5 Tabiat Pengurusan Wang Yang Perlu Diperbaiki Tahun 2019

Seperti biasa, tahun baru membentangkan peluang baru untuk memperbaiki diri sendiri. Pengurusan kewangan adalah suatu subjek di mana kita semua perlu kuasai.

Lebih-lebih lagi dengan statistik rakyat Malaysia yang menunjukkan bahawa 75 peratus daripada kita tidak mampu untuk mengeluarkan RM1,000 di waktu kecemasan. Laporan yang dibuat oleh Bank Negara Malaysia (BNM) juga menyebut bahawa ramai yang tidak memiliki kemahiran untuk menguruskan wang dan tidak dapat membuat keputusan perbelanjaan dengan bijak.

Permulaan 2019 adalah masa yang sesuai untuk melihat dengan baik tabiat kewangan anda dan membuat perubahan yang diperlukan. Matlamat kewangan tidak dapat dicapai sekiranya kita tidak dapat mengenal pasti apa yang menjadi masalah utama.

Kami telah menyenaraikan beberapa kesilapan pengurusan wang yang biasa dilakukan oleh rakyat Malaysia.  Berikut adalah 5 tabiat pengurusan wang yang anda kena perbaiki pada tahun 2019:

1. Hidup Di Luar Kemampuan

Terlalu ramai rakyat Malaysia menjalani gaya hidup yang jauh melebihi pendapatan mereka. Hutang rumah negara pada masa ini adalah salah satu yang tertinggi di Asia. Oleh itu, kita dinasihatkan untuk memperbaikinya dengan mengawal perbelanjaan.

“Tuliskan setiap sen yang anda belanjakan, kemudian masukkan perbelanjaan anda ke dalam kategori tertentu,” Yayasan Penyelidikan Kredit Nasional (NFCC) mencadangkan garis panduan mengenai perancangan kewangan.

Ingat, jika anda tidak dapat menyimpan duit yang untuk menjamin masa depan anda secara konsisten, kemungkinan besar anda hidup di luar kemampuan.

2. “Bajet? Apa tu?”

Realiti yang menyedihkan yang dihadapi oleh rakyat Malaysia, iaitu kita menghabiskan gaji bulanan tanpa mempunyai bajet yang tepat dan hanya menyimpan jika ada baki. Terdapat banyak cara untuk membuat bajet belanjawan, salah satu cara yang paling mudah adalah dengan kaedah 50/30/20.

Menurut kaedah ini:

  • 50% daripada pendapatan bulanan digunakan untuk membayar keperluan seperti sewa atau instalment rumah, barangan runcit, minyak, bil-bil seperti telefon, internet, elektrik, dll.
  • 30% pendapatan perlu dibelanjakan untuk keinginan, seperti hiburan, makan di restoran, pakaian baru, dll.
  • 20% daripada pendapatan harus pergi ke arah matlamat kewangan anda seperti pembayaran balik hutang atau simpanan

3. Tidak Mempunyai Simpanan dan Dana Persaraan

Tanpa bajet yang tepat, kemungkinan besar anda tidak menyimpan wang secara konsisten. Masih ingat lagi statistik daripada BNM, 75% rakyat Malaysia tidak boleh mengeluarkan RM1,000 di waktu kecemasan?

Terdapat tiga jenis tabungan utama yang – kecemasan, persaraan, dan perbelanjaan peribadi. Peruntukan untuk kecemasan dan persaraan adalah yang paling penting.

Jika pendapatan tidak mencukupi, pertimbangkan untuk menggunakan sebahagian daripada jumlah bulanan yang diperuntukkan kepada perbelanjaan peribadi dan salurkannya ke dana kecemasan dan persaraan.

Secara umum, dana tabungan kecemasan sepatutnya dapat bersamaan dengan tiga hingga enam bulan gaji. Ianya bertujuan untuk melindungi kewangan jika sesuatu yang tidak dijangka berlaku pada masa akan datang.

4. Mengumpul Hutang Kad Kredit

Kad kredit sangat berguna bagi menguruskan perbelanjaan yang tidak dijangka. Kehidupan penuh dengan ketidakpastian dan mungkin ada masanya kita memerlukan wang tunai segera untuk sebarang situasi kecemasan.

Walaubagaimanapun, penggunaan kad kredit yang lemah dan pengurusan yang lemah boleh membawa kepada hutang terkumpul yang tinggi.

Oleh kerana kadar faedah kad kredit yang tinggi, ia boleh menyebabkan kos beribu-ribu ringgit sekiranya tidak berhati-hati. Tambahan pula, ia akan mencemarkan skor kredit, yang seterusnya akan menjejaskan peluang untuk mendapatkan pinjaman yang lebih besar seperti pinjaman rumah, pinjaman kereta atau pinjaman peribadi.

Untuk memastikan anda adalah pengguna kad kredit yang bertanggungjawab, amalkan tabiat mudah ini:

  • Sentiasa periksa bil kad kredit
  • Bayar bil tepat pada masanya
  • Gunakan had kredit dengan berhati-hati
  • Pilih kad yang manfaatnya sejajar dengan keperluan gaya hidup dan kemampuan
  • Gunakan kad kredit secara bijak untuk memaksimumkan nilai perbelanjaan dengan faedah seperti cashback, mata ganjaran dan promosi belanja

5. Tidak Melabur

Penulis terkenal Robert Kiyosaki pernah berkata: “Bukan berapa banyak wang yang anda buat, tetapi berapa banyak wang yang anda dapat simpan, bagaimana wang itu bekerja untuk anda, dan berapa lama anda boleh membuat sedemikian secara konsisten”.

Hanya menjimatkan wang sahaja tidak cukup untuk mencapai kebebasan kewangan. Perlu membuat wang bekerja dengan membuat pelaburan bijak.

Anda harus sentiasa berusaha untuk mempelbagaikan portfolio pelaburan bagi mendapatkan pulangan yang tinggi.

Dikarang oleh BBazaar Malaysia. Disiarkan secara eksklusif di MajalahLabur.

Nak Deposit Rumah Pertama? ‘Overlap’ Hutang? Bayar Tunggakan PTPTN?

Ringankan tanggungan semasa anda dengan pembiayaan peribadi berkonsep syariah di platform Direct Lending. Dapatkan pinjaman kadar rendah untuk satukan semua hutang mahal anda. Semak kelayakan secara percuma. Anda boleh semak dahulu & mohon kemudian. Tiada apa-apa caj yang dikenakan.

KLIK sini untuk terima pembiayaan bank & koperasi yang bersesuaian dengan posisi kewangan anda.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Kenapa CIMB Pertimbang Bawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa Saham Indonesia?

Pada 21 Oktober 2026, beberapa laporan media kewangan menyatakan CIMB Group Holdings Bhd, kumpulan perbankan dari Malaysia, sedang menilai kemungkinan membawa anak syarikatnya, PT Bank CIMB Niaga Tbk, keluar daripada Bursa Saham Indonesia atau Indonesia Stock Exchange (IDX).

Bagaimanapun, pada 22 Oktober 2026, CIMB Group mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa pihaknya mempunyai rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga. Kumpulan itu menegaskan bahawa tiada keputusan dibuat dan tiada cadangan rasmi dikemukakan berhubung perkara tersebut.

Walaupun begitu, laporan awal berkenaan memberikan gambaran tentang cabaran yang dihadapi syarikat tersenarai apabila perlu memenuhi peraturan pasaran saham dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.

1. Peraturan Free Float Semakin Ketat

Antara faktor utama yang mencetuskan spekulasi tersebut ialah perubahan peraturan Bursa Saham Indonesia berkaitan free float, iaitu peratusan saham syarikat yang tersedia untuk dagangan pelabur awam.

CIMB Group dilaporkan memiliki kira-kira 91.4% saham CIMB Niaga. Pegangan yang besar ini menyebabkan bahagian saham yang tersedia untuk dagangan awam menjadi terhad.

Berdasarkan peraturan baharu yang dilaporkan, CIMB Niaga perlu meningkatkan pegangan saham awamnya kepada sekurang-kurangnya 12.5% menjelang Mac 2027 dan 15% menjelang Mac 2028.

Bagi memenuhi keperluan ini, CIMB mempunyai beberapa pilihan, termasuk menjual sebahagian saham kepada pelabur strategik atau menerbitkan saham tambahan kepada pelabur awam.

Namun, setiap pilihan mempunyai implikasi tersendiri terhadap struktur pemilikan, penilaian saham dan kepentingan pemegang saham sedia ada.

2. Saham CIMB Niaga Dianggap Belum Mencerminkan Nilai Sebenar

Faktor kedua ialah penilaian saham atau valuation.

Menurut laporan analisis yang diterbitkan pada 21 Oktober, CIMB melihat saham CIMB Niaga sebagai undervalued, iaitu harga pasaran yang dianggap lebih rendah daripada nilai asas perniagaannya.

CIMB Niaga bukan sekadar sebuah bank yang beroperasi di Indonesia. Bank ini mempunyai perniagaan dalam perbankan korporat, pengurusan kekayaan, perbankan Islam dan perkhidmatan kepada pelanggan berpendapatan tinggi.

Pada 30 Jun 2026, CIMB Niaga dilaporkan mempunyai jumlah aset sekitar 382 trilion rupiah.

Jika harga saham tidak mencerminkan potensi perniagaan tersebut, penjualan pegangan kepada pelabur baharu mungkin tidak menghasilkan nilai yang dianggap memadai oleh pemegang saham induknya.

Dalam keadaan sedemikian, pemilik syarikat mungkin menilai sama ada lebih baik mengekalkan pemilikan jangka panjang berbanding menjual saham pada penilaian pasaran semasa.

3. Pasaran Saham Indonesia Berdepan Ketidaktentuan

Keadaan pasaran turut mempengaruhi pilihan yang tersedia kepada CIMB.

Kebimbangan mengenai ketelusan pasaran dan kemungkinan perubahan klasifikasi pasaran Indonesia oleh MSCI telah menjejaskan sentimen pelabur terhadap saham Indonesia.

Dalam keadaan pasaran yang lemah, usaha menjual sebahagian besar saham kepada pelabur awam melalui penawaran saham sekunder atau re-IPO mungkin menjadi kurang menarik.

CIMB juga perlu mempertimbangkan sama ada pelabur sanggup membeli saham pada penilaian yang memenuhi jangkaan kumpulan tersebut.

Oleh itu, penswastaan muncul sebagai salah satu pilihan yang dibincangkan oleh penganalisis dalam laporan awal berkenaan.

4. Apakah Maksud Membawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa?

Jika sesebuah syarikat dinyahsenaraikan atau delisted, sahamnya tidak lagi didagangkan di bursa saham berkenaan.

Sekiranya proses itu melibatkan penswastaan, syarikat induk lazimnya membeli sebahagian atau semua saham yang dipegang oleh pemegang saham minoriti, tertakluk pada struktur transaksi dan kelulusan yang diperlukan.

Bagi CIMB, langkah sedemikian secara teori boleh memberikan lebih banyak fleksibiliti dalam mengurus modal, menentukan strategi perniagaan dan merancang pertumbuhan CIMB Niaga tanpa tekanan pasaran saham awam yang sama.

Bagaimanapun, penyahsenaraian tidak semestinya bermaksud bank tersebut akan ditutup atau menghentikan operasinya. CIMB Niaga boleh terus beroperasi sebagai bank di Indonesia walaupun tidak lagi tersenarai di bursa.

5. Berapa Kos Untuk Membeli Keluar Pemegang Saham Minoriti?

Laporan media pada 21 Oktober memetik anggaran penganalisis bahawa pembelian keluar pemegang saham minoriti boleh menelan belanja sekitar RM800 juta, bergantung pada harga tawaran dan struktur transaksi.

Angka ini merupakan anggaran analisis, bukannya jumlah yang telah dipersetujui atau diumumkan secara rasmi oleh CIMB Group.

Kos sebenar akan bergantung pada harga saham ketika transaksi dilaksanakan, premium yang ditawarkan kepada pemegang saham minoriti serta sama ada semua pemegang saham minoriti perlu menjual pegangan mereka.

Selain itu, struktur tertentu mungkin membolehkan sebahagian pelabur institusi mengekalkan pegangan dalam entiti yang tidak lagi tersenarai, tertakluk pada peraturan dan kelulusan berkaitan.

Kesimpulan

Laporan mengenai kemungkinan penyahsenaraian CIMB Niaga memperlihatkan bagaimana perubahan peraturan pasaran, penilaian saham dan keadaan pasaran modal boleh mempengaruhi strategi sesebuah kumpulan perbankan.

Walau bagaimanapun, CIMB Group pada 22 Oktober 2026 menafikan laporan mengenai kemungkinan membawa CIMB Niaga keluar daripada Bursa Saham Indonesia. Kumpulan itu menjelaskan bahawa tiada keputusan atau cadangan rasmi dibuat berhubung perkara tersebut.

CIMB turut menegaskan bahawa CIMB Niaga kekal sebagai sebahagian penting daripada rangkaian perbankan serantaunya dan kumpulan itu komited untuk meneruskan operasi di Indonesia serta mematuhi semua keperluan kawal selia yang berkenaan.


Sumber rujukan

  1. The Star — CIMB Group steps up efforts to pursue potential delisting of CIMB Niaga (21 Oktober 2026).
  2. The Edge Malaysia — CIMB weighs taking Indonesian unit private as potential secondary offering loses appeal — analysts (21 Oktober 2026).
  3. The Business Times — Malaysia’s CIMB explores taking Indonesian arm private amid market volatility (21 Oktober 2026).
  4. CIMB Group Holdings Bhd — kenyataan rasmi bertarikh 22 Oktober 2026 yang menafikan rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga.