Durian Capital Berhad Secara Rasminya Melancarkan Skim Pelaburan Durian Berlesen Yang Pertama Di Malaysia

Durian Capital Berhad (Syarikat), syarikat pengurusan pertanian moden tempatan, mengumumkan pelancaran Skim Pelaburan Durian Capital.  Ianya adalah skim pelaburan durian yang pertama di Malaysia yang dilesenkan di bawah Akta Skim Kepentingan 2016 oleh SSM.  Syarikat berhasrat  berkongsi peluang  bagi membolehkan para pelabur menyertai lanskap pelaburan pertanian yang lumayan di negara kita.

Permintaan global terhadap durian dianggarkan lebih rancak pada masa hadapan, dengan jangkaan pasaran meningkat daripada USD18.72 billion pada 2019 kepada USD 30 billion menjelang tahun 2025.  Pertambahan ini akan dipacu dengan permintaan tinggi dalam pasaran di China, yang akhir-akhir ini menampakkan minat terhadap buah durian.  Sehingga kini, hampir 1% daripada penduduk China telah mencuba durian.  Trend masakini di rantau ini telah pun menunjukkan pengambilan 1.1kg durian per kapita menjelang tahun 2030.  Pada tahun 2019, durian telahpun memintas buah ceri sebagai buah utama yang diimport oleh China daripada segi nilai pasaran. Spesis Musa King Malaysia akan terus kekal sebagai produk utama  pilihan pecinta durian kerana ia lebih mudah di dapati di pasaran terpilih di peringkat antarabangsa.

Demi memenuhi permintaan antarabangsa yang meningkat,  syarikat telah memperuntukkan sebanyak 200 ekar untuk Skim Pelaburan Durian Capital kepada para pelabur yang ingin menyertai dan melabur di pasaran Musang King yang sedang berkembang.

Syarikat berbangga dengan kumpulan pakar pertanian yang membawa bersama mereka pengalaman berpuluh tahun dan amalan terbaik dalam penanaman durian di samping sokongan oleh penasihat teknikal daripada Universiti Putra Malaysia yang mencakupi bidang sains pertanian dan perlindungan tanaman.  Bagi meningkatkan penghasilan dan pertumbuhan Musang King, syarikat juga memperkasa dengan penggunaan teknologi pertanian moden seperti sistem pengairan pintar, pemantauan  udara, analisa data dan amalan nutrisi tanah yang dibangunkan sendiri.

Teknologi yang digunapakai oleh Durian Capital bukan sahaja meningkatkan pengeluaran hasil Musang King, ia juga memberikan kemudahan melabur melalui laman sesawang ‘desktop’ dan aplikasi mudah alih. Bagi memperkasa ketelusan dan memberikan ketenangan kepada para pelabur, syarikat akan menerbitkan propektus dan laporan terkini setiap enam bulan bagi membolehkan para pelabur mengikuti perkembangan pelaburan sepanjang mereka melabur.

Afiq Johar, Ketua Pegawai Eksekutif Durian Capital mengungkapkan “Kami berbangga dan tidak sabar  untuk melancarkan Skim Pelaburan Durian Berlesen yang pertama dikhususkan untuk spesis Musang King.  Dengan pertumbuhan pesat pasaran durian pada masa ini, kami telah merangka skim pelaburan bagi menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia menyertai dan berkongsi pertumbuhan buah kesayangan rakyat Malaysia.  Kami juga berhasrat memperkasa kefahaman kewangan dan kepekaan pelaburan sebegini  kepada rakyat Malaysia.  Banyak data mikro yang menunjukkan trend yang membimbangkan – rakyat Malaysia kurang menyimpan untuk hari tua dan menghadapi fasa persaraan.  Dalam masa yang sama, hutang isi rumah pula berterusan meningkat, tidak dapat dinafikan juga akibat pandemik Covid-19.  Kami berharap Skim Pelaburan Durian akan memberikan pilihan kepada pelaburan bidang pertanian dan menawarkan produk pelaburan yang inklusif dan menambat hati rakyat Malaysia demi mempersiapkan masa hadapan yang lebih cemerlang.

Dr Vijay Pillai, Pengarah Urusan Durian Capital menambah “Kami ingin berterima kasih kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia dalam usaha mereka merintis Akta Skim Kepentingan 2016 bagi membolehkan syarikat tempatan seperti Durian Capital mencari sumber pembiayaan alternatif untuk pengembangan perniagaan.  Kami berharap dengan pelesenan di bawah Akta Skim Kepentingan 2016 akan mengukuhkan keyakinan pelabur dengan tawaran kami khususnya tadbir urus, ketelusan dan perlindungan pelaburan yang jelas.  Harapan kami Skim Pelaburan Durian akan menempa kejayaan dan melonjakkan pertumbuhan dan memacu sektor pertanian di Malaysia.”

Pelabur boleh mula melabur dengan jumlah minimum RM10,000 seunit.

Permohonanan unit boleh dibuat terus melalui Durian Capital dengan menghantar mesej WhatsApp di +6019-2261221 atau e-mel ke [email protected]

Untuk maklumat lanjut mengenai skim pelaburan, pelabur boleh melayari laman web Durian Capital di: https://duriancapital.com.my

Previous ArticleNext Article

ANTA kini pemegang saham terbesar PUMA

HONG KONG, 8 Oktober 2026 — ANTA Sports Products Limited, kumpulan pakaian sukan pelbagai jenama terkemuka dunia (“ANTA Sports”, kod saham: 2020 (kaunter HKD) dan 82020 (kaunter RMB), serta anak-anak syarikatnya secara kolektif disebut sebagai “ANTA Group” atau “Kumpulan”), hari ini mengumumkan penyelesaian pemerolehan 29.06% kepentingan dalam PUMA SE daripada Artémis SAS, syarikat pelaburan keluarga Pinault, dengan bayaran tunai sebanyak EUR 1,505.5 juta. Susulan penerimaan semua kelulusan kawal selia yang berkaitan dan pemenuhan syarat penutupan lazim, ANTA Sports kini merupakan pemegang saham terbesar PUMA.

Bagi ANTA Sports, pelaburan ini menandakan pencapaian penting dalam pelaksanaan strategi “fokus tunggal, pelbagai jenama, globalisasi” dan memperkukuh profil antarabangsa, jangkauan serta daya saing Kumpulan dalam pasaran barangan sukan global. ANTA Sports akan membawa kepada PUMA kepakaran yang telah dibangunkan Kumpulan merentasi pelbagai jenama selama bertahun-tahun, termasuk keupayaan dalam pengurusan, peruncitan dan integrasi sumber global.

Ding Shizhong, Pengerusi Lembaga ANTA Sports, berkata: “Kami amat berbesar hati untuk menjadi pemegang saham terbesar PUMA dan rakan strategik jangka panjang. Pasaran barangan sukan global terus menawarkan peluang pertumbuhan yang besar apabila semakin ramai orang mengamalkan gaya hidup aktif dan meningkatkan penyertaan mereka dalam sukan. ANTA Sports telah membina kejayaannya berasaskan strategi pelbagai jenama. Kami percaya nilai sebuah kumpulan pelbagai jenama terletak pada keupayaannya membantu setiap jenama merealisasikan potensi sepenuhnya dengan memanfaatkan keupayaan dan sumber kumpulan yang lebih luas. PUMA mempunyai warisan yang kaya dan nilai asas jenama yang kukuh. Kami yakin terhadap pasukan pengurusannya dan menyokong transformasi strategik yang sedang dilaksanakan. Sebagai pemegang saham jangka panjang, kami berharap dapat berkongsi pengalaman dan keupayaan kami, khususnya dalam bidang peruncitan dan operasi, sambil menghormati kebebasan serta identiti jenama PUMA. Aspirasi kami adalah untuk menyokong PUMA dalam merealisasikan potensi sepenuhnya dan mewujudkan nilai berkekalan untuk pengguna di seluruh dunia.”

“PUMA telah membina salah satu jenama sukan paling dikenali di dunia, dengan warisan yang kaya, kredibiliti sukan yang kukuh, jejak global, inovasi terkemuka dan rakan kongsi yang kukuh. Kami mengalu-alukan ANTA Sports sebagai pemegang saham terbesar PUMA dan melihat komitmen jangka panjangnya sebagai undi keyakinan yang kukuh terhadap strategi, pasukan pengurusan dan masa hadapan kami,” kata Arthur Hoeld, Ketua Pegawai Eksekutif PUMA SE. “Kami berharap dapat membina hubungan yang membuahkan hasil dan meneroka bidang yang membolehkan kekuatan masing-masing mewujudkan nilai mampan untuk PUMA dan para pemegang sahamnya dalam perjalanan kami untuk menjadi antara 3 jenama sukan global teratas.”

ANTA Sports menghormati sepenuhnya warisan sukan PUMA, identiti jenama dan budaya korporatnya yang tersendiri, serta tadbir urus bebas dan autonomi jenamanya. Seperti yang diumumkan sebelum ini, Kumpulan akan mendapatkan perwakilan yang sewajarnya dalam Lembaga Penyeliaan PUMA. Kumpulan pada masa ini tidak mempunyai rancangan untuk membuat tawaran pengambilalihan bagi PUMA.