Pasaran Modal Boleh Bantu Malaysia Capai Agenda Keterjaminan Makanan – SC

KUALA LUMPUR, 31 Mei (Bernama) — Pasaran modal mampu menjadi pemboleh dan pemecut yang berkuasa untuk membantu Malaysia mencapai agenda keterjaminan makanan negara, kata Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Pengerusi Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin berkata akses kepada kewangan adalah kunci kepada masa depan yang lebih cerah untuk pertanian, terutamanya bagi pekebun kecil dan usahawan pertanian yang ingin memodenkan pertanian dan mengukuhkan penyelidikan dan pembangunan (R&D).

“Cara pembiayaan alternatif seperti pembiayaan platform pendanaan ramai berasaskan ekuiti (ECF) dan pembiayaan antara rakan setara (P2P) membolehkan pelabur yang mempunyai selera risiko yang lebih besar untuk menggerakkan modal terus kepada usahawan tani.

“Ini menyediakan lebih banyak pilihan untuk syarikat baharu dan pertumbuhan tinggi untuk mengakses modal yang berkaitan dengan profil risiko perniagaan mereka,” katanya dalam ucapan perasmian di Persidangan Fintech SCxSC (SCxSC) Fostering Innovative Finance (Memupuk Kewangan Inovatif) hari ini.

Awang Adek berkata kedua-dua ECF dan P2P telah menyokong lebih 7,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan mengumpul lebih RM4.40 bilion sejak diperkenalkan pada 2015.

Selain itu, beliau menambah Dana Pelaburan Bersama Malaysia (MyCIF) turut berkesan dalam membantu usahawan tani untuk mendapatkan pembiayaan melalui ECF dan P2P.

MyCIF telah ditubuhkan oleh kerajaan pada 2019  untuk melabur bersama-sama pelabur swasta dalam PMKS dan perusahaan sosial melalui platform ECF dan P2P, dan Malaysia merupakan negara pertama di rantau ini yang mengguna pakai model pelaburan bersama khusus untuk platform kewangan alternatif .

“Jumlah yang diperoleh melalui platform ECF dan P2P meningkat lebih daripada 300 peratus antara 2019 dan 2021.

“Pada 2022, MyCIF memperkenalkan nisbah peruntukan khas 1:2 untuk sektor pertanian. Kami telah melihat daya tarikan untuk inisiatif ini, empat kali lebih banyak perniagaan tani mengumpul dana melalui platform ECF dan P2P,” kata Awang Adek.

Beliau berkata ini termasuk perniagaan tani yang terlibat dalam rantaian nilai ternakan menyeluruh seperti Hellas Technology Farm, ladang ikan laut dalaman berasaskan teknologi dan Agroprenuer Farms, platform teknologi untuk menghubungkan petani kecil dengan pembeli akhir.

Untuk meningkatkan pertumbuhan dalam sektor strategik dan kurang mendapat perkhidmatan, SC telah melancarkan program kerjasama baharunya di bawah payung SCxSC, GROW, yang akan menjadi platform untuk pembiayaan alternatif.

“Ia bertujuan untuk memudahkan perbincangan berasaskan tindakan bagi meningkatkan keberkesanan dasar serta mengemudi sasaran pembangunan teknologi kewangan (fintech) dengan lebih baik.

“GROW akan mengutamakan pertanian. Kami mahu membina kesedaran mengenai pembiayaan alternatif untuk sektor pertanian, meningkatkan akses pembiayaan untuk PMKS berasaskan pertanian; dan menggalakkan pelaburan dalam usahawan tani,” katanya

Awang Adek berkata sektor pertanian mewakili kira-kira 10 peratus daripada tenaga kerja negara dan menyumbang enam peratus daripada eksport keseluruhan Malaysia namun sumbangannya kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) secara relatifnya telah menurun. 

Pada tahun 2022, sumbangan sektor pertanian kepada KDNK adalah 6.6 peratus berbanding 7.1 peratus pada 2021 disebabkan oleh peralihan struktur ekonomi negara kepada aktiviti yang berasaskan perindustrian dan perkhidmatan.

Tambahnya, kedudukan Malaysia juga menurun dalam Indeks Keselamatan Makanan Global (GFSI) 2022. 

“Ini menunjukkan jaminan makanan negara berada pada tahap sederhana sahaja. Jadi, kita perlu berusaha lagi untuk mengukuhkan lagi kedudukan negara dalam GFSI selain memastikan sistem makanan kekal berdaya tahan dalam pelbagai keadaaan,” katanya.

— BERNAMA 

Previous ArticleNext Article

TH Tidak Sepatutnya Isytihar Hibah 2017 RM2.75 Bilion, Amal Perakaunan Kreatif

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) — Lembaga Tabung Haji (TH) tidak sepatutnya mengisytiharkan agihan keuntungan (hibah) tahunan sebanyak 4.50 peratus dan agihan keuntungan (hibah) haji 1.75 peratus yang menelan perbelanjaan sehingga RM2.75 bilion bagi tahun kewangan 2017, menurut Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.

Dalam Laporan RCI bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi ‘TH dari 2014 hingga 2020 yang diterbitkan malam ini, keghairahan TH untuk membayar agihan keuntungan (hibah) yang tinggi sejak 2014 hingga 2017 sehingga melampaui kemampuan kewangan antara faktor yang menyumbang kepada krisis kewangan.

Menurut RCI, pengurusan TH telah membuat amalan perakaunan kreatif bagi pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang tinggi.

Suruhanjaya mendapati penyata kewangan “TH dari 2014 hingga 2017 telah diberi Sijil Audit Bersih walaupun laporan audit untuk tahun kewangan 2017 ada menyebutkan mengenai “Emphasis of Matter”.

Berkaitan pengauditan Penyata Kewangan TH 2017, RCI menjelaskan Jabatan Audit Negara (JAN) tidak sepatutnya mengeluarkan Sijil Audit Bersih bagi tahun kewangan berkenaan kerana perkara yang dinyatakan sebagai ‘Emphasis of Matter’ sepatutnya dinyatakan sebagai ketidakpatuhan.

Penjelasan mengenai “Emphasis of Matter” itu menunjukkan Ketua Audit Negara (KAN) telah mempertimbangkan perkara di luar skop audit dalam penemuannya ketika mengaudit Penyata Kewangan TH 2017, dan jelas JAN tidak tegas dalam pengauditan penyata kewangan ‘TH.

Jabatan Audit Negara Gagal Tegur

Menurut RCI, ketidaktegasan JAN juga dilihat apabila agensi berkenaan gagal menegur ‘TH berkaitan pemberian keuntungan (hibah) yang tinggi sepanjang 2014 hingga 2017.

Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi yang dibuat sebelum 2018 telah menyebabkan rizab ‘TH menyusut, tambah RCI.

“Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi ini telah menarik para pendeposit yang mencari pulangan yang tinggi. Dalam memenuhi jangkaan pendeposit ini menyebabkan TH tergelincir daripada matlamat penubuhannya.

“Ini mendedahkan “TH kepada risiko pendeposit besar yang berpotensi mengeluarkan deposit mereka (bank run) sekiranya agihan keuntungan (hibah) yang diberi oleh TH adalah terlalu rendah,” tambah RCI.

Menurut RCI, perkara itu berlaku pada 2019 selepas pengumuman agihan keuntungan (hibah) pada kadar 1.25 peratus bahawa terdapat pengecutan dalam deposit.

“Saiz deposit ‘TH menurun daripada kira-kira RM 73 bilion sebelum pengumuman agihan keuntungan (hibah) kepada RM69 bilion pada akhir 2019. TH bernasib baik kerana jumlah pengeluaran deposit dan kesannya adalah lebih kecil daripada apa yang dikhuatiri,” tambah RCI.

Menurut RCI, JAN seharusnya membuat teguran mengenai pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang terlalu tinggi yang bertentangan dengan kemampuan kewangan ‘TH.

— BERNAMA