Trump Umum Tarif Asas Kepada Semua Negara  Termasuk Malaysia Sebanyak 24 Peratus

KUALA LUMPUR, 3 April (Bernama) — Presiden Donald Trump semalam mengumumkan Amerika Syarikat (AS) akan memperkenalkan tarif asas sebanyak 10 peratus kepada semua negara dan duti yang lebih tinggi melibatkan beberapa negara termasuk Malaysia sebanyak 24 peratus.

Langkah ini boleh menyebabkan ekuiti Asia berada dalam tekanan apabila pasaran kewangan dibuka pada Khamis.

“Walaupun ini menyebabkan peningkatan awal di peringkat global, sentimen di Asia dijangka menyusut apabila pasaran menilai tarif lebih tinggi yang tertumpu kepada negara tertentu termasuk China, yang berdepan 34 peratus tarif ke atas import dan 24 peratus duti Jepun.

“Vietnam dan Kemboja mengalami tarif yang lebih tinggi, masing-masing pada 46 peratus dan 49 peratus,” kata pelabur dan penganalisis makro global ActivTrades Anderson Alves dalam komentar pasaran.

Alves berkata persekitaran enggan mengambil risiko yang meluas dijangka berlaku di pasaran Asia pada Khamis, dengan dolar AS diunjur mengatasi mata wang serantau.

Sektor teknologi dan semikonduktor dijangka mencerminkan penurunan yang berlaku di pasaran AS, dengan indeks Nasdaq berteknologi tinggi mengakhiri peningkatan awal apabila ditutup tiga peratus lebih rendah.

“Operator pasaran akan memantau dengan teliti reaksi China terhadap tarif AS yang diumumkan. Sebahagiannya menjangkakan China akan mengurangkan pelaburan di AS untuk memperkukuh kedudukan rundingannya dalam rundingan perdagangan AS,” katanya.

Menurut Rumah Putih,  AS akan memberikan respons terhadap sebarang cubaan untuk mengambil tindak balas terhadap duti yang dikenakan.

Katanya pergelutan perdagangan mungkin menjadi pemacu utama bagi pasaran hari ini dan sepanjang minggu ini.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Tiada Cadangan Laksana Cukai Kekayaan Buat Masa Ini – MOF

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) — Kerajaan ketika ini tidak bercadang untuk melaksanakan cukai kekayaan sebanyak dua peratus ke atas individu kaya raya bagi menampung perbelanjaan kerajaan, menurut Kementerian Kewangan (MoF).

MoF menjelaskan bahawa buat masa ini kerajaan mendapati sumbangan hasil cukai kekayaan adalah tidak signifikan sekiranya elemen pengecualian dan pelepasan cukai diberikan sepertimana pelaksanaan lain-lain cukai yang sedia ada.

“Pelaksanaan cukai kekayaan dalam apa-apa bentuk atau mekanisme perlu diteliti daripada pelbagai aspek termasuk asas kenaan cukai yang kecil dan terhad di Malaysia.

“Namun, kerajaan sentiasa komited dalam memastikan dasar percukaian yang dilaksanakan adalah berlandaskan prinsip keadilan dan saksama serta lebih bersasar supaya struktur percukaian kekal progresif dan mampu mengurangkan jurang ketidaksamaan sosioekonomi,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Pada masa sama, menurut MoF, pendekatan secara lebih bersasar telah dilaksanakan dengan meluaskan asas cukai kepada golongan yang lebih berkemampuan.

Ini termasuk melalui pelaksanaan cukai keuntungan modal bagi pelupusan saham tidak tersenarai, cukai dividen bagi pendapatan dividen melebihi RM100,000 dan cukai yang dikenakan ke atas agihan keuntungan melebihi RM100,000 yang diterima oleh pekongsi daripada perkongsian liabiliti terhad.

— Bernama