Automotif & Komponen Automotif: Bakal Catat Prestasi Lebih Kukuh Pada 2H

Saham Pilihan Utama: Sime Darby

Persatuan Automotif Malaysia (MAA) merekodkan TIV sekitar 68 ribu unit (+10% MoM, +23% YoY) pada bulan Jun, dengan jumlah pengeluaran keseluruhan (TPV) mencecah kira-kira 69 ribu unit. Prestasi MoM yang lebih kukuh ini sudah dijangka memandangkan bilangan hari bekerja yang lebih banyak pada bulan Jun.

Kami terus meramalkan prestasi yang lebih kukuh untuk 2H atas faktor musim, berdasarkan pelancaran model kenderaan baharu, lebih banyak kempen promosi dan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang stabil. Walau bagaimanapun, kami tetap berjaga-jaga akan tekanan inflasi secara umumnya, yang mungkin menjejaskan pembelian barangan bukan keperluan. Kami kekalkan saranan NEUTRAL terhadap sektor.

TIV bulan Jun meningkat kepada 67,879 unit (+10% MoM, +23% YoY)

Lalu membawa angka dari awal tahun ini (YTD) hingga Jun kepada 385 ribu unit (+3% YoY), yang merangkumi 49% ramalan sepenuh tahun kami. Kenaikan MoM ini rataratanya didorong oleh bilangan hari bekerja yang lebih banyak, yang menyebabkan TPV (+20% MoM) bertumbuh. Jenama-jenama kebangsaan rata-ratanya menyaksikan kenaikan 6% QoQ, dipacu oleh Perodua (+12% MoM) tetapi sebahagiannya dilemahkan oleh Proton (-4% MoM). Sementara itu, pengeluarpengeluar kereta luar negara merekodkan kenaikan 21% MoM, dengan kebanyakannya diterima daripada Honda (+77% MoM).

Dari segi kenderaan elektrik (EV), Proton kekal sebagai jenama paling laris terjual pada bulan Jun

Berdasarkan data terbitan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang mengambil kira bukan ahli MAA, Proton menerajui jumlah pendaftaran dengan 1,888 unit (+6% MoM), diikuti oleh BYD pada 1,076 unit (+16% MoM) dan Tesla pada 935 unit (>3x MoM). Jumlah pendaftaran EV melonjak 23% MoM kepada 6,215 unit, lalu membawa jumlah pendaftaran YTD-Jun kepada kira-kira 32 ribu unit (7.8% daripada jumlah pendaftaran berbanding 5.1% pada 2025).

Pada pendapat kami, pertumbuhan EV yang baik ini dipacu oleh pembelian awal oleh pengguna sebelum dasar EV baharu mula dilaksanakan pada 1 Jul. Kami juga menekankan yang Jaecoo J5 EV dan Xpeng kedua-duanya sudah dibuka untuk tempahan (versi CKD), dengan harga Xpeng lebih kurang sama dengan varian CBUnya. Sementara itu, Perodua hanya mendaftarkan 65 unit EV pada bulan Jun (Mei: 80 unit), meskipun harganya dipinda baru-baru ini.

Kami menjangka jumlah jualan keseluruhan akan terus meningkat pada 2H26 ekoran faktor-faktor musim (lonjakan jualan bulan December)

Diperkukuh oleh pelancaran model-model baharu termasuklah EV Proton e.MAS 7 Premium Plus,
BYD Atto 3, danMazda CX-5. Selain itu, penurunan CPI yang lebih rendah daripada dijangka sebanyak 1.9% YoY pada bulan Jun, di samping semakan pertumbuhan KDNK oleh Jabatan Ekonomi RHB baru-baru ini, mungkin menandakan keadaan makroekonomi yang terus memberangsangkan – didorong oleh pasaran pekerjaan yang kukuh, pendapatan isi rumah yang meningkat dan OPR yang stabil.

Mengikut sejarah, TIV 1H merangkumi 46-48% daripada TIV sepenuh tahun dan jika kami mengandaikan pecahan yang sama untuk 2026, hal ini bermakna TIV sepenuh tahun mencecah 806 ribu-844 ribu unit (-2% to +3% YoY). Oleh demikian itu, kami sekarang menaikkan andaian TIV sebanyak 3% kepada 805 ribu unit daripada 780 ribu. Walaupun begitu, kami tetap berhati-hati akan tekanan kenaikan kos yang mungkin berlaku akibat ketidaktentuan dunia dan turun naik harga komoditi, yang mungkin menjejaskan pembelian barangan bukan keperluan.

Kekal NEUTRAL terhadap sektor

Prospek kami masih berjaga-jaga, disebabkan oleh:

i) Ketidaktentuan dasar

ii) potensi tekanan inflasi yang mungkin menjejaskan permintaan

iii) kitaran penggantian kereta memperlahan

Memandangkan empat tahun TIV memecah rekod. Risiko-risiko negatif utama: Pesanan lebih lemah daripada dijangka dan persaingan harga yang rancak

Penganalisis
Iftaar Hakim Rusli +603 2302 8114 ([email protected])

Penafian :
Laporan penyelidikan ini disediakan oleh pasukan Penyelidikan RHB (RHB Research Team) dari RHB Investment Bank Bhd.

Previous ArticleNext Article

Kenapa CIMB Pertimbang Bawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa Saham Indonesia?

Pada 21 Oktober 2026, beberapa laporan media kewangan menyatakan CIMB Group Holdings Bhd, kumpulan perbankan dari Malaysia, sedang menilai kemungkinan membawa anak syarikatnya, PT Bank CIMB Niaga Tbk, keluar daripada Bursa Saham Indonesia atau Indonesia Stock Exchange (IDX).

Bagaimanapun, pada 22 Oktober 2026, CIMB Group mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa pihaknya mempunyai rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga. Kumpulan itu menegaskan bahawa tiada keputusan dibuat dan tiada cadangan rasmi dikemukakan berhubung perkara tersebut.

Walaupun begitu, laporan awal berkenaan memberikan gambaran tentang cabaran yang dihadapi syarikat tersenarai apabila perlu memenuhi peraturan pasaran saham dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.

1. Peraturan Free Float Semakin Ketat

Antara faktor utama yang mencetuskan spekulasi tersebut ialah perubahan peraturan Bursa Saham Indonesia berkaitan free float, iaitu peratusan saham syarikat yang tersedia untuk dagangan pelabur awam.

CIMB Group dilaporkan memiliki kira-kira 91.4% saham CIMB Niaga. Pegangan yang besar ini menyebabkan bahagian saham yang tersedia untuk dagangan awam menjadi terhad.

Berdasarkan peraturan baharu yang dilaporkan, CIMB Niaga perlu meningkatkan pegangan saham awamnya kepada sekurang-kurangnya 12.5% menjelang Mac 2027 dan 15% menjelang Mac 2028.

Bagi memenuhi keperluan ini, CIMB mempunyai beberapa pilihan, termasuk menjual sebahagian saham kepada pelabur strategik atau menerbitkan saham tambahan kepada pelabur awam.

Namun, setiap pilihan mempunyai implikasi tersendiri terhadap struktur pemilikan, penilaian saham dan kepentingan pemegang saham sedia ada.

2. Saham CIMB Niaga Dianggap Belum Mencerminkan Nilai Sebenar

Faktor kedua ialah penilaian saham atau valuation.

Menurut laporan analisis yang diterbitkan pada 21 Oktober, CIMB melihat saham CIMB Niaga sebagai undervalued, iaitu harga pasaran yang dianggap lebih rendah daripada nilai asas perniagaannya.

CIMB Niaga bukan sekadar sebuah bank yang beroperasi di Indonesia. Bank ini mempunyai perniagaan dalam perbankan korporat, pengurusan kekayaan, perbankan Islam dan perkhidmatan kepada pelanggan berpendapatan tinggi.

Pada 30 Jun 2026, CIMB Niaga dilaporkan mempunyai jumlah aset sekitar 382 trilion rupiah.

Jika harga saham tidak mencerminkan potensi perniagaan tersebut, penjualan pegangan kepada pelabur baharu mungkin tidak menghasilkan nilai yang dianggap memadai oleh pemegang saham induknya.

Dalam keadaan sedemikian, pemilik syarikat mungkin menilai sama ada lebih baik mengekalkan pemilikan jangka panjang berbanding menjual saham pada penilaian pasaran semasa.

3. Pasaran Saham Indonesia Berdepan Ketidaktentuan

Keadaan pasaran turut mempengaruhi pilihan yang tersedia kepada CIMB.

Kebimbangan mengenai ketelusan pasaran dan kemungkinan perubahan klasifikasi pasaran Indonesia oleh MSCI telah menjejaskan sentimen pelabur terhadap saham Indonesia.

Dalam keadaan pasaran yang lemah, usaha menjual sebahagian besar saham kepada pelabur awam melalui penawaran saham sekunder atau re-IPO mungkin menjadi kurang menarik.

CIMB juga perlu mempertimbangkan sama ada pelabur sanggup membeli saham pada penilaian yang memenuhi jangkaan kumpulan tersebut.

Oleh itu, penswastaan muncul sebagai salah satu pilihan yang dibincangkan oleh penganalisis dalam laporan awal berkenaan.

4. Apakah Maksud Membawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa?

Jika sesebuah syarikat dinyahsenaraikan atau delisted, sahamnya tidak lagi didagangkan di bursa saham berkenaan.

Sekiranya proses itu melibatkan penswastaan, syarikat induk lazimnya membeli sebahagian atau semua saham yang dipegang oleh pemegang saham minoriti, tertakluk pada struktur transaksi dan kelulusan yang diperlukan.

Bagi CIMB, langkah sedemikian secara teori boleh memberikan lebih banyak fleksibiliti dalam mengurus modal, menentukan strategi perniagaan dan merancang pertumbuhan CIMB Niaga tanpa tekanan pasaran saham awam yang sama.

Bagaimanapun, penyahsenaraian tidak semestinya bermaksud bank tersebut akan ditutup atau menghentikan operasinya. CIMB Niaga boleh terus beroperasi sebagai bank di Indonesia walaupun tidak lagi tersenarai di bursa.

5. Berapa Kos Untuk Membeli Keluar Pemegang Saham Minoriti?

Laporan media pada 21 Oktober memetik anggaran penganalisis bahawa pembelian keluar pemegang saham minoriti boleh menelan belanja sekitar RM800 juta, bergantung pada harga tawaran dan struktur transaksi.

Angka ini merupakan anggaran analisis, bukannya jumlah yang telah dipersetujui atau diumumkan secara rasmi oleh CIMB Group.

Kos sebenar akan bergantung pada harga saham ketika transaksi dilaksanakan, premium yang ditawarkan kepada pemegang saham minoriti serta sama ada semua pemegang saham minoriti perlu menjual pegangan mereka.

Selain itu, struktur tertentu mungkin membolehkan sebahagian pelabur institusi mengekalkan pegangan dalam entiti yang tidak lagi tersenarai, tertakluk pada peraturan dan kelulusan berkaitan.

Kesimpulan

Laporan mengenai kemungkinan penyahsenaraian CIMB Niaga memperlihatkan bagaimana perubahan peraturan pasaran, penilaian saham dan keadaan pasaran modal boleh mempengaruhi strategi sesebuah kumpulan perbankan.

Walau bagaimanapun, CIMB Group pada 22 Oktober 2026 menafikan laporan mengenai kemungkinan membawa CIMB Niaga keluar daripada Bursa Saham Indonesia. Kumpulan itu menjelaskan bahawa tiada keputusan atau cadangan rasmi dibuat berhubung perkara tersebut.

CIMB turut menegaskan bahawa CIMB Niaga kekal sebagai sebahagian penting daripada rangkaian perbankan serantaunya dan kumpulan itu komited untuk meneruskan operasi di Indonesia serta mematuhi semua keperluan kawal selia yang berkenaan.


Sumber rujukan

  1. The Star — CIMB Group steps up efforts to pursue potential delisting of CIMB Niaga (21 Oktober 2026).
  2. The Edge Malaysia — CIMB weighs taking Indonesian unit private as potential secondary offering loses appeal — analysts (21 Oktober 2026).
  3. The Business Times — Malaysia’s CIMB explores taking Indonesian arm private amid market volatility (21 Oktober 2026).
  4. CIMB Group Holdings Bhd — kenyataan rasmi bertarikh 22 Oktober 2026 yang menafikan rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga.