Apa Pelabur Perlu Tahu Tentang NIMP 2030

Sejak kebelakangan ini anda mungkin sering terbaca mengenai NIMP 2030 namun tidak pasti apakah NIMP tersebut.

NIMP merupakan singkatan bagi New Industrial Master Plan 2030 atau lebih dikenali sebagai NIMP 2030. Dalam Bahasa Melayu pula dikenali sebagai Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030. 

Ia merupakan komponen penting dalam ekonomi MADANI yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim kerana ia akan menyokong realisasi reformasi ekonomi. Ia akan menggiatkan semula sektor pembuatan untuk memastikan Malaysia kekal berdaya tahan di tengah-tengah cabaran dan aliran mega yang semakin meningkat. 

Pelan induk itu menggunakan pendekatan berasaskan empat misi untuk memacu transformasi industri pada skala besar iaitu:

  1. Memajukan ekonomi
  2. Membina negara berdaya maju dalam teknologi
  3.  Mendorong ke arah mengurangkan pelepasan karbon
  4.  Membina ekonomi berdaya tahan

Berikut merupakan beberapa sasaran utama makroekonomi yang digariskan di bawah NIMP 2030. 

  1. Meningkatkan nilai tambah sektor pembuatan pada kadar 61% kepada RM587.5 bilion menjelang 2030.
  2. Meningkatkan kadar pekerjaan sebanyak 20% kepada 3.3 juta orang menjelang 2030.
  3. Meningkatkan gaji median sebanyak 128% kepada RM4,510 pada 2030.
Sumber: The Edge, MITI

Jika dilihat kepada sasaran-sasaran di atas, rakyat pastinya ternanti-nanti sekiranya sasaran gaji median sebanyak RM4,510 tersebut mampu tercapai pada 2030.

Penerima Manfaat Terbesar

Industri-industri yang dilihat mendapat manfaat paling banyak daripada NIMP 2030 adalah seperti elektrik dan elektronik, kimia, kenderaan elektrik, aeroangkasa, farmaseutikal, sektor mineral serta besi dan banyak lagi.


Sumber: MITI 

Sumber: Hong Leong Bank

Setiap negeri mempunyai kelebihan masing-masing, namun negeri yang paling banyak menerima impak adalah negeri di sebelah Utara, Pantai Timur dan Sarawak.

image

Sumber: Laman Web MITI

Syarikat-syarikat tempatan terutamanya yang telah disenaraikan di Bursa Malaysia perlu melihat peluang ini. Banyak peluang yang baik akan dapat menambah baik perniagaan syarikat.

Bagi pelabur pula, terlampau banyak sektor yang sebenarnya akan menerima impak atau manfaat daripada NIMP 2030 secara langsung ataupun tidak langsung. Maka, tiada sektor tertentu yang perlu diberi fokus lebih berbanding sektor yang lain.

Belanjawan 2024

TENGKU Zafrul berucap pada pelancaran NIMP 2030. FOTO Bernama

Menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Kerajaan akan mengumumkan sebahagian daripada butiran terperinci mengenai peruntukan pelaburan bagi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dalam pengumuman Bajet 2024, yang dijadualkan pada 13 Oktober depan.

Sepanjang 7 tahun pelaksanaannya, NIMP 2030 akan memerlukan anggaran jumlah pelaburan sebanyak RM95 bilion terutamanya daripada sektor swasta, yang disalurkan daripada ekuiti swasta, modal dan pasaran kewangan.

NIMP direka untuk memacu trajektori Malaysia sebagai peneraju global dalam pembangunan perindustrian, memanjangkan hubungan domestik untuk mencipta kekayaan di seluruh negara serta mengukuhkan kedudukannya dalam rantaian nilai global. Pelan ini tepat pada masanya untuk mempercepatkan transformasi industri di Malaysia, menyelaraskannya dengan wawasan negara.

Oleh itu, industri dalam sektor pembuatan perlu bersedia untuk melakukan aktiviti yang kompleks, termasuk sedia mengadaptasi teknologi, mempunyai tenaga kerja yang lengkap dan mahir bagi menjayakan NIMP 2030.

Previous ArticleNext Article

TH Tidak Sepatutnya Isytihar Hibah 2017 RM2.75 Bilion, Amal Perakaunan Kreatif

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) — Lembaga Tabung Haji (TH) tidak sepatutnya mengisytiharkan agihan keuntungan (hibah) tahunan sebanyak 4.50 peratus dan agihan keuntungan (hibah) haji 1.75 peratus yang menelan perbelanjaan sehingga RM2.75 bilion bagi tahun kewangan 2017, menurut Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.

Dalam Laporan RCI bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi ‘TH dari 2014 hingga 2020 yang diterbitkan malam ini, keghairahan TH untuk membayar agihan keuntungan (hibah) yang tinggi sejak 2014 hingga 2017 sehingga melampaui kemampuan kewangan antara faktor yang menyumbang kepada krisis kewangan.

Menurut RCI, pengurusan TH telah membuat amalan perakaunan kreatif bagi pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang tinggi.

Suruhanjaya mendapati penyata kewangan “TH dari 2014 hingga 2017 telah diberi Sijil Audit Bersih walaupun laporan audit untuk tahun kewangan 2017 ada menyebutkan mengenai “Emphasis of Matter”.

Berkaitan pengauditan Penyata Kewangan TH 2017, RCI menjelaskan Jabatan Audit Negara (JAN) tidak sepatutnya mengeluarkan Sijil Audit Bersih bagi tahun kewangan berkenaan kerana perkara yang dinyatakan sebagai ‘Emphasis of Matter’ sepatutnya dinyatakan sebagai ketidakpatuhan.

Penjelasan mengenai “Emphasis of Matter” itu menunjukkan Ketua Audit Negara (KAN) telah mempertimbangkan perkara di luar skop audit dalam penemuannya ketika mengaudit Penyata Kewangan TH 2017, dan jelas JAN tidak tegas dalam pengauditan penyata kewangan ‘TH.

Jabatan Audit Negara Gagal Tegur

Menurut RCI, ketidaktegasan JAN juga dilihat apabila agensi berkenaan gagal menegur ‘TH berkaitan pemberian keuntungan (hibah) yang tinggi sepanjang 2014 hingga 2017.

Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi yang dibuat sebelum 2018 telah menyebabkan rizab ‘TH menyusut, tambah RCI.

“Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi ini telah menarik para pendeposit yang mencari pulangan yang tinggi. Dalam memenuhi jangkaan pendeposit ini menyebabkan TH tergelincir daripada matlamat penubuhannya.

“Ini mendedahkan “TH kepada risiko pendeposit besar yang berpotensi mengeluarkan deposit mereka (bank run) sekiranya agihan keuntungan (hibah) yang diberi oleh TH adalah terlalu rendah,” tambah RCI.

Menurut RCI, perkara itu berlaku pada 2019 selepas pengumuman agihan keuntungan (hibah) pada kadar 1.25 peratus bahawa terdapat pengecutan dalam deposit.

“Saiz deposit ‘TH menurun daripada kira-kira RM 73 bilion sebelum pengumuman agihan keuntungan (hibah) kepada RM69 bilion pada akhir 2019. TH bernasib baik kerana jumlah pengeluaran deposit dan kesannya adalah lebih kecil daripada apa yang dikhuatiri,” tambah RCI.

Menurut RCI, JAN seharusnya membuat teguran mengenai pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang terlalu tinggi yang bertentangan dengan kemampuan kewangan ‘TH.

— BERNAMA