GEAR-uP: KWAP labur RM51 juta dalam Bioscience Nutraceutical

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) melabur RM51 juta dalam Bioscience Nutraceutical Holdings Sdn Bhd, pembekal sehenti dan pemilik jenama nutraseutikal di Malaysia, bagi membangunkan ekosistem pasaran persendirian negara menerusi Dana Pemacu.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam Laporan Kemajuan GEAR-uP yang dikeluarkan hari ini berkata, pelaburan itu dilaksanakan menerusi pengurus dana tempatan Mekar Capital dan pengurus dana global Navis Capital.

Menurut laporan itu, pelaburan berkenaan membuktikan modal institusi mampu memajukan sektor kesihatan bernilai tinggi menerusi inovasi nutraseutikal, pengkomersialan produk serta pembangunan jenama premium.

KWAP turut menyokong pertumbuhan ekonomi menerusi pelaburan bersama sebanyak RM210 juta dalam Fasa 1 bagi pembangunan 9,000 katil.

“Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada pembangunan yang lebih luas untuk menyediakan 28,800 katil menerusi empat projek, dengan jumlah nilai pembangunan kasar kira-kira RM600 juta,” menurut laporan itu.

MOF berkata, pelaburan berkenaan bertujuan mewujudkan persekitaran kediaman lebih baik kepada golongan yang menyumbang kepada kemajuan ekonomi negara.

Laporan itu turut memaklumkan pencapaian setakat Jun 2026 bagi inisiatif Dana Impak Khazanah Nasional Bhd.

Sebanyak 32 syarikat peringkat pertengahan disokong di bawah Mid-Tier Companies Growth Innovation Programme, manakala 21 lagi menerima sokongan menerusi Program ELEVATE 2.0.

Sementara itu, MOF berkata syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) memainkan peranan penting sebagai pelabur asas dan pelabur utama strategik dalam penyenaraian berkualiti di Bursa Malaysia.

Langkah itu melengkapkan konsep larian berganti apabila modal yang dipulangkan kepada pelabur modal teroka dan ekuiti swasta boleh dilaburkan semula dalam generasi baharu firma peringkat awal.

Pendekatan berkenaan membolehkan lebih banyak syarikat berkembang secara berperingkat sehingga mencapai tahap sesuai untuk disenaraikan.

Menurut laporan itu, aliran penyenaraian yang berterusan penting bagi mencapai sasaran Pelan Induk Pasaran Modal 2026-2030 untuk meningkatkan permodalan pasaran kepada antara RM5.8 trilion hingga RM6.3 trilion menjelang 2030.

Sokongan kukuh pelabur institusi turut menjadi antara faktor penting bagi memastikan aliran berkenaan kekal mampan.

MOF berkata, GLIC mengurus secara aktif portfolio merangkumi 37 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan sasaran pulangan tahunan 7.5 peratus bagi tempoh 2024 hingga 2028.

Portfolio berkenaan berpotensi menjana nilai sehingga RM100 bilion.

Prestasi pada 2025 melepasi sasaran apabila mencatat pulangan pemegang saham sebanyak 8.0 peratus.

“Memandangkan GLC mewakili kira-kira 27 peratus daripada permodalan Pasaran Utama Bursa Malaysia, keuntungan ini disalurkan semula kepada ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, KWAP, Permodalan Nasional Bhd dan Tabung Haji untuk meningkatkan simpanan persaraan rakyat Malaysia,” menurut MOF.

Menurut laporan itu, GLIC memacu penjanaan nilai portfolio menerusi tiga pendekatan utama, iaitu menyediakan laluan keluar bagi kitaran modal, memperkukuh kredibiliti untuk pasaran lebih luas serta membina asas pemilik jangka panjang yang stabil.

Previous Article

Tiga Punca Nisbah Gaji Rakyat Malaysia Kepada KDNK Masih Rendah

KUALA LUMPUR: Kekurangan pekerjaan berkemahiran tinggi, pergantungan kepada tenaga kerja berkemahiran rendah serta kenaikan gaji yang perlahan menjadi antara punca nisbah gaji rakyat kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di Malaysia dilihat masih rendah sekitar 34 peratus berbanding lebih 50 peratus di kebanyakan negara maju.

Penganalisis Ekonomi dari UniKL Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid menyifatkan nisbah gaji kepada KDNK pada paras 34 peratus menunjukkan bahawa pertumbuhan ekonomi negara belum diterjemah sepenuhnya kepada pendapatan isi rumah.

Beliau berkata, di negara maju, nisbah itu biasanya 50 hingga 55 peratus, justeru jurang 16 mata peratusan itu besar dan ini mencerminkan struktur ekonomi negara.

“Saya melihat ekonomi kita masih bergantung kepada industri berintensif buruh dan komoditi seperti pembuatan elektronik, sawit dan perkhidmatan. Sektor ini mencipta banyak kerja, tetapi nilai tambah setiap pekerja rendah. Justeru, walaupun KDNK naik, ia banyak diserap sebagai keuntungan syarikat dan pelaburan modal, bukan gaji,” katanya kepada BH.

Aimi Zulhazmi berkata, pekerjaan berkualiti seperti dalam sektor penyelidikan dan pembangunan (R&D), reka bentuk, kejuruteraan canggih, kewangan berteknologi tinggi dan bioteknologi juga menjadi faktor penyumbang memandangkan kekurangan pekerjaan bergaji tinggi menyebabkan purata gaji terus ditarik ke bawah.

Faktor berikutnya ialah produktiviti berbanding upah, yang menurutnya tidak disalurkan balik sebagai gaji meskipun produktiviti pekerja meningkat.

“Ini berlaku berikutan kuasa runding pekerja rendah dan banyak syarikat memilih automasi atau menambah pekerja asing berbanding menaikkan gaji pekerja tempatan,” katanya.

Felo Kanan Social Wellbeing Research Centre (SWRC), Universiti Malaya, Dr Zulkiply Omar turut berpendapat kekurangan permintaan terhadap pekerja berkemahiran tinggi berikutan penyerapan teknologi yang perlahan dalam kalangan majikan juga menjadi antara punca nisbah gaji kepada KDNK rendah.

Menurutnya, rata-rata majikan masih cenderung untuk mengekalkan teknologi pengeluaran yang berintensifkan buruh.

“Antara usaha yang perlu dilakukan adalah untuk menggalakkan inovasi dalam kalangan firma tempatan, termasuk dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS). Ini memerlukan persekitaran dan sokongan yang sesuai melalui dasar yang berkaitan,” katanya.

Bagi mengatasi keadaan itu, Zulkiply menyarankan supaya kebergantungan kepada pekerja asing berkemahiran rendah perlu dikurangkan secara beransur-ansur.

Beliau berkata, usaha memperkasakan pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) perlu dipergiatkan dengan membabitkan industri termasuk memastikan pelajar TVET diserap ke dalam industri dengan berkesan.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Mohamad Idham Md Razak, berpendapat punca utama kegagalan pertumbuhan gaji mengejar KDNK berakar daripada struktur ekonomi negara yang masih berteraskan pengeluaran bernilai tambah rendah hingga sederhana serta pergantungan tinggi kepada tenaga kerja berkemahiran rendah.

Beliau berkata, situasi itu sememangnya diburukkan oleh kekurangan jawatan berpendapatan tinggi, di mana kecekapan produktiviti dan limpahan hasil pertumbuhan ekonomi lebih banyak diagihkan kepada pemilik modal (keuntungan syarikat) berbanding disalurkan semula dalam bentuk pampasan serta kenaikan gaji pekerja.

Tambahnya, kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran yang tinggi sekitar 35 peratus hingga 36 peratus adalah antara punca utama yang menekan paras gaji graduan di Malaysia.

“Ketidakpadanan antara kelayakan akademik graduan dan ketersediaan jawatan bernilai tinggi memaksa ramai lepasan pengajian tinggi menerima pekerjaan separa kemahiran atau rendah kemahiran, sekali gus menyebabkan penawaran gaji permulaan tidak setimpal dengan tahap pendidikan mereka serta menyekat pergerakan tangga gaji jangka panjang,” katanya.

Justeru, bagi menangani situasi itu, Mohamad Idham menyarankan kerajaan perlu melaksanakan reformasi struktur pasaran kerja melalui pelaksanaan Dasar Gaji Progresif yang menyeluruh, penanda aras gaji berasaskan produktiviti serta insentif peralihan industri ke arah automasi dan berteknologi tinggi.

Beliau berkata, penyelarasan bersepadu antara sistem pendidikan, dasar buruh dan strategi pelaburan adalah langkah mendesak untuk merapatkan jurang antara penawaran tenaga kerja dan permintaan industri.

“Penjajaran ini memastikan institusi pengajian tinggi menghasilkan graduan berprofil tinggi mengikut keperluan pasaran masa hadapan, sementara strategi pelaburan negara difokuskan untuk menarik industri berimpak tinggi yang mencipta pekerjaan berkemahiran, seterusnya disokong oleh dasar buruh yang menjamin perlindungan sosial dan kenaikan gaji munasabah,” katanya.

— Berita Harian