Pelabur Digesa Pelbagaikan Portfolio Di Tengah- Tengah Ketidaktentuan Harga Minyak

KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) — Pelabur digesa mempelbagaikan portfolio dan mempertimbangkan peralihan kepada pelaburan berisiko rendah dan berkualiti tinggi semasa tempoh ketidaktentuan yang disebabkan oleh harga minyak yang tidak menentu, kata Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Asia School of Business Prof Joseph Cherian.

Beliau berkata kepelbagaian kekal penting untuk pelabur semasa tempoh tidak menentu, sambil menekankan keuntungan daripada pelaburan berkaitan tenaga hasil kenaikan harga minyak berikutan peperangan di Asia Barat mungkin dapat mengimbangi kerugian dalam sektor barangan pengguna yang sensitif kepada kitaran ekonomi.

“Itulah sebabnya orang ramai perlu mempelbagaikan pelaburan kerana sektor tenaga akan mengimbangi kerugian dalam sektor kitaran. Daripada memegang dana ekuiti tulen, beli dana berkualiti tinggi yang memberikan dividen tinggi,” katanya kepada Bernama selepas program Bernama TV, The Nation yang dihoskan oleh Jessy Chahal hari ini.

Beliau berkata pendekatan sedemikian merupakan satu bentuk “pelaburan pintar, di mana pelabur beralih sementara kepada syarikat lebih kukuh dan bermodal besar dengan pendapatan dan dividen yang stabil semasa keadaan pasaran tidak menentu.

Menurut Cherian, ketidaktentuan harga minyak global, yang kebelakangan ini mengalami turun naik melebihi paras US$100 setong, boleh mengganggu perancangan perniagaan, keputusan pelaburan dan prospek ekonomi di seluruh rantau ini.

Beliau berkata pergerakan harga minyak yang mendadak dan tidak dapat dijangka mewujudkan ketidaktentuan yang ketara kerana bahan api fosil kekal sebagai input penting dalam hampir setiap sektor ekonomi, daripada pengangkutan dan pembuatan sehinggalah kepada pengeluaran tenaga dan barangan pengguna.

Harga minyak mentah semalam melepasi paras US$100 setong susulan krisis bekalan yang semakin serius akibat perang di Asia Barat, tetapi minyak mentah West Texas Intermediate (WII) jatuh kepada US$81 setong selepas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengumumkan perang itu akan berakhir tidak lama lagi.

“Sebarang ketidaktentuan dalam harga komoditi, terutamanya bahan api fosil yang merupakan input penting dalam proses pengeluaran dan penggunaan, adalah tidak baik,” katanya.
Beliau berkata turun naik harga minyak menyukarkan perniagaan dan pengguna untuk merancang dengan yakin, memandangkan pergerakan harga yang tidak menentu boleh menyebabkan syarikat menangguhkan atau mempertimbangkan semula keputusan pelaburan utama akibat perubahan struktur kos yang pantas.

“Harga minyak mungkin di bawah US$100 hari ini dan melebihi US$100 esok. Ketidaktentuan sebegini menjejaskan proses perancangan kerana jika kos terlalu tinggi, operasi yang menguntungkan boleh menjadi tidak menguntungkan, justeru perniagaan terpaksa merancang dalam jangka pendek dan bukannya jangka panjang,” tambah beliau.

Bagaimanapun, Cherian berkata kesan ekonomi daripada kenaikan harga minyak berbeza dengan ketara bergantung sama ada sesebuah negara merupakan pengeluar bersih atau pengimport bersih minyak, ekonomi yang kaya dengan sumber berpotensi mendapat manfaat daripada harga minyak mentah yang lebih tinggi.

Malaysia sebagai pengeluar minyak bersih, berpotensi mendapat manfaat daripada harga minyak yang lebih tinggi melalui peningkatan hasil eksport dan pulangan ekonomi yang lebih kukuh berkaitan sektor tenaga.

Sebaliknya, beliau berkata ekonomi yang bergantung secara besar-besaran kepada minyak import lebih terdedah kepada kenaikan harga kerana kos tenaga yang lebih tinggi meningkatkan perbelanjaan pengeluaran dan kos sara hidup, sekali gus memberi tekanan lebih besar terhadap pertumbuhan ekonomi mereka.

Cherian berkata kesan ketidaktentuan harga minyak juga berbeza mengikut industri dan pasaran kewangan, bergantung sama ada sesebuah syarikat mendapat manfaat daripada harga tenaga yang lebih tinggi atau sangat bergantung kepada minyak sebagai input pengeluaran.

Syarikat dalam sektor berkaitan tenaga mungkin mencatat prestasi lebih baik semasa tempoh kenaikan harga minyak, manakala industri seperti pembuatan yang bergantung kepada bahan api untuk beroperasi berkemungkinan menghadapi peningkatan kos pengeluaran.

Bagi pengguna pula, mereka mungkin merasai kesan kenaikan harga minyak melalui tekanan inflasi dan perubahan dalam corak perbelanjaan.
“Apabila harga minyak meningkat, inflasi dan kos sara hidup turut meningkat manakala pertumbuhan ekonomi menurun,” katanya sambil menjelaskan isi rumah mungkin mengurangkan perbelanjaan tidak penting apabila kos hidup meningkat.

Beliau berkata sektor yang berkaitan dengan barangan dan perkhidmatan pengguna tidak penting mungkin terjejas teruk semasa tempoh kenaikan harga tenaga, kerana pengguna menangguhkan atau mengelak daripada membeli barangan bukan keperluan seperti peralatan mewah dan barangan lain yang bersifat pilihan.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Untung Bersih 99 Speed Mart Lonjak 13.4 Peratus Pada Suku Kedua

KUALA LUMPUR: 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd (99 Holdings) mencatat keuntungan bersih RM163.95 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026, meningkat 13.4 peratus daripada RM144.63 juta pada suku sama tahun lalu.

Hasil kumpulan meningkat 13.6 peratus tahun ke tahun kepada RM3.08 bilion daripada RM2.71 bilion sebelumnya, menurut syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

“Peningkatan itu didorong terutamanya oleh pengembangan berterusan rangkaian cawangan, dengan pertambahan bersih 257 cawangan baharu tahun ke tahun, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 3,151 cawangan setakat 30 Jun 2026 berbanding 2,894 cawangan setahun sebelumnya.

“Jumlah transaksi jualan meningkat 13.6 peratus kepada 146.4 juta, dengan nilai purata setiap bakul RM21,” menurut syarikat itu.

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026, 99 Holdings mencatat keuntungan bersih RM352.5 juta berbanding RM289.53 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Hasil bagi tempoh enam bulan pula meningkat kepada RM6.14 bilion daripada RM5.32 bilion sebelumnya.

Selain itu, platform e-dagang jualan pukal syarikat terus mencatat pertumbuhan kukuh apabila hasil meningkat 80.5 peratus tahun ke tahun kepada RM50.2 juta bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2026.

Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif 99 Holdings, Lee Thiam Wah, berkata momentum pertumbuhan positif pada suku berkenaan disokong pengembangan berterusan rangkaian cawangan serta pelaksanaan waktu operasi lebih awal di seluruh negara.

Thiam Wah berkata tumpuan berterusan terhadap kecekapan operasi turut mula memberikan manfaat ketara kepada kumpulan.

Menurutnya, inisiatif penjimatan tenaga dan penggunaan peralatan membantu mengurangkan kos utiliti serta meningkatkan kecekapan kos merentasi operasi kumpulan.

“Dengan rangkaian cawangan kami terus berkembang, kami kekal komited untuk memperkukuh rantaian bekalan bagi menyokong kecekapan operasi,” katanya.

Beliau berkata kumpulan itu juga terus memperluas penawaran produk bagi memenuhi keperluan pelanggan yang berubah susulan sambutan menggalakkan terhadap rangkaian peralatan rumah terpilih.

Rangkaian berkenaan kini diperluas ke semua cawangan di seluruh negara dan turut ditawarkan menerusi platform 99 Bulksales bagi memenuhi keperluan pelanggan korporat serta pembelian secara pukal.