Syarikat Barangan Pengguna Catat ‘Peningkatan Ketara’ dalam Menyokong Kehidupan Lebih Sihat, Menurut Data Baharu

  • Penyertaan peruncit dan pengilang barangan pengguna dalam program bank makanan dan sekolah terus meningkat.
  • 320,000 produk telah dirumus semula bagi mengurangkan paras gula dan garam, serta lain-lain, sejak tinjauan bermula pada tahun 2015.
  • Sebahagian 2,000,000 kakitangan kini terlibat dalam program kesihatan dan kesejahteraan yang diterajui syarikat.

PARIS, 9 Mac 2019 /PRNewswire/ — Forum Barangan Pengguna (The Consumer Goods Forum, CGF) hari ini menerbitkan keputusan terkini daripada tinjauan globalnya yang melihat pada setakat mana peruncit dan pengilang barangan pengguna membantu memperkasa pengguna yang lebih sihat di seluruh dunia. Data daripada Laporan Kemajuan Kesihatan & Kesejahteraan 2019, yang dibangunkan bersama-sama dengan Deloitte, membuktikan kemajuan yang baik dalam semua kategori dan peningkatan ketara dalam pencapaian semua komitmen Kesihatan & Kesejahteraan CGF.

Ini merupakan edisi kelima laporan yang mengukur kemajuan resolusi dan komitmen CGF. Hasil keputusan lima tahun membuktikan bahawa ahli CGF telah memenuhi jangkaan pengguna dan menunaikan cita-cita industri untuk memperkasakan pengguna bagi menikmati kehidupan yang lebih sihat. Secara lebih khusus, data tahun 2018 menunjukkan:

  • 98% daripada syarikat telah melaporkan perumusan semula sekurang-kurangnya pada beberapa bahagian portfolio produk mereka untuk diselaraskan dengan dasar kesihatan dan kesejahteraan. Sejak tahun 2015, lebih 320,000 produk telah dirumus semula.
  • Lebih 70% daripada syarikat telah melaporkan perumusan semula garam dan gula dalam produk mereka.
  • 84% daripada syarikat telah melaporkan bahawa produk penjagaan diri dan kebersihan mereka memaparkan penggunaan produk yang jelas mengenai pembungkusan.
  • Hampir dua juta kakitangan telah mengambil bahagian dalam inisiatif kesihatan dan kesejahteraan pada tahun 2018 berbanding 1.6 juta pada tahun 2017 dan 1.3 juta pada tahun 2016.
  • 61% telah mengambil bahagian dalam program bank makanan (hampir 93,000 tan makanan disumbang).
  • Perkongsian dengan pihak berkuasa pendidikan mengenai inisiatif kesihatan dan kesejahteraan untuk lebih 550,000 buah sekolah.

Diinspirasikan oleh komitmen ahli CGF untuk menjadi sebahagian daripada penyelesaian kepada cabaran kesihatan dan gaya hidup terbesar hari ini, inisiatif yang didorong oleh ahli ini ditaja bersama di peringkat Lembaga CGF oleh CEO Nestlé dan Ahold Delhaize serta dipengerusikan bersama di peringkat Jawatankuasa Pemandu oleh Danone dan Walmart. Sepanjang beberapa tahun yang lalu, ia telah disokong oleh beberapa jenama dan peruncit produk pengguna terbesar di dunia. 75 ahli CGF menjawab tinjauan kali ini.

Sharon Bligh, Pengarah, Kesihatan & Kesejahteraan di Forum Barangan Pengguna, menyatakan, “Kami telah melangkah sejauh ini sejak tinjauan ini bermula lima tahun yang lalu, namun, tugas kami masih belum selesai dan masih banyak perkara yang perlu dilakukan. Hebat untuk melihat bagaimana, dalam komuniti di mana ahli kami bekerja dan menetap, syarikat dan warga kerja mereka menitikberatkan isu kesihatan dan kesejahteraan berbanding sebelumnya. Ia membuktikan bahawa apabila kami beralih kepada rancangan lima tahun kami yang akan datang, tindakan usaha sama akan terus menjadi daya penggerak untuk kebaikan dan komponen penting memacu perubahan positif pada skala yang disasarkan. Pengguna dan kakitangan kami mahu diperkasa untuk membawa perubahan kepada kesihatan dan kesejahteraan mereka, jadi mereka boleh menikmati kehidupan yang lebih sihat dan lebih banyak gaya hidup aktif bagi tempoh yang lebih lama. Orang menginginkan perubahan dan kami mengakui peranan industri kami dalam mencegah penyakit dan juga memperkasa orang ramai menjalani kehidupan yang lebih sihat”.

Edisi terkini tinjauan ini akan menamatkan strategi lima tahun permulaan CGF mengenai kesihatan dan kesejahteraan. Sebagai sebahagian daripada rancangan lima tahun yang akan datang, tumpuan kini akan beralih kepada inisiatif perdana pasukan iaitu ‘Kerjasama untuk Kehidupan Lebih Sihat’ (Collaboration for Healthier Lives, CHL). Melalui kerjasama, ahli CGF akan menguji pendekatan baharu dan berkongsi amalan terbaik dalam mendorong tingkah laku warga kerja kepada amalan yang lebih sihat. Ahli CGF mengakui potensi yang sangat besar bagi inisiatif berasaskan komuniti dan keperluan untuk ketelusan yang lebih tinggi untuk menyampaikan perubahan tingkah laku yang bermakna, gerakan yang disokong oleh data tinjauan yang dikumpul sepanjang beberapa tahun yang lalu.

Mengenai Forum Barangan Pengguna

Forum Barangan Pengguna (“The Consumer Goods Forum, CGF”) ialah sebuah rangkaian industri global berasaskan pariti yang didorong oleh ahlinya bagi menggalakkan penerimaan amalan dan standard global yang mengendalikan industri barangan pengguna di seluruh dunia. Ia menyatukan CEO dan pengurusan kanan sebahagian 400 peruncit, pengilang, pembekal perkhidmatan dan pihak berkepentingan lain merentasi 70 buah negara dan ia mencerminkan kepelbagaian industri dari segi geografi, saiz, kategori dan format produk. Syarikat ahlinya merekodkan gabungan jualan sebanyak EUR 3.5 trilion dan secara langsung menggaji hampir 10 juta pekerja, dengan 90 juta selanjutnya kerja berkaitan yang dianggarkan di sepanjang rantaian nilai. Ia ditadbir oleh Lembaga Pengarahnya, yang terdiri daripada lebih 50 pengilang dan CEO peruncit. Untuk mendapatkan maklumat lanjut, sila lawati: www.theconsumergoodsforum.com.

Sumber: The Consumer Goods Forum
Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Bursa Malaysia Securities Mengeluarkan Teguran Awam Dan/Atau Mengenakan Denda Ke Atas Computer Form (Malaysia) Berhad Serta Lapan Orang Pengarah

Bursa Malaysia Securities Berhad (“Bursa Securities”) telah mengeluarkan teguran awam terhadap Computer Forms (Malaysia) Berhad (CFM) dan lapan (8) orang pengarahnya kerana melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia (Main Market Listing Requirements, MAIN LR).

Selain teguran awam, lapan pengarah terbabit turut dikenakan denda berjumlah RM2 juta.

Pelanggaran utama oleh CFM

CFM didapati melakukan beberapa pelanggaran serius berkaitan pendedahan maklumat kepada pelabur, antaranya:

1. Gagal mendedahkan syarat penting dalam usaha sama (Joint Venture Agreement – JVA)

Dalam pengumuman bertarikh 5 Januari 2023, CFM gagal mendedahkan beberapa fakta material berkaitan perjanjian usaha sama dengan EA Mobility Holding Co. Ltd., termasuk:

  • Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) yang ditandatangani pada hari yang sama.
  • Klausa Put Option yang membolehkan EA Mobility menjual keseluruhan pegangannya dalam syarikat usaha sama kepada CFM sekiranya CFM gagal mendapatkan:
    • Tempahan disahkan (Affirmed Orders) sekurang-kurangnya 200 buah kenderaan elektrik (EV); dan
    • Bayaran deposit atau harga pembelian sekurang-kurangnya RM12.5 juta sebelum 30 Jun 2023.
  • Hakikat bahawa Perjanjian Usaha Sama (JVA) akan terbatal secara automatik sekiranya mana-mana pihak tidak lagi memiliki saham dalam syarikat usaha sama.

2. Siaran media 3 Julai 2023 mengelirukan pelabur

CFM mengeluarkan kenyataan media yang menggambarkan usaha sama tersebut masih berada pada landasan positif.

Namun, syarikat gagal mendedahkan bahawa:

  • Sasaran tempahan 200 EV tidak berjaya dicapai.
  • Bayaran minimum RM12.5 juta juga gagal diperoleh.
  • Kegagalan tersebut membuka ruang kepada EA Mobility untuk melaksanakan Put Option yang boleh menyebabkan penamatan usaha sama.

3. Lewat mengumumkan notis Put Option

Pada 10 Julai 2023, EA Mobility memaklumkan hasrat untuk melaksanakan Put Option.

Bagaimanapun, CFM hanya membuat pengumuman kepada Bursa pada 20 Julai 2023, iaitu selepas kelewatan lapan hari dagangan.

4. Pengumuman berkaitan penamatan usaha sama tidak lengkap dan mengelirukan

Dalam beberapa pengumuman antara 20 Julai hingga 1 September 2023, CFM menyatakan bahawa:

  • Operasi syarikat usaha sama masih berjalan seperti biasa.
  • Rundingan dengan EA Mobility masih diteruskan.

Namun syarikat tidak memaklumkan bahawa:

  • Penamatan JVA akan berlaku selepas pemindahan saham EA Mobility kepada CFM.
  • Maklumat mengenai penamatan hanya diumumkan pada 5 September 2023, hampir dua bulan selepas notis Put Option dikeluarkan dan hanya selepas Bursa Malaysia meminta penjelasan lanjut.

5. Memberikan maklumat tidak tepat kepada Bursa Malaysia

CFM turut didapati gagal memberikan maklumat yang tepat apabila:

  • Memaklumkan bahawa tiada perjanjian lain selain JVA.
  • Tidak menyerahkan salinan Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) walaupun diminta oleh Bursa Malaysia.
  • Perjanjian tersebut hanya diserahkan pada 25 September 2023 selepas beberapa kali pertanyaan dibuat.

Denda terhadap lapan pengarah

Kesemua lapan pengarah didapati membenarkan syarikat melakukan pelanggaran tersebut dan dikenakan teguran awam serta denda seperti berikut:

PengarahJumlah Denda
Tan Sri Datuk Mazlan Bin LazimRM300,000
Datuk Seri Tan Choon HwaRM100,000
Datuk Wira Justin Lim Hwa TatRM150,000
Datuk Hoo Swee GuanRM450,000
Pang Nan YewRM300,000
Wong Kok SeongRM300,000
Kho See YiingRM300,000
Tan Li SinRM100,000

Jumlah keseluruhan denda: RM2 juta.

Mengapa tindakan ini diambil?

Bursa Malaysia memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas proses siasatan lengkap dengan mengambil kira:

  • Keseriusan pelanggaran yang dilakukan.
  • Kesan terhadap pemegang saham dan pelabur.
  • Peranan serta tahap penglibatan setiap pengarah.

Menurut Bursa Malaysia, pendedahan maklumat yang tepat, lengkap dan dibuat tepat pada masanya amat penting bagi membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan yang bermaklumat, di samping memastikan pasaran modal kekal teratur, telus serta mengekalkan keyakinan pelabur.

Latar belakang kes

Pada 5 Januari 2023, CFM memeterai Perjanjian Usaha Sama (JVA) dan Perjanjian Pemegang Saham (SA) dengan EA Mobility bagi projek kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Walaupun perjanjian tersebut mengandungi syarat penting yang boleh menyebabkan usaha sama ditamatkan sekiranya sasaran tempahan EV dan kutipan deposit RM12.5 juta tidak dipenuhi sebelum 30 Jun 2023, syarat tersebut tidak didedahkan kepada pasaran.

CFM kemudiannya gagal memenuhi syarat berkenaan, menyebabkan EA Mobility melaksanakan Put Option pada 10 Julai 2023. Namun, perkembangan material tersebut tidak didedahkan secara segera dan lengkap kepada pelabur, sekali gus mendorong Bursa Malaysia mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat dan para pengarahnya.