Aduan Berhubung Penipuan, Kegiatan Tidak Berlesen Meningkat Ketara Sejak Pandemik – SC

PETALING JAYA, 23 Ogos (Bernama) — Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mendapati aduan dan pertanyaan mengenai kegiatan tidak berlesen serta penipuan meningkat ketara sejak pandemik COVID-19 melanda pada 2020.

Pengurus Besar Pengguna dan Pelabur SC, Jawahar Ali Ameer Ali berkata SC telah menerima 1,799 aduan pada 2020 manakala sebanyak 3,475 aduan (2021) dan 2,461 aduan (2022).

Beliau berkata bagi separuh pertama tahun ini pihaknya telah menerima kira-kira 1,670 aduan iaitu kira-kira 60 peratus daripada aduan yang diterima pada 2022.

Kebanyakan aduan yang diterima SC adalah berkaitan skim haram yang dipromosikan melalui media sosial, katanya kepada pemberita pada Simposium Perancangan Kewangan Tahunan anjuran Persatuan Perancangan Kewangan Malaysia (FPAM) di sini, pada Rabu.

Beliau berkata pelaku penipuan ini lazimnya menggunakan iklan Facebook yang ditaja, laman web palsu dan mewujudkan kumpulan Telegram awam untuk mempromosikan pakej pelaburan itu yang biasanya disertakan dengan testimoni palsu, sijil yang didakwa dikeluarkan oleh pelbagai agensi.

“Pelabur yang berminat kemudiannya akan diminta menghantar mesej kepada wakil untuk mula melabur secara langsung. ‘Pelaburan’ ini biasanya menjanjikan pulangan yang tidak realistik seperti pelaburan RM300 akan mendapat pulangan ribuan ringgit dalam masa beberapa jam.

“Peluang pelaburan seperti ini melalui media sosial adalah penipuan. Pelabur juga perlu berhati-hati sekiranya mereka diminta memasukkan wang ke dalam akaun peribadi (bank). Sehingga kini, pelabur telah kerugian berpuluh juta melalui penipuan pelaburan,” katanya.

Jawahar Ali berkata SC telah melaksanakan pelbagai tindakan intervensi dan inisiatif untuk menyedarkan orang ramai.

“Antaranya, pada separuh pertama 2023, SC melakukan dua tindakan penguatkuasaan, mengeluarkan 170 senarai amaran, 95 sekatan laman web, enam sekatan akaun Instagram, 74 sekatan akaun Telegram, serta 58 sekatan di Facebook,” katanya.

Sementara itu, Presiden FPAM, Alvin Tan Chin Cherng berkata simposium perancangan kewangan sehari itu, bertemakan ‘Evolusi Perancangan Kewangan’, menjadi platform penting bagi para profesional untuk mengharungi kerumitan dunia kewangan masa kini.

Beliau berkata hadirin didedahkan dengan pelbagai topik menyeluruh dalam landskap kewangan,  meliputi penipuan dan perlindungan pelanggan, pendigitalan dan pengurusan risiko, aset digital, kemampanan dan sistem dunia baharu yang pesat membangun.

“Perancang kewangan mempunyai peranan penting iaitu sebagai penggera keadaan bahaya untuk kebanyakan pelanggan dalam membantu menguruskan kewangan dan meningkatkan tahap celik kewangan mereka.

“Bagi menggalakkan pelanggan menggunakan bantuan perancang kewangan, FPAM mencadangkan kerajaan supaya memasukkan pelepasan cukai sebanyak RM1,000 ke atas fi perancangan kewangan menerusi Belanjawan 2024,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

PTPTN salur RM285,500 Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI

TANJONG MALIM, 29 September 2026 — Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyalurkan Bantuan Lestari Siswa MADANI berjumlah RM285,500 kepada 571 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi meringankan beban kewangan mereka.

Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata setiap pelajar menerima bantuan RM500 secara sekali bayar (one-off) dan tidak perlu dibayar balik, dengan bayaran dikreditkan ke akaun pelajar mulai 2 Oktober ini.

Beliau berkata inisiatif itu merupakan antara usaha PTPTN membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan supaya dapat meneruskan pengajian tanpa terlalu dibebani masalah kewangan.

“PTPTN berbesar hati untuk menyampaikan Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI yang melibatkan jumlah keseluruhan RM285,500.

“Setiap pelajar akan menerima RM500, tak perlu bayar balik. Ini yang kita berikan secara percuma dan secara one-off,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI, semalam.

Ahmad Dasuki berkata PTPTN memperuntukkan RM120 juta bagi inisiatif berkenaan, dengan kira-kira 5,000 pelajar telah diluluskan setakat ini, namun hanya 1,500 pelajar menerima manfaat tersebut.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan pelajar yang memenuhi syarat, khususnya mereka yang merupakan anak penerima eKasih dan belum memohon pinjaman PTPTN, supaya mendapatkan maklumat lanjut dan memanfaatkan peluang berkenaan.

Beliau berkata PTPTN bukan sahaja berperanan menyediakan pinjaman pendidikan, malah turut memberi penekanan terhadap budaya menabung menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).

Beliau berharap Bantuan Lestari Siswa MADANI dapat menjadi pemangkin kepada pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik selain meningkatkan taraf hidup keluarga dan memberi sumbangan kepada masyarakat.

“PTPTN tetap komited untuk memastikan agenda pendidikan negara terus dilaksanakan melalui pelbagai inisiatif yang sedang kita usahakan sekarang, selari dengan moto PTPTN, ‘Peluang Kejayaan Anda’,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata bantuan berkenaan amat bermakna kepada universiti memandangkan hampir 11,000 daripada kira-kira 30,578 pelajar UPSI merupakan golongan B40.

Beliau berkata perkara itu menggambarkan besarnya amanah dan tanggungjawab UPSI dalam memastikan kebajikan pelajar sepanjang tempoh pengajian mereka sentiasa terpelihara.

“Agenda kebajikan mahasiswa bukan agenda sampingan. Ia merupakan satu agenda penting yang kita bawa untuk memastikan perjalanan pendidikan adik-adik menimba ilmu di Bumi Mualim ini sepanjang tiga, empat tahun terjaga,” katanya.

Hadir sama Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Perak, Andi Nurali Mohamed; Pengurus Besar Kanan Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar dan Bendahari UPSI, Mohamad Najib Mohamed.

Gambar 1: Ahmad Dasuki (tiga dari kanan, atas) bergambar bersama para pelajar UPSI yang merupakan penerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 2: Ahmad Dasuki bergambar bersama para pelajar UPSI yang menerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 3: Ahmad Dasuki (empat dari kanan) ketika menyerahkan cek cura Bantuan Lestari Siswa Madani yang bernilai RM285,500 kepada Norkhalid (tiga dari kiri) pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT UPSI