
Kredit Gambar: Hello Magazine
Sub Topik
Michael Jordan merupakan nama yang tidak asing di dalam sukan bola keranjang dunia. Tidak keterlaluan jika kita mengatakan bahawa Michael Jordan adalah pemain bola keranjang yang paling berjaya sepanjang zaman.
Hampir seluruh dunia mengenali Michael Jordan sebagai pemain yang sukar ditewaskan ketika berada di puncak kerjayanya.
Mari kita ikuti kisah Michael Jordan yang berjaya dan menjadi seorang atlet yang bertaraf bilionare.
Asal-Usul Michael Jordan

Michael Jordan dilahirkan di Brooklyn, New York tetapi dibesarkan di Wilmington, North Carolina. Beliau berasal daripada keluarga yang stabil yang mana bapanya merupakan seorang supervisor yang bekerja di Syarikat General Electric manakala ibunya merupakan seorang pekerja bank.
Beliau yang meminati sukan bola keranjang secara serius sewaktu berada di universiti dengan aktif bermain. Pada tahun kedua di universiti, beliau telah gagal untuk menempatkan dirinya dalam pasukan bola keranjang universitinya.
Salah satu punca kegagalannya adalah disebabkan beliau tidak mempunyai ketinggian yang secukupnya untuk bermain bola keranjang.
Michael Jordan yang kecewa dengan keputusan itu bertindak untuk berlatih dengan bersungguh-sungguh untuk membuktikan bahawa beliau akan menjadi seorang yang penting dalam pasukannya.
Akhirnya, beliau berjaya menempatkan diri dalam pasukan bola keranjang universitinya pada tahun seterusnya.
Bakat yang dimilikinya begitu menyerlah dan beliau berjaya menarik perhatian pasukan bola keranjang profesional iaitu Chicago Bulls. Pada tahun 1984, beliau menjadi pemain bola keranjang profesional ketika usianya baru mencecah 21 tahun.
Dengan permainan cemerlang yang ditunjukkannya, Michael Jordan berjaya menjadi pemain terbaik National Basketball Association (NBA) pada tahun 1987.
Kejayaan Demi Kejayaan

Kejayaan pertama Michael Jordan bersama pasukan Chicago Bulls adalah pada tahun 1991 apabila pasukannya buat pertama kalinya dalam sejarah telah berjaya menjadi juara NBA. Beliau sekali lagi menjadi pemain terbaik pada tahun tersebut.
Michael Jordan bersama pasukanya berjaya membawa Chicago Bulls menjadi juara liga NBA sebanyak tiga kali berturut-turut sehingga tahun 1993.
Pada tahun tersebut, beliau telah mengalami peristiwa hitam di dalam kamus hidupnya apabila ayahnya Joe Jordan telah dibunuh dengan kejam oleh dua orang remaja yang telah merompaknya. Mayatnya telah dibuang di dalam sungai dan 10 hari kemudian, pihak polis tealah berjaya menemui mayat bapanya itu.
Banyak spekulasi yang tersebar mengenai kes pembunuhan ayah Michael Jordan ini. Ada yang mengatakan ayahnya telah dibunuh oleh pengedar dadah disebabkan hutang yang dilakukan oleh Michael Jordan.
Salah satu tabiat buruk Michael Jordan ini adalah beliau suka berjudi dan berhutang. Beliau pernah dilihat berjudi ketika malam sebelum perlawanan akhir kejohanan NBA pada tahun 1993.
Michael Jordan yang terkesan dengan kematian ayahnya itu telah membuat keputusan untuk bersara daripada sukan bola keranjang. Beliau kemudiannya beralih kepada sukan baseball pula.
Beliau menukar haluan untuk bermain dalam sukan baseball kerana ianya merupakan impian bapanya yang mahu melihat anaknya itu bermain di dalam sukan tersebut. Setelah 17 bulan di dalam sukan baseball, Michael Jordan membuat keputusan untuk kembali ke sukan bola keranjang.
Ramai peminat yang ragu–ragu dengan keputusan yang diambil oleh Michael Jordan. Ada di antara mereka mengatakan tidak mungkin Michael Jordan dapat mengecapi kejayaan sama yang pernah dilakukannya sebelum ini.
Sangkaan mereka meleset sama sekali kerana pada tahun itu juga, Chicago Bulls berjaya menjadi juara kejohanan NBA. Michael Jordan telah membuka mata para pengkritiknya bahawa beliau adalah pemain terbaik untuk bola keranjang pada era 1990-an.
Sepanjang menjadi seorang pemain bola keranjang secara profesional, beliau berjaya membawa pasukannya memenangi kejuaraan NBA sebanyak 6 kali dan berjaya meraih dua pingat emas bersama-sama dengan Amerika Syarikat di dalam kejohanan Sukan Olimpik; iaitu pada tahun 1984 di Los Angeles dan juga 1992 di Barcelona, Sepanyol.
Selain menjadi pemain bola keranjang, Michael Jordan juga menjadi jurucakap untuk produk-produk syarikat gergasi di Amerika Syarikat seperti Nike, Chevrolet dan Wheaties. Beliau juga pernah menjadi pelakon di dalam filem animasi terkenal yang bertajuk Space Jam.
Filem ini yang menggabungkan Michael Jordan bersama watak kartun terkenal Looney Tunes seperti Bugs Bunny. Filem ini telah mencapai kutipan box office di seluruh dunia iaitu sebanyak USD230.4 juta.
Ahli Perniagaan Yang Berjaya

Beliau juga merupakan seorang ahli perniagaan yang berjaya. Ketika masih bergelar pemain bola keranjang, Michael Jordan telah membuka restoran steak house di New York dan juga mempunyai jenama minyak wanginya yang tersendiri.
Beliau juga memiliki pasukan bola keranjang Charlotte Hornets yang mana telah berjaya menambah nilai pasukan tersebut. Kalau pada tahun 2006, kelab ini bernilai USD175 juta, ianya meningkat menjadi USD1.05 bilion pada tahun 2018.
Michael Jordan juga mempunyai kontrak bersama dengan syarikat gergasi sukan dari Amerika Syarikat iaitu Nike, dalam penghasilan kasut Air Jordan.
Beliau telah berkahwin sebanyak dua kali dan mempunyai 5 orang anak. Dua orang anak lelakinya itu merupakan pemain bola keranjang walaupun tidak ke tahap profesional.
Dengan kejayaan demi kejayaan yang dimiliki oleh Michael Jordan, beliau kini mempunyai kekayaan sebanyak USD1.6 bilion.
Sumber Rujukan:










