Jangan Simpan Harta Sampai Mati, Pindahkan Sekarang!

Ramai orang bekerja keras sepanjang hidup untuk membina harta, duit simpanan, emas, rumah, saham, tanah. Tapi ironinya, sebahagian besar harta itu hanya benar-benar ‘bergerak’ selepas mereka meninggal dunia. Sedangkan masa keluarga benar-benar perlukan bantuan… adalah semasa kita masih hidup.

Ini bukan soal menggantikan faraid, jauh sekali mempertikaikannya. Faraid berfungsi selepas kematian. Pindahan harta semasa hidup pula bertujuan membantu ketika masih hidup. Dua-dua ada tempatnya, tapi fungsinya berbeza.

Perancangan harta bukan hanya untuk mereka yang sudah dikurniakan anak. Sama ada bujang, baru berkahwin, atau belum dikurniakan zuriat, setiap orang tetap memiliki harta, tanggungjawab dan orang tersayang yang mungkin memerlukan bantuan pada satu fasa kehidupan.

Namun dalam artikel ini, kita akan fokus kepada ibu bapa, kerana anak selalunya golongan yang paling memerlukan sokongan pada fasa awal kehidupan mereka.

Anak Anda Perlukan Bantuan Sekarang, Bukan 30 Tahun Lagi

Cuba fikir fasa hidup anak-anak:

✔ Umur 20–30 tahun

Realitinya, anak-anak memerlukan sokongan paling kritikal semasa mereka berada pada fasa membina hidup iaitu pada umur 20 hingga 30 tahun.

  • Mereka sedang membayar hutang pendidikan.
  • Mereka baru nak membeli rumah pertama.
  • Mereka sedang mengurus kos anak kecil.
  • Mendapatkan modal untuk memulakan perniagaan.
  • Sedang melalui fasa paling mencabar dari sudut kewangan.

Ini fasa paling ‘mahal’ dalam hidup. Cash flow ketat, komitmen tinggi dan tanggungan kewangan yang besar.

✔ Umur 40–60 tahun

Kebanyakan orang sudah stabil, hutang makin sedikit, anak dah besar, malah ada yang menghampiri umur persaraan. Jadi logiknya bila agihan harta memberi impak paling besar?
Jawapan mudah: sekarang, bukan selepas kita tiada.

Tetapkan Masa dan Tujuan, Bukan Sekadar Jumlah.

Ramai bimbang:
“Kalau bagi awal, nanti aku pula yang susah macam mana?”

Bukanlah bermaksud beri semua. Ia tentang perancangan, bukan pengorbanan melampau. Perancangan yang baik tak menjadikan kita susah. Sebaliknya, ia beri ketenangan kerana kita tahu diri sendiri terjaga dan keluarga pun terbantu.

Dalam merancang harta untuk anak, yang lebih penting daripada berapa banyak harta yang diberi ialah bila dan untuk apa harta itu akan digunakan.

Tanya soalan yang jelas sejak awal:
anak akan menggunakan harta ini pada umur berapa, dan untuk tujuan apa. Sama ada untuk pendidikan, membeli rumah pertama, memulakan kehidupan berdikari atau sebagai modal awal.

Apabila masa dan tujuan ditetapkan dengan jelas, harta tidak sekadar menjadi wang yang “diberi”, tetapi alat yang berfungsi dengan terarah. Ini secara tidak langsung membantu mengurangkan risiko harta digunakan tanpa perancangan, disalah guna, atau habis tanpa memberi kesan jangka panjang.

Agihan awal (hibah, hadiah, sokongan kewangan) ialah transaksi semasa hidup dan bukan warisan kematian. Ia tidak menjejaskan hak faraid yang akan berjalan kemudian. Bahkan lebih baik jika dibuat secara:

  • telus,
  • direkod,
  • dimaklumkan kepada ahli keluarga, dan
  • selari dengan nasihat syariah & undang-undang.

Agihan awal ini bukan pengganti faraid. Ia adalah pelengkap kepada perancangan keluarga.

Baca lagi Hibah Amanah: Instrumen Pengurusan Pusaka

Sedekahkan Sebahagian Harta, Bina Kekuatan Keluarga

Bila ibu bapa membantu anak semasa hidup, kita sebenarnya sedang mencari harta untuk manfaat bersama, bukan sekadar mengumpul harta untuk diri sendiri.

Manfaatnya besar:

  • generasi muda kurang terjerat hutang,
  • peluang ekonomi keluarga meningkat,
  • tekanan hidup berkurang,
  • anak-anak lebih fokus bina kerjaya dan masa depan,
  • legasi keluarga bertambah kukuh.

Kaya bukan diukur dengan berapa banyak angka ‘0’ dalam akaun bank. Lebih bermakna bila harta itu dapat mengubah nasib keluarga semasa kita masih hidup. Dan janganlah kita terlupa bahawa antara sedekah yang terbaik adalah ketika kita masih sihat, masih sayang pada harta dan masih berharap untuk hidup.

Contoh Agihan Awal Yang Praktikal & Realistik

  1. Bantu bayar deposit rumah anak
  2. Modal permulaan bisnes kecil
    RM5,000–RM20,000 cukup untuk memulakan langkah pertama.
  3. Sokong kos pendidikan / sijil professional
    Pelaburan dalam ilmu memberi pulangan paling tinggi.
  4. Bantu kos anak kecil (daycare, pampers, sekolah)
  5. Hibah kecil setiap tahun
    Tak perlu tunggu kumpul puluh ribu. Pemberian konsisten lebih berkesan.

Akhirnya, untuk menjadi mak ayah yang benar-benar ‘berharta’, kita sendiri kena tahu mengembangkan wang yang ada dengan melabur dan bukan sekadar menyimpan.

Melabur dalam ilmu, melabur dalam aset yang berkembang dan melabur dalam peluang yang boleh memperkukuh kewangan keluarga.

Kesimpulan

Sebab itu, jika benar sayang anak jangan simpan harta sampai mati. Pindahkan sebahagiannya sekarang, ketika mereka paling memerlukannya.

Harta yang kita kumpulkan sepanjang hidup bukan sekadar angka. Ia alat untuk membina masa depan keluarga. Jika manfaatnya paling besar ketika kita masih ada, kenapa kita tangguhkan?

Faraid tetap berjalan bila tiba masanya.

BUKU INI WAJAR DIMILIKI OLEH MEREKA YANG BERANI BERIMPIAN !

Ramai yang nak gandakan duit simpanan dalam saham tapi fikir berpuluh kali. Jadi buku ini adalah step pertama. Bila baca buku ini, boleh 99% stay ahead dari orang lain! Bonusnya dapat jimat banyak masa.

Kami juga faham yang 2 sebab utama kenapa anak muda masih belum mula melabur saham adalah sebab TAKUT dan BELUM CUKUP DUIT. Yelah, kita melabur sebab nak tenang, bukan nak risau setiap masa.

Sambil kami terlibat dalam pasaran saham, sambil pandaikan orang lain tentang saham.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada anda semua yang tak putus-putus menyokong kami dari awal sehingga ke hari ini.

Berita Baik : Kami sedang buat jualan penghabisan stok di Shopee!!

Previous ArticleNext Article

Pengurusan Kesihatan Mental Untuk Usahawanita Moden

usahawanita moden
  • Rutin pengurusan kesihatan mental untuk usahawanita moden
  • Usahawan wanita yang mengurus perniagaan sambil memikul tanggungjawab peribadi
  • Kehidupan moden yang pantas dan kompetitif menyebabkan wanita mudah kemurungan
  • Kesihatan mental yang baik membantu wanita urus tekanan & kekalkan produktiviti kerja

Wanita hari ini bukan lagi sekadar berada di belakang tabir dalam dunia perniagaan. Mereka menjadi pengasas syarikat, pelabur, profesional, pemilik SME dan peneraju pelbagai industri.

Namun, kejayaan tersebut datang bersama tekanan yang mungkin tidak kelihatan.

Bagi sesetengah wanita, selepas tamat waktu pejabat, tanggungjawab belum selesai. Masih ada anak yang perlu diurus, pasangan, keluarga, rumah dan pelbagai keputusan yang perlu dibuat.

Sebab itu kesihatan mental wanita tidak boleh dilihat sebagai isu sampingan.

Baca : Wanita Malaysia Jana Lebih RM176 Juta Pada 2022 Sebagai Hos – Airbnb

Data Kementerian Kesihatan Malaysia melalui NHMS 2023 menunjukkan kira-kira satu daripada lapan rakyat Malaysia berusia 15 tahun ke atas mengalami kemurungan, dan prevalens kemurungan meningkat dua kali ganda berbanding 2019.

Lebih menarik untuk konteks usahawan, satu kajian terhadap rakyat Malaysia mendapati pemilik perniagaan menunjukkan simptom kemurungan yang lebih tinggi, manakala tekanan menjadi antara faktor penting yang berkait dengan simptom tersebut.

“Kajian terhadap 728 orang dewasa di Malaysia mendapati pemilik perniagaan menunjukkan tahap simptom kemurungan lebih tinggi, dengan tekanan & status sebagai pemilik perniagaan menjadi antara peramal signifikan simptom kemurungan.” – National Library of Medicine

Baca : Pelaburan Bantu Wanita Boleh Wujud Kesan Beriak Bawa Pelbagai Manfaat

Ini bukan bermaksud menjadi usahawan menyebabkan kemurungan. Sebaliknya, ia menunjukkan bahawa tekanan keusahawanan dan kesihatan mental wajar diberi perhatian.

Jadi, apakah rutin yang boleh membantu usahawanita moden menjaga kesihatan mental mereka?

1. Rutin Bersenam

Senaman bukan hanya untuk menurunkan berat badan.

Bagi usahawanita yang menghabiskan sebahagian besar hari di hadapan komputer, dalam mesyuarat atau mengurus operasi perniagaan, aktiviti fizikal boleh menjadi ruang untuk keluar seketika daripada tekanan kerja.

rutin bersenam wanita

Tidak semestinya perlu melakukan senaman berat.

Berjalan kaki, berenang, berlari, berbasikal atau melakukan latihan kekuatan secara konsisten sudah boleh menjadi sebahagian daripada rutin.

Yang penting ialah konsistensi, bukan intensiti semata-mata.

Bahkan, menjadikan senaman sebagai rutin mingguan boleh memberikan satu bentuk struktur kepada kehidupan yang mungkin dipenuhi jadual kerja yang tidak menentu.

2. Rutin Penjagaan Diri

Ada satu perkara yang sering berlaku kepada wanita yang terlalu sibuk.

Mereka menjaga semua orang kecuali diri sendiri.

rutin penjagaan diri wanita

Bagi sebahagian wanita, rawatan kecantikan bukan sekadar mahu kelihatan lebih muda atau cantik. Ia juga boleh menjadi masa untuk berhenti seketika daripada rutin kerja.

Namun, penting untuk membezakan self-care daripada tekanan untuk sentiasa kelihatan sempurna.

Penjagaan diri sepatutnya membantu seseorang berasa lebih baik tentang dirinya, bukan menambahkan tekanan untuk memenuhi standard kecantikan tertentu.

3. Rutin Tidur Awal

Usahawan mungkin terkenal dengan bekerja sehingga lewat malam.

Laptop dibuka selepas anak tidur. Telefon masih berbunyi dengan WhatsApp pelanggan. E-mel masih masuk. Idea perniagaan pula datang ketika semua orang sudah tidur.

rutin tidur awal

Masalahnya, otak juga memerlukan masa untuk berehat.

Rutin tidur yang konsisten boleh menjadi salah satu bentuk pengurusan diri yang paling mudah tetapi sering diabaikan.

Sebelum tidur, usahakan untuk mengurangkan penggunaan skrin dan cahaya terang, khususnya apabila ia menyebabkan kita terus terangsang dengan kerja, media sosial atau notifikasi.

Kadangkala masalahnya bukan kita tidak mempunyai masa untuk tidur.

Kita tidak pernah benar-benar berhenti bekerja.

4. Rutin Travel dan Melihat Dunia

Travel juga boleh menjadi satu bentuk “reset” daripada rutin.

Bagi usahawanita yang sentiasa membuat keputusan untuk syarikat, pekerja dan keluarga, perjalanan seorang diri boleh memberikan ruang untuk membuat keputusan berdasarkan diri sendiri.

Tidak perlu sentiasa memilih destinasi popular.

rutin melancong wanita

Asia Tengah, misalnya, menawarkan pengalaman yang berbeza, Kazakhstan, Uzbekistan, Kyrgyzstan dan negara-negara lain mempunyai sejarah, budaya dan landskap yang jauh berbeza daripada destinasi pelancongan biasa.

Solo travel juga tidak semestinya bermaksud melarikan diri daripada kehidupan.

Kadangkala ia sekadar memberikan seseorang ruang untuk melihat kehidupan dari perspektif yang berbeza.

Namun, perjalanan perlu dirancang mengikut kemampuan kewangan, keselamatan dan keadaan diri. Travel yang menambahkan hutang atau tekanan bukanlah self-care.

5. Rutin Beribadah & Kebajikan

Bagi wanita Muslim, pengurusan kehidupan tidak semestinya berhenti pada aspek fizikal dan psikologi.

Ia juga mempunyai dimensi spiritual.

rutin beribadah wanita

Solat, membaca al-Quran, menghadiri kelas ilmu, melakukan amal jariah, menunaikan umrah atau haji boleh menjadi sebahagian daripada rutin kehidupan yang memberikan ruang untuk seseorang kembali mengingati tujuan hidup yang lebih besar daripada pekerjaan.

Ini juga memberikan perspektif kepada dunia keusahawanan.

Syarikat boleh berkembang. Duit boleh bertambah. Jawatan boleh berubah. Tetapi kehidupan tetap mempunyai dimensi yang lebih luas daripada keuntungan.

Baca : Perangai Wanita Malaysia Selepas Dapat Gaji

Bagi sesetengah usahawanita, amal jariah juga menjadi cara untuk menukar sebahagian daripada kejayaan material kepada sesuatu yang memberi manfaat kepada orang lain.

Alhasil

Menjadi usahawanita moden bukan sekadar tentang membina syarikat dan mencapai keuntungan.

Ia juga tentang kemampuan untuk terus berfungsi sebagai seorang individu, sebagai wanita, ibu, isteri, anak, pemimpin dan manusia yang mempunyai keperluan emosi serta fizikal sendiri.

Sebab itu rutin kecantikan, senaman, tidur, travel dan ibadah tidak sepatutnya dilihat sebagai aktiviti yang membuang masa daripada pekerjaan.

Sebaliknya, ia boleh menjadi sebahagian daripada cara seseorang membina kehidupan yang lebih seimbang.

Pada akhirnya, perniagaan yang berjaya memerlukan seorang pemimpin yang mampu bertahan dalam jangka panjang.

Baca : Kisah Emas Dan Wanita Kelantan

Usahawanita tidak perlu memilih antara kejayaan dan kesejahteraan diri. Yang lebih penting ialah belajar mengurus kedua-duanya.