Keuntungan Bersih Kenanga Investment Bank ST1 2021 Meningkat 4 Kali Kepada RM64.7 juta

Bank pelaburan bebas terkemuka Malaysia, Kenanga Investment Bank Berhad (“Kenanga” atau “Kumpulan”) hari ini mengumumkan peningkatan sebanyak 49.4% dalam keuntungan selepas cukai dan kepentingan tanpa kawalan (“PATNCI” atau “keuntungan bersih”) bagi suku kedua berakhir pada 30 Jun 2021 (“S2 2021”) kepada RM30.6 juta, berbanding dengan RM20.5 juta dalam tempoh yang sama pada tahun lepas (“S2 2020”). Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2021 (“ST1 2021”), keuntungan bersih meningkat sebanyak empat kali kepada RM64.7 juta, daripada RM13.5 juta pada ST1 2020. 

Hasil disatukan bagi S2 2021 berjumlah RM212.6 juta, lebih tinggi daripada RM210.6 juta pada S2 2020. Pulangan Tahunan ke atas Ekuiti (ROE) adalah sebanyak 12.8%, berbanding dengan sepanjang tahun 2020 sebanyak 10.7%. 

Perolehan yang lebih kukuh sebahagian besarnya disebabkan oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada perniagaan pembrokeran saham, pelaburan dan pengurusan kekayaan selain bahagian keuntungan yang lebih tinggi daripada usaha sama dengan Rakuten Trade.

Lebih separuh daripada keuntungan Kumpulan sebelum cukai (“PBT”) disumbangkan oleh segmen pembrokeran saham, yang terus menjadi penyumbang perolehan utama Kumpulan.  PBT daripada segmen ini meningkat sebanyak 45.3% kepada RM20.0 juta pada S2 2021, berbanding dengan RM13.7 juta dalam tempoh yang sama pada tahun lepas. Peningkatan ini sebahagian besarnya disebabkan oleh pendapatan faedah bersih lebih tinggi dan juga pendapatan dagangan dan pelaburan. 

Demikian juga, sumbangan PBT daripada bahagian pelaburan & pengurusan kekayaan meningkat lebih dua kali kepada RM6.2 juta disebabkan oleh penjanaan pendapatan yuran pengurusan lebih tinggi yang disokong oleh peningkatan aset di bawah kekuatan agensi pengurusan dan jualan.   

Rakuten Trade, usaha sama (“JV”) Kumpulan dan broker ekuiti Malaysia dalam talian sepenuhnya yang pertama, terus mencatatkan pembukaan akaun bulanan purata yang kukuh sebanyak 6,800 akaun bagi S2 2021. Pada akhir Jun 2021, Rakuten mempunyai jumlah keseluruhan 217,400 akaun, iaitu 51,600 melebihi jumlah yang diperolehnya pada tahun lepas. Hal yang demikian, ditambah pula dengan peningkatan perniagaan juga telah menyumbang kepada peningkatan pendapatan bersih Kumpulan. 

Pengarah Urusan Kumpulan Kenanga Investment Bank Berhad, berkata, “Kami berasa gembira bahawa Kumpulan terus melaporkan pelbagai keputusan yang membanggakan pada suku kedua. Ekonomi skala, terutamanya dalam bahagian pembrokeran saham dan Rakuten Trade, telah membantu mempertingkatkan keuntungan Kumpulan. Dengan infrastruktur digital berada pada kedudukan yang kukuh, kos memperoleh dan mengekalkan pelanggan baharu telah berkurang seiring dengan perkembangan kami.”

“Meskipun nilai dagangan harian purata di Bursa Malaysia telah berkurang berikutan kebimbangan sekatan pergerakan yang timbul akibat daripada penularan semula jangkitan Covid-19 di Malaysia, kami terus berharap bahawa ekonomi akan kembali pulih dengan segera berikutan pelaksanaan program vaksinasi kebangsaan terus mencatatkan peningkatan.” 

“Melihat ke hadapan, kami akan kekal memberikan tumpuan pada usaha memperkukuh asas perniagaan kami dan mengembangkan penawaran semasa kami bagi memastikan kami kekal berdaya tahan dan tangkas dalam memberikan respons kepada keperluan yang berubah-ubah dalam perniagaan teras yang kami laksanakan.” 

Untuk maklumat lanjut mengenai Kenanga, sila layari www.kenanga.com.my

Previous ArticleNext Article

PTPTN salur RM285,500 Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI

TANJONG MALIM, 29 September 2026 — Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyalurkan Bantuan Lestari Siswa MADANI berjumlah RM285,500 kepada 571 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi meringankan beban kewangan mereka.

Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata setiap pelajar menerima bantuan RM500 secara sekali bayar (one-off) dan tidak perlu dibayar balik, dengan bayaran dikreditkan ke akaun pelajar mulai 2 Oktober ini.

Beliau berkata inisiatif itu merupakan antara usaha PTPTN membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan supaya dapat meneruskan pengajian tanpa terlalu dibebani masalah kewangan.

“PTPTN berbesar hati untuk menyampaikan Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI yang melibatkan jumlah keseluruhan RM285,500.

“Setiap pelajar akan menerima RM500, tak perlu bayar balik. Ini yang kita berikan secara percuma dan secara one-off,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI, semalam.

Ahmad Dasuki berkata PTPTN memperuntukkan RM120 juta bagi inisiatif berkenaan, dengan kira-kira 5,000 pelajar telah diluluskan setakat ini, namun hanya 1,500 pelajar menerima manfaat tersebut.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan pelajar yang memenuhi syarat, khususnya mereka yang merupakan anak penerima eKasih dan belum memohon pinjaman PTPTN, supaya mendapatkan maklumat lanjut dan memanfaatkan peluang berkenaan.

Beliau berkata PTPTN bukan sahaja berperanan menyediakan pinjaman pendidikan, malah turut memberi penekanan terhadap budaya menabung menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).

Beliau berharap Bantuan Lestari Siswa MADANI dapat menjadi pemangkin kepada pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik selain meningkatkan taraf hidup keluarga dan memberi sumbangan kepada masyarakat.

“PTPTN tetap komited untuk memastikan agenda pendidikan negara terus dilaksanakan melalui pelbagai inisiatif yang sedang kita usahakan sekarang, selari dengan moto PTPTN, ‘Peluang Kejayaan Anda’,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata bantuan berkenaan amat bermakna kepada universiti memandangkan hampir 11,000 daripada kira-kira 30,578 pelajar UPSI merupakan golongan B40.

Beliau berkata perkara itu menggambarkan besarnya amanah dan tanggungjawab UPSI dalam memastikan kebajikan pelajar sepanjang tempoh pengajian mereka sentiasa terpelihara.

“Agenda kebajikan mahasiswa bukan agenda sampingan. Ia merupakan satu agenda penting yang kita bawa untuk memastikan perjalanan pendidikan adik-adik menimba ilmu di Bumi Mualim ini sepanjang tiga, empat tahun terjaga,” katanya.

Hadir sama Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Perak, Andi Nurali Mohamed; Pengurus Besar Kanan Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar dan Bendahari UPSI, Mohamad Najib Mohamed.

Gambar 1: Ahmad Dasuki (tiga dari kanan, atas) bergambar bersama para pelajar UPSI yang merupakan penerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 2: Ahmad Dasuki bergambar bersama para pelajar UPSI yang menerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 3: Ahmad Dasuki (empat dari kanan) ketika menyerahkan cek cura Bantuan Lestari Siswa Madani yang bernilai RM285,500 kepada Norkhalid (tiga dari kiri) pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT UPSI