CGS-CIMB Lancar Akaun Niaga Hadapan Patuh Syariah Global Pertama Malaysia

Kemas kini Mac 2024: CGS-CIMB kini dikenali sebagai CGS International (CGSI). Produk yang dinyatakan dibawah boleh didapati melalui CGSI.

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) — CGS-CIMB Securities Futures Sdn Bhd melancarkan Akaun Niaga Hadapan Patuh Syariah Global Pertama Malaysia untuk produk Chicago Mercantile Exchange (CME) dan Singapore Exchange (SGX).

Ini menandakan pengembangan ketara penawarannya melangkaui Bursa Malaysia Derivatives (BMD) serta mempamerkan komitmennya terhadap inovasi dan peluang pelaburan yang beretika.

 Pengurus jualan dan urusan niaga hadapan dan kontrak untuk perbezaan (CFD) serantau Muhammad Azwan Sakeri berkata 11 produk telah dikategorikan sebagai patuh Syariah daripada tiga bursa yang didagangkan oleh CGS-CIMB Futures.

“Antaranya niaga hadapan minyak sawit mentah (FCPO), niaga hadapan minyak sawit mentah Malaysia Timur (FEPO), niaga hadapan minyak isirung sawit mentah (FPKO) di BMD manakala di CME terdapat niaga hadapan soya, minyak soya, tepung soya, jagung, oat dan bijirin. 

“Di SGX, kami berdagang pada niaga hadapan getah TSR20. CGS-CIMB akan terus memperkenalkan lebih banyak niaga hadapan patuh Syariah daripada bursa lain sebaik sahaja ia tersedia di Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran itu di sini hari ini.

Mengenai respons peniaga terhadap produk niaga hadapan patuh Syariah, beliau berkata terdapat minat yang semakin meningkat terhadap produk tersebut sebagai alternatif kepada platform konvensional, terutamanya daripada peniaga Bumiputera.

“Kami menyasarkan sekurang-kurangnya 70 peratus peniaga menyertai platform patuh Syariah dalam tempoh tiga tahun akan datang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CGS-CIMB Securities Malaysia Azizah Mohd Yatim dalam ucapannya berkata pelaburan Syariah merangkumi lebih daripada sekadar transaksi kewangan kerana ia mewakili cara hidup yang berteraskan keadilan dan kemakmuran bersama.

“Dengan pengenalan Akaun Niaga Hadapan Patuh Syariah Global Pertama Malaysia, kami menyaksikan sinergi luar biasa yang dapat memperkasakan pelabur untuk melibatkan diri dalam pasaran global sambil menegakkan prinsip ketelusan, perkongsian risiko dan tanggungjawab sosial.

“Kami menyedari bahawa faktor seperti risiko, pulangan, kecairan dan kos adalah penting apabila melabur dalam pasaran yang tidak menentu,” katanya.

Beliau berkata Niaga Hadapan Patuh Syariah Global berusaha untuk mencapai keseimbangan itu untuk para pelabur, menawarkan penyelesaian pelaburan alternatif yang sejajar dengan nilai mereka.

Beliau berkata sebagai broker derivatif pertama Malaysia yang melancarkan akaun Niaga Hadapan Patuh Syariah Global, terdapat potensi besar yang menanti kerana inovasi ini mampu menarik pelbagai spektrum pelabur yang ingin menyelaraskan aspirasi kewangan mereka dengan kepercayaan mereka.

— BERNAMA

Berminat nak buka akaun futures global patuh syariah?

Klik: 

Previous ArticleNext Article

FCPO: Kembali Ke Fasa Pengukuhan

  • Kekalkan pegangan jualan

FCPO ini menurun MYR9 semasa sesi dagangan lalu untuk ditutup pada harga MYR4,597. Pada hari Jumaat, komoditi ini memulakan dagangan pada paras MYR4,604. Pada awalnya, ia jatuh ke paras terendah sesi tersebut pada MYR4,575. Ia kemudiannya melantun ke paras tertinggi sesi tersebut pada MYR4,608 dan menutup dagangan pada MYR4,597. Di samping pergerakan RSI ke bawah, penutupan dagangan terkini yang menurun menunjukkan momentum menurun kembali menguat.

Komoditi ini mungkin akan melanjutkan fasa koreksi harga dan menguji paras sokongan semula pada MYR4,390. Sementara itu, garisan SMA 50 hari masih bergerak ke paras lebih rendah, lantas mengukuhkan keadaan pasaran menurun. Sekiranya komoditi ini mencatat pergerakan menaik, paras MYR4,700 akan menahan harga daripada menembusi paras berkenaan. Selagi FCPO terus berada di bawah paras ambang MYR4,700, kami tetap akan berpegang pada bias dagangan negatif.

Para pedagang disarankan untuk terus mengekalkan pegangan jualan yang dimulakan pada penutupan 12 Mei (MYR4,481). Untuk menangani risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi ditetapkan pada MYR4,700.

Paras sokongan pertama kini berada pada MYR4,390 dan diikuti oleh paras sokongan lebih rendah pada MYR4,250. Paras rintangan pertama pula ialah MYR4,700 yang diikuti oleh paras MYR4,900.