Sektor Semikonduktor Malaysia Dijangka Catat Trend Positf Pada Separuh Kedua 2024

KUALA LUMPUR, 18 Feb (Bernama) — Sektor semikonduktor di Malaysia dijangka mencatatkan trend positf mulai separuh kedua 2024.

Sektor berkenaan melalui fasa pemulihan pada skala global selepas melalui trend menurun pada 2023.

Keyakinan oleh Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA) itu adalah berdasarkan jangkaan Perangkaan Perdagangan Semikonduktor Dunia (WSTS) bahawa pasaran semikonduktor dunia akan naik semula sebanyak 13.1 peratus tahun ini untuk mencecah US$588 bilion.

Presiden MSIA Datuk Seri Wong Siew Hai berkata jualan semikonduktor global susut 8.2 peratus kepada US$527 bilion pada 2023 namun pasaran di Malaysia mampu mengekalkan kekuatannya pada sepanjang tahun itu.

Buktinya boleh dilihat dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) tahun lepas apabila eksport menurun hanya 3.0 peratus kepada RM575.45 bilion selepas tahun 2022 mencatatkan pertumbuhan 30 peratus kepada RM593 bilion, katanya kepada Bernama.

Menurut data pada tahun 2023, eksport peranti semikonduktor dan litar bersepadu (IC) mencapai pertumbuhan 0.03 peratus kepada RM387.45 bilion pada 2023.

Produk E&E mendominasi jumlah eksport Malaysia pada 2023, menyumbang 40.4 peratus bahagian yang terdiri daripada produk seperti peranti semikonduktor fotosensitif, bateri dan akumulator elektrik, penukar statik, panel kawalan elektrik, alat ganti peralatan dan panel kawalan elektrik serta bahagian untuk diod, transistor, kristal piezoelektrik dan peranti semikonduktor lain.

Pelabur terus datang ke Malaysia dalam persekitaran ketidaktentuan geopolitik

Ketidaktentuan geopolitik yang berpanjangan ketika ini menyebabkan pelabur mencari lokasi kilang pengeluaran baharu atau berpindah operasi ke negara yang diyakini.

Sehubungan itu, Wong berkata banyak syarikat multinasional (MNC) di China memindahkan sebahagian daripada rantaian pengeluaran dan bekalan mereka sebagai strategi mengurangkan risiko dengan memilih Malaysia sebagai lokasi “Plus One” mereka.

Istilah “Plus One” atau “China Plus One” atau “C+1” adalah strategi perniagaan untuk mengelak daripada melabur hanya di China dan mempelbagaikan perniagaan ke negara lain atau membuat pelaburan dalam pembuatan di negara membangun dan paling pesat berkembang.

“Trend ini mungkin berterusan kerana banyak syarikat sedang menilai Malaysia sebagai lokasi Plus One mereka,” kata Wong.

Strategi China Plus One muncul sebagai dasar kritikal bagi syarikat untuk mengurangkan pergantungan mereka kepada China dengan mempelbagaikan aktiviti rantaian bekalan mereka ke pasaran lain (negara-negara lain).

Beliau berkata perniagaan di seluruh dunia sedang melihat untuk meningkatkan daya tahan rantaian bekalan.

“Tiada penyelesaian mudah kerana rantaian bekalan sangat kompleks. Sepanjang dua tahun lepas, syarikat E&E telah meningkatkan produktiviti mereka dan mendapatkan tanah untuk membina kilang bagi meningkatkan kapasiti mereka,” katanya.

Persaingan dalam pasaran Kenderaan Elektrik akan pacu permintaan

Persaingan sengit dalam pasaran kenderaan elektrik (EV) mendorong pembuat kereta tempatan untuk meningkatkan pengeluaran dan menawarkan lebih banyak model pada harga mampu milik.

Secara keseluruhan, jualan dijangka mencecah 14 juta unit menjelang akhir tahun 2023 selepas mencecah paras 10,000 pada tahun sebelumnya.

Justeru, semua orang berminat untuk membangunkan ekosistem semikonduktor domestik mereka dalam persekitaran persaingan dalam pasaran EV, kata Wong.

WSTS menekankan bahawa semua pasaran bersedia untuk meneruskan pengembangan pada tahun 2024 dengan unjuran khususnya di Amerika dan Asia Pasifik untuk mencatatkan pertumbuhan dua angka yang ketara pada asas tahun ke tahun.

WSTS dalam laporan bulan Disember berkata pertumbuhan industri berkenaan dijangka didorong terutamanya oleh sektor cip memori, diunjur melonjak 40 peratus kepada sekitar US$130 bilion pada 2024.

Majoriti segmen utama lain termasuk discrete, sensor, analogue, logic dan mikro juga dijangka mencatatkan kadar pertumbuhan satu digit.

Wong berkata Malaysia boleh memainkan peranan penting dalam rantaian bekalan global berdasarkan kedudukannya sebagai pengeksport semikonduktor keenam terbesar di dunia.

Malaysia menguasai 13 peratus daripada pasaran global untuk perkhidmatan pembungkusan, pemasangan dan ujian untuk semikonduktor.

Memaksimumkan potensi Malaysia

Menerusi kumpulan bakat (pekerja berkemahiran) lebih daripada 50 tahun pengalaman industri dan usaha gabungan semua pihak berkepentingan, Malaysia boleh berjaya dalam sektor berkenaan, kata Wong.

Memandangkan kepentingan sektor E&E kepada ekonomi Malaysia dan kedudukannya dalam rantaian bekalan global, beliau menekankan keperluan untuk kerjasama dalam kalangan semua pihak yang terlibat untuk mengoptimumkan potensi Malaysia dalam sektor E&E berikutan sumbangan ekonominya yang ketara dan kedudukan penting dalam rantaian bekalan di peringkat global.

“Sebagai permulaan, negara perlu meningkatkan kedudukan daya saing di peringkat antarabangsa, menambah baik kemudahan menjalankan perniagaan (beberapa program sedang berjalan ketika ini), meningkatkan ekosistem E&E dan bersedia untuk memberikan insentif berikutan pelaksanaan cukai minimum global pada 2025,” katanya.

Wong berpendapat Malaysia harus terus menarik syarikat dengan teknologi canggih dan menggalakkan syarikat sedia ada untuk meningkatkan rantaian nilai.

Selain itu, beliau juga mencadangkan supaya Malaysia meningkatkan ekosistemnya dengan menarik lebih banyak fabrik wafer, mewujudkan pelaburan langsung tempatan dan asing dalam syarikat reka bentuk IC, memajukan pembungkusan dalam pemasangan dan ujian dan melahirkan syarikat-syarikat dari Malaysia menjuarai di peringkat global dalam automasi.

— BERNAMA   

Previous ArticleNext Article

Signature Memperkasa Pusat Kechara Soup Kitchen Di Jalan Imbi Untuk Memperluas Impak Komuniti

KUALA LUMPUR: Signature International Berhad (“Signature”) hari ini memperkenalkan Pusat Dapur Pengagihan Makanan & Pemerkasaan 2-dalam-1 yang pertama seumpamanya diterajui oleh korporat, hasil kerjasama bersama Kechara Soup Kitchen (KSK).

Inisiatif ini menyaksikan pusat KSK di Jalan Imbi dinaik taraf menjadi sebuah kemudahan khusus yang menggabungkan pengagihan makanan dengan pemerkasaan komuniti.

Inisiatif ini mencerminkan kepercayaan Signature bahawa perniagaan mampu mewujudkan impak sosial yang lebih besar dengan menerapkan kepakaran yang telah dibangunkan selama bertahun-tahun.

Bagi Signature, yang telah memberi tumpuan kepada penyediaan ruang kediaman berfungsi selama lebih tiga dekad, projek ini memberi peluang untuk menyumbangkan keupayaan dalam reka bentuk, pembuatan, pemasangan serta pengurusan projek bagi menyokong keperluan KSK yang terus berkembang.

Dilaksanakan menerusi Signature Cares, platform tanggungjawab korporat jangka panjang Kumpulan, inisiatif ini memperluaskan kepakaran Signature melangkaui ruang kediaman dan ke dalam komuniti.

Signature mereka bentuk semula pusat Jalan Imbi berdasarkan keperluan operasi organisasi tersebut, di samping mewujudkan ruang yang mampu menyokong program pemerkasaan pada masa hadapan.

Selama hampir dua dekad, pusat Kechara Soup Kitchen di Jalan Imbi telah menjadi salah satu hab komuniti utama organisasi tersebut, menyediakan makanan, bantuan kebajikan serta sokongan kepada individu dan keluarga yang berdepan kesukaran.

Seiring dengan perkembangan usaha jangkauan komuniti, keperluan terhadap sebuah kemudahan yang mampu menyokong pengagihan makanan secara lebih cekap serta program yang melengkapkan penerima manfaat dengan kemahiran praktikal untuk mencapai kebergantungan diri yang lebih tinggi turut meningkat.

Dengan pengalaman lebih 30 tahun sebagai penyedia penyelesaian Total Home & Living terkemuka di Malaysia, Signature telah mereka bentuk semula dan menaik taraf keseluruhan pusat tersebut berdasarkan keperluan operasi organisasi tersebut bagi menambah baik aliran kerja, fungsi ruang serta pengalaman sukarelawan, kakitangan dan penerima manfaat.

Teras utama usaha pemerkasaan ini ialah Pusat Dapur Pengagihan Makanan & Pemerkasaan 2-dalam-1, sebuah konsep inovatif yang membolehkan ruang khusus yang sama menjalankan dua fungsi saling melengkapi. Dalam operasi harian, pusat ini menyokong penyediaan dan pengagihan makanan secara lebih cekap kepada komuniti yang memerlukan.

Selain perkhidmatan penyediaan makanan, ruang ini turut berfungsi sebagai pusat pemerkasaan yang membolehkan program memasak, membakar serta pembangunan kemahiran lain dijalankan bagi melengkapkan penerima manfaat dengan kebolehan praktikal, meningkatkan keyakinan diri dan membuka laluan ke arah kehidupan yang lebih berdikari dalam
jangka panjang.

Reka bentuk fleksibel ini membolehkan KSK memaksimumkan penggunaan satu kemudahan sepanjang hari, memenuhi keperluan komuniti semasa sambil mewujudkan peluang untuk pelaksanaan program pemerkasaan jangka panjang dalam ruang yang sama.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Signature, Encik Lau Kock Sang, berkata projek ini menunjukkan bagaimana perniagaan boleh mencipta perubahan bermakna dengan memanfaatkan kepakaran yang dimiliki.

“Apabila kami pertama kali mengunjungi pusat Kechara Soup Kitchen di Jalan Imbi, kami melihat sebuah organisasi yang telah berkhidmat kepada rakyat Malaysia yang memerlukan dengan penuh dedikasi selama lebih 20 tahun.

Persoalan bagi kami bukanlah sama ada kami perlu membantu, tetapi bagaimana kami boleh menyumbang dengan cara yang paling bermakna menggunakan kepakaran yang telah kami bina selama lebih tiga dekad.

“Kepercayaan tersebut menjadi asas kepada Signature Cares. Setiap perniagaan memiliki keupayaan yang melangkaui produk atau perkhidmatan yang ditawarkan. Apabila keupayaan tersebut dimanfaatkan untuk memenuhi keperluan komuniti sebenar, ia mampu mencipta nilai berpanjangan yang jauh melangkaui satu-satu projek,” katanya.

Pengurus Besar Kechara Soup Kitchen, Encik Justin Cheah Kok Leong, berkata kemudahan yang telah dinaik taraf ini merupakan pencapaian penting dalam usaha berterusan organisasi tersebut untuk membantu komuniti yang memerlukan.

“Pusat yang telah dinaik taraf ini membolehkan kami menyediakan dan mengagihkan makanan dengan lebih cekap, di samping menyediakan persekitaran khusus untuk program yang membantu penerima manfaat membina kemahiran praktikal serta keyakinan diri. Ia memberikan kami fleksibiliti yang lebih besar untuk memenuhi keperluan semasa sambil melabur dalam usaha pemerkasaan jangka panjang,” jelasnya.

Sebagai sebahagian daripada Inisiatif Sumbangan Bank Makanan Signature (Signature Food Bank Donation Initiative), para Signatorians turut bersama-sama menyumbangkan barangan makanan kering asas berdasarkan senarai keperluan yang disediakan oleh Kechara Soup Kitchen.

Barangan yang dikumpulkan akan diserahkan kepada Kechara Soup Kitchen bagi menyokong usaha berterusan organisasi tersebut dalam membantu komuniti yang memerlukan.

Kerjasama ini menandakan permulaan kepada perkongsian jangka panjang antara Signature dan Kechara Soup Kitchen, dengan kedua-dua organisasi meneroka peluang bagi inisiatif sukarelawan, aktiviti penglibatan komuniti serta program pemerkasaan pada masa hadapan di bawah Signature Cares.