Malaysia Terbukti Berdaya Tahan Hadapi Cabaran Pandemik Covid-19, Kata Bank Dunia

KUALA LUMPUR, 3 Ogos (Bernama) — Malaysia muncul sebagai sebuah negara yang mempunyai daya tahan ketara serta berpotensi untuk pulih biarpun dalam persekitaran mencabar akibat pandemik COVID-19, kata Bank Dunia.

Dalam laporan bertajuk ‘Building Malaysia’s  Resilience: Lessons from COVID-19’s Economic Impacts and Policy Responses’ (Membina Daya Tahan Malaysia : Iktibar Impak Ekonomi dan Tindak Balas Dasar Akibat COVID-19), Bank Dunia juga menyifatkan Malaysia sebagai peneraju dalam kaji selidik yang turut melibatkan Kemboja, Indonesia, Mongolia, Filipina dan Vietnam.

Kaji selidik tersebut meneliti kesan ekonomi dan tindak balas kerajaan terhadap pandemik di enam negara berkenaan.

Kesemua enam negara terbabit mengharungi krisis tersebut secara berbeza dan telah bertindak melaksanakan pelbagai pendekatan bagi mengekang penularan virus selain mengurangkan impak ekonomi dengan pelbagai peringkat kejayaan, kata bank itu.

Pengurus Bank Dunia bagi Malaysia, Yasuhiko Matsuda berkata kejutan akibat COVID-19 telah mengurangkan jumlah pekerjaan dan pendapatan isi rumah, namun laporan itu sebaliknya menunjukkan Malaysia berupaya mencatat prestasi baik berbanding lima negara itu di peringkat makro.

“Kejutan jualan di Malaysia lebih terkawal manakala keperluan menghentikan kerja/kegiatan pula adalah sederhana. Bagaimanapun, impak pandemik itu adalah tidak sekata.

“Di Malaysia, syarikat-syarikat lebih kecil, golongan miskin dan isi rumah yang rentan lebih mudah terjejas dan kurang mendapat akses bagi bantuan kerajaan. Masalahnya adalah aspek jurang digital,” katanya.

Sementara itu, Ahli Ekonomi Kanan Ririn Salwa Purnamasari ketika membentangkan laporannya, mengetengahkan keadaan ekonomi Malaysia yang stabil dan berkembang sebelum pandemik dengan mencatat pertumbuhan tahunan pada lima peratus.

Ini menjadikannya sebagai antara paling mewah dalam kalangan enam negara yang ditinjau serta paras hutang kerajaan yang rendah dan membolehkan pelaksanaan pendekatan berkesan bagi mengurangkan impak pandemik selain memastikan kemampanan hutang jangka panjang.

“Di sebalik kemajuan itu, Malaysia masih berdepan cabaran bagi mengurangkan kemiskinan dan ketidaksamaan dengan indeks Gini secara relatifnya kekal tinggi untuk sebuah negara yang berhasrat menjadi mencapai status berpendapatan tinggi,” katanya.

 Beliau juga menyifatkan pengalaman pandemik COVID-19 memberi pengajaran bermakna dari segi membina daya tahan serta pengurusan krisis di masa depan.

“Kerajaan perlu mengutamakan pemulihan secara saksama, memanfaatkan kemajuan teknologi dan mengukuhkan jaringan keselamatan sosial untuk melindungi kumpulan rentan.

“Pada masa sama, ia juga harus melakukan penelitian berterusan dan menambah baik dasar serta pelaburan dalam membuat sebarang keputusan berdasarkan data. Ini penting dalam usaha mengemudi cabaran di masa depan secara berkesan selain memastikan pasaran tenaga kerja yang lebih berdaya tahan dan inklusif,” katanya.

Ketika tempoh pandemik itu, Malaysia telah melaksanakan pelbagai pakej bantuan dengan liputan meluas serta melibatkan gabungan mekanisme atau instrumen bagi syarikat-syarikat serta isi rumah.

Beliau berkata, berbanding dengan negara-negara lain di rantau ini, Malaysia banyak bergantung kepada sokongan dalam membantu syarikat dari segi mudah tunai, kredit dan pinjaman dan secara relatifnya rendah dalam memberi sokongan langsung kepada isi rumah.

Malaysia melaksanakan pemberian gabungan bantuan kerajaan yang besar namun lebih wajar jika lebih bersasar serta diselaras.

Ini kerana, sokongan kepada firma atau perniagaan dilihat sebagai “berat sebelah”dengan disasarkan kepada perniagaan lebih produktif dan besar manakala sokongan untuk isi rumah adalah promiskin namun tidak responsif terhadap kejutan, kata Ririn.

“Penangguhan pembayaran bersasar (bagi cukai atau bayaran balik pinjaman) adalah lebih berkesan berbanding sokongan pendapatan dan mudah tunai dalam menangani krisis modal kerja.

“Subsidi upah misalnya membantu pekerja daripada kesan penuh krisis ekonomi itu serta memelihara hubungan antara majikan dan pekerja manakala bantuan sosial mengurangkan bebanan terhadap isi rumah ketika krisis…namun tahap manfaat itu secara amnya tidak mencukupi,” katanya.

Bagi kemajuan masa depan, beliau berkata berdasarkan ruang fiskal yang ketat dan ketidakpuasan berterusan, aspek yang diperlukan adalah sasaran yang lebih baik atau wajar serta penyatuan mekanisme sokongan berkaitan.

“Program pasaran tenaga kerja yang aktif, termasuk latihan semula atau meningkatkan kemahiran pekerja juga perlu agar membolehkan mereka lebih aktif dalam pekerjaan dan pasaran.

“Ini lebih mampan kerana menjadikan pekerja mempunyai lebih banyak kuasa atau keupayaan untuk melakukan tugas sendiri dan terbabit dalam aktiviti ekonomi yang boleh memberi manfaat bagi tempoh lebih panjang,” katanya.

Dalam pada itu, menyentuh aspek pemindahan tunai, Matsuda berkata ini mencabar untuk Malaysia kerana walaupun kerajaan mampu menampung sebahagian besar penduduk, jumlahnya masih agak kecil berbanding yang diterima di negara lain.

Berikutan itu, beliau menyifatkan kesan pemindahan tunai di Malaysia sebagai terhad. 

“Ada yang tidak menerimanya manakala di pihak lain pula menerima jumlah tidak mencukupi yang dapat memberi kesan yang benar-benar ketara,” katanya sambil menegaskan setiap liputan dan jangkauan adalah penting.

Menurutnya, krisis akibat pandemik itu terbukti meningkatkan aspek penerimagunaan teknologi digital dan membangkitkan potensinya bagi memacu produktiviti serta inovasi.

“Kerajaan dan perniagaan perlu melabur dalam infrastruktur digital dan keupayaan bekerja secara jarak jauh bagi meningkatkan daya tahan dan kecekapan ketika krisis di masa akan datang,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Signature Memperkasa Pusat Kechara Soup Kitchen Di Jalan Imbi Untuk Memperluas Impak Komuniti

KUALA LUMPUR: Signature International Berhad (“Signature”) hari ini memperkenalkan Pusat Dapur Pengagihan Makanan & Pemerkasaan 2-dalam-1 yang pertama seumpamanya diterajui oleh korporat, hasil kerjasama bersama Kechara Soup Kitchen (KSK).

Inisiatif ini menyaksikan pusat KSK di Jalan Imbi dinaik taraf menjadi sebuah kemudahan khusus yang menggabungkan pengagihan makanan dengan pemerkasaan komuniti.

Inisiatif ini mencerminkan kepercayaan Signature bahawa perniagaan mampu mewujudkan impak sosial yang lebih besar dengan menerapkan kepakaran yang telah dibangunkan selama bertahun-tahun.

Bagi Signature, yang telah memberi tumpuan kepada penyediaan ruang kediaman berfungsi selama lebih tiga dekad, projek ini memberi peluang untuk menyumbangkan keupayaan dalam reka bentuk, pembuatan, pemasangan serta pengurusan projek bagi menyokong keperluan KSK yang terus berkembang.

Dilaksanakan menerusi Signature Cares, platform tanggungjawab korporat jangka panjang Kumpulan, inisiatif ini memperluaskan kepakaran Signature melangkaui ruang kediaman dan ke dalam komuniti.

Signature mereka bentuk semula pusat Jalan Imbi berdasarkan keperluan operasi organisasi tersebut, di samping mewujudkan ruang yang mampu menyokong program pemerkasaan pada masa hadapan.

Selama hampir dua dekad, pusat Kechara Soup Kitchen di Jalan Imbi telah menjadi salah satu hab komuniti utama organisasi tersebut, menyediakan makanan, bantuan kebajikan serta sokongan kepada individu dan keluarga yang berdepan kesukaran.

Seiring dengan perkembangan usaha jangkauan komuniti, keperluan terhadap sebuah kemudahan yang mampu menyokong pengagihan makanan secara lebih cekap serta program yang melengkapkan penerima manfaat dengan kemahiran praktikal untuk mencapai kebergantungan diri yang lebih tinggi turut meningkat.

Dengan pengalaman lebih 30 tahun sebagai penyedia penyelesaian Total Home & Living terkemuka di Malaysia, Signature telah mereka bentuk semula dan menaik taraf keseluruhan pusat tersebut berdasarkan keperluan operasi organisasi tersebut bagi menambah baik aliran kerja, fungsi ruang serta pengalaman sukarelawan, kakitangan dan penerima manfaat.

Teras utama usaha pemerkasaan ini ialah Pusat Dapur Pengagihan Makanan & Pemerkasaan 2-dalam-1, sebuah konsep inovatif yang membolehkan ruang khusus yang sama menjalankan dua fungsi saling melengkapi. Dalam operasi harian, pusat ini menyokong penyediaan dan pengagihan makanan secara lebih cekap kepada komuniti yang memerlukan.

Selain perkhidmatan penyediaan makanan, ruang ini turut berfungsi sebagai pusat pemerkasaan yang membolehkan program memasak, membakar serta pembangunan kemahiran lain dijalankan bagi melengkapkan penerima manfaat dengan kebolehan praktikal, meningkatkan keyakinan diri dan membuka laluan ke arah kehidupan yang lebih berdikari dalam
jangka panjang.

Reka bentuk fleksibel ini membolehkan KSK memaksimumkan penggunaan satu kemudahan sepanjang hari, memenuhi keperluan komuniti semasa sambil mewujudkan peluang untuk pelaksanaan program pemerkasaan jangka panjang dalam ruang yang sama.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Signature, Encik Lau Kock Sang, berkata projek ini menunjukkan bagaimana perniagaan boleh mencipta perubahan bermakna dengan memanfaatkan kepakaran yang dimiliki.

“Apabila kami pertama kali mengunjungi pusat Kechara Soup Kitchen di Jalan Imbi, kami melihat sebuah organisasi yang telah berkhidmat kepada rakyat Malaysia yang memerlukan dengan penuh dedikasi selama lebih 20 tahun.

Persoalan bagi kami bukanlah sama ada kami perlu membantu, tetapi bagaimana kami boleh menyumbang dengan cara yang paling bermakna menggunakan kepakaran yang telah kami bina selama lebih tiga dekad.

“Kepercayaan tersebut menjadi asas kepada Signature Cares. Setiap perniagaan memiliki keupayaan yang melangkaui produk atau perkhidmatan yang ditawarkan. Apabila keupayaan tersebut dimanfaatkan untuk memenuhi keperluan komuniti sebenar, ia mampu mencipta nilai berpanjangan yang jauh melangkaui satu-satu projek,” katanya.

Pengurus Besar Kechara Soup Kitchen, Encik Justin Cheah Kok Leong, berkata kemudahan yang telah dinaik taraf ini merupakan pencapaian penting dalam usaha berterusan organisasi tersebut untuk membantu komuniti yang memerlukan.

“Pusat yang telah dinaik taraf ini membolehkan kami menyediakan dan mengagihkan makanan dengan lebih cekap, di samping menyediakan persekitaran khusus untuk program yang membantu penerima manfaat membina kemahiran praktikal serta keyakinan diri. Ia memberikan kami fleksibiliti yang lebih besar untuk memenuhi keperluan semasa sambil melabur dalam usaha pemerkasaan jangka panjang,” jelasnya.

Sebagai sebahagian daripada Inisiatif Sumbangan Bank Makanan Signature (Signature Food Bank Donation Initiative), para Signatorians turut bersama-sama menyumbangkan barangan makanan kering asas berdasarkan senarai keperluan yang disediakan oleh Kechara Soup Kitchen.

Barangan yang dikumpulkan akan diserahkan kepada Kechara Soup Kitchen bagi menyokong usaha berterusan organisasi tersebut dalam membantu komuniti yang memerlukan.

Kerjasama ini menandakan permulaan kepada perkongsian jangka panjang antara Signature dan Kechara Soup Kitchen, dengan kedua-dua organisasi meneroka peluang bagi inisiatif sukarelawan, aktiviti penglibatan komuniti serta program pemerkasaan pada masa hadapan di bawah Signature Cares.