CIIF Lancarkan Program Biasiswa Dan Dermasiswa CPIF Dengan Objektif Mengasah Bakat-Bakat Baru Di Dalam Industri Kewangan Islam

Chartered Institute of Islamic Finance Professionals (CIIF) hari ini mengumumkan pelancaran Program Biasiswa dan Dermasiswa CPIF untuk ditawarkan kepada calon-calon yang mempunyai kelayakan. Program ini turut disokong oleh FWD Takaful untuk tahun yang kedua dengan objektif untuk mengasah bakat-bakat muda dan melahirkan bakal-bakal pemimpin yang berkaliber di masa hadapan di dalam bidang kewangan Islam.

Graduan yang mempunyai latarbelakang akademik cemerlang boleh memohon biasiswa CPIF dan seterusnya menyertai program CPIF (Takaful) manakala graduan daripada keluarga yang berpendapatan rendah pula boleh memohon dermasiswa CPIF untuk program yang sama. Kewujudan bantuan kewangan ini diharapkan dapat membantu menambah lebih ramai ahli-ahli profesional baru yang berbakat di dalam sektor Takaful. Permohonan untuk biasiswa dan dermasiswa kini telahpun dibuka dan tarikh tutup permohonan adalah pada 31 Julai 2021.

Pada Januari 2021, CIIF telah melancarkan Program Profesional Bertauliah di dalam Kewangan Islam (CPIF), iaitu program perdana di bawah CIIF yang ditawarkan kepada ahli-ahli industri dan sesiapa sahaja yang beraspirasi untuk memperolehi pengetahuan mendalam di dalam bidang Kewangan Islam. Program CPIF merupakan kelayakan profesional yang dicipta khas dengan tujuan untuk melatih calon-calon dan membekalkan mereka dengan ilmu yang berguna supaya mereka berjaya menjadi pakar profesional di dalam sektor kewangan Islam.

Program ini merangkumi subjek-subjek seperti Shariah, Penstrukturan Produk, Pengurusan Risiko di dalam Perusahaan, Pengurusan Strategik, Perundangan dan Pentadbiran serta Pengauditan dan Kepatuhan dan subjek-subjek lain yang boleh membantu meningkatkan pemahaman di dalam bidang-bidang berkaitan bagi calon-calon yang layak untuk membentuk mereka sebagai bakal pemimpin yang berkaliber di masa hadapan khususnya di dalam industri Kewangan Islam. Program ini dibangunkan secara teliti dengan menggunakan input daripada golongan pakar dan pemimpin-pemimpin ternama daripada industri terbabit.

Pematuhan terhadap Kod Etika dan Standard Tata Laku Profesional CIIF merupakan elemen penting di dalam program CPIF, justeru memberi kelebihan kepada ahli CIIF. Selain daripada menawarkan pendidikan profesional, CIIF juga mengetengahkan kepentingan standard amalan dan kod etika di dalam kewangan Islam untuk memastikan khidmat profesional dan produk kewangan Islam yang disampaikan mempunyai kualiti yang tertinggi.

Walaupun program ini disampaikan secara atas talian disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan COID-19, proses pembelajaran maya ini adalah menarik, interaktif dan dipermudahkan oleh tenaga pengajar yang berkebolehan dan berpengalaman daripada industri Menurut salah seorang penerima Biasiswa CPIF, En. Abdul Hadi Zalhe, kaedah pembelajaran yang ditawarkan oleh program ini sangat sesuai untuk pelajar-pelajar yang sedang bekerja sepertinya.

Kelayakan CPIF juga memberikan kelebihan kepadanya dalam memenuhi tuntutan kemahiran yang diperlukan di dalam industri ini.

“CIIF sangat komited dan sering berusaha untuk membangunkan dan mempraktikkan strategi-strategi yang sesuai supaya kami dapat menawarkan kemudahan dan ilmu yang terbaik kepada ahli-ahli profesional kami dan ini akan membantu mereka meningkatkan kemahiran dan pengetahuan di dalam industri ini. Kemahiran pengamal-pengamal industri perlu selaras dengan kehendak dan perkembangan industri. untuk memenuhi permintaan yang kian meningkat. Bagi pihak CIIF, saya menggalakan kepada graduan-graduan yang layak untuk menghantar permohonan bagi Biasiswa dan Dermasiswa CPIF bagi membantu mereka dalam usaha untuk menaiktaraf industri kewangan Islam dan mempertingkatkan status kerjaya mereka di dalam industri ini,” ujar Dr Azura Othman, Ketua Pegawai Eksekutif, CIIF.

Untuk maklumat lanjut tentang Program Biasiswa dan Dermasiswa CPIF, sila layari https://cpifscholarshipbursary.ciif-global.org/

Mengenai Institut Profesional Kewangan Islam Bertauliah(CIIF)

Ditubuhkan pada 2015, CIIF adalah pertubuhan khusus untuk ahli-ahli profesional berkelayakan di dalam industri kewangan Islam. Mandat utama pertubuhan ini adalah untuk menetapkan piawaian bagi sistem pendidikan dan kelayakan profesional di dalam kewangan Islam di kalangan ahli-ahli pertubuhan serta memastikan Kod Etika dan Dasar Tata Laku Profesional negara dipatuhi oleh mereka.

CIIF juga mempunyai mandat untuk menaiktaraf status profesional industri kewangan Islam melalui kolaborasi bersama persatuan-persatuan industri, badan-badan berkanun, agensi-agensi kerajaan, institusi-institusi pendidikan dan latihan serta pihak-pihak lain yang berkaitan melalui sistem kelayakan dan sijil profesional yang telah dicipta khas, bersama dengan aktiviti-aktiviti dan inisiatif-inisiatif yang lain. Melalui dasar dan piawaian profesional yang telah ditetapkan, termasuk program perdana mereka, iaitu Program Profesional Bertauliah di dalam Kewangan Islam (Charted Professional in Islamic Finance (CPIF)), CIIF menyasarkan nilai yang tinggi dan berprestij untuk profesion ini dengan memberi peluang kepada kalangan ahli untuk menambah ilmu, kepakaran dan keupayaan mereka sejurusnya menghasilkan kelayakan profesional yang akan menjadi penanda aras di dalam industri ini.

Komponen utama CIIF untuk melayakkan diri menyertai pertubuhan ini adalah ahli-ahli perlu menjalani kursus mandatori Program Pembangunan Profesional (CPD), dicipta untuk memperkasakan ahli-ahli dan memberi peluang kepada mereka supaya senantiasa peka dengan pembangunan dan maklumat terkini di dalam bidang kewangan Islam, serta meningkatkan kemahiran mereka untuk menjadi ahli profesional yang berkemampuan tinggi. Ini bermatlamat untuk menjadikan ahli-ahli CIIF sebagai bakat-bakat terulung yang dikagumi di arena tempatan dan antarabangsa.

Previous ArticleNext Article

Bursa Malaysia Securities Mengeluarkan Teguran Awam Dan/Atau Mengenakan Denda Ke Atas Computer Form (Malaysia) Berhad Serta Lapan Orang Pengarah

Bursa Malaysia Securities Berhad (“Bursa Securities”) telah mengeluarkan teguran awam terhadap Computer Forms (Malaysia) Berhad (CFM) dan lapan (8) orang pengarahnya kerana melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia (Main Market Listing Requirements, MAIN LR).

Selain teguran awam, lapan pengarah terbabit turut dikenakan denda berjumlah RM2 juta.

Pelanggaran utama oleh CFM

CFM didapati melakukan beberapa pelanggaran serius berkaitan pendedahan maklumat kepada pelabur, antaranya:

1. Gagal mendedahkan syarat penting dalam usaha sama (Joint Venture Agreement – JVA)

Dalam pengumuman bertarikh 5 Januari 2023, CFM gagal mendedahkan beberapa fakta material berkaitan perjanjian usaha sama dengan EA Mobility Holding Co. Ltd., termasuk:

  • Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) yang ditandatangani pada hari yang sama.
  • Klausa Put Option yang membolehkan EA Mobility menjual keseluruhan pegangannya dalam syarikat usaha sama kepada CFM sekiranya CFM gagal mendapatkan:
    • Tempahan disahkan (Affirmed Orders) sekurang-kurangnya 200 buah kenderaan elektrik (EV); dan
    • Bayaran deposit atau harga pembelian sekurang-kurangnya RM12.5 juta sebelum 30 Jun 2023.
  • Hakikat bahawa Perjanjian Usaha Sama (JVA) akan terbatal secara automatik sekiranya mana-mana pihak tidak lagi memiliki saham dalam syarikat usaha sama.

2. Siaran media 3 Julai 2023 mengelirukan pelabur

CFM mengeluarkan kenyataan media yang menggambarkan usaha sama tersebut masih berada pada landasan positif.

Namun, syarikat gagal mendedahkan bahawa:

  • Sasaran tempahan 200 EV tidak berjaya dicapai.
  • Bayaran minimum RM12.5 juta juga gagal diperoleh.
  • Kegagalan tersebut membuka ruang kepada EA Mobility untuk melaksanakan Put Option yang boleh menyebabkan penamatan usaha sama.

3. Lewat mengumumkan notis Put Option

Pada 10 Julai 2023, EA Mobility memaklumkan hasrat untuk melaksanakan Put Option.

Bagaimanapun, CFM hanya membuat pengumuman kepada Bursa pada 20 Julai 2023, iaitu selepas kelewatan lapan hari dagangan.

4. Pengumuman berkaitan penamatan usaha sama tidak lengkap dan mengelirukan

Dalam beberapa pengumuman antara 20 Julai hingga 1 September 2023, CFM menyatakan bahawa:

  • Operasi syarikat usaha sama masih berjalan seperti biasa.
  • Rundingan dengan EA Mobility masih diteruskan.

Namun syarikat tidak memaklumkan bahawa:

  • Penamatan JVA akan berlaku selepas pemindahan saham EA Mobility kepada CFM.
  • Maklumat mengenai penamatan hanya diumumkan pada 5 September 2023, hampir dua bulan selepas notis Put Option dikeluarkan dan hanya selepas Bursa Malaysia meminta penjelasan lanjut.

5. Memberikan maklumat tidak tepat kepada Bursa Malaysia

CFM turut didapati gagal memberikan maklumat yang tepat apabila:

  • Memaklumkan bahawa tiada perjanjian lain selain JVA.
  • Tidak menyerahkan salinan Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) walaupun diminta oleh Bursa Malaysia.
  • Perjanjian tersebut hanya diserahkan pada 25 September 2023 selepas beberapa kali pertanyaan dibuat.

Denda terhadap lapan pengarah

Kesemua lapan pengarah didapati membenarkan syarikat melakukan pelanggaran tersebut dan dikenakan teguran awam serta denda seperti berikut:

PengarahJumlah Denda
Tan Sri Datuk Mazlan Bin LazimRM300,000
Datuk Seri Tan Choon HwaRM100,000
Datuk Wira Justin Lim Hwa TatRM150,000
Datuk Hoo Swee GuanRM450,000
Pang Nan YewRM300,000
Wong Kok SeongRM300,000
Kho See YiingRM300,000
Tan Li SinRM100,000

Jumlah keseluruhan denda: RM2 juta.

Mengapa tindakan ini diambil?

Bursa Malaysia memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas proses siasatan lengkap dengan mengambil kira:

  • Keseriusan pelanggaran yang dilakukan.
  • Kesan terhadap pemegang saham dan pelabur.
  • Peranan serta tahap penglibatan setiap pengarah.

Menurut Bursa Malaysia, pendedahan maklumat yang tepat, lengkap dan dibuat tepat pada masanya amat penting bagi membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan yang bermaklumat, di samping memastikan pasaran modal kekal teratur, telus serta mengekalkan keyakinan pelabur.

Latar belakang kes

Pada 5 Januari 2023, CFM memeterai Perjanjian Usaha Sama (JVA) dan Perjanjian Pemegang Saham (SA) dengan EA Mobility bagi projek kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Walaupun perjanjian tersebut mengandungi syarat penting yang boleh menyebabkan usaha sama ditamatkan sekiranya sasaran tempahan EV dan kutipan deposit RM12.5 juta tidak dipenuhi sebelum 30 Jun 2023, syarat tersebut tidak didedahkan kepada pasaran.

CFM kemudiannya gagal memenuhi syarat berkenaan, menyebabkan EA Mobility melaksanakan Put Option pada 10 Julai 2023. Namun, perkembangan material tersebut tidak didedahkan secara segera dan lengkap kepada pelabur, sekali gus mendorong Bursa Malaysia mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat dan para pengarahnya.