KPJ Healthcare Catat Hasil RM4.26 Bilion Pada TK2025

KUALA LUMPUR: KPJ Healthcare Berhad mencatatkan peningkatan hasil kepada RM4.26 bilion bagi tahun kewangan 2025 (TK2025), naik sembilan peratus berbanding RM3.90 bilion yang direkodkan pada TK2024. 

Dalam satu kenyataan, syarikat itu berkata, prestasi itu turut disokong oleh pertumbuhan keuntungan sebelum cukai sebanyak enam peratus kepada RM563 juta.

“Selain itu, keuntungan selepas cukai kumpulan turut meningkat sebanyak 10 peratus kepada RM402 juta, mencerminkan keupayaan berterusan syarikat dalam memperkukuh asas kewangan serta mengekalkan momentum pertumbuhan. 

“Kumpulan turut menekankan komitmen untuk memberikan pulangan lebih baik kepada pemegang saham melalui kedudukan kewangan yang kukuh dan pertumbuhan permodalan pasaran yang mampan,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, dalam kenyataan sama, Pengerusi KPJ Healthcare, Tan Sri Dr Ismail Bakar berkata, prestasi TK2025 mencerminkan transformasi berterusan syarikat daripada sekadar rangkaian hospital kepada sistem kesihatan bersepadu. 

Menurut beliau, pendekatan itu menghubungkan amalan klinikal, pendidikan, penyelidikan dan inovasi secara menyeluruh.

“Pendekatan tersebut memperkukuh keupayaan KPJ dalam menyediakan penjagaan kesihatan berkualiti tinggi, melahirkan bakat masa depan serta memacu inovasi dalam sektor kesihatan. Pada masa sama, ia turut mewujudkan nilai mampan kepada pesakit, komuniti dan pemegang saham.

“KPJ Healthcare akan terus komited untuk berkembang secara mampan dengan menekankan tujuan yang jelas, daya tahan serta impak jangka panjang. Usaha itu juga bertujuan memperluas akses kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti serta meningkatkan hasil kesihatan secara menyeluruh,” katanya.

Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan pula berkata, sepanjang TK2025, kumpulan mencatat kemajuan signifikan dalam kecemerlangan klinikal, pembangunan bakat dan inovasi. 

Katanya, langkah itu disertai dengan pengukuhan asas operasi bagi menyokong pertumbuhan masa depan.

“Tumpuan KPJ kini adalah memperluas keupayaan tersebut merentasi rangkaiannya melalui integrasi sistem, pembangunan Pusat Kecemerlangan serta penerapan teknologi kesihatan baharu. Ini termasuk penggunaan kecerdasan buatan, genomik dan penjagaan berasaskan nilai,” katanya.

Sepanjang tahun kewangan tersebut, KPJ turut mencatat beberapa pencapaian penting, termasuk pelancaran Pusat Kecemerlangan Jantung dan Paru-Paru di Johor Specialist Hospital. 

Selain itu, kumpulan itu juga melakar kejayaan klinikal pertama dalam sektor swasta Malaysia seperti pelaksanaan prosedur Pressurised Intraperitoneal Aerosol Chemotherapy (PIPAC) dan pembedahan Deep Brain Stimulation (DBS).

Dalam memperkukuh ekosistem kesihatan, KPJ meneruskan kerjasama strategik dengan Mayo Clinic serta memperluas program latihan melalui School of Digital Health dan AI Academy di KPJ Healthcare University. 

Kumpulan itu juga memperkenalkan pelbagai inisiatif inovasi termasuk pembangunan sistem pengurusan penyelidikan dan teknologi chatbot berasaskan kecerdasan buatan dengan kerjasama IBM Malaysia.

Bagi TK2026, KPJ merancang untuk memperkukuh keutamaan strategik termasuk pelancaran Pusat Kecemerlangan Neurosains dan Strok di Damansara Specialist Hospital 2 serta pelaksanaan prosedur pemindahan buah pinggang di Tawakkal Specialist Hospital. 

Kumpulan itu turut memeterai memorandum persefahaman dengan Royal College of Surgeons of England bagi mempertingkat kecemerlangan klinikal dan pembangunan bakat.

Previous ArticleNext Article

Untung Bersih 99 Speed Mart Lonjak 13.4 Peratus Pada Suku Kedua

KUALA LUMPUR: 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd (99 Holdings) mencatat keuntungan bersih RM163.95 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026, meningkat 13.4 peratus daripada RM144.63 juta pada suku sama tahun lalu.

Hasil kumpulan meningkat 13.6 peratus tahun ke tahun kepada RM3.08 bilion daripada RM2.71 bilion sebelumnya, menurut syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

“Peningkatan itu didorong terutamanya oleh pengembangan berterusan rangkaian cawangan, dengan pertambahan bersih 257 cawangan baharu tahun ke tahun, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 3,151 cawangan setakat 30 Jun 2026 berbanding 2,894 cawangan setahun sebelumnya.

“Jumlah transaksi jualan meningkat 13.6 peratus kepada 146.4 juta, dengan nilai purata setiap bakul RM21,” menurut syarikat itu.

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026, 99 Holdings mencatat keuntungan bersih RM352.5 juta berbanding RM289.53 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Hasil bagi tempoh enam bulan pula meningkat kepada RM6.14 bilion daripada RM5.32 bilion sebelumnya.

Selain itu, platform e-dagang jualan pukal syarikat terus mencatat pertumbuhan kukuh apabila hasil meningkat 80.5 peratus tahun ke tahun kepada RM50.2 juta bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2026.

Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif 99 Holdings, Lee Thiam Wah, berkata momentum pertumbuhan positif pada suku berkenaan disokong pengembangan berterusan rangkaian cawangan serta pelaksanaan waktu operasi lebih awal di seluruh negara.

Thiam Wah berkata tumpuan berterusan terhadap kecekapan operasi turut mula memberikan manfaat ketara kepada kumpulan.

Menurutnya, inisiatif penjimatan tenaga dan penggunaan peralatan membantu mengurangkan kos utiliti serta meningkatkan kecekapan kos merentasi operasi kumpulan.

“Dengan rangkaian cawangan kami terus berkembang, kami kekal komited untuk memperkukuh rantaian bekalan bagi menyokong kecekapan operasi,” katanya.

Beliau berkata kumpulan itu juga terus memperluas penawaran produk bagi memenuhi keperluan pelanggan yang berubah susulan sambutan menggalakkan terhadap rangkaian peralatan rumah terpilih.

Rangkaian berkenaan kini diperluas ke semua cawangan di seluruh negara dan turut ditawarkan menerusi platform 99 Bulksales bagi memenuhi keperluan pelanggan korporat serta pembelian secara pukal.