Grab Meterai Perkongsian Awan Strategik Dengan Microsoft

  • Grab akan mengguna pakai Microsoft Azure sebagai platform awan pilihannya
  • Microsoft akan membuat pelaburan strategik dalam Grab
  • Perjanjian lima tahun ini bakal menyaksikan kolaborasi pada bahagian kedua-dua pihak dalam pelbagai projek teknologi termasuk data raya, kecerdasan buatan dan penyelesaian mobiliti

SINGAPURA dan REDMOND, Washington, 15 Oktober 2018  – Microsoft Corp. dan Grab, platform pengangkutan, pembayaran mudah alih dan perkhidmatan dalam talian-kepada-luar talian yang terkemuka di Asia Tenggara telah mengumumkan satu perkongsian strategik yang akan mengubah penyediaan perkhidmatan digital dan mobiliti di rantau tersebut dengan memanfaatkan kepakaran bertaraf dunia Microsoft dalam bidang pembelajaran mesin dan keupayaan kecerdasan buatan (AI). Sebagai langkah pertama dalam kolaborasi yang luas antara kedua-dua syarikat, Grab akan mengguna pakai Microsoft Azure sebagai platform awan pilihannya dan Microsoft akan membuat pelaburan strategik dalam Grab.

“Perkongsian ini memperlihatkan satu kolaborasi erat dengan Microsoft dalam pelbagai projek teknologi termasuk data raya dan kecerdasan buatan yang akan mengubah penyediaan perkhidmatan harian dan penyelesaian mobiliti di Asia Tenggara,” kata Ming Maa, presiden Grab. “Sebagai peneraju teknologi global, pelaburan Microsoft dalam Grab memaparkan kedudukan kami sebagai pengusaha teknologi buatan tempatan yang terkemuka di rantau ini. Kami berharap dapat berkolaborasi dengan Microsoft dalam usaha meningkatkan pengangkutan atas permintaan dan pengalaman dalam talian-kepada-luar talian yang lancar untuk pengguna.”

“Usahasama kami dengan Grab membuka peluang baharu untuk kami menginovasi dalam industri yang pesat berkembang dan juga di rantau yang mengalami pertumbuhan ini,” kata Peggy Johnson, naib presiden eksekutif Microsoft. “Kami berasa teruja untuk berganding bahu demi mengubah pengalaman pelanggan selain meningkatkan penyerahan perkhidmatan digital untuk berjuta-juta pengguna yang bergantung pada Grab untuk pengangkutan, penyerahan makanan dan pakej, pembayaran mudah alih dan perkhidmatan kewangan yang selamat dan berpatutan”.

Sebagai platform dalam talian-kepada-luar talian mudah alih yang terkemuka di Asia Tenggara, Grab beroperasi di 235 bandar merentasi lapan negara Asia Tenggara, manakala dompet digital Grab, GrabPay merupakan pengusaha yang terkemuka di Asia Tenggara.

Melalui perkongsian ini, Grab akan mengguna pakai Microsoft Azure sebagai platform awan pilihannya bagi memanfaatkan keupayaan awan pintar dan AI untuk meluaskan platform Grab dengan cekap, serta meningkatkan kapasiti dan juga keupayaannya. Melalui kolaborasi ini, syarikat-syarikat ini akan meneroka beberapa projek teknologi mendalam yang inovatif yang akan meningkatkan serta mengubah pengalaman Grab untuk pengguna, rakan kongsi-pemandu, peniaga dan ejen Grab. Projek-projek inovasi khas ini termasuk:

Data raya, AI dan pembelajaran mesin

  • Untuk membantu meningkatkan keselamatan dan sekuriti penumpang serta pemandu, Grab akan bekerjasama dengan Microsoft untuk meneroka mekanisme pengesahan baharu seperti pengecaman wajah mudah alih dengan AI terbina dalam untuk pemandu dan pelanggan yang memilihnya, sebagai penggantian kepada pemeriksaan ID yang membantu memadankan identiti pemandu dan penumpang kepada tempahan.
  • Grab akan meneroka penggunaan analitik data dan perkhidmatan pengesanan penipuan Microsoft Azure untuk meramal dan mencegah transaksi berunsur penipuan dengan lebih baik pada platform Grab.
  • Kedua-dua syarikat ini merancang untuk memanfaatkan keupayaan pemprosesan bahasa tabii Microsoft untuk menyediakan terjemahan waktu nyata yang kontekstual kepada pelanggan dan mencipta robot sembang (chatbot) AI agar pengguna Grab dapat merasai pengalaman yang interaktif.
  • Pembelajaran mesin dan keupayaan AI Microsoft akan digunakan untuk memperkasa “enjin cadangan” termaju Grab yang menganalisis data dan tingkah laku pengguna bagi menyediakan perkhidmatan tersuai serta cadangan kandungan melalui aplikasi Grab.
  • Grab juga merancang untuk bekerjasama dengan Microsoft bagi meneroka teknologi pengecaman imej dan penglihatan komputer yang akan meningkatkan pengalaman ambilan pengguna serta pemandu. Sebagai contoh, penumpang akan berupaya mengambil foto lokasi semasa mereka dan membolehkannya ditukarkan kepada alamat sebenar untuk pemandu.
  • Bagi menambah baik penciptaan dan kualiti peta, Grab merancang untuk memanfaatkan kuasa keupayaan pembelajaran mesin Microsoft.

Bidang-bidang kolaborasi lain

  • Penyepaduan Microsoft Outlook. Grab akan menyediakan pilihan tempahan pengangkutan atas permintaan kepada pengguna Outlook agar mereka dapat menempah perjalanan dengan mudah secara terus dalam aplikasi dan dimaklumkan dengan peringatan kalendar.
  • Microsoft KaizalaGrab akan menjalankan ujian rintis terhadap Kaizala Microsoft, aplikasi dan perkhidmatan mudah alih untuk komunikasi kumpulan dan pengurusan kerja yang besar, demi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pasukan-pasukan Khidmat Pelanggan Grab.
  • Penyelesaian dalam kereta. Syarikat-syarikat ini akan berkolaborasi bagi penggunaan penyelesaian hiburan dan produktiviti dalam kereta di seluruh Asia Tenggara.
  • Penyepaduan ganjaran. Microsoft akan meninjau usaha untuk menggabungkan Kad Hadiah Ganjaran Microsoft ke dalam program kesetiaan Ganjaran Grab.

Latar Belakang Grab

Grab ialah salah satu platform mudah alih O2O yang paling kerap digunakan di Asia Tenggara, menyediakan perkhidmatan harian yang paling penting buat pengguna. Berulang alik, menjamu selera, menghantar barangan beli belah dan membayar menggunakan satu e-dompet. Grab percaya bahawa setiap penduduk Asia Tenggara seharusnya mendapat manfaat daripada ekonomi digital dan syarikat ini menyediakan akses kepada pengangkutan, penyerahan makanan dan pakej, pembayaran mudah alih dan perkhidmatan kewangan yang selamat serta berpatutan. Kini, Grab menawarkan perkhidmatan di Singapura, Indonesia, Filipina, MalaysiaThailandVietnamMyanmar dan Kemboja. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.grab.com.

Latar Belakang Microsoft

Microsoft (Nasdaq “MSFT” @microsoft) mendayakan transformasi digital untuk era awan pintar dan pinggir pintar. Matlamatnya adalah untuk memperkasa setiap individu dan setiap organisasi di seluruh dunia untuk mencapai lebih banyak kejayaan.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Pusat Perubatan Sunway Velocity Dan Institut Sukan Negara Meterai Kerjasama Strategik Bagi Memperkukuh Penjagaan Dan Pemulihan Atlet Negara

KUALA LUMPUR – Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV) dan Institut Sukan Negara (ISN) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi merasmikan kerjasama strategik yang bertujuan untuk memperkukuh penjagaan kesihatan atlet dan ahli profesional sukan melalui penjagaan yang lebih lancar, selaras dan khusus.

MoU ini mencerminkan komitmen bersama kedua-dua institusi untuk menyokong atlet dan kakitangan ISN, dan merangkumi keperluan perubatan yang menyeluruh, dengan penekanan khusus kepada intervensi pembedahan, rehabilitasi dan pemulihan pasca pembedahan untuk memastikan mereka dapat kembali bersukan dengan selamat. Ia turut mewujudkan satu rangka kerja bagi kerjasama klinikal yang lebih erat, rujukan dua hala serta perkongsian ilmu yang berterusan di antara doktor pakar SMCV dan pasukan sains sukan serta perubatan ISN.

Majlis MoU ini telah disempurnakan oleh Puan Susan Cheow, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SMCV, dan Dr Wee Tong Ming, Pengarah Perubatan merangkap Pakar Perunding Perubatan Kecemasan di SMCV. Mereka turut disertai oleh delegasi Pakar Perunding Bedah Ortopedik dan Trauma SMCV, iaitu Dr Chang Kok Chun, Dr Ng Swee Soon dan Dr Yuen Jin Chuan, dengan dua nama terakhir juga merupakan Pakar Bedah Artroplasti. Turut hadir ialah Pakar Bedah Sukan SMCV, Dr Aminudin Mohamed Shamsudin dan Dr Raymond Yeak Dieu Kiat, serta Pakar Perunding Dermatologi, Datin Dr Nur Ashikin Ahmad.

Mewakili ISN ialah Dr Vellapandian A/L Ponnusamy, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Dr Mohamad Fajar Bin Mohamed Kasim; Pengarah Bahagian Sains Sukan, Dr Ahmad Munawwar Helmi Bin Salim; Ketua Jabatan Penjagaan Sukan, Dr Amir Azwan Bin Azman; Ketua Jabatan Perubatan Sukan, Encik Muhd Noorfaizalazrul Bin Muhammad Azalai; Ketua Jabatan Rehabilitasi, dan Puan Nor Azian Binti Khalid @ Abd Malek; Ketua Pusat Pengurusan Perubatan Sukan.

Rangkaian Penjagaan Kesihatan Menyeluruh yang Direka Mengikut Keperluan Atlet

Teras utama kerjasama ini adalah matlamat bersama untuk menyediakan pengalaman penjagaan kesihatan yang holistik kepada atlet serta kakitangan ISN, dan memastikan mereka mendapat akses kepada rawatan, rehabilitasi dan sokongan pemulihan yang diperlukan yang tepat pada masanya.

Melalui kerjasama ini, atlet dan kakitangan ISN yang layak akan mendapat manfaat daripada pelbagai perkhidmatan utama di SMCV, termasuk rawatan pesakit luar dan kemasukan ke hospital, pemulihan pasca pembedahan, perkhidmatan radiologi seperti ujian MRI, imbasan CT dan sinar-X, penjagaan ortopedik bagi masalah tulang, kecederaan sukan, sendi dan otot, serta perkhidmatan dermatologi untuk penyakit kulit yang berkaitan sukan.

Bagi menyokong akses yang lancar kepada perkhidmatan ini, MoU ini mewujudkan sistem rujukan yang dipermudah antara SMCV dan ISN, membolehkan atlet dan kakitangan mendapat akses kepada kemudahan serta kepakaran daripada gabungan kedua-dua institusi sepanjang rawatan mereka.

Menurut Puan Susan Cheow, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SMCV,“Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan ISN dalam kolaborasi yang mencerminkan komitmen bersama untuk menyokong kesihatan dan pemulihan atlet negara serta ahli profesional sukan Malaysia. Apa yang lebih penting, ini bukanlah kerjasama sekali sahaja, tetapi merupakan sebuah permulaan kepada kerjasama berterusan yang menggabungkan kepakaran daripada kedua-dua institusi bagi memberikan manfaat yang berterusan dan dapat membuahkan hasil positif kepada atlet negara.”

Dengan intervensi pembedahan dan pemulihan pasca pembedahan sebagai fokus utama kerjasama ini, kedua-dua institusi ini berusaha memastikan pelan rawatan bukan sahaja tertumpu kepada pemulihan, tetapi juga disesuaikan dengan keperluan perubatan dan pembedahan khusus mengikut jenis sukan atau disiplin setiap atlet. Ini termasuk penekanan terhadap protokol kembali ke sukan yang berasaskan bukti bagi membantu atlet kembali bertanding dengan selamat, yakin dan pada tahap prestasi optimum.

Dr. Vellapandian A/L Ponnusamy, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ISN berkata, “Atlet negara adalah kebanggaan kita, dan memastikan mereka mendapat akses kepada kepakaran perubatan bertaraf tinggi adalah teras kepada misi ISN. Kerjasama dengan SMCV ini meningkatkan keupayaan kami untuk menyediakan penjagaan kesihatan yang komprehensif, khususnya apabila intervensi pembedahan khusus atau pengimejan diagnostik lanjutan diperlukan. Dengan merapatkan jurang antara kecemerlangan sukan dan klinikal, kami berharap untuk memberikan sokongan terbaik kepada atlet negara untuk pulih daripada kecederaan dan kembali ke podium.”

Memacu Perkongsian Ilmu dan Impak Jangka Panjang

MoU ini turut menyokong pertukaran berterusan ilmu perubatan dan kepakaran klinikal antara SMCV dan ISN. Melalui usaha ini, kedua-dua institusi ini berhasrat untuk meningkatkan kualiti rawatan, memperbaiki hasil pemulihan serta memperkukuh piawaian penjagaan menyeluruh untuk komuniti sukan Malaysia.

Selain itu, MoU ini memperkenalkan rangka kerja rujukan silang dua hala (mutual cross-referral network), yang membolehkan atlet dan kakitangan ISN mendapat manfaat daripada gabungan kepakaran serta fasiliti daripada kedua-dua institusi. Pendekatan bersepadu ini bertujuan menyediakan sokongan yang lebih menyeluruh dan merangkumi perubatan sukan, pemulihan, pembedahan serta kepakaran perubatan lain yang berkaitan.

Melalui kerjasama ini, SMCV dan ISN menegaskan komitmen mereka dalam membina ekosistem penjagaan kesihatan yang lebih kukuh bagi atlet dan profesional sukan negara, bukan sahaja dari aspek rawatan dan pemulihan, malah turut memastikan tahap kesihatan optimum, ketahanan fizikal serta prestasi sukan yang berterusan untuk jangka panjang.

Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV) terletak di Lingkaran SV, Sunway Velocity. Untuk pertanyaan, sila hubungi +603 9772 9191 atau e-mel [email protected]. Untuk maklumat lanjut atau untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Sunway Medical Centre Velocity, layari www.sunwaymedicalvelocity.com.my (Facebook: Sunway Medical Centre Velocity).