Hibah Amanah ASB Memudahkan Proses Tuntutan Waris Selepas Kita Meninggal Dunia

Secara umum, majoriti masyarakat Muslim di Malaysia mengambil pandangan Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengeluarkan hukum harus melabur dalam Skim Amanah Saham Nasional (ASN) dan Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) sejak tahun 2008.

Perkara ini secara tidak langsung telah membantu sebahagian besar umat Islam di Malaysia untuk membuat pelaburan secara pasif, kerana masih ramai yang tidak mampu untuk membuat pelaburan secara aktif di Bursa Malaysia sebagai contoh.

Ini merupakan satu perkembangan yang positif kalau dilihat daripada sudut pengukuhan pegangan ekonomi umat Islam di Malaysia, yang juga merupakan salah satu tujuan pengharusan melabur dalam ASB seperti yang dinyatakan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.

Walaubagaimanapun, perlu diingat bahawa akaun pelaburan ASB tetap tertakluk di bawah Akta Pentadbiran dan Probet 1959, di mana apabila pemilik akaun meninggal dunia; akaun pelaburan tersebut akan dibekukan.

Jadi waris yang nak menuntut pengeluaran wang daripada unit amanah ASB si mati, mesti mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir atau Geran Probet terlebih dahulu.

Penyelesaian Perwarisan Akaun Pelaburan ASB

Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang menguruskan dana-dana ASB telah menyediakan sebuah perkhidmatan pengurusan harta yang dipanggil hibah amanah. Maknanya, pemilik akaun ASB boleh menghibahkan unit amanahnya kepada waris yang dikehendakinya.

Unit amanah ASNB yang dihibahkan akan dipindahmilik kepada Penerima selepas kematian Pemegang Unit (Pemberi).

Perancangan harta unit amanah ASB ini akan memudahkan waris kita membuat urusan harta pusaka kita. Jika kita menghibahkan unit amanah sebelum kita meninggal dunia, proses tuntutan yang waris perlu buat akan jadi lebih cepat dan mudah.

Boleh rujuk perbandingan di bawah.

Dengan yuran pendaftaran hibah yang rendah, pemilik unit amanah boleh merancang hartanya yang berbentuk unit amanah di dalam ASB.

Ada banyak kelebihan apabila kita menghibahkan terus unit amanah ini kepada waris kita.

Kelebihan Hibah Unit Amanah ASB

  1. Kita sebagai pemilik unit amanah, berhak menentukan siapa penerima unit amanah yang kita ingin hibahkan dan peratus pembahagian. Kita boleh letak sehingga 10 individu sebagai penerima unit amanah kita. Dengan syarat kita mempunyai unit pelaburan minimum 1,000 unit.
  2. Penerima unit amanah adalah penerima mutlak. Mereka bukan pentadbir harta yang perlu menguruskan unit amanah tersebut dan membahagikannya kepada waris-waris yang berhak dalam hukum faraid.
  3. Penerima (waris) yang nak menguruskan dan menuntut unit amanah ASB tidak perlu bersusah payah mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir atau Geran Probet.
  4. Urusan proses tuntutan unit amanah akan jadi lebih cepat, hanya mengambil masa 21 hari sahaja. Jika dibandingkan dengan pemilik unit amanah yang tidak merancang hartanya mungkin akan mengambil masa sehingga 3 tahun atau lebih.

Dengan kemudahan yang disediakan oleh pihak PNB ini, seharusnya kita sebagai pelabur memanfaatkannya sebaik mungkin. Dengan kadar yuran pendaftaran yang sangat rendah iaitu RM180, rasanya tiada alasan untuk kita menghibahkan unit amanah kita.

Hanya perlu Isi borang dan submit di mana-mana cawangan ASNB: https://www.asnb.com.my/asnbv2_3services.php#hibahamanah

Yuran Perkhidmatan

Bagi mereka yang melabur melalui skim pembiayaan atau pinjaman ASB, tidak dibenarkan untuk menggunakan perkhidmatan hibah amanah ini melainkan jika ianya sudah habis dilangsaikan.

Ditulis oleh Fakhrur Radzi, seorang konsultan di sebuah firma runding perancangan harta dan urus pusaka. Selain aktif menulis perkongsian mengenai urus pusaka di Facebook, beliau kadangkala menerima jemputan untuk memberikan ceramah umum..

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Ada Gaji Tetap Tapi Buat Side Income? Jangan Terkejut Jika Terima Notis CP500 Dari LHDN

Ramai yang mempunyai gaji tetap beranggapan urusan cukai mereka telah selesai kerana majikan sudah membuat potongan cukai bulanan (PCB) setiap bulan. Namun, keadaan berbeza apabila seseorang individu mempunyai pendapatan tambahan selain gaji.

Antara pendapatan sampingan yang sering diterima rakyat Malaysia termasuk:

  • Pendapatan sewa rumah/homestay
  • Bisnes online
  • Grab/Food Panda rider
  • Content creator
  • Komisen jualan
  • Ejen insurans/takaful
  • Ejen hartanah

Jika anda mempunyai pendapatan seperti ini, anda mungkin akan menerima Notis CP500 daripada LHDN.

Apa Itu CP500?

CP500 ialah arahan bayaran ansuran cukai yang dikeluarkan oleh LHDN kepada individu yang mempunyai pendapatan selain penggajian.

Secara mudahnya, LHDN menganggarkan cukai yang perlu dibayar berdasarkan rekod tahun-tahun terdahulu dan membenarkan bayaran dibuat secara ansuran setiap dua bulan.

Daripada menunggu sehingga hujung tahun dan membayar sekaligus, sistem CP500 membantu menyebarkan beban pembayaran sepanjang tahun.

Kenapa Pekerja Bergaji Tetap Boleh Terima Notis CP500?

Ramai menyangka CP500 hanya untuk peniaga sepenuh masa.

Hakikatnya, seorang pekerja bergaji juga boleh menerima CP500 jika mempunyai pendapatan sampingan yang signifikan.

Sebagai contoh:

Ahmad bekerja sebagai jurutera dan menerima gaji RM8,000 sebulan. Pada masa sama, beliau memperoleh RM3,000 sebulan daripada sewaan sebuah apartmen. Walaupun PCB telah dipotong daripada gajinya, pendapatan sewa tersebut tidak tertakluk kepada PCB. Oleh itu, LHDN boleh mengeluarkan CP500 bagi memastikan cukai ke atas pendapatan sewa itu dibayar secara berperingkat.

CP500 Bukan Cukai Tambahan

Salah faham yang sering berlaku ialah ramai menganggap CP500 sebagai cukai tambahan.

Sebenarnya tidak.

Bayaran CP500 hanyalah bayaran pendahuluan terhadap cukai yang bakal dikira apabila anda mengemukakan borang cukai pendapatan.

Jika jumlah CP500 yang dibayar melebihi cukai sebenar, lebihan tersebut boleh dituntut semula. Jika tidak mencukupi, baki cukai perlu dijelaskan.

Musim Borang B: Semak Jika Anda Ada CP500

Bersempena musim penghantaran Borang B, individu yang mempunyai pendapatan selain penggajian disarankan untuk menyemak MyTax masing-masing.

Ramai pembayar cukai hanya menyedari kewujudan CP500 selepas menerima peringatan atau notis tunggakan.

Lebih baik mengetahui lebih awal dan merancang aliran tunai berbanding berdepan cukai yang besar secara mengejut.

Apa Yang Perlu Dilakukan Jika Menerima Notis CP500?

Apabila menerima notis CP500, anda perlu memberi perhatian kepada tiga perkara utama:

  • Membuat bayaran cukai secara ansuran setiap dua bulan.
  • Membayar jumlah yang dinyatakan dalam notis CP500.
  • Memastikan bayaran dibuat sebelum tarikh akhir yang ditetapkan.

Ramai pembayar cukai menyimpan notis tersebut tanpa mengambil sebarang tindakan kerana menyangka ia sekadar makluman biasa. Hakikatnya, CP500 adalah jadual bayaran ansuran cukai yang dikeluarkan oleh LHDN dan memerlukan tindakan daripada penerima notis.

Jika anda tidak bersetuju dengan jumlah yang ditetapkan atau menjangkakan pendapatan anda jauh berbeza daripada tahun sebelumnya, anda boleh menghubungi LHDN untuk mendapatkan penjelasan lanjut atau membuat semakan yang bersesuaian.

Bagaimana LHDN mengetahui anda mempunyai pendapatan tambahan? Secara umumnya, CP500 ditentukan berdasarkan maklumat yang telah dilaporkan dalam borang cukai tahun-tahun terdahulu. Dengan pelaksanaan e-Invois yang semakin meluas, data transaksi yang direkodkan juga dijangka membantu meningkatkan ketepatan maklumat percukaian pada masa hadapan.

Terlepas Bayar CP500, Ada Penalti?

Ya. Jika bayaran CP500 tidak dijelaskan dalam tempoh yang ditetapkan, penalti lewat bayar boleh dikenakan oleh LHDN.

Namun bagi Tahun Taksiran 2026, LHDN memberikan pengecualian penalti kepada individu yang mempunyai pendapatan penggajian serta pendapatan bukan penggajian yang menyebabkan notis CP500 dikeluarkan, termasuk pendapatan seperti sewa, faedah dan royalti.

Artikel The Star juga menekankan bahawa kelayakan bergantung kepada jenis pendapatan dan profil pembayar cukai, bukan sama ada penerima CP500 kali pertama atau tidak.

Langkah ini diperkenalkan bagi membantu kumpulan tersebut menyesuaikan diri dengan pelaksanaan sistem CP500 sepanjang tempoh peralihan.

Contoh:

Ahmad bekerja makan gaji dan PCB dipotong setiap bulan. Pada masa sama, beliau menerima pendapatan sewa rumah. Oleh sebab pendapatan sewa tidak tertakluk kepada PCB, Ahmad menerima notis CP500.

Sekiranya Ahmad tidak membuat bayaran ansuran CP500 pada Tahun Taksiran 2026, beliau tidak akan dikenakan penalti 10% di bawah Seksyen 107B(3) Akta Cukai Pendapatan.

Namun begitu, cukai yang masih belum dibayar tetap perlu dijelaskan apabila beliau mengemukakan borang cukai pendapatan kelak.

Ringkasnya, yang dikecualikan adalah penalti, bukannya cukai.

Baca lagi KONSESI PENGENAAN PENALTI KE ATAS NOTIS BAYARAN ANSURAN (CP500) BAGI INDIVIDU YANG MENERIMA PENDAPATAN PENGGAJIAN

Kesimpulan

Mempunyai pendapatan sampingan sememangnya satu perkara yang baik kerana ia membantu meningkatkan pendapatan. Namun begitu, jangan lupa bahawa setiap pendapatan juga datang bersama tanggungjawab percukaian.

Jika anda mempunyai pendapatan selain gaji, luangkan sedikit masa untuk memahami CP500. Ia bukan hukuman, bukan juga cukai tambahan, tetapi mekanisma yang membantu pembayar cukai mengurus bayaran cukai dengan lebih teratur sepanjang tahun.