Pelancong Dari Thailand Kini Boleh Membuat Pembayaran DuitNow QR di Malaysia Menerusi Boost

Fasa pertama pelancaran melibatkan pelancong Thailand, disusuli pelancong dari
Indonesia dan Singapura tidak lama lagi

KUALA LUMPUR, 6 DISEMBER 2022 – Boost, syarikat teknologi kewangan (fintech) spektrum penuh serantau Axiata yang terkemuka, dan Payments Network Malaysia (PayNet), infrastruktur rangkaian pembayaran runcit negara, hari ini mengumumkan bahawa para peniaga Boost kini boleh menerima pembayaran rentas sempadan daripada pelancong Thailand menerusi DuitNow QR, yang memudahkan mereka membuat bayaran rentas sempadan tanpa tunai di negara ini. 

Ciri transaksi lancar serba baharu ini akan merintis jalan untuk memudahkan pelancong menggunakan eDompet masing-masing untuk membuat pembayaran tanpa perlu memegang wang tunai dalam Ringgit. Pelancong hanya perlu mengimbas Kod QR DuitNow Boost, yang akan mengenal pasti lokasi secara automatik semasa pengguna berada di Malaysia. Pengguna akan menerima permintaan untuk meletakkan nilai pembelian dalam Ringgit Malaysia (MYR), dan tukaran automatik akan dipotong daripada eDompet negara asal mereka. Bagi peniaga Boost, mereka akan terus menerima bayaran dalam MYR.  

Dalam fasa pertama, kemudahan ini akan disediakan kepada pelancong dari Thailand. Institusi kewangan Thailand yang turut serta untuk mengimbas Kod QR DuitNow Boost di Malaysia ialah CIMB Thai, Siam Commercial Bank, Bangkok Bank, Krungthai Bank dan Bank of Ayudhya. 

Sheyantha Abeykoon, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Boost, berkata: “Di Boost, kami sentiasa mempelopori inovasi dalam penyelesaian pembayaran digital kami demi manfaat peniaga sambil menyediakan pilihan pembayaran mudah yang menyenangkan pembeli tempatan. Pada hari ini, kami teruja untuk menawarkan ciri kelebihan ini kepada pelancong serantau menerusi kerjasama kami dengan rangkaian pembayaran rentas sempadan PayNet yang luas.  Memandangkan musim cuti akan tiba tidak lama lagi, tawaran baharu yang menarik ini di pasaran juga disediakan kepada peniaga dengan matlamat untuk meluaskan rangkaian pelanggan mereka, manakala pelancong boleh menikmati transaksi ringkas dalam mata wang sendiri dengan hampir lebih setengah juta peniaga yang menawarkan kemudahan Boost di seluruh negara.  Kami berhasrat untuk turut menawarkan pembayaran QR rentas sempadan kepada pelancong Indonesia dan Singapura serta kawasan lain di liputan PayNet dalam tempoh beberapa bulan akan datang.” 

Menurut CEO Kumpulan PayNet, En Farhan Ahmad, “Peranan kami ialah untuk menawarkan kemudahan pembayaran digital yang lancar, mudah dicapai dan senang digunakan, dengan cara yang selamat, terlindung dan cekap. Ini termasuk keupayaan saling kendali pembayaran runcit rentas sempadan, terutamanya antara negara-negara ASEAN. Kami teruja kerana peserta ekosistem kami, Boost, telah menyediakan kemudahan untuk pelancong dari Thailand membuat bayaran rentas sempadan menerusi Kod QR DuitNow.  Kemudahan ini bukan sahaja membawa manfaat kepada industri pelancongan Malaysia, tetapi juga mikro PKS dan peniaga runcit lain, yang seterusnya mengukuhkan aktiviti ekonomi dan merangsang pertumbuhan. Kerjasama ini menandakan satu permulaan yang baik, dengan kesan pengganda dan impak yang besar daripada pelaksanaan tersebut.” 

Hampir 200,000 peniaga yang menawarkan Kod QR DuitNow Boost boleh didapati di tempat-tempat tarikan pelancong di serata Malaysia seperti Jalan Bukit Bintang, yang terkenal untuk membeli-belah dan menjamu selera di Kuala Lumpur, Jonker Walk dan Kota Syahbandar yang menjadi tumpuan pelancong di Melaka, pusat seni jalanan di Lebuh Armenian dan juga lokasi pilihan penggemar makanan seperti Pasar Chowrasta dan juga Medan Selera Persiaran Gurney di Pulau Pinang. Di samping itu, anda juga boleh menerokai keindahan Borneo di Perkampungan Budaya Sarawak, di Santubong atau Pasar Sentral dan Pasar Malam Sibu. 

Untuk menggalakkan lebih ramai peniaga mendigitalkan perniagaan dan menerima pakai kemudahan menjalankan perniagaan tanpa tunai, Boost kini bekerjasama rapat dengan Persatuan Jonker Walk di Melaka dalam usaha berterusan untuk menggalakkan penyertaan lebih ramai peniaga bagi menawarkan pilihan beli-belah yang lebih luas. 

Dengan kemudahan baharu ini, mereka yang masih mempertimbangkan keputusan menjadi peniaga Boost boleh menyertai kami pada hari ini dan meluaskan pelanggan di peringkat serantau. Mereka hanya perlu mendaftar sebagai peniaga Boost dan memaparkan Kod QR DuitNow Boost.  Untuk tempoh terhad, yuran untuk mengaktifkan ciri-ciri pembayaran rentas sempadan akan dikecualikan. Ketik pada pautan di untuk maklumat lanjut tentang cara menjadi peniaga Boost

Previous ArticleNext Article

seeNI Memperkenalkan Hala Tuju Baharu Menghubungkan Kandungan, Komuniti dan Komersial

PETALING JAYA, 29 Oktober 2026 – Nu Ideaktiv Sdn Bhd, syarikat usaha sama antara Astro dan Kumpulan Media Karangkraf, menyatukan portfolio jenama medianya di bawah jenama seeNI sebagai sebahagian daripada strategi untuk membuka peluang pertumbuhan baharu melalui kandungan berjenama, penajaan, kempen yang melibatkan bakat dan kerjasama komersial.

Berteraskan Komuniti, Kandungan dan Komersial, peralihan ini menggantikan identiti Nu Ideaktiv kepada seeNI. Langkah ini menyediakan satu pintu masuk kepada pengiklan dan agensi untuk mengakses jenama media, bakat komuniti dan kepakaran kreatif syarikat bagi mencapai matlamat perniagaan yang sama.
Portfolio ini merangkumi antaranya seeNI Creator Academy, Media Hiburan, Borak seeNI, NONA, Remaja, Roda Panas, Rasa, Mingguan Wanita, Keluarga dan Pa&Ma. Penyatuan kekuatan jenama ini bertujuan memperluas nilai komersial merentas minat dan peringkat kehidupan khalayak, melangkaui penawaran berasaskan satu jenama atau penempatan iklan secara berasingan.

Melalui tiga tunjang tersebut, Komuniti menghubungkan khalayak melalui minat dan pengalaman bersama; Kandungan menggabungkan jenama media, penceritaan, kepakaran produksi dan bakat; manakala Komersial menterjemahkan hubungan itu kepada peluang kempen bersepadu, penajaan dan kerjasama. Gabungan ini menjadi asas untuk memadankan matlamat pelanggan dengan khalayak serta pendekatan interaksi yang bersesuaian.

Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv Sdn. Bhd., Encik Syamil Fahim Mohamed Fahim, berkata,
“Peralihan daripada Nu Ideaktiv kepada seeNI bukan sekadar perubahan identiti jenama. Ia mencerminkan aspirasi kami untuk menghimpunkan jenama media, bakat dan komuniti dalam satu ekosistem yang lebih bersepadu, sekali gus mewujudkan nilai yang lebih besar kepada pengguna dan rakan komersial kami.

Menerusi Komuniti, Kandungan dan Komersial, kami mahu melangkaui penempatan iklan secara berasingan dengan menawarkan peluang yang lebih menyeluruh kepada jenama untuk berhubung dengan khalayak melalui kandungan yang relevan, bakat dan penglibatan yang bermakna. Dalam melangkah ke fasa baharu ini, keutamaan kami adalah untuk memperkukuh kerjasama, membuka peluang pendapatan baharu dan membina perniagaan yang lebih mampan untuk masa hadapan.”

Menerusi seeNI Collective, seeNI menggabungkan kekuatan kandungan, komuniti, bakat kreatif dan rakan strategik untuk membuka peluang kerjasama melangkaui pengiklanan konvensional. Antara kerjasama yang diketengahkan termasuk TVS dan Novel Karangkraf dalam penerbitan serta adaptasi kandungan, Komet Productions dalam usaha memperkasa bakat baharu industri kreatif menerusi seeNI Story Lab, serta Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) dan Fashionably Modest Asia (FMA) dalam bidang fesyen dan gaya hidup. Kesemua kerjasama ini bertujuan memperluas peluang untuk jenama berhubung dengan audiens melalui pelbagai platform dan pengalaman.

Sementara itu, seeNI Talent dirangka untuk memadankan bakat yang sesuai dengan kandungan, kempen jenama, acara dan peluang komersial berdasarkan rekod kerja, kesesuaian khalayak serta kesediaan bakat untuk terlibat. Kedua-dua penawaran ini menyokong penyelesaian yang lebih bersepadu kepada keperluan pelanggan dengan menggabungkan keupayaan mengikut khalayak sasaran dan matlamat komersial.

The New World of seeNI – mengetengahkan hala tuju seeNI hari ini di D’Theatre Malaysia, Hextar World at Empire City. Acara ini memperkenalkan barisan kandungan seeNI untuk tahun 2027, barisan bakat serta peluang kerjasama kepada pengiklan, peneraju jenama dan pemain industri lain.

Acara ini menandakan satu pencapaian komersial penting dalam transformasi berterusan seeNI. Berpandukan More Begins Here, seeNI berhasrat menyediakan sebuah destinasi bersepadu yang membolehkan pelanggan meneroka lebih banyak kandungan, di samping membuka peluang baharu untuk perniagaan berkembang.