
KUALA LUMPUR: Perjanjian damai antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang dimeterai pada 17 Jun lalu dilihat membuka lembaran baharu kepada pasaran global apabila ketegangan yang menjejaskan laluan strategik Selat Hormuz mula mereda, sekali gus mengurangkan tekanan terhadap harga tenaga dan menyokong prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia.
Penganalisis BIMB Securities Research, Redza Rahman berkata, memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani kedua negara itu menandakan peralihan daripada keadaan pasaran yang dipacu kebimbangan geopolitik kepada fasa penormalan yang lebih stabil.
Beliau berkata, ia sekali gus membolehkan pelabur menumpukan semula perhatian kepada tema pertumbuhan domestik.
Katanya, konflik Selat Hormuz yang berlarutan selama 110 hari sebelum ini menjejaskan hampir 20 peratus bekalan minyak global dan menyebabkan harga minyak mentah Brent melonjak melebihi AS$120 setong, mencetuskan kebimbangan terhadap risiko kemelesetan ekonomi dunia.
“Di bawah MoU berkenaan, AS bersetuju menamatkan sekatan laut secara berperingkat dalam tempoh 30 hari, manakala Iran akan menghapuskan halangan teknikal dan ketenteraan bagi membolehkan semula laluan perkapalan melalui Selat Hormuz.
“Kapal komersial juga dibenarkan melalui selat itu tanpa sebarang bayaran transit selama 60 hari.
“Sebagai sebahagian daripada usaha normalisasi hubungan, AS turut bersetuju mengeluarkan pengecualian tertentu bagi eksport petroleum Iran selain membebaskan aset negara itu yang dibekukan, tertakluk kepada komitmen Tehran untuk tidak membangunkan senjata nuklear dan mematuhi proses pengurangan stok uranium yang dipantau Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA),” katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.
Redza berkata, bagi menyokong proses pemulihan itu, AS bersama rakan serantau turut berhasrat membangunkan pelan pembinaan semula dan pembangunan ekonomi Iran bernilai sekurang-kurangnya AS$300 bilion sekiranya rundingan komprehensif berjaya dimuktamadkan.
Beliau berkata, perkembangan positif berkenaan telah mengubah sentimen pasaran daripada strategi lindung nilai berasaskan komoditi kepada pelaburan yang lebih menumpukan pertumbuhan struktur dan ekonomi domestik.
“Pasaran modal kini sedang menilai semula kedudukan daripada tema lindung nilai perang kepada pertumbuhan struktur, dengan sektor pembinaan dan digital tempatan berfungsi sebagai benteng semula jadi terhadap ketidaktentuan geopolitik,” katanya.
Redza berkata, tumpuan pelabur kini beralih kepada pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) serta perkembangan pesat projek pusat data hiperskala yang dijangka menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara dalam tempoh sederhana dan panjang.
Selain itu beliau menjelaskan, syarikat yang mempunyai buku pesanan domestik kukuh, termasuk yang terbabit dalam projek infrastruktur seperti Sistem Transit Rapid (RTS), pengembangan pusat data dan hab logistik, dilihat berada dalam kedudukan lebih berdaya tahan berikutan kurang terdedah kepada risiko luaran.
Bagaimanapun, BIMB Securities Research katanya mengingatkan bahawa risiko kegagalan rundingan damai masih kekal tinggi dengan kebarangkalian sekitar 35 peratus.
Ia katanya terutama sekiranya berlaku insiden baharu melibatkan konflik serantau atau pertikaian berkaitan pematuhan syarat nuklear.
Katanya, laporan IAEA mengenai proses pengurangan uranium Iran akan menjadi penentu utama kestabilan perjanjian itu kerana sebarang ketidakpatuhan boleh menyebabkan pengecualian sekatan ditarik balik dan mencetuskan semula ketidaktentuan pasaran.
“Sehubungan itu, firma mengesyorkan strategi pelaburan “Barbell Defensif” bagi mengimbangi potensi pulangan dan risiko semasa tempoh rundingan 60 hari itu.
“Di bawah pendekatan berkenaan, sebanyak 35 peratus portfolio dicadangkan diperuntukkan kepada komponen perlindungan, termasuk pegangan dalam Hibiscus Petroleum Bhd sebagai lindung nilai terhadap kemungkinan lonjakan semula harga minyak.
“Sementara itu, baki 65 peratus disarankan disalurkan kepada syarikat yang mendapat manfaat daripada pertumbuhan domestik, khususnya dalam sektor pembinaan, utiliti dan infrastruktur digital.
“Bagi segmen pertumbuhan, pelabur boleh memberi tumpuan kepada syarikat yang mempunyai kontrak domestik bernilai tinggi seperti Sunway Construction, selain penyedia perkhidmatan penting seperti Telekom Malaysia dan Tenaga Nasional yang mempunyai pendapatan lebih defensif,” katanya.
Menurut BIMB Securities Research, disiplin pelaburan dan tumpuan kepada syarikat yang memiliki asas perniagaan kukuh akan menjadi faktor utama dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik yang masih berpotensi muncul sepanjang tempoh rundingan damai itu berlangsung.
— Berita Harian















