Sarawak Energy Kini Penaung Majlis Tenaga Dunia, Pertama Dari Asia Tenggara

KUCHING, 29 Mac (Bernama) — Sarawak Energy secara rasmi menjadi penaung global Majlis Tenaga Dunia, sekali gus menjadikannya yang pertama dari rantau Asia Tenggara.

Dalam kenyataan hari ini, syarikat utiliti milik kerajaan negeri Sarawak itu berkata perkara berkenaan telah dimuktamadkan dalam majlis pemeteraian perjanjian secara maya antara Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy Datuk Sharbini Suhaili dengan Ketua Setiausaha dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tenaga Dunia Dr Angela Wilkinson.

Menerusi persetujuan itu, Sarawak Energy yang juga antara pemaju tenaga hidro utama di Asia Tenggara, akan menyokong Majlis Tenaga Dunia dalam usaha memangkin peralihan tenaga di serata dunia.

Pada masa sama, ini membolehkan syarikat berkenaan mendapat akses kepada rangkaian majlis yang merangkumi lebih 3,000 organisasi di lebih 90 negara dari segi pandangan global serta amalan terbaik berkaitan dasar tenaga, inovasi dan strategi kemampanan.

“Sarawak Energy akan menjadi penaung pertama majlis itu dari Asia Tenggara dengan menyertai kelompok di serata Amerika, Eropah, Timur Tengah dan Asia,” katanya.

Sementara itu, Sharbini menyifatkan peranan sebagai penaung itu akan membolehkan Sarawak Energy meninjau dan memanfaatkan rangkaian pemain industri tenaga global ketika terus meneroka penyelesaian peralihan tenaga bagi rantau ini.

Beliau berkata langkah peralihan strategik kepada tenaga hidro boleh diperbaharui lebih empat dekad lepas, membolehkan Sarawak Energy mengimbangi aspek keselamatan tenaga, kemampuan dan kemampanan, memacu pertumbuhan mampan di Sarawak dan mewujudkan asas kukuh bagi tujuan meninjau penyelesaian tenaga berkarbon rendah lain termasuk (kemudahan) solar terapung dan pengeluaran hidrogen hijau.

“Bagi tempoh 2010 hingga 2021, kami dapat mengurangkan intensiti pelepasan grid kuasa Sarawak lebih daripada 70 peratus.

“Ketika dunia mempercepat usaha peralihan tenaga, Sarawak Energy pula membangunkan rancangan berkongsi sumber tenaga boleh baharu dengan negara-negara jiran melalui kesalinghubungan dengan memajukan Grid Borneo dan Grid Kuasa Asean.

“Ini membolehkan kami dapat menyumbang secara signifikan kepada usaha pengurangan pelepasan karbon di Asia Tenggara dan meningkatkan daya tahan peralihan tenaga di rantau ini,” katanya.

Menurut kenyataan itu, penaung Majlis Tenaga Dunia merupakan tonggak penting organisasi itu yang secara aktif menyokong visi Menginsankan Tenaga majlis itu selain agenda impak kejayaan atau pencapaian.

Sepertimana sejak 100 tahun lepas, majlis itu melengkapkan kalangan pemimpin dan organisasi dengan pandangan serta mekanisme berkesan menerusi libat urus dalam peningkatan pelbagaian tenaga sebagai sumber pengetahuan, inovasi dan pembelajaran.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

GEAR-uP: KWAP labur RM51 juta dalam Bioscience Nutraceutical

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) melabur RM51 juta dalam Bioscience Nutraceutical Holdings Sdn Bhd, pembekal sehenti dan pemilik jenama nutraseutikal di Malaysia, bagi membangunkan ekosistem pasaran persendirian negara menerusi Dana Pemacu.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam Laporan Kemajuan GEAR-uP yang dikeluarkan hari ini berkata, pelaburan itu dilaksanakan menerusi pengurus dana tempatan Mekar Capital dan pengurus dana global Navis Capital.

Menurut laporan itu, pelaburan berkenaan membuktikan modal institusi mampu memajukan sektor kesihatan bernilai tinggi menerusi inovasi nutraseutikal, pengkomersialan produk serta pembangunan jenama premium.

KWAP turut menyokong pertumbuhan ekonomi menerusi pelaburan bersama sebanyak RM210 juta dalam Fasa 1 bagi pembangunan 9,000 katil.

“Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada pembangunan yang lebih luas untuk menyediakan 28,800 katil menerusi empat projek, dengan jumlah nilai pembangunan kasar kira-kira RM600 juta,” menurut laporan itu.

MOF berkata, pelaburan berkenaan bertujuan mewujudkan persekitaran kediaman lebih baik kepada golongan yang menyumbang kepada kemajuan ekonomi negara.

Laporan itu turut memaklumkan pencapaian setakat Jun 2026 bagi inisiatif Dana Impak Khazanah Nasional Bhd.

Sebanyak 32 syarikat peringkat pertengahan disokong di bawah Mid-Tier Companies Growth Innovation Programme, manakala 21 lagi menerima sokongan menerusi Program ELEVATE 2.0.

Sementara itu, MOF berkata syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) memainkan peranan penting sebagai pelabur asas dan pelabur utama strategik dalam penyenaraian berkualiti di Bursa Malaysia.

Langkah itu melengkapkan konsep larian berganti apabila modal yang dipulangkan kepada pelabur modal teroka dan ekuiti swasta boleh dilaburkan semula dalam generasi baharu firma peringkat awal.

Pendekatan berkenaan membolehkan lebih banyak syarikat berkembang secara berperingkat sehingga mencapai tahap sesuai untuk disenaraikan.

Menurut laporan itu, aliran penyenaraian yang berterusan penting bagi mencapai sasaran Pelan Induk Pasaran Modal 2026-2030 untuk meningkatkan permodalan pasaran kepada antara RM5.8 trilion hingga RM6.3 trilion menjelang 2030.

Sokongan kukuh pelabur institusi turut menjadi antara faktor penting bagi memastikan aliran berkenaan kekal mampan.

MOF berkata, GLIC mengurus secara aktif portfolio merangkumi 37 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan sasaran pulangan tahunan 7.5 peratus bagi tempoh 2024 hingga 2028.

Portfolio berkenaan berpotensi menjana nilai sehingga RM100 bilion.

Prestasi pada 2025 melepasi sasaran apabila mencatat pulangan pemegang saham sebanyak 8.0 peratus.

“Memandangkan GLC mewakili kira-kira 27 peratus daripada permodalan Pasaran Utama Bursa Malaysia, keuntungan ini disalurkan semula kepada ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, KWAP, Permodalan Nasional Bhd dan Tabung Haji untuk meningkatkan simpanan persaraan rakyat Malaysia,” menurut MOF.

Menurut laporan itu, GLIC memacu penjanaan nilai portfolio menerusi tiga pendekatan utama, iaitu menyediakan laluan keluar bagi kitaran modal, memperkukuh kredibiliti untuk pasaran lebih luas serta membina asas pemilik jangka panjang yang stabil.