SC Perkukuh Pertahanan Daripada Serangan Siber

KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) — Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) melakukan usaha yang serius untuk memperkukuh keupayaan keseluruhan pasaran modal di samping kemampuan untuk menangkis serangan siber.

Pengerusi, Datuk Seri Awang Adek Hussin berkata daya tahan siber adalah penting untuk semua peserta pasaran modal dan menjadi keutamaan teratas SC.

“Sehubungan itu, Pelan Induk Pasaran Modal 3 (CMP3) telah menggariskan beberapa inisiatif strategik yang perlu dilaksanakan, termasuk mengukuhkan lagi keupayaan perisikan SC dan industri supaya lebih bersedia daripada kemungkinan pelanggaran dan ancaman yang akan berlaku,” katanya ketika menyampaikan ucapan penutup Simulasi Siber Pasaran Modal 2022 pada Selasa.

Beliau berkata Inisiatif CMP3 yang lain adalah membangunkan satu pendekatan untuk menyokong keupayaan pertahanan siber bagi industri serta rangka kerja untuk mengawal risiko teknologi secara lebih holistik.

Lebih 20,000 kes jenayah siber dengan kerugian berniai RM560 juta direkodkan tahun lepas, katanya.

“Jenayah siber semakin menjadi perniagaan besar, dan organisasi serta kerajaan di seluruh dunia memberi lebih perhatian kepada risiko siber.

“Untuk melindungi pelabur dan pasaran, kita tidak boleh leka mengenai keselamatan siber. Selain itu, kepentingannya kepada keselamatan negara juga tidak boleh terlepas pandang,” katanya.

Awang Adek berkata memandangkan ancaman siber kian meningkat dan menjadi semakin sofistikated  serta teknologi juga menjadi lebih penting, keselamatan siber memerlukan satu pendekatan holistik yang dapat menangani risiko siber dan teknologi.

Beliau berkata SC merancang untuk mengeluarkan Rangka Kerja Kawal Selia bagi Pengurusan Risiko Teknologi pada awal 2023, yang akan meningkatkan keupayaan pasaran modal secara ketara untuk mengesan dan mengurangkan risiko berkaitan teknologi baharu.

Simulasi Siber Pasaran Modal yang dianjurkan setiap tahun itu dirancang untuk mensimulasikan senario insiden siber yang sehampir mungkin dengan situasi sebenar dengan kira-kira 110 organisasi merentas spektrum pasaran modal mengambil bahagian dalam acara itu tahun ini.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Cabaran RIFAR Yang Diterajui Belia Oleh SC Untuk Memacu Kesedaran Dan Inovasi Bagi Sungai-Sungai Di Malaysia

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini melancarkan River Flooding Adaptation & Resilience (RIFAR) Challenge untuk memperkasakan golongan muda supaya menyumbang idea dan tindakan yang dapat memperkukuh ketahanan sungai-sungai di Malaysia.

Inisiatif ini merupakan kerjasama dengan rakan strategik dalam penglibatan universiti, pelaksanaan dunia sebenar langkah mitigasi banjir dan kepakaran teknikal dalam ketahanan serta kelestarian sungai. Rakan-rakan tersebut ialah:

  1. ICAEW Malaysia
  2. Lembaga Urus Air Selangor (LUAS)
  3. Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) – pemaju induk projek Selangor Maritime Gateway (SMG)
  4. Jeffrey Sachs Center on Sustainable Development (JSC)

Pertandingan seluruh negara ini menjemput pelajar universiti untuk membantu menangani ancaman banjir sungai yang semakin meningkat melalui dua kategori berbeza:
▪ The Sprint: Laluan kesedaran yang memfokuskan komunikasi kreatif, bagi meningkatkan kesedaran awam dan tindakan komuniti mengenai kesihatan sungai di Malaysia.
▪ The Marathon: Laluan inovasi pelbagai disiplin di mana pasukan membangunkan intervensi mitigasi banjir untuk Taman Sri Muda. Penyelesaian menggabungkan konsep kejuruteraan dengan pelan pembiayaan pasaran modal serta manfaat sampingan iklim yang boleh diukur, seperti tenaga boleh diperbaharui.

RIFAR merupakan sebahagian daripada inisiatif Transition, Resilience & Adaptation in Capital Markets (TRAC) oleh SC. Ia selaras dengan objektif lebih luas SC untuk memperkukuh peranan pasaran modal dalam menggerakkan pembiayaan bagi peralihan iklim, adaptasi dan ketahanan, seperti yang digariskan dalam Capital Market Masterplan 2026-2030.

RIFAR ialah cabaran adaptasi dan ketahanan iklim kedua SC, meneruskan kejayaan besar Coastal Flooding Adaptation & Resilience (COFAR) Challenge yang diadakan pada 2025. Inisiatif ini melibatkan 220 pelajar dari 29 universiti untuk membangunkan penyelesaian adaptasi bagi Pulau Carey, Selangor.

Bercakap semasa webinar pelancaran RIFAR Challenge, Pengerusi SC Dato’ Mohammad Faiz Azmi berkata sungai berada di pusat cabaran adaptasi iklim Malaysia.

“Sungai ialah sistem peredaran negara ini, membekalkan 80% bekalan air mentah negara dan mengalir melalui koridor ekonomi paling penting kita.”

“Pasaran modal menilai idea yang bukan sahaja kukuh dari segi teknikal tetapi juga berdaya maju dari segi kewangan. Selepas kejayaan COFAR, kami yakin pelajar universiti Malaysia boleh menyumbang kepada penyelesaian bersepadu yang diperlukan untuk lembangan sungai kita,” katanya.

RIFAR Challenge menawarkan jumlah hadiah wang tunai RM50,000 untuk kategori Marathon dan RM7,000 untuk Sprint. Pertandingan ini terbuka kepada pelajar dari semua universiti awam dan swasta di Malaysia, serta rakyat Malaysia yang belajar di universiti luar negara.

Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, layari: www.sc.com.my/trac/rifar-challenge
Pendaftaran ditutup pada 12 Mei 2026.