Kedah Aerotropolis Ambil Kira Dapatan Kajian NASP, Dipertimbang Selepas Kajian Dimuktamad – Kementerian Ekonomi

KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) — Kajian Pelan Strategik Lapangan Terbang Negara (NASP) yang sedang dilaksanakan Kementerian Pengangkutan akan menilai keperluan sebenar projek pembangunan lapangan terbang termasuk Kedah Aerotropolis, menurut Kementerian Ekonomi.

Kementerian itu menjelaskan kajian yang dijangka siap pada awal Januari 2024 itu turut menilai pembangunan infrastruktur, keperluan ruang udara, ekonomi dan strategik projek pembangunan lapangan terbang negara.

“Dalam hubungan ini, cadangan pelaksanaan projek Kedah Aerotropolis perlu mengambil kira dapatan kajian NASP dan akan hanya dapat dipertimbangkan selepas kajian tersebut dimuktamadkan.

“Ini bagi memastikan pelaksanaan projek Kedah Aerotropolis adalah komprehensif dan berdaya maju serta mempunyai kebolehupayaan dan pulangan/hasil yang mampan,” menurut kementerian itu dalam jawapan bertulis Dewan Negara bertarikh 30 Nov, 2023 yang disiarkan menerusi laman web Parlimen.

Kementerian Ekonomi memaklumkan demikian bagi menjawab soalan Senator Abdul Nasir Idris mengenai hasrat kerajaan bagi meneruskan projek Kedah Aerotropolis yang diletakkan di bawah Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

Kedah Aerotropolis adalah projek inisiatif kerajaan Kedah dan merupakan pembangunan berkonsepkan perbandaran moden melibatkan industri aeroangkasa, menurut Kementerian Ekonomi.

Cadangan pembangunan adalah di atas tanah yang belum pernah dibangunkan seluas 9,841 ekar (3,982.51 hektar) berdekatan kawasan daerah Kuala Muda yang bersempadan dengan daerah Kulim dan Baling.

“Projek tersebut dicadangkan untuk dilaksanakan melalui kaedah Kerjasama Awam-Swasta (PPP).

“Walau bagaimanapun, terdapat komponen yang perlu ditanggung oleh kerajaan Persekutuan, antaranya pengambilan balik tanah, penyediaan infrastruktur asas dan akses jalan serta operasi menara kawalan trafik dan akan melibatkan implikasi kewangan yang besar kepada kerajaan,” jelasnya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Pos Malaysia Laksana Pelan Transformasi Kurangkan Kerugian

KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Bhd (Pos Malaysia) di bawah DRB-HICOM Bhd (DRB-HICOM) akan melaksanakan pelan transformasi bagi mengurangkan kerugiannya, antaranya dengan memberi tumpuan kepada rasionalisasi rangkaian, pengembangan saluran digital dan pengurusan berhemat.

Menurut Kementerian Komunikasi, setakat ini Pos Malaysia telah mencatatkan peningkatan prestasi kewangan apabila merekodkan pengurangan kerugian bersih sebanyak RM19.5 juta bagi suku pertama 2026 berbanding RM41.5 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

“Pengurangan ini merupakan kerugian suku tahunan terendah dalam tempoh empat tahun, disokong oleh peningkatan hasil daripada perkhidmatan sijil digital dan percetakan, prestasi segmen penerbangan yang lebih kukuh serta pengurangan kerugian dalam segmen perkhidmatan pos,” jelasnya dalam jawapan bertulis yang disiarkan dalam laman sesawang Parlimen hari ini.

Kementerian Komunikasi berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Robert Lau Hui Yew mengenai sama ada kerajaan akan memberikan bantuan kewangan kepada Pos Malaysia memandangkan rekod kerugian syarikat tersebut di bawah DRB-HICOM.

Pada masa sama, kementerian berkata kerajaan amat menggalakkan usaha transformasi dan pemodenan operasi yang dilaksanakan oleh Pos Malaysia.

“Sebarang bentuk sokongan kerajaan akan dipertimbangkan berdasarkan dasar semasa, kedudukan kewangan kerajaan, keperluan penyediaan perkhidmatan sejagat dan kerangka kawal selia yang berkuat kuasa,” katanya.

Selain itu, tambahnya, kerajaan menganggap bantuan kewangan secara langsung kepada Pos Malaysia bukan satu langkah utama, sebaliknya akan mewujudkan mekanisme pembiayaan yang lebih mampan bagi menampung kos penyediaan perkhidmatan.

Sehubungan itu, jelasnya, kerajaan sedang meneliti penubuhan Kumpulan Wang Perkhidmatan Pos sebagai mekanisme jangka panjang bagi menyokong penyediaan perkhidmatan pos di kawasan yang kurang berdaya maju secara komersial, tanpa menjejaskan kemampanan industri secara keseluruhan.

–BERNAMA