Ini Pengaruh Selat Hormuz Kepada Pasaran Minyak Dunia

KUALA LUMPUR: Ketegangan keselamatan maritim di Selat Hormuz susulan konflik ketenteraan Amerika Syarikat (AS)-Israel dan Iran yang kian meruncing, meletakkan laluan air strategik itu di bawah pengawasan ketat antarabangsa.

Tindakan Iran menyekat selat itu sebagai tindak balas terhadap serangan berterusan AS-Israel ke atas wilayahnya disokong Pemimpin Tertinggi, Mojtaba Khamenei, yang dalam mesej awam pertamanya pada 12 Mac, berikrar untuk menyekat Selat Hormuz sebagai ‘kelebihan ke atas AS dan Israel’.

Sekatan, berserta serangan ke atas kapal komersial sejak konflik bermula, telah menimbulkan kebimbangan terhadap akibat gangguan berpanjangan ke atas bekalan minyak dan gas global.

Laluan penting bekalan minyak dunia

Selat Hormuz, yang dikenali sebagai koridor tenaga terpenting di dunia, terletak di antara Iran dan Oman, menghubungkan Teluk Parsi dengan Teluk Oman dan Laut Arab.

Kira-kira 167 kilometer panjang dan hanya 33 kilometer lebar pada titik paling sempit serta kedalaman 200 meter, selat itu berfungsi sebagai satu-satunya laluan laut bagi pengeluar Teluk mengeksport minyak dan gas dalam jumlah besar ke pasaran antarabangsa.

Kira-kira satu perlima daripada bekalan minyak dan gas asli cecair (LNG) dunia melintasi selat itu sekali gus menggariskan kepentingan strategiknya sebagai laluan paling penting di dunia untuk keterjaminan tenaga global.

Menurut Pentadbiran Maklumat Tenaga AS (EIA), pada 2024, kira-kira 20 juta tong minyak sehari (bpd) transit melalui selat itu dengan anggaran 84 peratus daripada minyak mentah dan kondensat serta 83 peratus daripada LNG yang diangkut ke pasaran Asia.

China merupakan penerima terbesar dengan 5.4 juta bpd dan merangkumi destinasi utama lain seperti India, Jepun dan Korea Selatan, membentuk kira-kira 69 peratus daripada jumlah penghantaran.

Sebagai perbandingan, hanya 0.5 juta bpd minyak mentah dan kondensat yang melalui Selat Hormuz diangkut ke AS pada 2024.

Susulan kepentingannya, gangguan di sepanjang laluan itu boleh mewujudkan krisis tenaga global, terutamanya di Asia yang negara-negaranya amat bergantung pada penghantaran minyak dan gas melalui selat tersebut untuk penjanaan elektrik dan bekalan bahan api.

Medan konflik AS-Israel-Iran

Trafik penghantaran melalui Selat Hormuz menurun dengan mendadak sejak konflik meletus pada 28 Februari, apabila Tehran, yang mengawal selat itu, telah menyekat jalan air tersebut dan mengancam untuk menyasarkan kapal yang dikaitkan dengan AS dan Israel.

Data daripada Perisikan Maritim Starboard menunjukkan purata 153 kapal transit melalui selat itu setiap hari dalam seminggu sebelum konflik, dengan trafik memuncak pada 188 kapal pada 17 Februari.

Jumlah itu menurun secara drastik kepada hanya tujuh kapal pada 6 Mac dan turun kepada tiga dalam beberapa hari kebelakangan ini.

Sementara itu, menurut agensi keselamatan maritim Britain UKMTO, sekurang-kurangnya 16 kapal di dalam atau berhampiran Selat Hormuz telah diserang setakat 12 Mac dan 20 laporan diterima setakat ini mengenai insiden menjejaskan kapal yang beroperasi di sekitar kawasan itu.

Pengulas dan penganalisis maritim, Nazery Khalid, berkata ancaman Iran tidak boleh diketepikan, menyifatkan serangan baru-baru ini ke atas kapal yang melalui selat itu sebagai sebahagian strategi Tehran untuk mempengaruhi pendapat global mengenai serangan yang tidak diprovokasi dan menyalahi undang-undang ke atas republik itu.

“Jelas bahawa Iran tidak berusaha untuk menandingi kekuatan tentera AS-Israel tetapi untuk berlawan dalam perang asimetri dalam banyak bidang termasuk dalam bidang strategik dan ekonomi.

“Ia kelihatan lebih jelas pada hari ini bahawa penceroboh telah tersilap menilai kehendak, keazaman dan keupayaan Iran dan mungkin terpaksa membayar harga yang tinggi untuk pelanggaran mereka apabila Iran terus mencapai sasaran, yang boleh menyebabkan kesan teruk terhadap ekonomi mereka yang menyerangnya dan terhadap ekonomi global,” katanya kepada Bernama.

Krisis bekalan tenaga

Serangan ke atas kapal tangki minyak yang melintasi Selat itu telah mencetuskan kenaikan mendadak harga minyak di pasaran.

Harga minyak melonjak kepada hampir AS$120 setong awal minggu ini berikutan gangguan pengeluaran di Arab Saudi dan negara Teluk lain termasuk Bahrain, Qatar dan Kuwait kerana infrastruktur tenaga diserang dan kapal tidak dapat melalui Selat Hormuz.

Iran telah memberikan amaran bahawa harga minyak boleh melonjak kepada AS$200 setong jika konflik semakin meruncing.

Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) dalam laporan terbaharunya menyatakan bahawa sekatan Selat Hormuz akibat konflik mewujudkan gangguan bekalan minyak terbesar dalam sejarah, dengan bekalan minyak global diunjurkan merosot sebanyak lapan juta tong sehari pada Mac atau lapan peratus daripada permintaan dunia.

“Gangguan berpanjangan kepada pengeluaran, pengangkutan dan bekalan keseluruhannya jelas akan mencetuskan kesan buruk perkadaran seismik, bukan sahaja untuk ekonomi negara-negara yang bergantung kepada minyak Teluk tetapi juga ekonomi global secara keseluruhan,” kata Nazery.

Beliau berkata, negara yang bergantung pada minyak Teluk mungkin perlu memperkenalkan langkah penjimatan untuk mengimbangi impak krisis tenaga semasa.

“OPEC (Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum) hanya boleh mengeluarkan stok simpanan untuk menampung kehilangan bekalan sehingga rizabnya mencapai tahap kritikal.

“Keadaan boleh menjadi seteruk krisis minyak 1973 apabila ahli OPEC mengenakan embargo minyak terhadap AS dan negara lain yang menyokong Israel semasa Perang Yom Kippur. Ini mencetuskan penurunan besar-besaran dalam bekalan, menyebabkan harga minyak meningkat empat kali ganda dan menyebabkan kekurangan petrol yang serius,” katanya.

Alternatif Selat Hormuz

Ketika ketegangan memuncak, Saluran Paip Minyak Mentah Timur-Barat Arab Saudi dan Saluran Paip Minyak Mentah Abu Dhabi Emiriah Arab Bersatu (UAE) meraih perhatian antarabangsa apabila saluran berkenaan muncul sebagai ‘talian hayat’ yang membolehkan minyak diangkut melalui Laut Merah ke pasaran dunia.

Bagaimanapun, Nazery berkata, saluran paip itu tidak boleh menggantikan peranan penting Selat Hormuz.

“Walaupun saluran paip Saudi dan UAE boleh digelar sebagai ‘paip talian hayat’, ia tidak lebih sekadar kelegaan sementara kepada kesesakan Selat Hormuz dan tidak lama lagi akan mencapai kapasiti maksimum.

“Dalam erti kata lain, jika konflik berlarutan, meluas dan memuncak tanpa sebarang prospek penyelesaian konkrit tidak lama lagi, adalah tidak realistik untuk bergantung pada saluran paip bagi membantu mengawal harga minyak yang semakin meningkat dan menyelamatkan ekonomi global daripada kemelesetan,” katanya.

Sebagai contoh, beliau berkata Arab Saudi mengeksport 6.3 juta bpd minyak mentah dan 1.4 juta bpd produk minyak ditapis pada 2025, tetapi terminal Yanbu di Laut Merah hanya boleh mengendalikan sekitar 4.5 juta bpd minyak mentah sehari iaitu satu perempat daripada jumlah harian yang dihantar melalui Selat.

Nazery juga mengingatkan bahawa mengangkut minyak Teluk melalui saluran paip dan pelabuhan di sepanjang Laut Merah tidak menjamin laluan yang selamat.

“Kumpulan pemberontak Houthi di Yaman yang bersekutu dengan Iran boleh melancarkan serangan ke atas saluran paip dan kapal yang transit di Laut Merah.

“Ini mungkin sama bahayanya seperti cuba belayar dengan kapal tangki minyak penuh melalui Selat Hormuz, mengingkari amaran Iran,” tambahnya

-BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Di Sebalik Status Patuh Syariah: Bagaimana SC Menilai Sesebuah Syarikat?

Bagi pelabur Muslim di Malaysia, memilih saham patuh Syariah bukan sekadar memenuhi keperluan pelaburan, tetapi juga memastikan setiap keputusan pelaburan selari dengan prinsip-prinsip Islam.

Hari ini, lebih 70% daripada syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia diklasifikasikan sebagai patuh Syariah. Namun, pernahkah anda tertanya-tanya bagaimana sesuatu syarikat boleh mendapat status tersebut? Adakah ia hanya bergantung kepada jenis perniagaan yang dijalankan atau terdapat proses penilaian yang lebih menyeluruh?

Hakikatnya, status patuh Syariah tidak diberikan secara automatik. Setiap syarikat yang tersenarai akan melalui proses saringan yang sistematik oleh Majlis Penasihat Syariah (MPS) Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menggunakan metodologi yang telah ditetapkan. Semakan ini bukan sahaja menilai aktiviti perniagaan syarikat, malah turut melihat kedudukan kewangan dan beberapa aspek kualitatif yang lain.

Dalam artikel ini, kita akan memahami bagaimana proses saringan tersebut dijalankan dan mengapa ia penting kepada setiap pelabur.

Siapa Yang Menentukan Status Patuh Syariah?

Di Malaysia, pihak yang bertanggungjawab menentukan status patuh Syariah bagi syarikat yang tersenarai ialah Majlis Penasihat Syariah (MPS) di bawah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

MPS terdiri daripada pakar dalam bidang Syariah, kewangan Islam dan pasaran modal yang bertanggungjawab memastikan sekuriti yang diklasifikasikan sebagai patuh Syariah memenuhi garis panduan yang telah ditetapkan.

Senarai sekuriti patuh Syariah akan dikemas kini dua kali setahun, lazimnya pada bulan Mei dan November, berdasarkan penyata kewangan teraudit terkini syarikat. Ini bermakna status sesebuah saham boleh berubah mengikut perkembangan aktiviti perniagaan dan kedudukan kewangannya.

Mengapa Perlu Ada Proses Saringan?

Tidak semua syarikat menjalankan aktiviti yang sepenuhnya patuh Syariah. Sebagai contoh, terdapat syarikat yang:

  • memperoleh sebahagian kecil pendapatan daripada faedah konvensional,
  • menyewakan premis kepada perniagaan yang tidak patuh Syariah,
  • atau mempunyai hutang berasaskan faedah.

Jika tiada proses saringan, pelabur akan sukar menentukan sama ada sesuatu saham benar-benar sesuai untuk dilaburkan.

Oleh itu, MPS menggunakan metodologi yang mengambil kira bukan sahaja aktiviti utama syarikat, tetapi juga sumbangan pendapatan daripada aktiviti tidak patuh Syariah dan struktur kewangan syarikat.

Secara umum, metodologi saringan saham patuh Syariah di Malaysia dibahagikan kepada tiga komponen utama:

  1. Penilaian aktiviti perniagaan.
  2. Penilaian nisbah kewangan.
  3. Penilaian kualitatif.

Ketiga-tiga komponen ini saling melengkapi bagi memastikan syarikat benar-benar memenuhi prinsip Syariah.

1. Penilaian Aktiviti Perniagaan

Langkah pertama ialah melihat sumber pendapatan syarikat. Jika aktiviti utama syarikat jelas bercanggah dengan Syariah, syarikat tersebut tidak akan diklasifikasikan sebagai patuh Syariah.

Antara aktiviti yang tidak dibenarkan termasuk:

  • perbankan konvensional,
  • insurans konvensional,
  • perjudian,
  • arak dan aktiviti berkaitan,
  • produk berasaskan khinzir,
  • makanan dan minuman yang tidak halal,
  • hiburan yang bercanggah dengan Syariah,
  • tembakau dan rokok,
  • serta aktiviti lain yang diputuskan tidak mematuhi prinsip Syariah oleh MPS.

Walau bagaimanapun, terdapat syarikat yang menjalankan aktiviti utama yang patuh Syariah tetapi mempunyai sedikit pendapatan daripada aktiviti sampingan yang tidak patuh. Dalam keadaan ini, MPS akan menggunakan penanda aras tertentu bagi menentukan sama ada sumbangan tersebut masih berada dalam had yang dibenarkan.

Penanda Aras 5%

Aktiviti yang dianggap jelas bercanggah dengan Syariah tertakluk kepada penanda aras 5%. Ini bermaksud sumbangan pendapatan daripada aktiviti tersebut mestilah kurang daripada 5% daripada jumlah pendapatan kumpulan.

Sebagai contoh:

Sebuah syarikat memperoleh pendapatan keseluruhan sebanyak RM500 juta.

Daripada jumlah tersebut, RM10 juta datang daripada faedah bank konvensional.

Pengiraannya ialah:

RM10 juta ÷ RM500 juta × 100%

= 2%

Oleh kerana jumlah tersebut berada di bawah penanda aras 5%, syarikat masih boleh dipertimbangkan sebagai patuh Syariah, tertakluk kepada syarat-syarat lain.

2. Penilaian Nisbah Kewangan

Selain melihat aktiviti perniagaan, MPS turut menilai struktur kewangan syarikat. Tujuannya ialah memastikan syarikat tidak terlalu bergantung kepada unsur riba dalam operasi kewangannya.

Dua nisbah utama yang dinilai ialah:

a) Tunai Konvensional Berbanding Jumlah Aset

Pengiraan ini hanya mengambil kira tunai yang disimpan dalam akaun atau instrumen konvensional. Tunai yang ditempatkan dalam instrumen Islam tidak diambil kira. Nisbah ini mestilah kurang daripada 33%.

b) Hutang Berfaedah Berbanding Jumlah Aset

Nisbah kedua melihat jumlah hutang yang dikenakan faedah berbanding keseluruhan aset syarikat. Pembiayaan Islam dan sukuk tidak termasuk dalam pengiraan ini. Sekiranya hutang berfaedah melebihi had yang ditetapkan, syarikat mungkin gagal memenuhi syarat patuh Syariah. Penanda aras yang digunakan juga ialah kurang daripada 33%.

3. Penilaian Kualitatif

Walaupun sesebuah syarikat memenuhi syarat dari segi angka, MPS turut menilai aspek kualitatif.

Antara perkara yang diberi perhatian ialah:

  • imej syarikat,
  • persepsi umum terhadap aktiviti syarikat,
  • sama ada operasi syarikat bercanggah dengan nilai dan prinsip Islam,
  • serta unsur yang boleh menimbulkan keraguan kepada pelabur Muslim.

Ini menunjukkan bahawa penilaian patuh Syariah bukan sekadar bergantung kepada formula matematik, tetapi turut mengambil kira maqasid dan semangat Syariah.

Contoh Situasi

Bayangkan terdapat dua syarikat.

Syarikat A menghasilkan makanan halal dan memperoleh hampir keseluruhan pendapatan daripada jualan produknya. Namun, sebahagian kecil wang tunainya disimpan dalam akaun konvensional dan jumlahnya masih berada di bawah had yang ditetapkan.

Syarikat B pula menjalankan perniagaan utama yang sama, tetapi sebahagian besar pendapatannya datang daripada aktiviti yang tidak patuh Syariah.

Walaupun kedua-duanya menjual produk yang hampir sama, keputusan saringan mungkin berbeza kerana sumber pendapatan dan struktur kewangan mereka tidak serupa.

Inilah sebabnya pelabur tidak boleh menilai status patuh Syariah hanya berdasarkan nama atau jenis perniagaan sesebuah syarikat.

Mengapa Status Patuh Syariah Boleh Berubah?

Ada pelabur yang terkejut apabila mendapati saham yang dibeli sebelum ini tidak lagi berada dalam senarai patuh Syariah.

Perkara ini boleh berlaku kerana:

  • perubahan model perniagaan,
  • peningkatan pendapatan daripada aktiviti tidak patuh,
  • perubahan struktur hutang,
  • atau perubahan kedudukan kewangan syarikat.

Oleh sebab itu, pelabur disarankan menyemak senarai terkini yang diterbitkan oleh SC setiap kali kemas kini diumumkan.

Adakah Saham Patuh Syariah Menjamin Keuntungan?

Jawapannya ialah tidak. Status patuh Syariah hanya menunjukkan bahawa syarikat memenuhi garis panduan Syariah yang ditetapkan oleh MPS.

Ia bukan petunjuk bahawa harga saham akan meningkat atau syarikat pasti mencatat keuntungan. Sebelum membuat keputusan pelaburan, pelabur masih perlu melakukan analisis fundamental, analisis teknikal (jika berkaitan) serta menilai prospek industri dan tahap risiko syarikat. Patuh Syariah dan prestasi pelaburan ialah dua perkara yang berbeza.

Bagaimana Pelabur Menyemak Status Patuh Syariah?

Pelabur boleh menyemak status sesuatu saham melalui senarai rasmi yang diterbitkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Senarai ini dikemas kini dua kali setahun dan menjadi rujukan utama kepada pelabur individu, pengurus dana Islam, syarikat broker Islam serta institusi kewangan Islam.

Kesimpulan

Metodologi saringan saham patuh Syariah di Malaysia dibangunkan bagi memastikan pelabur Muslim mempunyai panduan yang jelas dalam memilih sekuriti yang mematuhi prinsip Syariah. Proses ini bukan sahaja menilai jenis aktiviti perniagaan syarikat, malah turut mengambil kira struktur kewangan dan aspek kualitatif bagi memastikan penilaian dibuat secara menyeluruh.

Sebagai pelabur, memahami bagaimana sesuatu saham diklasifikasikan sebagai patuh Syariah akan membantu anda membuat keputusan pelaburan dengan lebih yakin dan berinformasi. Pada masa yang sama, jangan menganggap status patuh Syariah sebagai satu-satunya faktor dalam memilih saham. Analisis terhadap prestasi kewangan, prospek syarikat, pengurusan dan risiko pelaburan tetap perlu dilakukan.

Akhir sekali, sentiasalah menyemak senarai terkini yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia kerana status patuh Syariah boleh berubah mengikut perkembangan aktiviti dan kedudukan kewangan syarikat. Dengan gabungan ilmu Syariah dan ilmu pelaburan, anda bukan sahaja berpeluang membina kekayaan, malah dapat melabur dengan lebih tenang dan bertanggungjawab.