
Sub Topik
Kalau setiap minggu kita masukkan duit ke tabung masjid, niatnya memang untuk bersedekah.
Tapi tahukah anda, bukan semua derma atau sumbangan kepada masjid boleh digunakan untuk mendapatkan potongan cukai?
Di sinilah pentingnya kita kenal Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967.
Di bawah peruntukan ini, institusi, organisasi atau tabung tertentu yang mendapat kelulusan Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri boleh memberikan manfaat cukai kepada penderma.
Sebagai contoh untuk Tabung Pengurusan Rumah Ibadat (TPRI) yang diluluskan, penderma boleh mendapat potongan daripada pendapatan agregat, tertakluk kepada had yang ditetapkan. Bagi derma yang layak di bawah Subseksyen 44(6), hadnya ialah 10% daripada pendapatan agregat.
Jadi, apa bezanya?
Contohnya, anda ada pendapatan agregat sebanyak RM100,000 setahun.
Anda kemudian membuat sumbangan tunai sebanyak RM5,000 kepada tabung masjid yang telah mendapat kelulusan di bawah Subseksyen 44(6).
Jika sumbangan tersebut memenuhi syarat dan disokong dengan resit rasmi yang sah, RM5,000 itu boleh diambil kira sebagai potongan daripada pendapatan agregat, tertakluk kepada had 10%.
Maksudnya, secara ringkas:
Pendapatan agregat: RM130,000
Derma layak: RM10,000
Pendapatan selepas potongan: RM120,000
Tetapi jangan salah faham.
RM10,000 itu bukan bermaksud cukai anda terus berkurang RM10,000.
Ia adalah potongan daripada pendapatan agregat yang digunakan dalam pengiraan cukai.
Contoh:
| Perkara | Tiada Derma 44(6) | Dengan Derma 44(6) |
|---|---|---|
| Pendapatan agregat | RM130,000 | RM130,000 |
| Tolak: Derma 44(6) | – | (RM10,000) |
| Pendapatan selepas derma | RM130,000 | RM120,000 |
| Tolak: Pelepasan cukai | (RM20,000) | (RM20,000) |
| Pendapatan bercukai | RM110,000 | RM100,000 |
| RM100,000 pertama | RM9,400 | RM9,400 |
| Lebihan RM100,000 | RM10,000 × 25% = RM2,500 | – |
| Jumlah cukai | RM11,900 | RM9,400 |
| Perbezaan cukai | RM2,500 | – |
Dalam contoh ini, derma RM10,000 itu menyebabkan pendapatan bercukai turun daripada RM110,000 kepada RM100,000.
Yang menarik, RM10,000 tersebut berada dalam banjaran pendapatan RM100,001 hingga RM400,000, yang dikenakan kadar 25%.
Jadi RM10,000 × 25% = RM2,500.
Sebab itu jumlah cukai turun daripada RM11,900 kepada RM9,400.
Rujuk Jadual Kadar Cukai LHDNM
Tapi bukankah lebih baik bayar zakat?
Zakat dan derma di bawah Subseksyen 44(6) sebenarnya mempunyai layanan cukai yang berbeza.
Zakat yang dibayar kepada pihak berkuasa agama yang diiktiraf boleh dituntut sebagai rebat cukai. Maksudnya, ia ditolak daripada cukai yang dikenakan, tertakluk kepada jumlah cukai tersebut.
Manakala sumbangan kepada institusi atau tabung yang diluluskan di bawah Subseksyen 44(6) pula merupakan tolakan daripada pendapatan agregat, tertakluk kepada had 10% bagi individu.
Contoh mudah:
Zakat RM5,000
→ Rebat cukai sehingga RM5,000
→ Ditolak daripada cukai yang dikenakan.
Derma 44(6) RM5,000
→ Ditolak daripada pendapatan agregat
→ Kemudian cukai dikira berdasarkan pendapatan selepas potongan tersebut.
Jadi, dua-duanya bukan benda yang sama dari perspektif percukaian.
Dan bagi seorang Muslim, membayar zakat bukan sekadar soal “mana lebih untung dari segi cukai”. Zakat ialah kewajipan agama bagi mereka yang memenuhi syarat.
Manakala derma kepada masjid atau institusi yang diluluskan di bawah 44(6) pula adalah satu bentuk sumbangan yang boleh memberikan manfaat cukai apabila syarat undang-undang dipenuhi.
Kalau seseorang memang wajib membayar zakat, bayarlah zakat.
Dan kalau pada masa yang sama mahu menyumbang terus kepada masjid atau institusi yang diluluskan di bawah 44(6), itu juga boleh dilakukan, tertakluk kepada kemampuan.
Jangan main masukkan duit dalam mana-mana tabung masjid
Ini bahagian yang paling penting.
LHDN menjelaskan bahawa derma kepada tabung masjid hanya boleh dituntut jika derma tersebut dibuat kepada badan atau tabung yang telah mendapat kelulusan Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri.
Jadi, jangan anggap:
“Aku sedekah RM5,000 dekat masjid ni, nanti mesti boleh claim pelepasan cukai.”
Tidak semestinya.
Ada masjid atau tabung yang mungkin mempunyai kelulusan 44(6), dan ada yang tidak.
Malah, kelulusan tersebut mempunyai tempoh kuat kuasa tertentu. Sebab itu status kelulusan perlu disemak terlebih dahulu. LHDN sendiri menyediakan semakan institusi, organisasi dan tabung yang diluluskan di bawah Subseksyen 44(6).
Nak sedekah sambil dapat potongan cukai, macam mana?
Mudah.
1. Cari tabung masjid yang mempunyai kelulusan 44(6)
Jangan tengok nama masjid sahaja. Pastikan tabung tersebut memang mempunyai kelulusan yang masih berkuat kuasa.
2. Buat sumbangan kepada tabung yang diluluskan
Untuk tujuan potongan cukai, LHDN menetapkan syarat tertentu terhadap bentuk sumbangan. Derma wang tunai yang disokong dengan resit rasmi merupakan antara perkara penting.
3. Minta resit rasmi
Ini sangat penting.
Resit derma yang dikeluarkan oleh institusi/tabung yang diluluskan mempunyai maklumat tertentu termasuk nombor rujukan kelulusan dan tempoh kuat kuasa.
Jadi, kalau anda membuat sumbangan melalui saluran ini, hubungi bendahari atau pihak pengurusan masjid dan minta resit rasmi untuk rekod cukai.
Satu lagi benda yang ramai terlepas pandang
Jangan tunggu hujung tahun baru nak cari resit.
Simpan resit tersebut bersama dokumen cukai anda.
Dan pastikan nama tabung serta nombor rujukan kelulusan pada resit adalah betul.
LHDN turut menyatakan bahawa resit derma perlu menunjukkan frasa berkaitan potongan di bawah Subseksyen 44(6).
Jadi, kalau memang nak bersedekah?
Sedekah tetap sedekah.
Potongan cukai itu hanyalah manfaat cukai yang diberikan oleh undang-undang apabila sumbangan dibuat melalui saluran yang diluluskan dan memenuhi syarat.
Kalau selama ini anda memang biasa menyumbang kepada masjid, mungkin selepas ini boleh semak satu perkara tambahan:
“Tabung masjid ini ada kelulusan Subseksyen 44(6) tak?”
Kalau ada, dan kelulusan masih sah, buat sumbangan melalui tabung yang diluluskan dan pastikan dapat resit rasmi.
Boleh bersedekah, dan pada masa yang sama memanfaatkan insentif cukai yang memang disediakan oleh undang-undang.
Senarai Institusi/Tabung Yang Masih Diluluskan di bawah Subseksyen 44(6)
| No. Rujukan | Nama Institusi / Tabung | Tempoh Tamat |
|---|---|---|
| 2824 | LEMBAGA AMANAH KEBAJIKAN MASJID NEGERI SARAWAK (LAMKNS), JALAN DATUK AJIBAH ABOL, 93400 KUCHING, SARAWAK https://www.lakmns.org.my/imbas-and-derma | 31 DIS 2035 |
| 6024 | PUSAT DIALISIS & KESIHATAN MASJID BANDAR BARU UDA (PDK), JALAN PADI RIA 1 BANDAR BARU UDA, 81200 JOHOR BAHRU, JOHOR | 31 DIS 2035 |
| 8128 | TABUNG PENGURUSAN RUMAH IBADAT (TPRI) MASJID ABDUL RAHMAN LIMBONG KUALA TELEMONG TERENGGANU, MASJID ABDUL RAHMAN LIMBONG KUALA TELEMONG, 21210 HULU TERENGGANU, TERENGGANU | 31 DIS 2035 |
| 8565 | TABUNG PENGURUSAN RUMAH IBADAT (TPRI) MASJID AL-EHSAN MUKIM KAMPUNG BELANGA KUALA KRAI, KELANTAN, D/A MASJID AL EHSAN MUKIM KAMPUNG BELANGA KUALA PAHI, MENGKEBANG, 18000 KUALA KRAI, KELANTAN | 31 DIS 2029 |
| 7663 | TABUNG PENGURUSAN RUMAH IBADAT (TPRI) MASJID AL-KHAFI CCRC BENTA, PAHANG, CCRC BENTA, AGENSI ANTIDADAH KEBANGSAAN KEMENTERIAN DALAM NEGERI BATU 13, LANDASAN TERBANG BENTA, 27300 BENTA, PAHANG | 31 DIS 2035 |
| 8080 | TABUNG PENGURUSAN RUMAH IBADAT (TPRI) MASJID AL-KHAIRIYAH TAMAN SERI GOMBAK, SELANGOR, MASJID AL-KHAIRIYAH JALAN SG 7/1 TAMAN SERI GOMBAK, 68100 BATU CAVES, SELANGOR https://www.alkhairiyah.org/sumbangan | 31 DIS 2035 |
| 8636 | TABUNG PENGURUSAN RUMAH IBADAT (TPRI) MASJID AL-SYAKIRIN, MASJID AL-SYAKIRIN KM 9, JALAN GOMBAK, 53100 KUALA LUMPUR, WP KUALA LUMPUR | 31 DIS 2035 |
| 8212 | TABUNG PENGURUSAN RUMAH IBADAT (TPRI) MASJID AN-NUR KOTARAYA, LEVEL 10, MENARA KOMTAR JOHOR BAHRU CITY CENTRE, 80000 JOHOR BAHRU, JOHOR | 31 JAN 2027 |
| 8214 | TABUNG PENGURUSAN RUMAH IBADAT (TPRI) MASJID AN-NUR LARKIN SENTRAL, LOT 1B, PODIUM 1 MENARA ANSAR 65 JALAN TRUS, 80000 JOHOR BAHRU, JOHOR | 31 JAN 2027 |
| 8213 | TABUNG PENGURUSAN RUMAH IBADAT (TPRI) MASJID AN-NUR TAMAN CENDANA, LOT 1B, PODIUM 1 MENARA ANSAR 65 JALAN TRUS, 80000 JOHOR BAHRU, JOHOR https://toyyibpay.com/INFAQ-MASJID-TAMAN-CENDANA | 31 JAN 2027 |
| 7903 | TABUNG PENGURUSAN RUMAH IBADAT (TPRI) MASJID JAMEK KAMPUNG BINTANG, PESERAI, BATU PAHAT, MUKIM 111, PESERAI LOT 2227, TL KB 36/5 LORONG HJ AWANG KG. BINTANG, PESERAI, 83000 BATU PAHAT, JOHOR | 31 DIS 2035 |
| 8616 | TABUNG PENGURUSAN RUMAH IBADAT (TPRI) MASJID SULTAN YUSUF IZZUDIN SHAH, MASJID SULTAN YUSUF IZZUDIN SHAH JALAN IPOH-LUMUT, 32610 BANDAR BARU SERI ISKANDAR, SERI ISKANDAR, PERAK | 31 DIS 2035 |
| 7830 | TABUNG PENGURUSAN RUMAH IBADAT (TPRI) MASJID TUN ABDUL AZIZ PETALING JAYA, SELANGOR, JALAN SEMANGAT SEKSYEN 14, 46100 PETALING JAYA, SELANGOR | 31 DIS 2035 |
| 7906 | TABUNG PENGURUSAN RUMAH IBADAT MASJID AL-FALAH USJ9, SUBANG JAYA, MASJID AL-FALAH PUSAT BANDAR USJ9, 47620 SUBANG JAYA, SELANGOR | 31 DIS 2035 |
| 8231 | TABUNG PENGURUSAN RUMAH IBADAT (TPRI) MASJID AN-NUR PASIR GUDANG, KOMPLEKS PUSAT BANDAR PASIR GUDANG, 81700 PASIR GUDANG, JOHOR | 29 FEB 2028 |
| 7782 | TABUNG PENGURUSAN RUMAH IBADAT (TPRI) MASJID DARUL ISTIQAMAH SIBU, MASJID DARUL ISTIQAMAH D/A 1A, LORONG 10 JALAN SUKUN, 96000 SIBU, SARAWAK | 31 DIS 2035 |
| 8186 | TABUNG PENGURUSAN RUMAH IBADAT (TPRI) MASJID JAMEK TAMAN TUNKU SARINA, BANDAR DARULAMAN, JITRA, KEDAH, MASJID JAMEK TUNKU SARINA 628 JALAN ATIRA 2 TAMAN TUNKU SARINA BANDAR DARULAMAN, 06000 JITRA, KEDAH | 31 DIS 2035 |
| 7562 | TPRI MASJID AL-IMAM ASH-SHAFIE, TAMAN MALURI, KUALA LUMPUR, MASJID AL-IMAM ASH-SHAFIE JALAN PERKASA TAMAN MALURI, 55100 KUALA LUMPUR, WP KUALA LUMPUR | 31 DIS 2035 |
| 8211 | TPRI MASJID AN-NUR BANDAR PASIR GUDANG, LOT 1B, PODIUM 1 MENARA ANSAR 65 JALAN TRUS, 80000 JOHOR BAHRU, JOHOR | 31 JAN 2027 |
| 8232 | TPRI MASJID SULTAN ISKANDAR, BANDAR DATO’ ONN, NO. 2, JALAN DATO’ ONN 2 BANDAR DATO’ ONN, 81100 JOHOR BAHRU, JOHOR | 28 FEB 2027 |
| 4822 | YAYASAN MASJID JAMEK BANDAR BARU UDA JOHOR BAHRU, NO. 62-01 JALAN PADI EMAS 4/1 BANDAR BARU UDA, 81200 JOHOR BAHRU, JOHOR | 31 DIS 2035 |
Pada akhirnya, tujuan utama bersedekah bukanlah kerana mahu mendapatkan potongan cukai.
Tetapi jika kita memang mahu menyumbang kepada masjid atau institusi yang diluluskan, apa salahnya memilih saluran yang betul supaya sedekah itu terus memberi manfaat dan pada masa yang sama kita dapat memanfaatkan potongan cukai yang disediakan oleh undang-undang.
Semoga sumbangan yang kita berikan bukan sahaja membantu mereka yang memerlukan hari ini, tetapi menjadi bekalan untuk kita pada masa akan datang.
“Apabila mati seorang manusia, terputuslah daripadanya amalan kecuali tiga perkara:
Sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya atau anak yang soleh yang mendoakan baginya.”
(Hadith Riwayat Muslim, al-Nasa’i, al-Tirmizi dan Abu Daud)
Penafian: Senarai di atas adalah berdasarkan rekod yang dirujuk dan ditapis mengikut tempoh kelulusan yang dinyatakan. Status kelulusan boleh berubah, termasuk lanjutan atau penamatan kelulusan. Pembaca dinasihatkan untuk membuat semakan terkini di laman rasmi LHDN/HASiL sebelum membuat sumbangan bagi tujuan mendapatkan potongan cukai. Semakan boleh dibuat melalui portal “Semakan Kelulusan Derma” dengan memasukkan nama institusi, nombor rujukan kelulusan, subseksyen, kategori, status atau negeri. Rujuk https://www.hasil.gov.my/institusi-organisasi-tabung/semakan-kelulusan-derma/
Mereka yang nak jimat cukai juga dah baca Wakaf: Cara Luarbiasa Untuk Kurangkan Cukai Pendapatan (Bukan Pelepasan Cukai)












