Ringgit Dijangka Cecah Paras 4.20-4.40 Berbanding Dolar AS Menjelang Akhir Tahun Ini

KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) — Ringgit dijangka mencecah paras 4.20-4.40 berbanding dolar AS menjelang akhir tahun ini memandangkan kemungkinan besar Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed AS) akan menurunkan kadar faedahnya berikutan jangkaan kemelesetan ekonomi di negara tersebut.

Pengarah Urusan Capital Dynamics Asset Management Sdn Bhd, Tan Teng Boo berkata langkah  menurunkan kadar faedah itu akan membawa impak positif ke atas ringgit dan mata wang lain seperti baht Thai dan rupiah Indonesia serta mata wang negara maju lain seperti yen Jepun.

“Semuanya bergantung kepada keputusan Fed AS dan tidak ada kaitan dengan dasar ekonomi (tempatan) kita.

“Penurunan mata wang dunia ketika ini bukan hanya dirasai oleh ringgit sahaja, tetapi mata wang lain juga termasuk yen Jepun yang menjunam 50 peratus — yang mana ia merupakan antara mata wang terkukuh satu waktu dahulu,” katanya pada taklimat media mengenai pasaran saham bertajuk “Is Investing in Malaysia Still Attractive Now?” di sini, hari ini. 

Mengulas mengenai bila kemelesetan di AS itu dijangka berlaku, Tan berkata, ia bergantung kepada perkembangan global yang berlaku sekarang termasuk krisis Laut Merah dan kemarau di Terusan Panama yang menyebabkan harga barangan melonjak naik, yang seterusnya berpotensi meningkatkan inflasi AS. 

Menurutnya, petunjuk utama lain seperti data pengangguran, juga menunjukkan pasaran pekerjaan AS masih lagi  terhad, yang memberi kesan kepada gaji dan inflasi negara itu. 

Selain itu, Indeks Harga Pengguna (IHP) keseluruhan dan teras ditambah dengan Indeks Harga Pengeluar (IHPR) juga meningkat lebih tinggi daripada jangkaan. 

Beliau berkata ringgit terkesan oleh kadar pertukaran nominalnya, tetapi dari segi penilaian, mata wang tempatan ketika ini terkurang nilai. 

“Fed AS melakukan perbelanjaan fiskal sangat agresif dengan cara yang sangat tidak bertanggungjawab, dan hutang mereka amat tinggi pada 120 peratus daripada keluaran dalam negara kasar, yang saya fikir adalah yang tertinggi dalam sejarah Amerika sejak Perang Dunia II.

“Jadi, sebagai ekonomi terbesar yang bertindak dengan secara tidak bertanggungjawab, sudah tentunya ia menjejaskan seluruh dunia dan Malaysia sebagai sebuah negara membangun telah (juga) turut terjejas,” katanya.

Tan menegaskan bahawa adalah tidak adil untuk menyalahkan kerajaan atas penurunan nilai ringgit berbanding dolar AS pada ketika ini.

“Ia (sepatutnya) berdasarkan fakta. Untuk menuduh kerajaan sekarang yang menyebabkan ringgit menjadi lemah, saya rasa itu adalah mengarut dan bukan berdasarkan fakta atau analisis, hanya didorong oleh permainan politik,” katanya.

Beliau menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) tidak berubah sepanjang tahun ini.

Bagaimanapun, katanya, perbezaan kadar faedah tidak akan selamanya menentukan kadar mata wang, kerana petunjuk yang perlu dilihat dalam menentukan hala tuju jangka panjang mata wang sepatutnya faktor-faktor struktur.  

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Signature Memperkasa Pusat Kechara Soup Kitchen Di Jalan Imbi Untuk Memperluas Impak Komuniti

KUALA LUMPUR: Signature International Berhad (“Signature”) hari ini memperkenalkan Pusat Dapur Pengagihan Makanan & Pemerkasaan 2-dalam-1 yang pertama seumpamanya diterajui oleh korporat, hasil kerjasama bersama Kechara Soup Kitchen (KSK).

Inisiatif ini menyaksikan pusat KSK di Jalan Imbi dinaik taraf menjadi sebuah kemudahan khusus yang menggabungkan pengagihan makanan dengan pemerkasaan komuniti.

Inisiatif ini mencerminkan kepercayaan Signature bahawa perniagaan mampu mewujudkan impak sosial yang lebih besar dengan menerapkan kepakaran yang telah dibangunkan selama bertahun-tahun.

Bagi Signature, yang telah memberi tumpuan kepada penyediaan ruang kediaman berfungsi selama lebih tiga dekad, projek ini memberi peluang untuk menyumbangkan keupayaan dalam reka bentuk, pembuatan, pemasangan serta pengurusan projek bagi menyokong keperluan KSK yang terus berkembang.

Dilaksanakan menerusi Signature Cares, platform tanggungjawab korporat jangka panjang Kumpulan, inisiatif ini memperluaskan kepakaran Signature melangkaui ruang kediaman dan ke dalam komuniti.

Signature mereka bentuk semula pusat Jalan Imbi berdasarkan keperluan operasi organisasi tersebut, di samping mewujudkan ruang yang mampu menyokong program pemerkasaan pada masa hadapan.

Selama hampir dua dekad, pusat Kechara Soup Kitchen di Jalan Imbi telah menjadi salah satu hab komuniti utama organisasi tersebut, menyediakan makanan, bantuan kebajikan serta sokongan kepada individu dan keluarga yang berdepan kesukaran.

Seiring dengan perkembangan usaha jangkauan komuniti, keperluan terhadap sebuah kemudahan yang mampu menyokong pengagihan makanan secara lebih cekap serta program yang melengkapkan penerima manfaat dengan kemahiran praktikal untuk mencapai kebergantungan diri yang lebih tinggi turut meningkat.

Dengan pengalaman lebih 30 tahun sebagai penyedia penyelesaian Total Home & Living terkemuka di Malaysia, Signature telah mereka bentuk semula dan menaik taraf keseluruhan pusat tersebut berdasarkan keperluan operasi organisasi tersebut bagi menambah baik aliran kerja, fungsi ruang serta pengalaman sukarelawan, kakitangan dan penerima manfaat.

Teras utama usaha pemerkasaan ini ialah Pusat Dapur Pengagihan Makanan & Pemerkasaan 2-dalam-1, sebuah konsep inovatif yang membolehkan ruang khusus yang sama menjalankan dua fungsi saling melengkapi. Dalam operasi harian, pusat ini menyokong penyediaan dan pengagihan makanan secara lebih cekap kepada komuniti yang memerlukan.

Selain perkhidmatan penyediaan makanan, ruang ini turut berfungsi sebagai pusat pemerkasaan yang membolehkan program memasak, membakar serta pembangunan kemahiran lain dijalankan bagi melengkapkan penerima manfaat dengan kebolehan praktikal, meningkatkan keyakinan diri dan membuka laluan ke arah kehidupan yang lebih berdikari dalam
jangka panjang.

Reka bentuk fleksibel ini membolehkan KSK memaksimumkan penggunaan satu kemudahan sepanjang hari, memenuhi keperluan komuniti semasa sambil mewujudkan peluang untuk pelaksanaan program pemerkasaan jangka panjang dalam ruang yang sama.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Signature, Encik Lau Kock Sang, berkata projek ini menunjukkan bagaimana perniagaan boleh mencipta perubahan bermakna dengan memanfaatkan kepakaran yang dimiliki.

“Apabila kami pertama kali mengunjungi pusat Kechara Soup Kitchen di Jalan Imbi, kami melihat sebuah organisasi yang telah berkhidmat kepada rakyat Malaysia yang memerlukan dengan penuh dedikasi selama lebih 20 tahun.

Persoalan bagi kami bukanlah sama ada kami perlu membantu, tetapi bagaimana kami boleh menyumbang dengan cara yang paling bermakna menggunakan kepakaran yang telah kami bina selama lebih tiga dekad.

“Kepercayaan tersebut menjadi asas kepada Signature Cares. Setiap perniagaan memiliki keupayaan yang melangkaui produk atau perkhidmatan yang ditawarkan. Apabila keupayaan tersebut dimanfaatkan untuk memenuhi keperluan komuniti sebenar, ia mampu mencipta nilai berpanjangan yang jauh melangkaui satu-satu projek,” katanya.

Pengurus Besar Kechara Soup Kitchen, Encik Justin Cheah Kok Leong, berkata kemudahan yang telah dinaik taraf ini merupakan pencapaian penting dalam usaha berterusan organisasi tersebut untuk membantu komuniti yang memerlukan.

“Pusat yang telah dinaik taraf ini membolehkan kami menyediakan dan mengagihkan makanan dengan lebih cekap, di samping menyediakan persekitaran khusus untuk program yang membantu penerima manfaat membina kemahiran praktikal serta keyakinan diri. Ia memberikan kami fleksibiliti yang lebih besar untuk memenuhi keperluan semasa sambil melabur dalam usaha pemerkasaan jangka panjang,” jelasnya.

Sebagai sebahagian daripada Inisiatif Sumbangan Bank Makanan Signature (Signature Food Bank Donation Initiative), para Signatorians turut bersama-sama menyumbangkan barangan makanan kering asas berdasarkan senarai keperluan yang disediakan oleh Kechara Soup Kitchen.

Barangan yang dikumpulkan akan diserahkan kepada Kechara Soup Kitchen bagi menyokong usaha berterusan organisasi tersebut dalam membantu komuniti yang memerlukan.

Kerjasama ini menandakan permulaan kepada perkongsian jangka panjang antara Signature dan Kechara Soup Kitchen, dengan kedua-dua organisasi meneroka peluang bagi inisiatif sukarelawan, aktiviti penglibatan komuniti serta program pemerkasaan pada masa hadapan di bawah Signature Cares.