Revenue Monster Mengumumkan Kerjasama Dengan Sarawak Pay – E-Dompet Milik Kerajaan Sarawak

Ketika pandemik Covid-19, kerajaan Malaysia telah meningkatkan kesedaran mengenai kebersihan dan juga penjarakan fizikal dalam kalangan masyarakat sementara menggalakkan amalan pembayaran tanpa sentuhan. Oleh itu, trend pembayaran tanpa sentuhan yang menaik sedang mempercepatkan peralihan daripada tunai ke pilihan digital. Dalam usaha untuk mendorong pembayaran tanpa tunai dalam negara, Revenue Monster mengumumkan kerjasama dengan Sarawak Pay – platform teknologi kewangan yang dimiliki Kerajaan Negeri Sarawak. Revenue Monster, syarikat teknologi kewangan Malaysia yang berfokus dalam mempelopori pendigitalan perniagaan, akan menyenaraikan Sarawak Pay e-dompet dalam pilihan pembayarannya.

Kini, lebih daripada setengah juta pengguna Sarawak Pay e-dompet akan dapat melakukan transaksi dengan peniaga Revenue Monster yang telah mendapat manfaat daripada penyelesaian pembayaran bersatu Revenue Monster yang menampilkan penerimaan pembayaran daripada 14 e-dompet, MasterCard, Visa dan FPX untuk perbankan dalam talian.

Dalam situasi pandemik Covid-19, Ken Lim, Ketua Pegawai Komersial, Revenue Monster berkongsi bahawa kerjasama ini akan mendorong pembayaran tanpa tunai yang selamat dan mudah di antara perniagaan dan pengguna. “Inilah masa yang tepat untuk mengumumkan kerjasama ini pada ketika rakyat Malaysia bergantung pada pembayaran tanpa tunai lebih dari sebelumnya.”

 “Perniagaan dan pelanggan banyak bergantung pada penyelesaian pembayaran digital semudah membeli-belah barangan runcit pada masa ini. Kini, perniagaan yang berpusat di Sarawak dapat menggunakan tawaran unik Revenue Monster untuk mencapai lebih banyak pelanggan secara lancar. Oleh yang demikian, kami amat berbangga dapat bekerjasama dengan Sarawak Pay untuk memperkenalkan penyelesaian pembayaran tanpa tunai yang lancar kepada pemilik perniagaan dan juga pengguna di Sarawak,” sambung Ken.

 “Sebagai ekosistem e-dompet milik Kerajaan Negeri di Malaysia, kami memandang serius akan komitmen kami dalam menyediakan kemudahan transaksi tanpa tunai kepada para pengguna,” kata Lucy Wong, Ketua Bahagian Perniagaan di SiliconNet Technologies Sdn Bhd, syarikat yang dilantik untuk mengoperasikan Sarawak Pay.

 “Pembayaran tanpa tunai adalah alat penting bagi setiap rakyat Malaysia pada waktu ini ketika kami terus berjuang melawan Covid-19. Kerjasama dengan Revenue Monster akan mempelbagaikan capaian Sarawak Pay e-dompet ke rangkaian peniaga-peniaga yang lebih luas. Kami berharap agar dapat menyediakan kumpulan perniagaan yang lebih besar di mana pengguna Sarawak Pay dapat melakukan transaksi pembayaran yang selamat dan lancar.”

-Tamat-

Peniaga yang berminat boleh mendaftar dengan Revenue Monster sekarang untuk menggunakan Sarawak Pay dengan layari www.revenuemonster.my

Tentang Revenue Monster

Ditubuhkan pada 2018, Revenue Monster adalah sebuah syarikat teknologi kewangan yang berpangkalan di Malaysia. Revenue Monster memperkenalkan penyelesaian untuk membantu pendigitalan perniagaan melalui ekosistem digital sepenuhnya.

Revenue Monster menggunakan gabungan unik kaedah pembayaran, program kesetiaan dan baucar, pemasaran media sosial dan teknologi perdagangan mudah alih bagi mencipta penyelesaian yang memberikan kawalan lebih kepada peniaga yang membawa kepada peningkatan nilai perniagaan jangka panjang.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Revenue Monster sila layari www.revenuemonster.my atau ikuti @RevenueMonster di media sosial.

Previous ArticleNext Article

Bursa Malaysia Securities Mengeluarkan Teguran Awam Dan/Atau Mengenakan Denda Ke Atas Computer Form (Malaysia) Berhad Serta Lapan Orang Pengarah

Bursa Malaysia Securities Berhad (“Bursa Securities”) telah mengeluarkan teguran awam terhadap Computer Forms (Malaysia) Berhad (CFM) dan lapan (8) orang pengarahnya kerana melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia (Main Market Listing Requirements, MAIN LR).

Selain teguran awam, lapan pengarah terbabit turut dikenakan denda berjumlah RM2 juta.

Pelanggaran utama oleh CFM

CFM didapati melakukan beberapa pelanggaran serius berkaitan pendedahan maklumat kepada pelabur, antaranya:

1. Gagal mendedahkan syarat penting dalam usaha sama (Joint Venture Agreement – JVA)

Dalam pengumuman bertarikh 5 Januari 2023, CFM gagal mendedahkan beberapa fakta material berkaitan perjanjian usaha sama dengan EA Mobility Holding Co. Ltd., termasuk:

  • Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) yang ditandatangani pada hari yang sama.
  • Klausa Put Option yang membolehkan EA Mobility menjual keseluruhan pegangannya dalam syarikat usaha sama kepada CFM sekiranya CFM gagal mendapatkan:
    • Tempahan disahkan (Affirmed Orders) sekurang-kurangnya 200 buah kenderaan elektrik (EV); dan
    • Bayaran deposit atau harga pembelian sekurang-kurangnya RM12.5 juta sebelum 30 Jun 2023.
  • Hakikat bahawa Perjanjian Usaha Sama (JVA) akan terbatal secara automatik sekiranya mana-mana pihak tidak lagi memiliki saham dalam syarikat usaha sama.

2. Siaran media 3 Julai 2023 mengelirukan pelabur

CFM mengeluarkan kenyataan media yang menggambarkan usaha sama tersebut masih berada pada landasan positif.

Namun, syarikat gagal mendedahkan bahawa:

  • Sasaran tempahan 200 EV tidak berjaya dicapai.
  • Bayaran minimum RM12.5 juta juga gagal diperoleh.
  • Kegagalan tersebut membuka ruang kepada EA Mobility untuk melaksanakan Put Option yang boleh menyebabkan penamatan usaha sama.

3. Lewat mengumumkan notis Put Option

Pada 10 Julai 2023, EA Mobility memaklumkan hasrat untuk melaksanakan Put Option.

Bagaimanapun, CFM hanya membuat pengumuman kepada Bursa pada 20 Julai 2023, iaitu selepas kelewatan lapan hari dagangan.

4. Pengumuman berkaitan penamatan usaha sama tidak lengkap dan mengelirukan

Dalam beberapa pengumuman antara 20 Julai hingga 1 September 2023, CFM menyatakan bahawa:

  • Operasi syarikat usaha sama masih berjalan seperti biasa.
  • Rundingan dengan EA Mobility masih diteruskan.

Namun syarikat tidak memaklumkan bahawa:

  • Penamatan JVA akan berlaku selepas pemindahan saham EA Mobility kepada CFM.
  • Maklumat mengenai penamatan hanya diumumkan pada 5 September 2023, hampir dua bulan selepas notis Put Option dikeluarkan dan hanya selepas Bursa Malaysia meminta penjelasan lanjut.

5. Memberikan maklumat tidak tepat kepada Bursa Malaysia

CFM turut didapati gagal memberikan maklumat yang tepat apabila:

  • Memaklumkan bahawa tiada perjanjian lain selain JVA.
  • Tidak menyerahkan salinan Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) walaupun diminta oleh Bursa Malaysia.
  • Perjanjian tersebut hanya diserahkan pada 25 September 2023 selepas beberapa kali pertanyaan dibuat.

Denda terhadap lapan pengarah

Kesemua lapan pengarah didapati membenarkan syarikat melakukan pelanggaran tersebut dan dikenakan teguran awam serta denda seperti berikut:

PengarahJumlah Denda
Tan Sri Datuk Mazlan Bin LazimRM300,000
Datuk Seri Tan Choon HwaRM100,000
Datuk Wira Justin Lim Hwa TatRM150,000
Datuk Hoo Swee GuanRM450,000
Pang Nan YewRM300,000
Wong Kok SeongRM300,000
Kho See YiingRM300,000
Tan Li SinRM100,000

Jumlah keseluruhan denda: RM2 juta.

Mengapa tindakan ini diambil?

Bursa Malaysia memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas proses siasatan lengkap dengan mengambil kira:

  • Keseriusan pelanggaran yang dilakukan.
  • Kesan terhadap pemegang saham dan pelabur.
  • Peranan serta tahap penglibatan setiap pengarah.

Menurut Bursa Malaysia, pendedahan maklumat yang tepat, lengkap dan dibuat tepat pada masanya amat penting bagi membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan yang bermaklumat, di samping memastikan pasaran modal kekal teratur, telus serta mengekalkan keyakinan pelabur.

Latar belakang kes

Pada 5 Januari 2023, CFM memeterai Perjanjian Usaha Sama (JVA) dan Perjanjian Pemegang Saham (SA) dengan EA Mobility bagi projek kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Walaupun perjanjian tersebut mengandungi syarat penting yang boleh menyebabkan usaha sama ditamatkan sekiranya sasaran tempahan EV dan kutipan deposit RM12.5 juta tidak dipenuhi sebelum 30 Jun 2023, syarat tersebut tidak didedahkan kepada pasaran.

CFM kemudiannya gagal memenuhi syarat berkenaan, menyebabkan EA Mobility melaksanakan Put Option pada 10 Julai 2023. Namun, perkembangan material tersebut tidak didedahkan secara segera dan lengkap kepada pelabur, sekali gus mendorong Bursa Malaysia mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat dan para pengarahnya.