Inflasi Mac Pada 1.7 Peratus Kekal Terkawal, Bersifat Sementara – Ahli Ekonomi

KUALA LUMPUR (Bernama) — Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia yang meningkat sedikit kepada 1.7 peratus pada Mac 2026, masih terkawal dan bersifat sementara dengan kenaikan itu sebahagian besarnya didorong oleh faktor kos luaran dan bukannya daripada permintaan domestik yang menyeluruh.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengeluarkan data hari ini yang menunjukkan inflasi Malaysia meningkat 1.7 peratus pada Mac 2026, dengan indeks meningkat kepada 136.4 daripada 134.1 pada bulan yang sama tahun lepas.

Pengarah Strategi Pelaburan dan Ahli Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata bacaan inflasi terbaharu itu mencerminkan tanda-tanda awal tekanan kenaikan harga, namun ia kekal terhad dan bersifat sementara.

“Trend peningkatan baru-baru ini sebahagian besarnya didorong oleh kesan limpahan daripada konflik Asia Barat yang berterusan melalui kos bahan api dan logistik yang lebih tinggi dan bukannya sebarang perubahan bermakna dalam keadaan permintaan domestik.

“Apa yang penting, tekanan inflasi kekal terhad, dipacu oleh sektor pengangkutan dan perkhidmatan tertentu, manakala penggunaan teras kekal stabil, mencerminkan permintaan yang kukuh dan pemindahan kos yang terhad,” katanya kepada Bernama.

Mohd Sedek menjelaskan keadaan ini mencerminkan kejutan yang lazimnya disebabkan oleh harga minyak, di mana harga menyesuaikan diri ke paras lebih tinggi dalam jangka pendek tetapi tidak berkembang menjadi inflasi yang berterusan tanpa adanya kesan pusingan kedua.

“Berikutan itu, ketika momentum inflasi cenderung meningkat, struktur pendasar terus memaparkan persekitaran ketidaktentuan yang rendah dengan tekanan luar sementara berbanding kemunculan rejim inflasi yang ketara atau (bersifat) sistemik,” katanya.

Ditanya sama ada inflasi akan kekal dalam julat atau paras semasa, Mohd Sedek berkata walaupun berkemungkinan berlaku dalam masa terdekat, ini masih berpotensi meningkat dan bergantung kepada sejauh mana kos dilepaskan kepada pengguna.

“Buat masa ini, pelepasan kos itu masih hanya sebahagian, dengan syarikat-syarikat menyerap kenaikan kos tenaga dan logistik susulan konflik Asia Barat.

“Di peringkat domestik, sokongan dasar terutama kawalan harga bahan api RON95 di bawah BUDI MADANI RON95 (BUDI95), terus (menjadi mekanisme) mengekang inflasi berkaitan bahan api dan mengelak kesan limpahan secara meluas,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Sedek menyifatkan titik perubahan penting terletak pada kesan pusingan kedua dengan kemungkinan inflasi meningkat jika kos input terus wujud dan syarikat bertindak melepaskannya menerusi kenaikan harga, terutama dalam sektor perkhidmatan.

“Sebaliknya, jika keadaan permintaan kekal stabil dan penampan dasar kekal utuh, pelepasan kos dijangka terus terkawal dan membolehkan inflasi kekal dalam julat rendah dan mampu diurus,” katanya.

Mohd Sedek juga menekankan, risiko utama terhadap prospek inflasi Malaysia bagi tempoh berbaki 2026 adalah tertumpu kepada kejutan kos luaran serta pelarasan dasar.

Sementara itu, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia berkata walaupun inflasi kekal dalam jajaran terurus, terdapat tanda-tanda tekanan harga mula meluas.

Beliau berkata inflasi mungkin kekal dalam jajaran 1.0 hingga 2.0 peratus dalam tempoh terdekat tetapi memberi amaran risikonya sedang condong ke arah menaik, terutamanya jika tekanan kos terus disalurkan kepada pengguna.

“Inflasi sepatutnya kekal terkawal dalam tempoh terdekat tetapi risiko luaran seperti harga minyak dan gangguan bekalan boleh memacunya lebih tinggi. Dasar monetari masih mempunyai ruang untuk kekal menyokong tetapi adalah lebih baik untuk meneruskan sikap berhati-hati,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, RHB Investment Bank Bhd mengekalkan unjuran inflasi 2026 Malaysia pada 1.8 peratus walaupun terdapat sedikit peningkatan pada Mac.

“Kami mengekalkan unjuran inflasi 2026 kami pada 1.8 peratus, sambil terus mengambil kira potensi tekanan tolakan kos menurutnya dalam nota kajian hari ini.

Bank pelaburan itu berkata konflik AS-Iran telah melonjakkan harga minyak global dan mampu memberi kesan ke atas inflasi domestik jika ia berterusan.

“Dalam beberapa bulan akan datang, tekanan tolakan kos memerlukan pemantauan rapi, kerana harga minyak yang lebih tinggi boleh memberi kesan kepada logistik, utiliti dan kos pengeluaran yang lebih luas, dengan potensi limpahan kepada harga pengguna,” tambahnya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Ahli Ekonomi Kekalkan Unjuran Inflasi 2026 Pada 1.8-2.0 Peratus

KUALA LUMPUR: Inflasi Malaysia dijangka kekal terkawal pada 2026, dengan ahli ekonomi mengekalkan unjuran pada 1.8 hingga 2.0 peratus berikutan pelaksanaan subsidi bahan api bersasar, permintaan domestik yang stabil serta tekanan harga luaran yang terkawal, yang membantu mengekalkan inflasi.

Bank Negara Malaysia (BNM) juga dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus bagi tempoh yang masih berbaki tahun ini.

Ketua Ahli Ekonomi AmBank Group Firdaos Rosli mengekalkan unjuran inflasi bank itu bagi 2026 pada 2.0 peratus, dengan menjangka tekanan harga meningkat pada separuh kedua tahun ini dan mencapai kemuncak pada suku keempat.

Beliau berkata bacaan Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi Jun sebanyak 1.9 peratus, rendah sedikit  berbanding unjuran AmBank sebanyak 2.0 peratus.

Menurutnya ini sekali gus menguatkan jangkaan bahawa inflasi terus disokong oleh permintaan domestik yang kukuh, dan dibantu pelaksanaan program subsidi bahan api bersasar di bawah BUDI MADANI.

Bagaimanapun beliau berkata tahap penggunaan masih tidak mencukupi untuk mencetuskan inflasi yang didorong permintaan.

Beliau berkata bacaan inflasi yang lebih rendah pada Jun sebahagian besarnya berpunca daripada kadar kenaikan harga yang lebih perlahan dalam kumpulan pengangkutan, penjagaan diri, perlindungan sosial, pelbagai barangan dan perkhidmatan serta pendidikan.

Sementara itu, inflasi bagi kumpulan makanan dan minuman, yang mempunyai pemberat terbesar dalam bakul IHP kekal tidak berubah pada 1.4 peratus.

Melangkah ke hadapan, Firdaos menjangka inflasi meningkat pada separuh kedua 2026, didorong oleh kesan asas yang rendah berbanding tempoh yang sama tahun lepas, selain kesan tertangguh daripada kenaikan harga bahan mentah dan kos pengangkutan yang mula disalurkan kepada pengguna.

Beliau mengingatkan kemungkinan gangguan cuaca yang disebabkan oleh El Nino boleh memberi tekanan peningkatan harga makanan tahun ini.

Mengenai risiko luaran, Firdaos berkata konflik berpanjangan di Asia Barat kekal sebagai faktor utama yang boleh mencetuskan gangguan bekalan, walaupun kesannya terhadap harga pengguna berkemungkinan kekal terhad, disokong mekanisme subsidi bahan api bersasar BUDI MADANI.

“Tekanan inflasi berkemungkinan lebih dirasai oleh kalangan perniagaan berbanding pengguna susulan kenaikan Indeks Harga Pengeluar (IHPR) sejak Mac 2026,” katanya kepada Bernama.

Beliau turut menjangkakan BNM mengekalkan OPR pada 2.75 peratus untuk baki tempoh tahun ini, disokong keadaan ekonomi domestik yang berdaya tahan termasuk prospek pertumbuhan lebih kukuh, pasaran tenaga kerja yang stabil serta pertumbuhan pinjaman yang baik.

Mengenai inisiatif Bekerja Dari Rumah (BDR) oleh kerajaan, beliau berkata langkah itu mungkin memberi sedikit kesan namun dijangka tidak mengubah trajektori inflasi secara ketara.

“Saya berpandangan idea di sebalik inisiatif ini adalah untuk mengehadkan penggunaan bahan api, dan bukannya mengurus inflasi,” katanya.

Sementara itu, Bank Muamalat Malaysia Bhd mengekalkan unjuran IHP 2026 pada 1.8 peratus, menjangkakan subsidi bersasar dan langkah kawalan harga terus melindungi pengguna daripada tekanan harga luaran, terutama harga bahan api global yang lebih tinggi.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pelaksanaan subsidi bahan api bersasar yang berterusan, termasuk peluasan mekanisme pengagihan subsidi berdasarkan MyKad meliputi diesel, sewajarnya membantu membendung tekanan inflasi.

“Kami yakin dasar berkaitan subsidi dan kawalan harga akan kekal dilaksanakan sekali gus melindungi rakyat Malaysia daripada kesan harga bahan api yang lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata penurunan harga bahan api telah menyumbang kepada kadar inflasi yang lebih rendah pada Jun dengan subindeks pengangkutan menyederhana kepada 2.8 peratus daripada 3.8 peratus pada Mei.

Dari perspektif dasar monetari, Mohd Afzanizam berkata penetapan kadar faedah semasa kekal pada tahap yang cukup ketat, dengan kadar faedah sebenar yang diukur melalui OPR ditolak inflasi, berada pada paras 0.85 peratus iaitu di atas purata jangka panjang sebanyak 0.70 peratus.

“Oleh itu, kami menjangkakan BNM tidak mengubah OPR tahun ini. Jelas sekali, paras OPR semasa memberikan sokongan yang tepat kepada ekonomi dan pengurangan ‘insurans’ sebanyak 25 mata asas pada Julai tahun lepas mencapai matlamatnya,” katanya.

Sehubungan itu, Bank Muamalat turut mengunjurkan OPR kekal pada paras 2.75 peratus bagi baki tempoh 2026.

Mengenai inisiatif BDR, Mohd Afzanizam berkata langkah itu dapat mengurangkan tempoh perjalanan dan kos pengangkutan, dengan sokongan teknologi yang membolehkan sebahagian pekerja menjalankan tugas hampir tanpa gangguan melalui mesyuarat dalam talian selain boleh membuat keputusan segera.

Baru-baru ini, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata pelaksanaan inisiatif BDR melibatkan penjawat awam sejak pertengahan April lepas berjaya menjimatkan peruntukan subsidi petrol kerajaan sebanyak RM7.31 juta setakat Selasa lepas.

Inisiatif BDR yang dilaksanakan untuk penjawat awam sejak pertengahan April berjaya menjimatkan perbelanjaan subsidi petrol kerajaan sebanyak RM7.31 juta.

Inisiatif berkenaan juga mengurangkan penggunaan bahan api sebanyak 4.05 juta liter dalam tempoh tiga bulan sejak pelaksanaannya di seluruh negara sekali gus memberi manfaat kepada kira-kira 659,000 penjawat awam.

— BERNAMA