Aemulus: Memanfaatkan Kitaran Menaik Peralatan Pengujian AI

Nilai saksama (FV) MYR0.56 diperoleh berdasarkan P/E 22x FY27F (Sep)

Aemulus berkedudukan baik untuk meraih manfaat daripada kitaran menaik pengujian semikonduktor yang dipacu oleh kecerdasan buatan (AI), kerana pemproses AI, unit pemprosesan grafik (GPU), memori jalur lebar tinggi (HBM), dan cip rangkaian memerlukan tahap pengujian yang lebih tinggi berbanding semikonduktor biasa.

Disokong oleh buku pesanan terbesar dalam sejarah dan semakin banyak pesanan AI dan automotif bakal diterima, kami menjangka pertumbuhan hasil akan mengatasi kos operasi tetap, lantas mendorong pulangan ke arah keberuntungan. Pada P/E hanya 10.6x untuk FY27F, kami melihat peluang pelaburan yang menarik dalam fasa pemulihan yang berpacukan AI.

Buku pesanan tertinggi dalam sejarah, pemulihan perolehan

AMLS kembali mencatat untung dengan sokongan buku pesanan tertinggi dalam sejarah kira-kira MYR104j (setakat awal bulan Jun; 1.3x daripada hasil FY25), lalu memberikan keterlihatan perolehan sepanjang 18 bulan akan datang. Perkara ini tidak termasuk pesanan baru yang diterima yang bernilai MYR17.7j dan MYR8.2j dalam industriindustri automotif dan AI pada bulan Julai.

Pihak pengurusan juga menjangkakan penambahan buku pesanan sekitar MYR90j menjelang FY27, disokong oleh pertanyaan pelanggan yang kukuh. Pada pandangan kami, pertumbuhan akan disokong lagi oleh permulaan operasi loji miliknya di Suzhou menjelang Sep 2026, yang bakal meningkatkan keupayaan pengeluaran sebanyak kira-kira 28%.

Ledakan AI mempercepatkan permintaan

AMLS berkedudukan baik untuk memanfaatkan ledakan AI menerusi platform-platform AMB4600, AMB5600, AMB4200, dan platform AMB1832 akan datang, yang menyokong pusat data (DC) AI, pembungkusan canggih dan aplikasi pengkomputeran berprestasi tinggi. >30% daripada pesanan baru dijangka diterima daripada aplikasi DC AI yang bermargin lebih tinggi, sekali gus berpotensi menjadi segmen hasil terbesar kumpulan ini menjelang FY27.

Jualan platform AMB4600 miliknya kepada pelanggan dari AS dijangka akan melonjak naik >300% YoY, dipacu oleh permintaan kukuh untuk cip pra-penguat HBM. AMLS juga bakal meraih manfaat daripada penggunaan kapasitor silikon yang lebih tinggi menerusi kerjasama dengan Samsung ElectroMechanics (SEMCO), disokong oleh perniagaan semikonduktor AI Samsung Group yang kian berkembang (termasuk kontrak faundri AI bernilai USD16.5bn).

Dahulu mangsa geopolitik, kini penerima manfaat

Dahulu, ia terjejas oleh sekatan dagangan AS-China terhadap permintaan semikonduktor berkaitan telefon pintar, tetapi kiniAMLS muncul sebagai penerima manfaat daripada penstrukturan semula rantai bekalan dunia. Selepas sekatan eksport China menjejaskan rantai bekalan semikonduktor automotif di Eropah, pengeluar semikonduktor dunia terkemuka dari Belanda memindahkan sebahagian operasi pengeluarannya ke Malaysia bagi memenuhi keperluan pengeluar kereta Eropah dengan lebih baik, sekali gus mencipta permintaan baru untuk platform AMB5600.

Di samping pemulihan berperingkat dalam permintaan semikonduktor automotif susulan pembetulan inventori 2023-2025, kumpulan ini berkedudukan baik untuk menggarap peluang yang timbul dalam pengujian automotif dan semikonduktor perindustrian.

Penilaian

Menerusi P/E 22x (Indeks Teknologi Bursa Malaysia 10 tahun) pada perolehan FY27F, kami memperoleh FV MYR0.56. Risiko utama: Turun naik FX, kelewatan penghantaran produk, gangguan rantai bekalan, kehilangan pelanggan penting, dan sektor AI, semikonduktor dan automotif memperlahan.

Faktor Pemacu Utama

i. Buku pesanan tertinggi dalam sejarah menyokong pemulihan perolehan
ii. Perpindahan rantai bekalan merungkai peluang baru
iii. Kitaran menaik AI meningkatkan permintaan untuk pengujian.

Risiko Utama

i. Turun naik FX
ii. Kelewatan penghantaran produk
iii. Gangguan rantai bekalan
iv. Kehilangan pelanggan penting
v. Sektor AI, semikonduktor, atau automotif memperlahan.

Profil Syarikat

AMLS mereka bentuk, membangunkan dan mengeluarkan peralatan pengujian automatik (ATE) dan paralatan pengukuran untuk industri semikonduktor dunia, dengan memenuhi permintaan frekuensi radio
(RF), aplikasi pengujian cip isyarat campuran dan dan penderia imej (CIS) berasaskan teknologi
semikonduktor oksida logam pelengkap (CMOS) dari pangkalannya di Pulau Pinang, Malaysia.

Gambaran Am Kewangan, Ramalan, Dan Penilaian

Tesis Pelaburan

Gambaran Am Syarikat

Risiko-Risiko Utama:

i. Capex AI/DC yang lebih perlahan daripada yang dijangka
ii. Turn naik FX
iii. Kelewatan penghantaran produk
iv. Industri semikonduktor dan automotif memperlahan
v. Kehilangan pelanggan penting
vi. Gangguan rantai bekalan.

Penafian :
Laporan penyelidikan ini disediakan oleh pasukan Penyelidikan RHB (RHB Research Team) dari RHB Investment Bank Bhd.

Previous ArticleNext Article

Minat Nak Jadi Remisier? Begini Caranya

Sebelum ini kami ada cerita serba sedikit tentang Best Ke Jadi Remisier? Kita dapat tahu kelebihan menjadi seorang remisier, selain daripada berkongsi ilmu dapat juga menjana pendapatan yang lumayan.

Malah Master Yus yang dahulunya dikenali sebagai seorang perempit di litar bursa, kini telah maju selangkah lagi untuk menjadi seorang remisier. Ikuti kisah beliau yang penuh inspirasi di Kisah Perempit Di Litar Bursa Kepada Seorang Remisier.

Berminat untuk menjadi remisier? Langkah pertama adalah memahami keperluan pelesenan, kelayakan dan peperiksaan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Eh, nampak macam mudah je kan? Mesti kacang putih punya.

Berkenalan Dengan Suruhanjaya Sekuriti Terlebih Dahulu

Untuk menjadi seorang remisier, kita perlu tahu dulu siapa itu Suruhanjaya Sekuriti. Kalau berkaitan bank, simpanan dan takaful kita ada Bank Negara Malaysia (BNM), kalau berkaitan bank pelaburan dan pelaburan pula kita ada Suruhanjaya Sekuriti atau Securities Commission (SC).

Siapakah Securities Commission (SC)?

Sumber gambar: The Malaysian Reserve

Untuk itu, kita rujuk kepada laman web SC untuk tahu lebih lanjut:

Ditubuhkan pada 1 Mac 1993 bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993, SC merupakan badan statutori biaya kendiri dengan kuasa penyiasatan dan penguatkuasaan. SC melapor kepada Menteri Kewangan dan akaunnya dibentangkan di Parlimen secara tahunan. SC mempunyai banyak fungsi pengawalseliaan termasuk:

  • Mengawal selia bursa-bursa, rumah-rumah penjelasan dan depositori pusat;
  • Mendaftarkan prospektus syarikat selain daripada kelab-kelab rekreasi tidak tersenarai;
  • Meluluskan terbitan bon;
  • Mengawal selia semua perkara yang berhubung kait dengan sekuriti dan derivatif;
  • Mengawal selia pengambilalihan dan percantuman syarikat-syarikat;
  • Mengawal selia semua perkara yang berkaitan dengan skim unit amanah;
  • Melesenkan dan mengawasi semua individu yang berlesen;
  • Menggalakkan kawal selia sendiri; dan
  • Memastikan perilaku yang betul di kalangan institusi pasaran dan individu berlesen.

Melaksanakan semua fungsi ini merupakan tanggungjawab besar SC dalam melindungi pelabur. Selain daripada melaksanakan fungsi kawal selia, SC juga bertanggungjawab di bawah undang-undang untuk menggalakkan dan mempromosikan pembangunan sekuriti dan derivatif di Malaysia.

Perhatikan tiga point yang terakhir tersebut, betapa pentingnya SC menitikberatkan bab lesen di dalam industri pelaburan di Malaysia.

Aktiviti Yang Memerlukan Lesen Di Malaysia

Sumber: Licensing Handbook mukasurat 10 – fail PDF

Tengok betul-betul lapan aktiviti yang digariskan oleh SC seperti di atas. Nak berurusan dengan sekuriti (saham, waran, REIT, ETF dan bon) kita kena jadi seorang remisier yang berdaftar dengan SC. Nak jual unit trust atau amanah saham pun kena daftar juga tau. Kalau nak promote dan jual Skim PRS atau Private Retirement Scheme pun kena daftar dengan SC.

Ada Syarat Nak Jadi Remisier?

Ya, terdapat beberapa syarat yang perlu dipenuhi untuk menjadi remisier atau wakil berlesen bagi aktiviti dealing in securities.

Antara syarat yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ialah:

  1. Berumur sekurang-kurangnya 21 tahun.
  2. Memenuhi kriteria fit and proper yang ditetapkan oleh SC.
  3. Memenuhi keperluan kelayakan akademik dan pengalaman kerja yang berkaitan.
  4. Lulus kombinasi modul peperiksaan SC Licensing Examinations (SCLE) yang ditetapkan bagi aktiviti dealing in securities.

Untuk mengetahui kombinasi modul peperiksaan yang diperlukan, anda boleh merujuk kepada panduan modul peperiksaan CMSRL mengikut aktiviti.

Nota: Panduan modul peperiksaan ini disediakan oleh SIDC Prep, sebuah platform persediaan peperiksaan bebas yang tidak berafiliasi, disokong atau disahkan oleh Securities Industry Development Corporation (SIDC), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) atau Bursa Malaysia. Maklumat ini disediakan untuk tujuan rujukan sahaja. Calon hendaklah merujuk kepada sumber rasmi SC bagi mendapatkan keperluan pelesenan terkini.

Maklumat lanjut mengenai syarat kelayakan dan pelesenan boleh dirujuk dalam Licensing Handbook Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Untuk memohon lesen sebagai wakil berlesen dalam aktiviti dealing in securities, calon perlu memenuhi kriteria kelayakan akademik, pengalaman dan kompetensi yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Bagi keperluan peperiksaan, calon perlu lulus kombinasi modul SC Licensing Examinations (SCLE) yang ditetapkan, antaranya:

  • Modul 6 dan Modul 7
  • Modul 6 dan Modul 18
  • Modul 7 dan Modul 17
  • Modul 17 dan Modul 18

Keperluan sebenar tertakluk kepada kategori aktiviti terkawal dan kriteria pelesenan semasa SC. Calon disarankan merujuk Licensing Handbook terkini sebelum membuat permohonan.

Nak Jadi Remisier? Ini Modul Peperiksaan SCLE Yang Perlu Anda Lulus

Kebanyakan calon yang ingin menjadi remisier memilih untuk mengambil Modul 6 dan Modul 7. Tetapi, apakah yang dipelajari dalam kedua-dua modul ini?

Modul 6 – Stock Market and Securities Law (Pasaran Saham dan Undang-undang Sekuriti)

Modul 7 – Financial Statement Analysis and Asset Valuation (Analisis Penyata Kewangan dan Penilaian Aset)

Bagi tahun 2026, yuran peperiksaan SC Licensing Examinations (SCLE) ialah RM1,250 bagi setiap modul untuk calon warganegara Malaysia, termasuk calon yang menduduki peperiksaan buat kali pertama atau mengulanginya.

Calon boleh merujuk laman rasmi SIDC untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai struktur yuran, bahan pembelajaran dan peperiksaan.

Dah Pergi Kelas, Ambil Peperiksaan Pula

Selepas mengikuti kelas persediaan dan membuat ulang kaji, calon perlu menduduki peperiksaan SC Licensing Examinations (SCLE) bagi modul yang ditetapkan.

Kedua-dua Modul 6 dan Modul 7 mengandungi 60 soalan objektif (Multiple Choice Questions atau MCQ) yang perlu dijawab dalam tempoh 90 minit.

Dengan markah lulus sebanyak 60%, calon perlu menjawab sekurang-kurangnya 36 daripada 60 soalan dengan betul untuk lulus peperiksaan bagi setiap modul.

Walau bagaimanapun, calon disarankan menyemak format dan struktur peperiksaan terkini melalui laman rasmi SIDC sebelum menduduki peperiksaan.

Yuran Peperiksaan

Bagi tahun 2026, yuran peperiksaan SC Licensing Examinations (SCLE) ialah RM1,250 bagi setiap modul, untuk calon yang menduduki peperiksaan buat kali pertama atau mengulanginya.

Struktur yuran ini berkuat kuasa mulai 1 Mac 2026 hingga 28 Februari 2027. Oleh itu, calon perlu mengambil kira kos peperiksaan bagi setiap modul sebelum membuat persediaan untuk mendapatkan lesen dalam industri pasaran modal.

Sumber rasmi: SIDC – The SC Licensing Examinations

Senang Ke Nak Lulus?

Prestasi kelulusan berbeza mengikut modul dan tahun. Calon boleh meneliti kadar kelulusan terdahulu sebagai salah satu rujukan untuk merancang persediaan peperiksaan.

Sumber: Kadar kelulusan mengikut modul, 2015–2024

Nota: Maklumat kadar kelulusan peperiksaan ini dirujuk daripada SIDC Prep, sebuah laman latihan peperiksaan bebas yang tidak berafiliasi, disokong atau disahkan oleh Securities Industry Development Corporation (SIDC), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) atau Bursa Malaysia. Data disediakan untuk tujuan maklumat dan rujukan sahaja

Didoakan supaya anda berjaya menjadi seorang remisier, dan menjadi seorang pendidik bagi membantu lebih ramai orang terbuka mata tentang pelaburan saham patuh syariah di Malaysia.

Memang nampak macam senang, tetapi realitinya kita perlu bersabar kerana ianya mengambil masa beberapa bulan juga, daripada saat pergi ke kelas, belajar daripada buku, ambil exam olok-olok, ambil exam sebenar, dan akhirnya dapat sijil mengatakan “Tahniah, Anda Lulus”!

Soalan Lazim Tentang Cara Menjadi Remisier

1. Berapa umur minimum untuk menjadi remisier?

Calon perlu berumur sekurang-kurangnya 21 tahun dan memenuhi syarat pelesenan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

2. Adakah wajib lulus Modul 6 dan Modul 7?

Tidak semestinya. Terdapat beberapa kombinasi modul SCLE yang dibenarkan bagi aktiviti dealing in securities, tertakluk kepada keperluan pelesenan SC.

3. Berapakah yuran peperiksaan SCLE pada tahun 2026?

Bagi calon warganegara Malaysia, yuran peperiksaan ialah RM1,250 bagi setiap modul untuk tempoh 1 Mac 2026 hingga 28 Februari 2027.

4. Berapa soalan dalam peperiksaan Modul 6 dan Modul 7?

Setiap modul mengandungi 60 soalan objektif yang perlu dijawab dalam tempoh 90 minit. Markah lulus ialah 60%, bersamaan sekurang-kurangnya 36 jawapan betul.

5. Berapa lama masa diperlukan untuk menjadi remisier?

Tempoh bergantung kepada persediaan calon, jadual peperiksaan, kelulusan modul dan proses permohonan lesen. Tiada satu tempoh tetap yang terpakai kepada semua calon.