Bursa Malaysia-i dan Pelaburan Patuh Syariah

Eh tahu ke tak bahawasanya Bursa Malaysia-i merupakan platform pelaburan patuh Syariah sepenuhnya yang pertama di dunia? Malaysia kan sebuah negara contoh bagi sistem kewangan yang berlandaskan Islam, jadi mesti nak jadi #1 dalam kebanyakan aspek.

Jom kita kenali Bursa Malaysia-i dan peluang untuk meraih keuntungan dalam pelaburan patuh Syariah dengan lebih mendalam.

Apakah Perbezaan Bursa Malaysia vs Bursa Malaysia-i?

Bursa Malaysia adalah sebuah syarikat pemegang bursa yang ditubuhkan pada 1973 dan disenaraikan pada 2005. Hari ini, ia adalah antara bursa terbesar di ASEAN, yang menempatkan lebih daripada 900 syarikat marangkumi 20 sektor dan merentasi 49 aktiviti ekonomi. Bursa Malaysia dilengkapi dengan rangkaian perkhidmatan bursa saham yang meliputi penyenaraian (‘listing’), dagangan (‘trading’), penjelasan (‘clearing’), penyelesaian (‘settlement’) dan depositori (‘depository’).

Bursa Malaysia menawarkan pelbagai instrumen pelaburan yang tersenarai di tiga (3) papan dagangan saham iaitu Pasaran Utama (“Main Market”) untuk syarikat terkemuka dengan modal besar, Pasaran ACE (“ACE Market”) untuk syarikat baru yang terdiri daripada pelbagai saiz, dan Pasaran LEAP (“LEAP Market”) untuk syarikat perusahaan kecil dan sederhana.

Bursa Malaysia sebagai sebuah pasaran modal dan destinasi penjanaan dana, dagangan dan pelaburan menawarkan pelbagai jenis produk yang komprehensif untuk para pelabur sama ada institusi dan runcit. Jenis-jenis produk dagangan dan pelaburan termasuklah saham, dana dagangan bursa (‘Exchange Traded Fund’ atau “ETF”), amanah pelaburan hartanah (‘Real Estate Investment Trust’ atau “REIT”), indeks, waran, bon dan sukuk dagangan bursa (‘Exchange Traded Bonds and Sukuk’ atau “ETBS”), produk patuh Syariah, produk pasaran derivatif, bon dan juga luar pesisir serta menyediakan pelbagai jenis pilihan pelaburan global.

Dalam membangunkan Pasaran Modal Islam, Bursa Malaysia turut menawarkan pelbagai instrumen pelaburan patuh Syariah yang tersenarai di dua papan dagangan saham iaitu Pasaran Utama (“Main Market”) dan Pasaran ACE (“ACE Market”).

Bursa Malaysia-i pula merupakan platform pelaburan patuh Syariah sepenuhnya yang pertama di dunia yang telah dilancarkan oleh Bursa Malaysia pada 5 September 2016. Platform ini menggabungkan keseluruhan rangkaian perkhidmatan bursa saham berlandaskan Syariah meliputi penyenaraian (‘listing’), dagangan (‘trading’), penjelasan (‘clearing’), penyelesaian (‘settlement’) dan depositori (‘depository’). Pelancaran platform Bursa Malaysia-i ini bertujuan menawarkan perkhidmatan kepada pelabur yang ingin berurus niaga dalam produk patuh Syariah menerusi perkhidmatan berlandaskan Syariah sepenuhnya.

Dengan adanya platform Bursa Malaysia-i ini, ia menyediakan landskap baru bagi pelabur patuh Syariah di mana para pelabur tidak hanya melabur dalam instrumen pelaburan patuh Syariah tetapi juga dengan cara yang patuh Syariah. Melalui lanskap baru ini, para pelabur yang membuka akaun ‘Central Depository System’ (“CDS”) dan akaun dagangan patuh Syariah menerusi Organisasi Peserta (‘Participating Organisation’ atau “PO”) atau broker saham yang menawarkan perkhidmatan pembrokeran secara patuh Syariah, segala aktiviti dagangan dan pelaburan mereka akan melalui platform Bursa Malaysia-i, iaitu satu saluran baharu yang telah diasingkan dari saluran konvensional bagi memastikan transaksi yang dijalankan adalah patuh Syariah secara sepenuhnya.

Apakah Peranan Bursa Malaysia-i?

Langkah Bursa Malaysia memperkenalkan platform Bursa Malaysia-i ini adalah komitmen untuk menjadikan Bursa Malaysia sebagai sebuah hab pelaburan patuh Syariah di dunia yang menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan pasaran modal Islam, sekaligus mencerminkan kedudukan Malaysia sebagai hab kewangan Islam antarabangsa. Ini dapat memperkukuhkan lagi kedudukan Bursa Malaysia sebagai peneraju pasaran global bagi penyenaraian dan pelaburan Syariah, terutamanya dalam pembangunan pasaran ekuiti Syariah.

Kecenderungan pemilihan pelaburan patuh Syariah dan urus niaga dalam produk dan perkhidmatan yang patuh Syariah oleh segelintir masyarakat telah mewujudkan permintaan yang semakin meningkat untuk produk pasaran modal Islam. Platform Bursa Malaysia-i ini menjadi pelengkap kepada platform pelaburan konvensional yang sedia ada, dan dapat memenuhi permintaan pelabur yang hanya ingin berurus niaga dalam produk dan perkhidmatan pelaburan yang berlandaskan Syariah sepenuhnya.

Dari segi pengurusan aset Islam, sehingga bulan Mei 2018, saiz AUM patuh Syariah adalah sebanyak RM162.8 bilion iaitu 21.3 peratus dari keseluruhan saiz pengurusan aset di Malaysia yang berjumlah RM762.9 bilion. Ini membuktikan terdapat permintaan dalam pelaburan patuh Syariah dan ini menjadi satu penanda aras kepada pasaran modal Islam yang semakin diterima ramai, bukan sahaja di peringkat domestik tetapi juga di peringkat antarabangsa.

Oleh itu, peluang untuk Bursa Malaysia dan syarikat-syarikat yang disenaraikan untuk memanfaatkan dana patuh Syariah juga meningkat. Ini menunjukkan prospek pasaran modal Islam yang sihat dan cerah, di mana syarikat yang disenaraikan boleh merebut peluang dalam mencari pelabur yang lebih luas, terutamanya pelabur Syariah, termasuklah pelabur institusi dan pelabur runcit.

Platform Bursa Malaysia-i juga membolehkan data, transaksi dan prestasi keseluruhan pasaran Syariah dijejaki dan diawasi dengan lebih terperinci. Ini dapat mengukuhkan sumbangan keseluruhan aktiviti dan prestasi perkhidmatan pembrokeran patuh Syariah, meningkatkan pembangunan syarikat pembrokeran saham yang menawarkan perkhidmatan pembrokeran secara patuh Syariah, dan seterusnya, memberikan kesan positif kepada pengukuhan ekosistem industri pembrokeran saham negara.

Inisiatif platform Bursa Malaysia-i ini akan diperluaskan dengan menarik lebih banyak penyertaan di peringkat serantau dan global bagi meningkatkan pasaran modal Islam seperti:

(i) Menarik dana etika dan patuh Syariah di peringkat serantau dan global untuk melabur dalam produk yang disenaraikan di Bursa Malaysia;
(ii) Menarik lebih banyak penyenaraian produk patuh Syariah baru di Bursa Malaysia; dan
(iii) Meningkatkan hubungan dengan bursa saham lain di peringkat serantau dan global, serta menggalakkan dagangan rentas sempadan (‘cross broder trades’).

Sehingga Kini, Ada Berapa Saham Yang Disenaraikan Di Bursa Malaysia Dan Berapa Jumlah Saham Yang Patuh Syariah?

Pelaburan ekuiti patuh Syariah telah banyak menyumbang kepada pembangunan kewangan Islam.

Sehingga kini, Bursa Malaysia mempunyai pasaran modal kira-kira RM1.86 trilion, di mana RM1.16 trilion atau 62.4% daripadanya adalah patuh Syariah. Sehingga akhir bulan Julai 2018, 694 atau 76.2% daripada 911 syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia adalah patuh Syariah.

Tahniah Kepada Bursa Malaysia-i Kerana Menyediakan Platform Pelaburan Syariah

Ada ke yang masih ragu-ragu nak melabur dalam Bursa Malaysia? Dah ada peluang nak buat duit dengan pelaburan patuh Syariah, masih nak cari yang lain?

Tahukah anda pada tahun 2017, Kerugian Dianggar RM3.8 bilion. PDRM Dedahkan 30 Syarikat Tawar Skim Tidak Sah? Itu yang dilaporkan, yang tak dilaporkan mesti lebih tinggi kan?

Kalau dah tak sabar dan nak mula melabur dalam Bursa Malaysia-i ni, kena ada akaun CDS dulu. Kalau nak tahu caranya, silakan baca Cara Buka Akaun CDS. Kosnya RM10 sahaja.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Untung Bersih 99 Speed Mart Lonjak 13.4 Peratus Pada Suku Kedua

KUALA LUMPUR: 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd (99 Holdings) mencatat keuntungan bersih RM163.95 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026, meningkat 13.4 peratus daripada RM144.63 juta pada suku sama tahun lalu.

Hasil kumpulan meningkat 13.6 peratus tahun ke tahun kepada RM3.08 bilion daripada RM2.71 bilion sebelumnya, menurut syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

“Peningkatan itu didorong terutamanya oleh pengembangan berterusan rangkaian cawangan, dengan pertambahan bersih 257 cawangan baharu tahun ke tahun, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 3,151 cawangan setakat 30 Jun 2026 berbanding 2,894 cawangan setahun sebelumnya.

“Jumlah transaksi jualan meningkat 13.6 peratus kepada 146.4 juta, dengan nilai purata setiap bakul RM21,” menurut syarikat itu.

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026, 99 Holdings mencatat keuntungan bersih RM352.5 juta berbanding RM289.53 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Hasil bagi tempoh enam bulan pula meningkat kepada RM6.14 bilion daripada RM5.32 bilion sebelumnya.

Selain itu, platform e-dagang jualan pukal syarikat terus mencatat pertumbuhan kukuh apabila hasil meningkat 80.5 peratus tahun ke tahun kepada RM50.2 juta bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2026.

Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif 99 Holdings, Lee Thiam Wah, berkata momentum pertumbuhan positif pada suku berkenaan disokong pengembangan berterusan rangkaian cawangan serta pelaksanaan waktu operasi lebih awal di seluruh negara.

Thiam Wah berkata tumpuan berterusan terhadap kecekapan operasi turut mula memberikan manfaat ketara kepada kumpulan.

Menurutnya, inisiatif penjimatan tenaga dan penggunaan peralatan membantu mengurangkan kos utiliti serta meningkatkan kecekapan kos merentasi operasi kumpulan.

“Dengan rangkaian cawangan kami terus berkembang, kami kekal komited untuk memperkukuh rantaian bekalan bagi menyokong kecekapan operasi,” katanya.

Beliau berkata kumpulan itu juga terus memperluas penawaran produk bagi memenuhi keperluan pelanggan yang berubah susulan sambutan menggalakkan terhadap rangkaian peralatan rumah terpilih.

Rangkaian berkenaan kini diperluas ke semua cawangan di seluruh negara dan turut ditawarkan menerusi platform 99 Bulksales bagi memenuhi keperluan pelanggan korporat serta pembelian secara pukal.