Peluang Nak Tolong Orang Sakit Dengan Life Engineering

Apakah itu Life Engineering?

Penyakit boleh menimpa sesiapa sahaja pada bila-bila masa, dan dengan kadar inflasi perubatan yang meningkat antara 10% dan 15% setiap tahun, kos rawatan semakin membebankan bagi rakyat Malaysia. Ramai yang mengambil skim insuran bagi membantu mereka di saat yang sukar, namun tidak semua mampu melanggan pakej insuran pada masa kini. Di sinilah Life Engineering mahu mengisi jurang tersebut dengan menyediakan alternatif untuk rakyat Malaysia untuk mendapatkan pembiayaan kos rawatan perubatan mereka melalui konsep perkongsian kos perubatan.

Program Life Engineering telah dilancarkan kepada umum pada Mac 2017. Ia merupakan platform perkongsian kos perubatan bersama yang pertama di Malaysia. Platform daya teknologi ini membolehkan orang ramai (Pekongsi) menyertai bersama melalui aplikasi telefon mudah alih atau laman web untuk berkongsi kos-kos perubatan kemasukan hospital.

Objektif utama program ini adalah untuk membantu para Pekongsi mengurangkan beban kos-kos perubatan yang semakin meningkat dengan berkongsi kos perubatan yang ditanggung dengan semua Pekongsi yang aktif dalam komuniti.

Sebagai contoh, sekiranya terdapat 1000 orang ahli pekongsi yang aktif dan terdapat beberapa ahli pekongsi dalam komuniti yang dimasukkan hospital  pada bulan itu dengan jumlah kos perubatan sebanyak RM 20,000, setiap ahli pekongsi hanya perlu menyumbang RM 20 (RM 20,000/1000). Jumlah maksimum yang  perlu dikongsi oleh setiap ahli adalah hanya RM 50.00 sebulan. Sekiranya tiada kemasukkan hospital oleh pekongsi pada bulan tertentu, setiap ahli pekongsi tidak perlu membayar apa-apa.

Sila tonton video berikut untuk maklumat lanjut:

Selain menjadi sebuah platform perkongsian bersama kos perubatan, Life Engineering juga mempromosikan gaya hidup sihat melalui gabungan program- program yang lain. Hidup yang sihat adalah cara terbaik untuk menangani masalah kos perubatan.

Sila ambil perhatian bahawa Life Engineering bukan sebuah syarikat insurans. Kami menyediakan penyelesaian alternatif yang mudah, murah dan mudah diakses untuk menangani kos perubatan anda.

Faedah sebagai seorang ahli Life Engineering

  1. Pekongsi-pekongsi (ahli) berkongsi kos perubatan kemasukan hospital sesama ahli.
  2. Pekongsi-pekongsi hanya berkongsi kos perubatan sebenar yang ditanggung. Bayar RM0 jika tiada kemasukkan hospital pada bulan tersebut. Sumbangan maksima hanya RM 50.00* sebulan.
  3. Bagi tahun pertama penyertaan, jumlah had kos perubatan yang boleh dikemukakan seseorang Pekongsi ialah sehingga RM 1 juta. Had tambahan sebanyak RM 200,000 bagi setiap tahun berikutnya.
  4. Jika berlaku kematian pada ahli, pemberian wang ehsan sebanyak RM5000 akan diberikan dan tambahan sebanyak RM 1000 bagi tahun berikutnya.
  5. Terdapat lebih daripada 200 hospital panel di Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak
  6. Pentadbir Life Engineering akan membayar kos perubatan kemasukan hospital dahulu dan berkongsi bersama kosnya kemudian.
  7. Petua penjagaan kesihatan dan aktiviti kesihatan untuk ahli komuniti. 

Syarat- syarat untuk menjadi ahli Life Engineering

  1. Warganegara Malaysia
  2. Berumur antara 8 hingga 40 tahun
  3. Sihat dan tiada sebarang penyakit
  4. Komuniti yang jujur dan berkongsi semangat yang sama

Pendaftaran sebagai Pekongsi atau Penaja

Anda di kehendaki untuk mendaftar dahulu sebagai ‘LE Guest’. Setelah mendaftar, sila log in masuk dan klik pautan ‘LE Sharer’ (Pekongsi) atau ‘Sponsor’ (Penaja) dan ikuti langkah seterusnya.

Penyertaan sebagai Pekongsi anda di kehendaki untuk membayar wang pendahuluan sebanyak RM 102.99 (RM 2.99 adalah caj bagi pemprosesan pembayaran).  RM 100.00 adalah untuk perkongsian dan juga yuran pentadbiran tahunan sebanyak RM 100.00 sahaja.

Sponsor atau Penaja adalah mereka yang berminat untuk menaja ahli keluarga termasuk isteri, anak-anak atau ahli keluarga yang lain.  Pekongsi juga boleh menjadi sebagai penaja setelah mereka menyertai program ini. Penaja tidak terikat dengan syarat-syarat sebagai ahli pekongsi.  Penaja yang berumur lebih dari 40 tahun atau mempunyai penyakit sedia ada juga boleh menjadi penaja.  Mereka adalah orang yang bertanggungjawab untuk membayar kos perkongsian bagi ahli yang di taja.

Untuk makluman, setiap wang pendahuluan atau tambah nilai yang di bayar oleh pekongsi akan di letakkan di bawah Pemegang Amanah “Ong and Manecksha, Advocates & Solicitors”.  Jika berlakunya perkongsian kos perubatan, pihak Pentadbir Life Engineering yang akan membayar kos perubatan dahulu dan setelah itu akan menuntut kembali wang di bayar itu dari Pemegang Amanah.

Kes Perkongsian Bersama Perubatan Pertama di Malaysia

Pada 21 Februari 2018, salah seorang daripada Pekongsi kami telah dimasukkan ke Pusat Perubatan Taman Desa (TDMC) bagi menjalankan pembedahan pembuangan sista ovari (ovarian cysts removal operation).  Pekongsi tersebut telah dibenarkan keluar daripada hospital pada 23 Februari 2018 dan jumlah bil perubatan yang ditanggung adalah sebanyak RM 11,432.95.

Keseluruhan proses kemasukan hospital dan penilaian adalah dikendalikan oleh e-MAS, yang merupakan Juruaudit Perubatan Professional (PMA) bagi memastikan proses berjalan dengan telus dan lancar. Total kos sebanyak RM 11,432.95 itu telah berjaya dikongsi bersama oleh semua pekongsi pada bulan Mac dan April 2018. 

Testimoni video:

Pernah Masuk Watchlist Bank Negara Malaysia (BNM)?

Sumber: Bank Negara Malaysia

Merujuk kepada notis bertarikh 23 Mac 2017 di atas, BNM telah memasukkan Life Engineering dan syarikat Crowd Care Sdn. Bhd. ke dalam watchlist mereka. Jika anda Google, pasti jumpa notis di atas.

Namun, BNM telah pun mengeluarkan Life Engineering daripada senarai watchlist pada awal tahun 2018, apabila penjelasan telah dibuat bahawa aplikasi Life Engineering hanyalah bersifat crowd sharing, iaitu bersama-sama berkongsi untuk bayarkan kos perubatan bagi kes yang betul-betul genuine.

Tak percaya? Rujuk laman web BNM di bahagian Financial Consumer Alert, dan muat turun kedua-dua fail PDF tersebut:

Ini bermakna, pihak BNM telah berpuashati dengan operasi mereka – menyebabkan mereka tidak lagi tersenarai dalam watchlist tersebut.

Untuk pengetahuan anda, Life Engineering kini dikenali sebagai Gather Care. Untuk maklumat lanjut, layari Pilihan Selain Takaful

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Bursa Malaysia Securities Mengeluarkan Teguran Awam Dan/Atau Mengenakan Denda Ke Atas Computer Form (Malaysia) Berhad Serta Lapan Orang Pengarah

Bursa Malaysia Securities Berhad (“Bursa Securities”) telah mengeluarkan teguran awam terhadap Computer Forms (Malaysia) Berhad (CFM) dan lapan (8) orang pengarahnya kerana melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia (Main Market Listing Requirements, MAIN LR).

Selain teguran awam, lapan pengarah terbabit turut dikenakan denda berjumlah RM2 juta.

Pelanggaran utama oleh CFM

CFM didapati melakukan beberapa pelanggaran serius berkaitan pendedahan maklumat kepada pelabur, antaranya:

1. Gagal mendedahkan syarat penting dalam usaha sama (Joint Venture Agreement – JVA)

Dalam pengumuman bertarikh 5 Januari 2023, CFM gagal mendedahkan beberapa fakta material berkaitan perjanjian usaha sama dengan EA Mobility Holding Co. Ltd., termasuk:

  • Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) yang ditandatangani pada hari yang sama.
  • Klausa Put Option yang membolehkan EA Mobility menjual keseluruhan pegangannya dalam syarikat usaha sama kepada CFM sekiranya CFM gagal mendapatkan:
    • Tempahan disahkan (Affirmed Orders) sekurang-kurangnya 200 buah kenderaan elektrik (EV); dan
    • Bayaran deposit atau harga pembelian sekurang-kurangnya RM12.5 juta sebelum 30 Jun 2023.
  • Hakikat bahawa Perjanjian Usaha Sama (JVA) akan terbatal secara automatik sekiranya mana-mana pihak tidak lagi memiliki saham dalam syarikat usaha sama.

2. Siaran media 3 Julai 2023 mengelirukan pelabur

CFM mengeluarkan kenyataan media yang menggambarkan usaha sama tersebut masih berada pada landasan positif.

Namun, syarikat gagal mendedahkan bahawa:

  • Sasaran tempahan 200 EV tidak berjaya dicapai.
  • Bayaran minimum RM12.5 juta juga gagal diperoleh.
  • Kegagalan tersebut membuka ruang kepada EA Mobility untuk melaksanakan Put Option yang boleh menyebabkan penamatan usaha sama.

3. Lewat mengumumkan notis Put Option

Pada 10 Julai 2023, EA Mobility memaklumkan hasrat untuk melaksanakan Put Option.

Bagaimanapun, CFM hanya membuat pengumuman kepada Bursa pada 20 Julai 2023, iaitu selepas kelewatan lapan hari dagangan.

4. Pengumuman berkaitan penamatan usaha sama tidak lengkap dan mengelirukan

Dalam beberapa pengumuman antara 20 Julai hingga 1 September 2023, CFM menyatakan bahawa:

  • Operasi syarikat usaha sama masih berjalan seperti biasa.
  • Rundingan dengan EA Mobility masih diteruskan.

Namun syarikat tidak memaklumkan bahawa:

  • Penamatan JVA akan berlaku selepas pemindahan saham EA Mobility kepada CFM.
  • Maklumat mengenai penamatan hanya diumumkan pada 5 September 2023, hampir dua bulan selepas notis Put Option dikeluarkan dan hanya selepas Bursa Malaysia meminta penjelasan lanjut.

5. Memberikan maklumat tidak tepat kepada Bursa Malaysia

CFM turut didapati gagal memberikan maklumat yang tepat apabila:

  • Memaklumkan bahawa tiada perjanjian lain selain JVA.
  • Tidak menyerahkan salinan Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) walaupun diminta oleh Bursa Malaysia.
  • Perjanjian tersebut hanya diserahkan pada 25 September 2023 selepas beberapa kali pertanyaan dibuat.

Denda terhadap lapan pengarah

Kesemua lapan pengarah didapati membenarkan syarikat melakukan pelanggaran tersebut dan dikenakan teguran awam serta denda seperti berikut:

PengarahJumlah Denda
Tan Sri Datuk Mazlan Bin LazimRM300,000
Datuk Seri Tan Choon HwaRM100,000
Datuk Wira Justin Lim Hwa TatRM150,000
Datuk Hoo Swee GuanRM450,000
Pang Nan YewRM300,000
Wong Kok SeongRM300,000
Kho See YiingRM300,000
Tan Li SinRM100,000

Jumlah keseluruhan denda: RM2 juta.

Mengapa tindakan ini diambil?

Bursa Malaysia memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas proses siasatan lengkap dengan mengambil kira:

  • Keseriusan pelanggaran yang dilakukan.
  • Kesan terhadap pemegang saham dan pelabur.
  • Peranan serta tahap penglibatan setiap pengarah.

Menurut Bursa Malaysia, pendedahan maklumat yang tepat, lengkap dan dibuat tepat pada masanya amat penting bagi membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan yang bermaklumat, di samping memastikan pasaran modal kekal teratur, telus serta mengekalkan keyakinan pelabur.

Latar belakang kes

Pada 5 Januari 2023, CFM memeterai Perjanjian Usaha Sama (JVA) dan Perjanjian Pemegang Saham (SA) dengan EA Mobility bagi projek kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Walaupun perjanjian tersebut mengandungi syarat penting yang boleh menyebabkan usaha sama ditamatkan sekiranya sasaran tempahan EV dan kutipan deposit RM12.5 juta tidak dipenuhi sebelum 30 Jun 2023, syarat tersebut tidak didedahkan kepada pasaran.

CFM kemudiannya gagal memenuhi syarat berkenaan, menyebabkan EA Mobility melaksanakan Put Option pada 10 Julai 2023. Namun, perkembangan material tersebut tidak didedahkan secara segera dan lengkap kepada pelabur, sekali gus mendorong Bursa Malaysia mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat dan para pengarahnya.