Sampul.co Perkenal Aplikasi Perancangan Pusaka Digital Patuh Syariah Pada Disember Ini

Platform perancangan pusaka digital Sampul.co bakal dilancarkan Disember ini dengan misi membantu rakyat Malaysia merancang dan mengurus harta secara lebih mudah, sistematik dan patuh syariah melalui satu aplikasi mesra pengguna.

Ketua Pegawai Eksekutif Sampul.co, Arham Merican, berkata aplikasi tersebut dibangunkan bagi memudahkan pengguna membina dua perkara utama iaitu merancang harta semasa hidup serta mengurus harta selepas kematian ahli keluarga.

“Menerusi aplikasi ini, pengguna boleh menyediakan wasiat digital, hibah amanah dan amanah harta dengan mudah, selain dibimbing secara langkah demi langkah dalam proses selepas kematian seperti urusan jenazah, tuntutan khairat kematian, sijil kematian, tuntutan takaful dan pengadilan harta di mahkamah,” ujarnya.

Menangani Cabaran Utama Masyarakat

Menurut Arham, cabaran utama yang dihadapi oleh masyarakat dalam tahap kesedaran mengenai kepentingan perancangan pusaka, terutamanya dalam bentuk digital. Bagi mengatasi isu tersebut, Sampul.co memperkenalkan siri podsiar bertajuk Di Sebalik Sampul iaitu siri kesedaran untuk mendidik orang ramai agar mula merancang kewangan termasuk pusaka dan mengelak daripada beban kepada waris selepas kematian.

Selain itu, Sampul.co juga menyediakan sesi terapi kesedihan secara dalam talian, hasil kerjasama dengan Sapot.app, bagi membantu waris yang sedang berduka. Pendekatan ini bukan sekadar urusan harta, tetapi juga sokongan emosi kepada mereka yang kehilangan orang tersayang,” ujarnya.

Yuran Pengurusan yang Berpatutan

Selari dengan misi Sampul.co untuk memastikan solusinya dapat benar-benar membantu masalah berkaitan pusaka antaranya isu akses kewangan yang terhad selepas berlakunya kematian, Sampul.co memperkenalkan Sampul Trust untuk member akses tunai dan asset digital segera kepada waris tersayang dengan yuran pengurusan tahunan sebanyak 1.5 peratus, manakala bagi perkhidmatan tuntutan pusaka, Sampul Executor, sebanyak 1.8 peratus dikenakan untuk aset yang memerlukan tuntutan di mahkamah.

Sampul.co juga memudahkan proses pindahmilik hartanah kepada yang tersayang dengan Sampul Hibah bermula dengan RM 2500 untuk setiap hartanah. Selain itu, Sampul.co juga menyediakan Sampul Wasiat iaitu wasiat digital secara percuma bagi lima aset pertama. Selepas itu, pengguna boleh melanggan dengan hanya RM180 setahun dengan akses pindaan tanpa had dari masa ke semasa sepanjang masa.

Kerjasama dengan Rakan Strategik

Sampul.co bekerjasama secara rapat dengan Rakyat Trustee Berhad dan Halogen Capital sebagai pengurus dana berdaftar bawah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia bagi memastikan setiap produk Sampul.co mematuhi Syariah selain undang-undang dan aspek pengawalseliaan kewangan di Malaysia.

Visi Jangka Panjang

Menjelang lima tahun akan datang, Arham optimis untuk menjadikan Sampul.co sebagai peneraju utama perancangan pusaka digital di Malaysia serta meluaskan operasi ke negara Islam lain.

“Matlamat kami mudah iaitu memudahkan perancangan pusaka digital lebih mudah, cepat, telus dan patuh syariah untuk semua rakyat Malaysia,” jelasnya.

Untuk maklumat lanjut, layari www.sampul.co atau hubungi [email protected] dan +0189766429

Nota: Artikel ini merupakan hasil sumbangan daripada Sampul Sdn. Bhd

Previous Article

SC Umum Kohort Pertama Peserta Sandbox Pengawalseliaan (Regulatory Sandbox)

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah mengumumkan pemilihan enam peserta untuk kohort sulung Sandbox Pengawalseliaan (Regulatory Sandbox).

Sandbox Pengawalseliaan, yang dilancarkan pada Sidang Kemuncak Fintech SCxSC tahun lepas untuk memupuk inovasi pasaran modal, membolehkan syarikat menguji produk dan perkhidmatan baharu dan inovatif yang menyumbang kepada kerancakan dan keterangkuman pasaran modal.

Sebagai salah satu kit alatan inovasi SC, sandbox ini membolehkan SC bekerjasama rapat dengan industri, menggunakan ujian sebenar untuk meningkatkan dasar dan rangka kerja kawal selia serta pembangunan pasaran.

Permohonan, yang dibuka dari 15 April hingga 31 Mei 2025, mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai peserta pasaran.

Berikutan proses penilaian berperingkat, SC telah memilih enam peserta berikut merentasi tiga tema teras:

  1. Memudahkan pelaburan hartanah alternatif: Wahed X Sdn Bhd (Wahed) dan Urban NX Sdn Bhd (Urby)
  2. Memupuk kerancakan pasaran melalui pasaran sekunder: Kapital DX Sdn Bhd (KLDX) dan Pitch Platforms Sdn Bhd (PSTX 2.0)
  3. Memacu inovasi dalam pembiayaan alternatif: Virtual Economy Technology Sdn Bhd (V Systems) dan PeerHive (M) Sdn Bhd (PeerHive)

Kohort sulung ini akan mempelopori kemajuan merentasi bidang utama. Selain itu, beberapa peserta juga memanfaatkan analitik data lanjutan dan blok rantai untuk meningkatkan usaha wajar dan memperkenalkan model operasi baharu.

Peserta yang berjaya akan diberikan tempoh ujian selama kira -kira 12 bulan untuk menggunakan dan menilai penyelesaian yang dicadangkan mengikut parameter dan keperluan ujian yang ditetapkan. Pengujian akan bermula dalam dua kumpulan, di mana peserta bermula berdasarkan ketersediaan mereka – sama ada pada Januari 2026 atau Julai 2026.

Pengerusi SC Dato’ Mohammad Faiz Azmi berkata sandbox ini berfungsi sebagai landasan inovasi bertanggungjawab, membolehkan penyelesaian yang memberikan nilai kepada pasaran modal.

“Inisiatif ini mencerminkan komitmen kami untuk mewujudkan persekitaran di mana inovasi boleh berkembang maju tanpa menjejaskan perlindungan pelabur. Dengan menggalakkan pengujian dalam rangka kerja terkawal, SC berhasrat untuk memupuk idea-idea yang berpandangan jauh yang boleh mengukuhkan kecekapan pasaran,” katanya.

Selain sandbox pengawalseliaan, syarikat-syarikat dengan model perniagaan inovatif digalakkan untuk berhubung dengan SC melalui Alliance of FinTech Community (aFINity), dengan mengemukakan pelan perniagaan atau cadangan mereka melalui [email protected].

Untuk maklumat lanjut tentang sandbox pengawalseliaan, rujuk di sini.