Public Mutual Umum Agihan RM217 Juta Untuk Tujuh Dana

KUALA LUMPUR, 31 Mei (Bernama) — Unit milik penuh Public Bank Bhd, Public Mutual Bhd mengumumkan pengagihan berjumlah lebih RM217 juta untuk tujuh dana bagi tahun kewangan berakhir 31 Mei 2023.

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat unit amanah itu mengumumkan pengagihan kasar untuk Public Select Bond Fund (2.70 sen seunit), Public Balanced Fund (1.75 sen seunit), Public Ittikal Fund (1.25 sen seunit), Public Islamic Select Treasures Fund ( 1.25 sen seunit), Dana Ekuiti Islam Awam (1.00 sen seunit), Dana Pilihan Dividen Awam (0.10 sen seunit), dan Dana Dividen Asean PB (0.75 sen seunit).

Public Mutual ialah syarikat unit amanah swasta terbesar di negara ini dengan lebih daripada 170 dana di bawah pengurusannya. Ia juga merupakan penyedia skim persaraan swasta (PRS) yang diluluskan, dan menguruskan sembilan dana PRS.

Baru-baru ini, ia telah memenangi 19 anugerah dana individu di Refinitiv Lipper Fund Awards 2023 dan empat lagi anugerah di Refinitiv Lipper Fund Awards 2023 – Global Islamic.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Malaysia Tekad Dapatkan Kembali Dana 1MDB Daripada Goldman Sachs – PM Anwar

KUALA LUMPUR, 13 Sept (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau akan melakukan segala yang perlu untuk mendapatkan kembali dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) daripada Goldman Sachs.

Anwar berkata tidak ada tempoh masa untuk mendapatkan kembali dana tersebut kerana skandal 1MDB itu telah berlarutan sejak sekian lama. 

“Tetapi saya fikir saya akan menyampaikan jelas kepada Goldman Sachs bahawa kita perlu menamatkan perkara ini. Tetapi ia bergantung kepada mereka. Mereka perlu bersedia. Mereka tidak boleh mengelak.

“Anda boleh katakan yang kami tidak stabil dari segi politik yang anda boleh biarkan begitu sahaja dan tidak masuk campur. Bukan begitu. Kami tidak akan berhenti di situ, kerana ia bukan wang saya,” katanya semasa sesi khas ‘A Conversation with the Prime Minister of Malaysia’ yang dikendalikan oleh pengacara dan ketua koresponden antarabangsa untuk Asia Tenggara, Bloomberg Haslinda Amin pada Sidang Kemuncak Asia Ke-10 Milken Institute di Singapura. 

Perdana Menteri berkata demikian apabila ditanya sejauh mana beliau sanggup berusaha mendapatkan kembali dana itu sekiranya Goldman Sachs tidak memberikan kerjasama.

Anwar menegaskan kerajaan mahu mengembalikan semula dana itu kepada rakyat bagi tujuan menyediakan keperluan pendidikan, kesihatan awam dan kemudahan asas kepada mereka. 

Justeru, katanya, Goldman Sach tidak boleh bersikap tidak acuh mengenai perkara tersebut. 

“Sehingga sekarang, Goldman Sachs tidak begitu memberikan kerjasama. Jadi saya akan berada di New York minggu depan, saya akan bertegas. Sekurang-kurangnya mereka perlu berunding apa yang menjadi masalah.

“Ia telah dipersetujui oleh pemimpin terdahulu. Saya ada isu yang perlu dibangkitkan, dan sesetengah isu boleh diselesaikan secara baik. Saya fikir ia tidak perlu dipanjangkan.

“Kami mungkin sebuah negara kecil, tetapi anda tidak boleh memperdayakan kami,” katanya.

— BERNAMA