berterusan rangkaian cawangan, dengan pertambahan bersih 257 cawangan baharu tahun ke tahun, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 3,151 cawangan setakat 30 Jun 2026 berbanding 2,894 cawangan setahun sebelumnya.

“Jumlah transaksi jualan meningkat 13.6 peratus kepada 146.4 juta, dengan nilai purata setiap bakul RM21,” menurut syarikat itu.

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026, 99 Holdings mencatat keuntungan bersih RM352.5 juta berbanding RM289.53 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Hasil bagi tempoh enam bulan pula meningkat kepada RM6.14 bilion daripada RM5.32 bilion sebelumnya.

Selain itu, platform e-dagang jualan pukal syarikat terus mencatat pertumbuhan kukuh apabila hasil meningkat 80.5 peratus tahun ke tahun kepada RM50.2 juta bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2026.

Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif 99 Holdings, Lee Thiam Wah, berkata momentum pertumbuhan positif pada suku berkenaan disokong pengembangan berterusan rangkaian cawangan serta pelaksanaan waktu operasi lebih awal di seluruh negara.

Thiam Wah berkata tumpuan berterusan terhadap kecekapan operasi turut mula memberikan manfaat ketara kepada kumpulan.

Menurutnya, inisiatif penjimatan tenaga dan penggunaan peralatan membantu mengurangkan kos utiliti serta meningkatkan kecekapan kos merentasi operasi kumpulan.

“Dengan rangkaian cawangan kami terus berkembang, kami kekal komited untuk memperkukuh rantaian bekalan bagi menyokong kecekapan operasi,” katanya.

Beliau berkata kumpulan itu juga terus memperluas penawaran produk bagi memenuhi keperluan pelanggan yang berubah susulan sambutan menggalakkan terhadap rangkaian peralatan rumah terpilih.

Rangkaian berkenaan kini diperluas ke semua cawangan di seluruh negara dan turut ditawarkan menerusi platform 99 Bulksales bagi memenuhi keperluan pelanggan korporat serta pembelian secara pukal.