Berjaya Food Berdepan Persaingan Sengit, Dijangka Terus Rugi

KUALA LUMPUR: Berjaya Food Bhd dijangka berdepan separuh kedua tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 yang lebih mencabar, apabila persaingan semakin sengit daripada kemasukan pemain baharu pasaran berkemungkinan menekan pertumbuhan hasil serta meningkatkan kos operasi, demikian menurut penganalisis.

CIMB Securities dalam satu nota penyelidikan berkata, walaupun melaporkan kerugian yang lebih kecil pada separuh pertama, firma itu berkata kerugian syarikat dijangka melebar berikutan prospek yang kekal mencabar di tengah-tengah persaingan yang semakin memuncak.

“Keadaan ini berkemungkinan terus menekan pertumbuhan hasil dan margin, manakala perbelanjaan operasi mungkin meningkat sekiranya Berjaya Food mempergiatkan aktiviti pemasaran dan promosi bagi mempertahankan kedudukan pasarannya,” katanya.

Kerugian bersih teras Berjaya Food berkurangan kepada RM11.9 juta pada suku kedua 2026, didorong oleh jualan yang lebih kukuh semasa tempoh perayaan hujung tahun.

Keputusan itu menjadikan kerugian bersih teras kumpulan bagi separuh pertama tahun kewangan 2026 kepada RM26.5 juta, bertambah baik daripada RM64.5 juta dalam tempoh sama tahun lalu dan secara umumnya sejajar dengan jangkaan pasaran.

Hasil bagi separuh pertama meningkat 2.9 peratus tahun ke tahun, sebahagian besarnya disokong oleh sumbangan operasi luar negara yang merangkumi 7.7 peratus daripada jumlah hasil.

Peningkatan ini membantu mengimbangi prestasi yang lebih lemah di Malaysia, susulan penutupan kedai tidak berprestasi sepanjang tahun lalu.

Pertumbuhan jualan kedai sama yang positif di Malaysia pada suku kedua tahun kewangan 2026 memberikan sedikit keyakinan.

Margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) syarikat meningkat sebanyak 4.4 mata peratusan kepada 12.7 peratus pada separuh pertama tahun kewangan 2026.

Berdasarkan suku ke suku, hasil merosot 1.5 peratus, terutamanya disebabkan penutupan kedai.

CIMB Securities menyatakan bahawa pengurangan lanjut kerugian bersih teras kepada RM11.9 juta pada suku kedua tahun kewangan 2026 disokong oleh pengoptimuman kedai, kawalan kos yang lebih ketat, serta penurunan susut nilai sebanyak 14.5 peratus susulan penutupan kedai.

Ia mengekalkan saranan ‘kurangkan’ terhadap saham Berjaya Food, dengan harga sasaran 20 sen, mengambil kira jangkaan kerugian yang berterusan dan persekitaran operasi yang mencabar.

— Berita Harian

Previous ArticleNext Article

Untung Bersih 99 Speed Mart Lonjak 13.4 Peratus Pada Suku Kedua

KUALA LUMPUR: 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd (99 Holdings) mencatat keuntungan bersih RM163.95 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026, meningkat 13.4 peratus daripada RM144.63 juta pada suku sama tahun lalu.

Hasil kumpulan meningkat 13.6 peratus tahun ke tahun kepada RM3.08 bilion daripada RM2.71 bilion sebelumnya, menurut syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

“Peningkatan itu didorong terutamanya oleh pengembangan berterusan rangkaian cawangan, dengan pertambahan bersih 257 cawangan baharu tahun ke tahun, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 3,151 cawangan setakat 30 Jun 2026 berbanding 2,894 cawangan setahun sebelumnya.

“Jumlah transaksi jualan meningkat 13.6 peratus kepada 146.4 juta, dengan nilai purata setiap bakul RM21,” menurut syarikat itu.

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026, 99 Holdings mencatat keuntungan bersih RM352.5 juta berbanding RM289.53 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Hasil bagi tempoh enam bulan pula meningkat kepada RM6.14 bilion daripada RM5.32 bilion sebelumnya.

Selain itu, platform e-dagang jualan pukal syarikat terus mencatat pertumbuhan kukuh apabila hasil meningkat 80.5 peratus tahun ke tahun kepada RM50.2 juta bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2026.

Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif 99 Holdings, Lee Thiam Wah, berkata momentum pertumbuhan positif pada suku berkenaan disokong pengembangan berterusan rangkaian cawangan serta pelaksanaan waktu operasi lebih awal di seluruh negara.

Thiam Wah berkata tumpuan berterusan terhadap kecekapan operasi turut mula memberikan manfaat ketara kepada kumpulan.

Menurutnya, inisiatif penjimatan tenaga dan penggunaan peralatan membantu mengurangkan kos utiliti serta meningkatkan kecekapan kos merentasi operasi kumpulan.

“Dengan rangkaian cawangan kami terus berkembang, kami kekal komited untuk memperkukuh rantaian bekalan bagi menyokong kecekapan operasi,” katanya.

Beliau berkata kumpulan itu juga terus memperluas penawaran produk bagi memenuhi keperluan pelanggan yang berubah susulan sambutan menggalakkan terhadap rangkaian peralatan rumah terpilih.

Rangkaian berkenaan kini diperluas ke semua cawangan di seluruh negara dan turut ditawarkan menerusi platform 99 Bulksales bagi memenuhi keperluan pelanggan korporat serta pembelian secara pukal.