Mydin Beli Produk PMKS Bernilai RM230 Juta Setahun

KOTA BHARU, 18 Mei (Bernama) — Sejumlah 250 Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) memasarkan produk mereka di Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin) di seluruh negara setakat ini, kata Pengarahnya Datuk Dr Ameer Ali Mydin.

Beliau berkata, daripada jumlah PMKS tersebut Mydin mencatatkan pembelian produk kira-kira RM230 juta setahun membabitkan pelbagai barangan.

“Sebanyak 90 peratus pembelian adalah produk makanan dan minuman kerana ia adalah keperluan harian.

“Tahun ini kita jangka jumlah pembelian produk daripada PMKS ini akan meningkat memandangkan semakin ramai usahawan PMKS sudah mendapat sijil halal dan produk mereka telah dimasukkan ke pasar raya ini,” katanya kepada pemberita pada Majlis Jelajah Halal Malaysia (JHM) 2023 Kelantan, di sini, hari ini.

Ameer berkata bagi negeri Kelantan seramai 10 usahawan yang mempunyai sijil halal memasarkan produk mereka di pasar raya itu dengan jumlah pembelian sebanyak RM25 juta.

Menurutnya, Mydin sentiasa membuka peluang dan komited membantu usahawan PMKS untuk mengembangkan perniagaan mereka.

“Kita memang mengalu-alukan usahawan PMKS memasarkan produk mereka di pasar raya kami. Mereka boleh datang berjumpa dengan kita untuk berbincang,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, pada peringkat awal pihaknya akan mencadangkan usahawan terbabit memasarkan produk di pasar raya Mydin yang terdekat terlebih dahulu bagi melihat kemampuan mereka memenuhi permintaan pasaran sebelum meluaskan jualan ke cawangan Mydin yang lain.

Sementara itu, pada majlis jelajah anjuran Halal Development Corporation (HDC) itu sebanyak 16 lagi syarikat PMKS Kelantan diumumkan berjaya memasarkan produk mereka di pasar raya Mydin. 

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

microLEAP, CASB Dan HDC Lancar Inisiatif Nasional Bantu PMKS Akses Pembiayaan Bagi Kontrak Kerajaan

KUALA LUMPUR – Jun 30, 2026 – Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta kontraktor kecil yang terlibat dalam perolehan kerajaan menerusi sistem ePerolehan bakal mendapat manfaat daripada akses yang lebih luas kepada pembiayaan, latihan dan sokongan perniagaan menerusi kerjasama strategik antara microLEAP PLT (microLEAP), Commerce Access Sdn Bhd (CASB) dan Halal Development Corporation Berhad (HDC).

Inisiatif ini bertujuan meningkatkan tahap kesediaan PMKS untuk mendapatkan pembiayaan serta memperluas kesedaran mengenai kemudahan pembiayaan yang ditawarkan di bawah Program SARANA, iaitu skim pembiayaan yang ditawarkan melalui pengendali platform pembiayaan antara rakan setara (P2P) yang berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Kontrak kerajaan menawarkan peluang pertumbuhan yang besar kepada PMKS. Namun, banyak perniagaan berdepan cabaran modal kerja ketika melaksanakan projek, termasuk keperluan pembelian bahan, kos operasi dan perbelanjaan pelaksanaan sebelum pembayaran diterima daripada agensi kerajaan.

Bagi menangani cabaran tersebut, kerjasama ini menggabungkan penyelesaian pembiayaan, program pembangunan kapasiti dan sokongan ekosistem bagi membantu PMKS melaksanakan kontrak kerajaan dengan lebih berkesan setelah kontrak diperoleh.

Sebagai salah satu pengendali platform P2P yang mengambil bahagian dalam Program SARANA, microLEAP menyediakan kemudahan pembiayaan patuh Syariah kepada kontraktor dan pembekal kerajaan yang layak. Skim ini menawarkan pembiayaan invois bagi menyokong aliran tunai selepas penyerahan kerja atau bekalan, serta pembiayaan pelaksanaan kontrak bagi membantu perniagaan memenuhi keperluan modal kerja sebelum projek dimulakan.

Kerjasama ini akan menampilkan empat bengkel serantau meliputi Lembah Klang, Johor, Pulau Pinang dan Sarawak, dengan program sulung dijadualkan berlangsung di Ibu Pejabat Halal Development Corporation (HDC) pada 28 Julai 2026.

Bengkel-bengkel tersebut akan memberikan pendedahan mengenai proses perolehan kerajaan, kesediaan mendapatkan pembiayaan, pelaksanaan projek serta kemudahan pembiayaan yang tersedia kepada perniagaan yang terlibat dalam ekosistem ePerolehan.

Ketua Pegawai Eksekutif microLEAP, Tunku Danny Nasaifuddin Mudzaffar, berkata kerjasama itu mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh penyertaan PMKS dalam projek dan peluang perniagaan sektor awam.

“Ramai PMKS mempunyai keupayaan untuk melaksanakan projek kerajaan, namun berdepan cabaran mendapatkan modal kerja pada peringkat kritikal pelaksanaan projek. Melalui kerjasama ini, kami berharap dapat merapatkan jurang tersebut dengan menggabungkan penyelesaian pembiayaan, bimbingan praktikal dan sokongan ekosistem bagi membantu lebih banyak perniagaan berkembang melalui kontrak kerajaan.

“Dengan menggabungkan akses kepada pembiayaan, perkongsian ilmu dan penglibatan industri, kami berharap lebih banyak PMKS dapat melaksanakan kontrak dengan lebih berkesan serta memperkukuh pertumbuhan perniagaan masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Commerce Access Sdn Bhd, Puan Hajah Afidah Kamaruddin, berkata inisiatif berkenaan akan membantu meningkatkan tahap kesediaan PMKS untuk menyertai perolehan kerajaan.

“Commerce Access Sdn Bhd (CASB) ialah sebuah syarikat penyumberan luar proses perniagaan (Business Process Outsourcing) dan penyedia pengalaman pelanggan (Customer Experience) yang ber ibu pejabat di Petaling Jaya.  CASB menyediakan khidmat pusat panggilan (inbound dan outbound), pengalaman pelanggan (CX), latihan serta penyampaian perkhidmatan digital untuk membantu pelanggan kerajaan dan korporat meningkatkan khidmat  pengalaman pelanggan serta kecekapan operasi,” katanya.

Empat bengkel yang dirancang itu dijangka melibatkan ratusan PMKS di seluruh negara, sekali gus meningkatkan kesedaran mengenai kemudahan pembiayaan yang tersedia di bawah Program SARANA serta meningkatkan penyertaan PMKS dalam ekosistem perolehan kerajaan.