KT Corp. Bakal Buka Pusat Realiti Maya (VR) di Malaysia

  • KT Tandatangani Perjanjian dengan IISB Malaysia untuk Perniagaan VR Luar Negara Pertama
  • Dua Rakan Kongsi Tinjau Peluang dalam Rangkaian 5G, Tenaga dan Sekuriti

SEOUL, Korea Selatan, 1 November 2018 /PRNewswire/ — KT Corp. (KRX: 030200; NYSE: KT), syarikat telekomunikasi yang terbesar di Korea Selatan, merancang untuk melancarkan perniagaan realiti maya (VR) luar negara pertamanya di Malaysia, satu langkah terkini dalam usahanya untuk menjadi peneraju global dalam teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

KT menandatangani satu perjanjian dengan Iskandar Innovations Sdn Bhd (IISB) Malaysia awal bulan ini bagi membuka pusat VR di selatan negeri Johor. Majlis menandatangan berlangsung di ibu pejabat KT di pusat bandar Seoul pada 11 Oktober.

Pusat VR baharu ini akan berada di dalam kawasan membeli belah antarabangsa berhampiran Legoland Malaysia, destinasi pelancong yang popular di wilayah ekonomi khas Iskandar Malaysia yang bersempadan dengan Singapura. KT merancang untuk meluaskan perkongsian bersamanya bagi meninjau lebih banyak peluang perniagaan di Malaysia, menawarkan teknologi canggihnya dalam rangkaian dan penyelesaian 5G, tenaga pintar dan keselamatan siber.

“Kami mengambil langkah pertama yang penting dalam meneruskan usaha kerjasama dengan IISB dan memperkenalkan kepakaran kami dalam perniagaan VR,” kata Yoon Kyoung-Lim, ketua Pejabat Perniagaan Global KT. “KT akan berusaha dan melabur bersungguh-sungguh untuk menjalankan perniagaan VR dengan jayanya di Malaysia.”

Datuk Khairil Anwar Ahmad daripada Iskandar Innovations Berhad (IIB), firma induk IISB, berkata, “Saya percaya bahawa kerjasama kami akan membawa kepada pembangunan penyelesaian baharu melangkaui VR dan AR (realiti imbuhan). Pusat VR yang akan ditubuhkan oleh dua syarikat kami menandakan permulaan perkongsian jangka panjang dengan KT.”

IIB ialah sebuah firma pelaburan dan pembangunan yang terlibat dalam pembangunan jangka panjang Iskandar Malaysia. IIB berusaha untuk memastikan Malaysia dapat menjadi destinasi pelaburan yang menarik serta kawasan yang menarik dan sesuai untuk didiami, menumpu pada projek-projek berimpak tinggi dalam aspek pendidikan, pelancongan, libur serta kesihatan dan kesejahteraan.

Bagi merintis perniagaan baharu dengan teknologi inovatif, KT melancarkan dua taman tema VR VRIGHT (http://VRIGHT.com) di Seoul tahun ini dengan kerjasama GS retail, pengendali rangkaian kedai serbaneka utama di Korea Selatan. Syarikat merancang untuk memfrancaiskan perniagaan hiburan VR miliknya pada tahun hadapan di dalam dan luar negara.

KT turut membangunkan perkhidmatan media dan beli belah imersif dengan menggunakan ICT generasi seterusnya, menampilkan bukan sahaja VR dan AR, tetapi juga kecerdasan buatan (AI) dan pemodelan 3D. Pengerusi KT Hwang Chang-Gyu berkata pada bulan lalu bahawa peneraju telekomunikasi Korea tidak lama lagi akan melancarkan VR Theater, satu perkhidmatan VR pada Televisyen Protokol Internet (IPTV).

LATAR BELAKANG KT CORP. (KRX: 030200; NYSE: KT)

KT Corporation, penyedia perkhidmatan telekomunikasi terbesar Korea yang ditubuhkan semula pada tahun 1981 di bawah Akta Perniagaan Telekomunikasi, memimpin era inovasi di negara yang paling terhubung di dunia. Syarikat ini mengetuai revolusi perindustrian keempat dengan rangkaian wayar/tanpa wayar berkelajuan tinggi dan teknologi ICT yang inovatif. Setelah memasang 20 juta talian tetap hanya dalam masa 12 tahun, KT merupakan penyedia telekomunikasi pertama yang memperkenalkan perkhidmatan percubaan 5G berskala besar pada tahun 2018. Ini merupakan satu lagi langkah dalam usaha berterusan KT untuk menyampaikan produk dan perkhidmatan penting memandangkan ia berhasrat untuk menjadi Syarikat ICT No.1 dan juga Syarikat Rakyat.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang Bahasa Inggeris kami di https://corp.kt.com/eng/

Sumber: KT Corp.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Bursa Malaysia Securities Mengeluarkan Teguran Awam Dan/Atau Mengenakan Denda Ke Atas Computer Form (Malaysia) Berhad Serta Lapan Orang Pengarah

Bursa Malaysia Securities Berhad (“Bursa Securities”) telah mengeluarkan teguran awam terhadap Computer Forms (Malaysia) Berhad (CFM) dan lapan (8) orang pengarahnya kerana melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia (Main Market Listing Requirements, MAIN LR).

Selain teguran awam, lapan pengarah terbabit turut dikenakan denda berjumlah RM2 juta.

Pelanggaran utama oleh CFM

CFM didapati melakukan beberapa pelanggaran serius berkaitan pendedahan maklumat kepada pelabur, antaranya:

1. Gagal mendedahkan syarat penting dalam usaha sama (Joint Venture Agreement – JVA)

Dalam pengumuman bertarikh 5 Januari 2023, CFM gagal mendedahkan beberapa fakta material berkaitan perjanjian usaha sama dengan EA Mobility Holding Co. Ltd., termasuk:

  • Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) yang ditandatangani pada hari yang sama.
  • Klausa Put Option yang membolehkan EA Mobility menjual keseluruhan pegangannya dalam syarikat usaha sama kepada CFM sekiranya CFM gagal mendapatkan:
    • Tempahan disahkan (Affirmed Orders) sekurang-kurangnya 200 buah kenderaan elektrik (EV); dan
    • Bayaran deposit atau harga pembelian sekurang-kurangnya RM12.5 juta sebelum 30 Jun 2023.
  • Hakikat bahawa Perjanjian Usaha Sama (JVA) akan terbatal secara automatik sekiranya mana-mana pihak tidak lagi memiliki saham dalam syarikat usaha sama.

2. Siaran media 3 Julai 2023 mengelirukan pelabur

CFM mengeluarkan kenyataan media yang menggambarkan usaha sama tersebut masih berada pada landasan positif.

Namun, syarikat gagal mendedahkan bahawa:

  • Sasaran tempahan 200 EV tidak berjaya dicapai.
  • Bayaran minimum RM12.5 juta juga gagal diperoleh.
  • Kegagalan tersebut membuka ruang kepada EA Mobility untuk melaksanakan Put Option yang boleh menyebabkan penamatan usaha sama.

3. Lewat mengumumkan notis Put Option

Pada 10 Julai 2023, EA Mobility memaklumkan hasrat untuk melaksanakan Put Option.

Bagaimanapun, CFM hanya membuat pengumuman kepada Bursa pada 20 Julai 2023, iaitu selepas kelewatan lapan hari dagangan.

4. Pengumuman berkaitan penamatan usaha sama tidak lengkap dan mengelirukan

Dalam beberapa pengumuman antara 20 Julai hingga 1 September 2023, CFM menyatakan bahawa:

  • Operasi syarikat usaha sama masih berjalan seperti biasa.
  • Rundingan dengan EA Mobility masih diteruskan.

Namun syarikat tidak memaklumkan bahawa:

  • Penamatan JVA akan berlaku selepas pemindahan saham EA Mobility kepada CFM.
  • Maklumat mengenai penamatan hanya diumumkan pada 5 September 2023, hampir dua bulan selepas notis Put Option dikeluarkan dan hanya selepas Bursa Malaysia meminta penjelasan lanjut.

5. Memberikan maklumat tidak tepat kepada Bursa Malaysia

CFM turut didapati gagal memberikan maklumat yang tepat apabila:

  • Memaklumkan bahawa tiada perjanjian lain selain JVA.
  • Tidak menyerahkan salinan Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) walaupun diminta oleh Bursa Malaysia.
  • Perjanjian tersebut hanya diserahkan pada 25 September 2023 selepas beberapa kali pertanyaan dibuat.

Denda terhadap lapan pengarah

Kesemua lapan pengarah didapati membenarkan syarikat melakukan pelanggaran tersebut dan dikenakan teguran awam serta denda seperti berikut:

PengarahJumlah Denda
Tan Sri Datuk Mazlan Bin LazimRM300,000
Datuk Seri Tan Choon HwaRM100,000
Datuk Wira Justin Lim Hwa TatRM150,000
Datuk Hoo Swee GuanRM450,000
Pang Nan YewRM300,000
Wong Kok SeongRM300,000
Kho See YiingRM300,000
Tan Li SinRM100,000

Jumlah keseluruhan denda: RM2 juta.

Mengapa tindakan ini diambil?

Bursa Malaysia memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas proses siasatan lengkap dengan mengambil kira:

  • Keseriusan pelanggaran yang dilakukan.
  • Kesan terhadap pemegang saham dan pelabur.
  • Peranan serta tahap penglibatan setiap pengarah.

Menurut Bursa Malaysia, pendedahan maklumat yang tepat, lengkap dan dibuat tepat pada masanya amat penting bagi membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan yang bermaklumat, di samping memastikan pasaran modal kekal teratur, telus serta mengekalkan keyakinan pelabur.

Latar belakang kes

Pada 5 Januari 2023, CFM memeterai Perjanjian Usaha Sama (JVA) dan Perjanjian Pemegang Saham (SA) dengan EA Mobility bagi projek kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Walaupun perjanjian tersebut mengandungi syarat penting yang boleh menyebabkan usaha sama ditamatkan sekiranya sasaran tempahan EV dan kutipan deposit RM12.5 juta tidak dipenuhi sebelum 30 Jun 2023, syarat tersebut tidak didedahkan kepada pasaran.

CFM kemudiannya gagal memenuhi syarat berkenaan, menyebabkan EA Mobility melaksanakan Put Option pada 10 Julai 2023. Namun, perkembangan material tersebut tidak didedahkan secara segera dan lengkap kepada pelabur, sekali gus mendorong Bursa Malaysia mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat dan para pengarahnya.