InvestSmart® Fest Secara Maya: SC Sasar Tingkatkan Celik Pelaburan

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) memberi keutamaan kepada pendidikan dan pemerkasaan pelabur sebagai sebahagian daripada rancangannya untuk meningkatkan keterangkuman kewangan dan kebolehcapaian pasaran kepada pelbagai peringkat pelabur.

Pada pelancaran acara tahunan penting pendidikan pelabur, InvestSmart® Fest 2021, Pengerusi SC Datuk Syed Zaid Albar berkata, “Pendidikan pelabur terus menjadi keutamaan bagi SC. Pelan Induk Pasaran Modal 3 yang dilancarkan baru-baru ini telah mengenal pasti pemerkasaan pelabur sebagai salah satu inisiatif strategik pasaran modal.”

InvestSmart® Fest kali kelapan ini, yang akan diadakan secara maya bermula 8 hingga 10 Oktober 2021 berbetulan dengan Bulan Literasi Kewangan Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) 2021 dan Minggu Pelabur Dunia IOSCO 2021, usaha sejagat dalam kalangan pengawal selia pasaran modal untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pendidikan dan pemerkasaan pelabur. Diperkenalkan pada 2014, InvestSmart® Fest merupakan sebahagian daripada usaha pendidikan pelabur SC yang bertumpu kepada peningkatan celik kewangan dan pelaburan.

Melangkah ke hadapan, SC akan terus melaksanakan inisiatif untuk menyokong Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan Malaysia FEN, bagi meningkatkan celik kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia dan menggalakkan tingkah laku kewangan dan pelaburan yang bertanggungjawab.

Menekankan peri pentingnya usaha meningkatkan pendidikan dan perlindungan pelabur adalah berikutan bertambahnya bilangan skim penipuan dan pelaburan haram lain, terutamanya ketika berkembangnya akses kepada ekonomi digital.

“Skim penipuan pelaburan terus menjadi kebimbangan utama SC. Bagi tempoh sembilan bulan sehingga September 2021, SC telah menerima lebih 2,000 pertanyaan dan aduan mengenai skim pelaburan haram, yang meningkat sekali ganda daripada bilangan yang dilaporkan pada 2020. Kami secara berterusan mengingatkan para pelabur agar lebih peka tentang skim penipuan pelaburan,” menurut Syed Zaid.

Bertema #JagaDiri #JagaPelaburan, InvestSmart® Fest tahun ini akan menampilkan ceramah oleh penasihat pelaburan berlesen dan pakar industri yang berwibawa yang akan berkongsi pandangan mengenai pengurusan pelaburan dan kewangan semasa krisis, perancangan persaraan, serta peluang pelaburan Syariah dan digital.

Di samping itu, orang ramai boleh meraih manfaat daripada sesi perancangan kewangan percuma bersama perancang kewangan berlesen melalui #FinPlan4u, yang turut diadakan secara dalam talian bermula 4 hingga 10 Oktober 2021. Selanjutnya, orang ramai akan berpeluang memenangi PIN tambah nilai eWallet melalui hadiah cabutan bertuah dan kuiz pop yang diadakan sepanjang acara 3 hari itu.

Bursa Malaysia Berhad, Persatuan Perancangan Kewangan Malaysia (FPAM) dan Majlis Perancangan Kewangan Malaysia (MFPC) sekali lagi merupakan rakan acara bagi InvestSmart® Fest tahun ini.

Untuk maklumat lanjut atau mengikuti siaran livestream acara ini, sila layari www.isf2021.my

Mengenai Suruhanjaya Sekuriti Malaysia:

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), sebuah badan berkanun yang melapor kepada Menteri Kewangan, ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. Ia merupakan agensi kawal selia tunggal bagi pengawalseliaan dan pembangunan pasaran modal. SC mempunyai tanggungjawab langsung untuk menyelia dan memantau aktiviti institusi pasaran, termasuk bursa dan rumah penjelasan, dan mengawal selia semua individu yang dilesenkan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007. Maklumat lanjut mengenai SC boleh didapati di laman sesawangnya di www.sc.com.my. Ikuti SC di twitter di @SecComMy untuk perkembangan terkini.

Previous ArticleNext Article

ANTA kini pemegang saham terbesar PUMA

HONG KONG, 8 Oktober 2026 — ANTA Sports Products Limited, kumpulan pakaian sukan pelbagai jenama terkemuka dunia (“ANTA Sports”, kod saham: 2020 (kaunter HKD) dan 82020 (kaunter RMB), serta anak-anak syarikatnya secara kolektif disebut sebagai “ANTA Group” atau “Kumpulan”), hari ini mengumumkan penyelesaian pemerolehan 29.06% kepentingan dalam PUMA SE daripada Artémis SAS, syarikat pelaburan keluarga Pinault, dengan bayaran tunai sebanyak EUR 1,505.5 juta. Susulan penerimaan semua kelulusan kawal selia yang berkaitan dan pemenuhan syarat penutupan lazim, ANTA Sports kini merupakan pemegang saham terbesar PUMA.

Bagi ANTA Sports, pelaburan ini menandakan pencapaian penting dalam pelaksanaan strategi “fokus tunggal, pelbagai jenama, globalisasi” dan memperkukuh profil antarabangsa, jangkauan serta daya saing Kumpulan dalam pasaran barangan sukan global. ANTA Sports akan membawa kepada PUMA kepakaran yang telah dibangunkan Kumpulan merentasi pelbagai jenama selama bertahun-tahun, termasuk keupayaan dalam pengurusan, peruncitan dan integrasi sumber global.

Ding Shizhong, Pengerusi Lembaga ANTA Sports, berkata: “Kami amat berbesar hati untuk menjadi pemegang saham terbesar PUMA dan rakan strategik jangka panjang. Pasaran barangan sukan global terus menawarkan peluang pertumbuhan yang besar apabila semakin ramai orang mengamalkan gaya hidup aktif dan meningkatkan penyertaan mereka dalam sukan. ANTA Sports telah membina kejayaannya berasaskan strategi pelbagai jenama. Kami percaya nilai sebuah kumpulan pelbagai jenama terletak pada keupayaannya membantu setiap jenama merealisasikan potensi sepenuhnya dengan memanfaatkan keupayaan dan sumber kumpulan yang lebih luas. PUMA mempunyai warisan yang kaya dan nilai asas jenama yang kukuh. Kami yakin terhadap pasukan pengurusannya dan menyokong transformasi strategik yang sedang dilaksanakan. Sebagai pemegang saham jangka panjang, kami berharap dapat berkongsi pengalaman dan keupayaan kami, khususnya dalam bidang peruncitan dan operasi, sambil menghormati kebebasan serta identiti jenama PUMA. Aspirasi kami adalah untuk menyokong PUMA dalam merealisasikan potensi sepenuhnya dan mewujudkan nilai berkekalan untuk pengguna di seluruh dunia.”

“PUMA telah membina salah satu jenama sukan paling dikenali di dunia, dengan warisan yang kaya, kredibiliti sukan yang kukuh, jejak global, inovasi terkemuka dan rakan kongsi yang kukuh. Kami mengalu-alukan ANTA Sports sebagai pemegang saham terbesar PUMA dan melihat komitmen jangka panjangnya sebagai undi keyakinan yang kukuh terhadap strategi, pasukan pengurusan dan masa hadapan kami,” kata Arthur Hoeld, Ketua Pegawai Eksekutif PUMA SE. “Kami berharap dapat membina hubungan yang membuahkan hasil dan meneroka bidang yang membolehkan kekuatan masing-masing mewujudkan nilai mampan untuk PUMA dan para pemegang sahamnya dalam perjalanan kami untuk menjadi antara 3 jenama sukan global teratas.”

ANTA Sports menghormati sepenuhnya warisan sukan PUMA, identiti jenama dan budaya korporatnya yang tersendiri, serta tadbir urus bebas dan autonomi jenamanya. Seperti yang diumumkan sebelum ini, Kumpulan akan mendapatkan perwakilan yang sewajarnya dalam Lembaga Penyeliaan PUMA. Kumpulan pada masa ini tidak mempunyai rancangan untuk membuat tawaran pengambilalihan bagi PUMA.